Friday, September 2, 2016

MEMBINA MASYARAKAT NADI PEMBANGUNAN UMMAT

 (Disiarkan pada 03. 09. 2016
               Hidup bersosial mementingkan kerjasama  yang erat antara sesama demi melahirkan sebuah masyarakat yang mendukung perasaan ukhuwah dan kasih sayang kerana Allah. Hidup adalah perjuangan dan pejuangan itu merupakan pengorbanan. Jika nak hidup berjaya semestinya ada pengorbanan dan pengorbanan itu hasil dari perjuangan yang merupakan kerja amal demi membina masyarakat.
               Tidak ada ibadah yang mudah tanpa perjuangan. Untuk menyempurnakan ibadat wajar dilandaskan dalam suasana keimanan dan ketakwaan kepada Allah kerana tanpa-Nya sukar ibadat itu membuahkan kemanfaatan kepada kehidupan seperti mana yang diinginkan. Setiap hari dalam pejalanan hidup semestinya diwarnai oleh suasana permasalahan maka itu  ibadat harus difikirkan sebagai tawakal kepada Allah s.w.t.
               Berkorban untuk hidup memerlukan ketabahan hati demi mendapat ilham dari Allah s.w.t. yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Pengorbanan itu merupakan tawakal untuk membuat perubahan kepada alam kehidupan. Kerana Allah tidak akan mengubah keadaan hidup sesuatu kaum kalau kaum itu sendiri tidak berkorban hendak mengubahnya, Surah Al-Raa’d ayat 13:11.
               Membina masyarakat merupakan antara ciri-ciri pengorbanan hidup demi melahirkan ukhuwah kemanusiaan. Dengan terbinanya masyarakat akan melahirkan perasaan kasih sayang kelak memudahkan perlaksanaan agenda pembangunan berlandaskan budaya tolong menolong antara sesama kelak mewujudkan tamadun kehidupan. Maka disitulah akan terlahir perasaan bahawa masalah saudaraku adalah masalahku dan kejayaan saudaraku adalah kejayaanku.
               Kemanisan hidup bermasyarakat akan wujud apabila setiap agenda pembangunan itu dilaksanakan dalam suasanan berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Tidak ada masalah yang sukar dilaksanakan dan tidak ada agenda yang dibina tidak dapat diselengarakan. Segala permasalahan pembangunan hidup disulami dengan niat dalam naluri berkerjasama seia sekata menerimanya sebagai pengorbanan bersama.
               Masyarakat Islam yang  bersaudaraan ialah masyarakat yang  bersatu dari segi akidah keimanan, syiar, ibadat, pemahaman, pemikiran, adab kesopanan, dorongan jiwa, kesusilaan, budaya sosial, nilai kemanusiaan dan asas-asas perundangannya.
               Ia juga bersatu dari segi matlamat-matlamatnya yang menghubungkan antara bumi dan langit, antara dunia dan Akhirat, antara makhluk dan Khaliq (Pencipta). Ia juga bersatu dari segi prinsip-prinsipnya yang menghubungkan antara teori dan praktil, yang menyeimbangkan antara unsur kekalan dan perubahan serta antara inspirasi warisan lama dan memanfaatkan kemajuan zaman.
               Ia juga bersatu dari segi  sumber-sumbernya yang menjadi punca kepada hidayahnya iaitu Al-Qur’an al-Karim dari hadith Nabawi. Satu juga dari segi idolanya yang agung yang menjadi ikutan terbaik, iaitulah Rasulullah s.a.w.. Masyarakat Islam adalah masyarakat yang beriman dengan Tuhan Yang Maha Esa, kitab yang satu, Rasul yang satu, menghadap ke arah qiblat yang satu dengan siar yang satu, berhukum dalam setiap perkara kepada syariat yang satu, dan kepercayaan yang satu iaitu kepada Allah, Rasul-Nya dan umat Islam. Kerana Allah ia berkasih, kerana Allah ia membenci, kerana Allah ia menghubungkan tali persaudaraan dan kerana Allah juga ia memutuskannya.
