Thursday, September 15, 2016

KASIH SAYANG TERAS PERPADUAN UMAT DALAM KACA MATA ISLAM

 (Disiarkan pada 16. 9. 2016)
Tidak ada bangsa dan keturunan manusia menafikan bahawa kasih sayang itu menjadi teras perpaduan umat. Sesungguhnya umat manusia diwujudkan Allah s.w.t. di muka bumi ini dengan satu tujuan iaitu beribadat kepada Allah s.w.t. Antara ciri-ciri ibadat itu adalah dimurnikan dengan perasaan kasih sayang sebagai nadi pembangunan umat.
Cinta atau kasih sayang kepada Allah menjadi teras dalam membentuk tamadun kehidupan. Masyarakat manusia hidup berpegang kepada sosial budaya yang memegang kesatuan dan persatuan kerana Allah. Bersatunya umat manusia disebabkan kehadiran perasaan kasih sayang kerana Allah  kelak, melahirkan kekompakkan silidaritas sosial  sebagai nadi dalam membentuk masyarakat penyayang.
Al-Quran menyatakan  bahawa hubungan dengan sesama manusia Hablum minanas menjadi teras memupuk perpaduan demi melahirkan hubungan dengan Allah, hablum  minallah. Meneguhkan hubungan kedua-dua fenomen tersebut menjadi agenda yang memak- mur pembangunan umat sejagat.
Kasih sayang teras perpaduan umat dalam kaca mata Islam wajar diterjemahkan sebagai satu daripada pembangunan manusia yang menumpukan pembangunan rohani yang mengutamakan sebagai agenda untuk persediaan kehidupan akhirat nanti.
Islam yang mengambil jalan tengah antara rohani dan jasmani itu tidak mengatakan yang kedua-duanya mempunyai taraf yang sama. Tetapi hikmat ketuhanan menghendaki supaya Islam itu berdiri atas kaedah-kaedah alam dan sesuai dengan tabii.
Ilmu pengetahuan telah mengakui bahawa akal yang  sihat tidak boleh didapati kecuali pada tubuh yang sihat, dan ketinggian rohani tidak tercapai jika jasmani tidak dapat memenuhi keperluannya, kecuali keperluan itu dipenuhi dalam daerah-daerah kesederhanaan.  
Walaupun demikian Al-Quran tetap mengatakan bahawa kehidupan akhirat lebih baik daripada kehidupan dunia. Kesempurnaan rohani menjadi matlamat akhir yang wajib dituntut oleh setiap orang Islam. Sebab itu Al-Quran memberi amaran kepada mereka yang memen- tingkan dunia tanpa membuat persediaan untuk akhirat.
Allah s.w.t. berfirman dalam surah Hud ayat 11:15-16 yang bermaksud: (terjemahan)
“Barang siapa yang menghendaki  kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia ini tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperolehi akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan (di dunia) dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan”.
               Sesiapa ingin kepada kehidupan dunia, yakni bersuka-suka dan bersenang-lenang dengan makan dan minum, dan inginkan perhiasan dunia, berupa pakaian, perabot. Alat kelengkapan, harta benda dan anak-pinak–tanpa mempunyai persediaan mencari bekalan untuk hari akhirat kelak iaitu dengan beramal kebajikan, membersihkan rohani dengan mengerjakan ketaatan kepada Allah dan menambahkan keimanan – maka orang yang seperti ini akan diberi juga balasan dengan mendapat hasil daripada usaha mereka itu dengan sempurna, sesuai dengan sunnatullah (peraturan-Nya) yang ditetapkanNya dan tidak dikurangi sedikitpun hasil yang mereka perolehi daripada usaha mereka, meski pun mereka itu berlaku kufur terhadap Allah.
Kerana  pembahagian rezeki adalah bergantung kepada usaha–bukan bergantung kepada niat dan cita-cita–sekalipun petunjuk agama  lebih mementingkan supaya seseorang itu bersikap jujur, bercakap benar, menjauhi penghianatan dan penipuan dan sebagainya.
Mereka yang hidup di dunia hanya bercita-cita untuk mencari kemewaan, tidak akan mendapat sesuatu apa pun di akhirat nanti, kecuali yang didapati hanyalah neraka. Kerana balasan dalam akhirat itu mengikut amalan seperti balasan di dunia juga. Apabila seseorang itu tidak  beramal untuk akhirat, maka ia tidak akan mendapat balasan untuk akhirat. Sesung
guhnya beramal untuk askhirat itu ialah dengan membersihkan rohani, berkasih sayang antara sesama dengan beriman dan bertakwa kepada Allah serta menjauhi segala amalan maksiat dan kejahatan.
