Friday, August 5, 2016

HIDUP MERUPAKAN AMANAH ALLAH S.W.T. SEBAGAI KHALIFAHNYA

  ((Disiarkan pada 6. 8. 2016)
               Allah  S.W.T. berfirman  dalam  al-Qur’an surah Az-Zariyaat ayat 51:56 yang bermak sud: “Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyemba Aku.”
               Bahawasanya Allah menciptakan jin dan manusia tidak ada gunanya yang lain, melain kan buat mengabdikan diri kepada Allah. Jika seorang telah mengakui beriman kepada Tuhan, iaitu telah mengucap dua kalimah syahadah, “Asahdu allaillahillah wa ashadu anna Muhammad Rasulullah” – Tiada Tuhan yang wajar disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah; khusus kepada saudara baru (mereka yang baru menganut agama Islam) maka ia wajar berpegang kepada amanah Allah sebagai khalifah-Nya.
               Kepada keluarga muslim lahirnya zuriat ia sudah Islam hanya ditarbiahkan untuk memahami hidup sebagai Islam maka itu setiap anak itu diwajibkan mempelajari akidah Islam di sekolah agama yang ditarbiahkan oleh Ustaz yang bertauliah untuk mendidik anak-anak cara bagaimana memegang amanah Allah sebagai tanggungjawab utama dalam hidup. Maka mulai dari usia kanak-kanak setiap insan itu dilatih mengucap atau melafazkan  dua kalimah syahadah yang dilaksanakan setiap kali tibanya waktu fardu sembahyang.
               Melatih anak-anak  mengikuti cara hidup Islam wajib bagi setiap insan dan ibubapa nya wajar menghantarkan anaknya ke institusi berkenaan. Islam itu wajar dijadikan sebagai darah dan daging setiap hidup muslim. Maka itu ada institusi yang mengajurkan sekolah tahfiz atau menghafal al-Quran.
               Walaubagaimana pun anak itu  perlu dipaksarela oleh orang tuanya. Kalau anak tidak mengikuti disiplin sekolah tahfiz maka ibubapa wajar berkompromi dengan pentadbiran sekolah, tanpanya eloklah jangan memasukkan anak mereka ke instiusi berkenaan. Kalau tidak ada kerjasama  dari pihak ibubapa maka sekolah tahfiz sukar nak berfungsi.
               Setiap insan itu  dia tidak akan mahu  jika hidupnya di dunia  ini kosong saja. Dia tidak boleh menganggur. Selama nyawa  dikandung badan, manusia  harus  ingat bahawa tempohnya tidak  boleh kosong dari pengabdian. Seluruh hidup hendaklah dijadikan ibadat.
               Menurut riwayat dari Ali bin Abu Thalhah, yang diterimannya dari Ibnu Abbas, erti untuk beribadat, ialah  mengakui diri adalah budak atau hamba dari Allah, tunduk menurut kemahuan Allah, baik secara sukarela atau secara terpaksa, namun kehendak Allah berlaku juga (thau’an aw karhan). Mahu tidak mahu diri pun hidup. Mahu tidak mahu kalau  umur panjang mesti tua. Mahu tidak mahu jika datang ajal mesti mati. Ada manusia yang hendak melakukan di dalam  hidup ini menurut kemahuannya, namun yang berlaku ialah kemauan Allah jua.
               Ayat ini memberi ingatan kepada manusia bahawa sedar atau tidak sedar dia pasti mematuhi kehendak Tuhan. Maka jalan yang lebih baik bagi manusia ialah menginsafi kegunaan hidupnya, sehingga dia pun tidak merasa keberatan  lagi mengerjakan berbagai ibadat kepada Tuhan.
               Apabila manusia mengenali budi yang luhur, nescaya dia mengenal apa yang dinamai berterima kasih. Ada orang  menolong kita melepaskan dari malapetaka, kita pun segera mengucapkan terimakasih! Kita mengembara di satu padang pasir. Dari sangat jauhnya perjalanan, kita kehausan, air sangat sukar. Tiba-tiba di suatu tempat yang sunyi sepi  kita bertemu  seorang yang menyuruh kita berhenti berjalan sejenak.
               Kitapun berhenti. Lalu dia bawakan seteguk air. Kitapun mengucapkan banyak terima kasih. Kita ucapkan terimakasih dengan merendahkan diri. Sebab kita merasa berhutang budi kepadanya. Dan tidaklah ada manusia  beradab di dunia yang membantah keluhuran budi orang yang berterima kasih.
               Maka bandingkanlah semuanya dengan anugerah Illahi bagi menjamin hidup kita. Sejak mulai dari perut ibu sampai kepada masa habis tempoh di dunia ini dan kita menutup mata, tidaklah dapat dihitung dan dinilai betapa besar nikmat dan kurnia Allah kepada kita.
Maka timbullah pertanyaan. Apakah tidak patut kita berterimakasih kepada-Nya atas seluruh kurniaan itu?
               Di sinilah Tuhan menjuruskan hidup kita, memberi kita pengarahan. Allah menciptakan kita, jin dan manusia tidak untuk yang lain, hanya untuk satu macam tugas saja, iaitu mengabdi, beribadat. Beribadat iaitu  mengakui  bahawa kita ini hambaNya, tunduk kepada kemahuanNya.           
               Ibadat itu diawali atau dimulai dengan IMAN. Iaitu percaya bahawa ada Tuhan yang menjamin kita. Percaya akan adanya Allah ini saja, sudah jadi dasar pertama dari hidup ini sendiri. Maka IMAN yang telah tumbuh itu, wajib dibuktikan dengan amal yang salih. Iaitu perbuatan yang baik. Iman DAN AMAK SALIH inilah pokok ibadat. Bila kita telah mengaku beriman kepada Allah, nescaya kita percaya kepada RasulNya. Maka pesan Allah yang disampaikan oleh Rasul itu kita perhatikan. PerintahNya kita kerjakan laranganNya kita hentikan
               Maka dapatlah kita jadikan seluruh hidup kita ini ibadat kepada Allah. Sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, berzakat kepada fakir miski, adalah bahagian kecil, sebagai pematri dari seluruh ibadat yang umum itu. Semuanya itu kita kerjakan, kerana kita IMAN  kepadaNya, dan kita pun beramal yang salih untuk faedah sesama kita manusia. Kalau tidak ini yang kita kerjakan, tidaklah ada ertinya hidup kita yang terbatas di dalam dunia  ini.
               Melakukan dakwa kepada jalan yang baik adalah  tugas utama dalam hidup. Kalau tidak beribadat kepada Allah apalah ertinya hidup itu. Umur telalu pendek  di dunia ini, dan umur yang pendek itu mesti diisi,, sehingga setelah manusia mati sekalipun,namun Iman dan Amal salihnya masih hidup dan tetap hidup.
               Kehidupan dunia sekarang ini diciptakan Allah bukanlah satu cara penghidupan yang sempurna tetapi satu cara penghidupan yang tidak sempurna, satu kehidupan sementara, penghidupan yang penuh serba macam kekurangan, kekecewaan dan lain-lain sebagainya. Firman Allah dalam al-Quran surah Al-Imran ayat 3:185-186 yang bermaksud:
               “Tiap yang berjiwa akan mengalami mati, dan tidak akan disempurnakan ganjaran kamu, kecuali pada hari kiamat. Kerananya barang siapa dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga, maka selamatlah dia. Sedang penghidupan dunia ini tidak lain hanya benda tipuan saja.”
               “ Sesungguhnya kamu akan dikenakan percobaan-percobaan dalam harta dan dirimu. dan sesungguhnya kamu akan mendengar banyak dari orang-orang yang diberi Kitab dahulu sebelum kamu dan orang-orang yang syirik akan celaan yang banyak. Dan jika  kamu sabar dan takwa, maka itulah sebaik-baik urusan.”