               Apa yang telah mereka lakukan di dunia dahulu, yang pada lahirnya mereka ada berbuat kebajikan dan kebaikan, seperti berderma dan bersedekah, menghubungkan tali silatur rahim dan berbaik-baik dengan  berbagai kaum secara harmoni, semua yang dilakukan itu                                                                                                                    bukanlah  untuk membersihkan rohani mereka yang dapat mendampingkan kepada Allah, bahkan mereka melakukannya oleh tujuan lain – hanyalah memenuhi kehendak nafsu mereka seperti riyak, bermuka-muka dan bermegah-megah – sebenarnya ia dilakukan dengan jalan yang salah – maka perbuatan yang demikian tidak ada balasannya, bahkan akan terputus cukup di dunia sahaja di akhirat tidak.
Al-Quran memberitahu tentang kelebihan akhirat daripada dunia dalam beberapa tempat yang berlainan. Allah berfirman dalam surah Al-Ankabut ayat 29:64 yang bermaksud (terjemahan)
“Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-mainan belaka. Dan sesungguhnya kampung akhirat itulah kehidupan yang sebenar-benarnya kalau mereka mengetahui”.
Firman Allah juga dalam surah Al-Anfal ayat 8:57 yang bermaksud: (terjemahan)
“Kamu menghendaki harta benda dunia, sedang Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk kamu)”.
Firman Allah lagi dalam surah Al-A’la ayat 87:16-17 yang bermaksud: (terjemahan)
“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan dunia, sedangkan kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal”.
Jadi kepercayaan kepada kehidupan akhirat lebih baik daripada kehidupan dunia. Kepercayaan ini menyenangkan jiwa yang terseksa dalam kehidupan dunia, juga memberi kekuatan rohani kepada orang-orang mukmin yang menjadikan mereka orang yang teguh dan tidak akan menyesal jika ditimpa kerugian atau kemalangan semasa mereka melaksanakan sesuatu rancangan.
Berkasih sayang hidup di dunia wajar dihiasi dengan mentarbiahkan ilmu pengetahuan yang mendidik kita untuk memahami faktor-faktor kehidupan dunia yang memperdayakan. Al-Quran telah menyatakan kepada manusia supaya jangan terperangkap dengan ni’mat-ni’mat dunia. Allah berfirman dalam al-Quran surah Al-Hadid ayat 57:20 yang bermaksud: (terjemahan)
“Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga tentang banyaknya harta dan anak, (maka bandingan sama) seperti hujan yang tanam-tanamannya mengkagumkan orang-orang kafir; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian dia menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu”.
Dalam ayat ini Allah menggambarkan kehidupan dunia sebagai kesukaan, bermegah-megah,memperbanyakkan harta dan anak. Sesungguhnya semua perkara itu adalah tidak kekal, sama sahaja seperti hujan yang menakjubkan para petani kerana dengan hujan tersebut hasil pertanaian bertmbah, tetapi ternyata tidak lama kemudian semua itu menjadi rosak binasa.
Al-Quran juga menggambarkan kehidupan dunia dalam bentuk ini seperti dalam surah Al-Kahfi ayat 18: 45-46 yang bermaksud: (terjemahan)
“Dan buatkanlah untuk mereka suatu perumpamaan tentang kehidupan dunia ini seperti air hujan yang Kami (Allah) turunkan dari langit, lalu bercampur dengan tumbuh-tumbuhan di bumi, kemudian menjadi kering diterbangkan angin. Dan adalah Allah berkuasa
di atas segala sesuatu”
“Harta kekayaan dan anak-anak adalah perhiasan hidup di dunia, dan amal solih yang kekal itu lebih baik pahalanya pada sisi Tuhan dan lebih baik dijadikan cita-cita harapan”.
Allah menyuruh Rasul-Nya, Muhammad (s.a.w.) supaya membuat perumpamaan untuk kaumnya, iaitu, kehidupan di dunia ini diumpamakan seperti hidupnya tumbuh-tumuhan yang bermula daripada air. Tumbuh-tumbuhan itu pun mengeluarkan beraneka macam bunga yang indah dan berbagai-bagai hasil bumi setelah disirami hujan
Tetapi tidak lama kemudian habislah musnah tumbuh-tumbuhan itu dipukul angin ribut. Tidak ada apa-apa yang tinggal lagi di muka bumi, kerana telah kering dan menjadi licin, tidak ada meninggalkan sebarang bekas.
Kehidupan di dunia ini diibaratkan seperti tanaman yang menghijau penuh dengan bunga sehingga kelihatan sungguh berseri pada permulaannya, dan ini adalah dalam jangka waktu yang singkat. Tetapi kemudian akan menjadi kering dan tidak berseri lagi apabila dipukul oleh angin ribut. Maka tidaklah patut bagi orang yang berakal tertipu oleh kehadiran dunia, lalu berbangga-bangga dengan harta kekayaan yang dipunyainya, padahal itu adalah bayang-bayang yang akan hilang.