               Dalam surah Al-Hadid ayat 57:20 yang bermaksud:
               “Ketahuilah olehmu, bahawa kehidupan dunia ini hanya satu permainan, satu hiburan, satu perhiasan, bersombong-sombong antara kamu, dan berbanyak-banyak tentang harta dan anak-anak, seperti hujan yang tumbuh-tumbuhannya menyenangkan kaum kafir (petani-petani), kemudian kelihatan segar, lalu menjadi kekuningan (layu), kemudian itu dia menjadi lapuk. Sedang di akhirat ada seksa yang sangat dan ada pula ampunan dari Allah dan keredhaan. Dan penghidupan dunia (yang rendah ini) hanya benda tipuan belaka.”
               Dalam ayat-ayat lainnya dinyatakan oleh Allah bahawa kehidupan di dunia sekarang ini adalah penghidupan kecil (tidak bererti), sempit sedikit, rendah dan di akhiratlah yang sebenar-benar hidup. Tetapi  sungguhpun begitu, penghidupan dunia ini amat penting, kerana dialah menentukan baik buruknya nasib manusia dalam penghidupan di akhirat yang kekal dan abadi itu.
               Berbahagia dan beruntunglah manusia yang mengerti dan menyedari sesedar-sedarnya, merugi dan celakalah manusia yang tak mengerti dan tak mahu sedar. Mudah-mudahan Allah menjadikan kita  orang yang sedar dan bahagia, sekalipun tidak begitu kaya atau mampu dalam kehidupan dunia sekarang ini.
               Antara amanah Allah pertanggungjawabkan kepada manusia ialah cintanya  terhadap Allah. Iman dan takwa yang hidup subur pada diri seorang akan berbuah. Buah Iman dan Takwa itu banyak sekali, dan terus menerus sepanjang masa, tidak bermusim seperti mangga atau durian, sehingga buahnya di musim susah ialah kesabaran, di musim senang dan beruntung ialah syukur, di musim perang dan kekacauan ialah ketenangan, di kala bersalah ialah ampunan dan taubat. Dan buahnya yang terus ada di segala musim, ialah rasa bahagia dan puas hati. Dan buahnya yang paling tinggi kedudukannya, ialah timbulnya perasaan “cinta” tehadap Allah.
               Bila seorang hamba sudah  berhasil mendapatkan rasa cinta terhadap Allah, berbuah lah dunia dan segala isinya dalam pandangan hidupnya. Bayangkanlah bagaimana indahnya perasaan seorang  pemuda mendapatkan kekasih si jantung hati dan bagaimana bahagia dan lega hatinya bila berada di smping kekasihnya itu.
               Cinta seorang lelaki terhadap wanita atau  cinta seorag suami terhadap isterinya adalah hanya cinta kecil, sedang cinta seorang hamba yang Iman dan Taqwa terhadap Tuhannya adalah cinta kalibar besar, cinta teragung dan tertinggi, serta terindah, melebihi segala cinta. Dan merasa dirinya selalu di samping Tuhan yang dicintainya. Tuhan yang Maha Gagah Perkasa, Maha  Penyayang, Maha Kaya.
               Bila orang sudah merasa cinta kepada Allah dan merasa diri selalu di samping Tuhannya, tak satu perkara lagi yang dikhwatirkannya dalam hidup atau sesudah mati. Tak takut miskin atau melarat, tak takut musuh siapa jua, tak takut ditangkap atau diculik, dan tak takut ditahan atau dipenjar. Di mana saja dia berada, dia berada di samping Tuhannya.
               Sebab itu orang yang telah mengenal akan Tuhannya, sesudah Iman dan Takwa (menjalankan segala ibadat dan perintah Allah), ia berjuang untuk mendapatkan rasa cinta terhadap Tuhan. Tinggi gunung akan didakinya, dalam jurang akan dituruninya, samudera luas akan diselami dan direnanginya, jalan apa saja akan ditempuhinya sekalipun penuh onak dan duri. Ia akan memeras keringat berhabis tenaga, sekalipun akan  mengorbankan seluruh harta atau jiwanya untuk memperoleh cinta terhadap Tuhan, dan agar dia dicintai oleh Tuhan.
               Ke arah itulah ditujukan perjuangan tiap-tiap orang yang beriman dan taqwa itu. Umur panjang atau pendek, hidup susah atau  senang, orang benci atau suka, tidak  menjadi persoalan dalam hidupnya, tidak menjadi halangan dalam perjuangan hidupnya.
               Allah berfirman dalam al-Quran surah Al-Maidah aya 5:54 yang bermaksud:
 “Hai orang-orang yang beriman! Barang siapa daripada kamu murtad (berbalik)) dari agamanya (Islam), maka  nanti Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mengasihi mereka  dan mereka mengasihi Allah, mereka bertimbang rasa terhadap orang-orang mukmin, berkeras terhadap orang-orang kafir, berpegang pada  jalan Allah dan tiada takut celaan orang. Demikianlah kurnia Allah yang diberikanNya kepada  siapa-siapa yang dikehendaki-Nya dan Allah itu luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
Cinta adalah perasaan. Perasaan itu tak dapat dilihat oleh mata. Semua orang mungkin saja merasa mencintai Allah, sehingga dengan gampang sekali dapat berkata: “Aku cinta akan Allah; si Anu dicintai oleh Allah”. Agar manusia jangan dapat dibohongi oleh perasaannya sendiri. Maka di dalam berbagai-bagai ayat dan hadis Allah dan RasulNya menerangkan tanda-tanda kencintaan manusia terhadap Allah. Perhatikanlah  ayat-ayat dan hadis tersebut di bawah ini.
Pernah sekelompok manusia di zaman Rasulullah saw. sama-sama berkata cinta terhadap Allah, lalu turunlah ayat tersebut di bawah ini.
Surah Al-Imran ayat 3:31 dan 32 yang maksudnya:
“Katakanlah: Jika kamu cinta akan Allah, maka ikuti (taatilah) olehmu akan aku (Muhammad), nescaya Allah cinta akan kamu dan ampuni dosa-dosamu, kerana Allah Maha Pengampun dan Maha Pengasih.”
“Katakanlah: Hendaklah kamu taat terhadap Allah dan Rasul. Jika kamu berpaling,
maka susungguhnya Allah tidak cinta terhadap orang-orang kafir (yang berpaling itu).”
Hadis Sahih dari Anas Malik r.a. mengatakan bahawa Rasulullah saw. telah bersabda yang bermaksud:
“Tiga perkara, siapa yang memilikinya akan dapat merasakan manisnya Iman, iaitu: Bahawa Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai-nya dari selain keduanya;Bahawa dia mencintai  seseorang hanya kerana Allah; Bahawa dia benci kembali kekufuran sesudah Allah membebaskannya dari kekufuran itu, sebagaimana dia benci untuk ditempatkan ke dalam Neraka.”
Jadi di antara tanda-tanda bahawa seorang mencintai Allah ialah: Mentaati perintah Allah. Mentaati perintah Rasulullah. Cintanya terhadap Allah, Rasul dan jihad fi Sabillah melebihi cintanya terhadap bapa, anak, saudara, isteri, keluarga, harta perdagangan dan tempat tinggal. Mencintai sesama manusia kerana Allah. Benci terhadap kekufuran seperti bencinya terhadap Neraka. Dan Tidak takut dicela dibenci, digertak, oleh manusia.

Bila seorang telah cinta terhadap Allah dan Rasul-Nya dengan memenuhi tanda-tanda di atas, maka Allah akan cinta kepadanya. Mencintai dan dicintai Allah, adalah setinggi-tinggi nya rahmat Iman dan Takwa. Maka demikianlah halnya amanah Allah kepada manusia yang wajib dijaga dan dipelihara selagi hidup dikandung badan.

No comments:

Post a Comment