Kesan daripada ayat ini dapat diambil, iaitu, janganlah kita membangga-banggakan keindahan perhiasan dunia, lalu dipamerkan pula dengan cara yang dapat melalaikan kewajipan kita kepada Tuhan yang menjadikannya. Dalam menikmati keindahan perhiasan dunia itu, yang penting ialah bersyukur dengan menambahkan ketaatan kita kepada yang menciptakannya.
Perasaan kasih sayang antara sesama adalah amalan baik yang akan berkekalan dan dapat menghasilkan buah-buahan kepada manusia, iaitu segala perbuatan yang dikerjakan untuk mentaati Allah seperti sembahyang, bersedekah atau menderma, berjuang pada jalan Allah (berjihad), menolong orang-orang yang sengsara dan  yang berhajat kepada bantuan itu akan membuahkan pahala sebagai bekalan kehidupan akhirat nanti. Dan perbuatan-perbuatan itu juga lebih baik dijadikan cita-cita harapan, kerana hidup di dalam nikmat dan kebahagian di akhirat itulah yang menjadi idaman dan harapan setiap insan.
Amalan-amalan soleh adalah lebih baik di sisi Allah. seseorang yang berbuat demikian akan mendapat ganjaran yang banyak. Allah memberi tahu manusia seluruhnya dalam firmanNya  surah Fathir ayat 35:5 yang bermaksud: (terjemahan)
“Wahai manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka sekali-kali janganlah membiarkan kehidupan dunia memperdayakan kamu dan sekali-kali janganlah orang yang pandai menipu, mempedayakan kamu tentang Allah”.
Janji Allah adalah benar pada hari kiamat. Balasan kepada amalan soleh dan amalan keji adalah benar. Oleh yang demikian janganlah kamu tertipu dengan keseronokan dunia dan meninggalkan suruhan-suruhan Allah.
Janganlah kamu tertipu oleh kemewahan hidup di dunia, sehingga bingngung, lalu terpesona untuk berseronok-seronok dan bersenang menikmatinya, menyebabkan lupa menunaikan kewajipan terhadap Allah dan larangan Allah pula kamu langgar. Semoga dengan kemurahan Allah kamu jauhkan daripada kemewahan yang memperdayakan.
Hidup dengan berkasih sayang antara sesama umat jangan disalah gunakan sehingga faktor-faktor yang menyenangkan hati kita akan melalikan ibadah atau kasih sayang terhadap Allah. Maka itu Al-Quran menganggap kehidupan dunia sebagai tempat menguji seseorang. Dunia menjadi perantaraan untuk mencapai kebahagian akhirat. Setiap urusan dunia sama ada urusan rumahtangga, pasar, tempat, tempat kerja, kedai dan majlis perwakilan semunya merupakan ujian-ujian yang berbeza bagi seseorang.
Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 29:2-3 yang bermaksud: (terjemahan)
“Apakah manusia itu mengira bahawa  mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: Kami
telah beriman”. Sedangkan mereka tidak akan diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
                    Maksudnya, adakah manusia menyangka bahawa cukuplah bagi mereka setakat mengatakan kami telah beriman? Adakah mereka tidak lagi perlu diperiksa bagi menjelaskan sama ada mereka sebenarnya orang-orang yang benar atau pendusta? Jadi, dalam Islam, bukanlah memadai dengan hanya menjadi penganut Islam, tetapi hendaklah dilahirkan kesan-kesan ajaran Islam itu dalam semua keadaan, sama ada dalam ketika susah atau ketika senang. Semua perkara, sama ada baik atau buruk yang menimpa diri manusia adalah menjadi ujian bagi melahirkan kebenarannya.
                    Dengan sebab itulah menyatakan dalam firmanNya surah Muhammad ayat 47:31 yang bermaksud: (terjemahan)
                    “Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwal kamu”.
                    Pandangan hidup seperti ini adalah menjadi pendorong utama sesorang untuk maju, ia juga menjadi pendorong yang kuat untuk sesorang itu berjihad melawan keburukan atau kekejian yang diinginkan olehnya. Pandangan seperti ini mengubah sebahagian daripada pandangan agama lain yang menganggap bahawa penganut agama itu adalah manusia yang dikasihi Tuhan dan  dengan demikian mereka tidak perlu berjihad menentang keburukan.
                    Demikianlah antara ibadah dan jihad yang wajar kita lakukan dalam  menyemarakkan perasaan kasih sayang dalam bermasyarakat

yang menjadi teras perpaduan umat mengikut persepsi Islam.  

No comments:

Post a Comment