Firman Allah s.w.t. dalam Al-Quran surah al-Mujadilah ayat 58:22 yang bermaksud:
“Kamu tidak akan mendapati suatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari akhirat saling berkasih kasihan dengan orang-orang yang menentang Allah dan  RasulNya, sekalipun orang-orang itu adalah bapa-bapa atau anak-anak atau saudara –saudara  atau pun keluarga mereka.”
Adalah tidak wajar Masyarakat Islam dipecakan oleh perkara-perkara yang dapat
memecakan masyarakat-masyarakat lain seperti kefanatikan kepada bangsa, warna tanahair, bahasa, darjat, aliran pemikiran atau sebagainya.
               Persaudaraan Islam adalah lebih tinggi daripada ‘asabiyyah biar apapun jenis dan namanya. Rasulullah s.a.w. tidak mempunyai apa-apa  hubugan dengan ‘asabiyyah seperti mana sabda Baginda:
               Bukanlah dari kalangan kami orang yang menyeru ke arah ‘asabiyyah, bukan dari kalangan kami orang yang berperang atas dasar ‘asabiyyah dan bukan dari kalangan kami orang yang mati di atas dasar “asabiyyah”* (Diriwayatkan oleh Abu Daud  dan Jubair Ibn Math’am.)
               Al-Quran telah memberi peringatan tentang tipu daya orang-orang bukan Islam yang mengambil peluang untuk memecabelahkan kesatuan mereka sepertimana yang dilakukan oleh kaum Yahudi yang cuba mencetuskan persengkitaan setelah mana Allah menyatupadukan mereka dalam Islam. Firman Allah dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 3:100-103 yang bermaksud:   
               “Hai orang-orang yang beriman! Jika kamu mengikuti kumpulan orang-orang yang Ahli kitab itu (Yahudi dan Nasrani) nescaya mereka mengembalikan kamu menjadi kafir sesudah kamu beriman. Bagaimanakah kamu kufur sedangkan ayat-ayat Allah (Al-Quran) dibaca kepada kamu dan dikalangan kamu ada pula Rasul-Nya (Muhammad)? Sesiapa yang berpegang dengan agama Allah sesungguhnya ia telah mendapat pimpinan ke jalan yang lurus. Hai orang-orang yang beriman! Takutlah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takut, dan janganlah sekali-kali mati melainkan kamu di dalam Islam. Berpeganglah kamu sekalian  dengan tali (agama) Allah dan janganlah bercerai berai, dan ingatlah nikmat (kurnia) Allah yang dilimpahkan-Nya ke atas kamu bermusuh-musuhan (dahulu), maka dipersatukan-Nya hati kamu menjadilah kamu bersaudara dengan sebab nikmat tersebut. Dan (ketika itu) kamu berada di tepi lobang neraka maka Allah selamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu, mudah-mudahan kamu mendapat pertunjuk.”
               Sebab ayat ini diturunkan – mengikut riwayat Zaid bin Aslam – kerana adanya peris- tiwa kegemparan besar di antara orang Ansor. Iaitu orang-orang Yahudi (seperti Syasa bin Qois) cuba memecabelahkan persatuan dan kerukunan antara orang-orang Ansor Madina. Mereka itu telah membangkit-bangkit sejarah permusuhan dan peperangan kedua suku orang-orang Ansor yang terdiri dari suku al-Aus dan al-Khazraj yang terjadi kira-kira 120 tahun sebelum kebangkitan Nabi (s.a.w.) yang lalu. Kejadian membangkit-bangkitkan permusuhan antara suku tersebut telah menjadi kegemparan besar hampir mengakibatkan pertumpahan darah di antara orang-orang Ansor.
               Mujurlah Nabi (s.a.w.) dapat mereda dan menghilangkan sama sekali kemarahan yang sedang berkobar-kobar – terbit dari fitnah dan hasutan orang-orang Yahudi tersebut. Setelah mereka  dapat diinsafkan oleh Nabi (s.a.w.) dan sedar bahawa mereka sebenarnya telah diperdayakan oleh  hasutan musuh yang menjadi jiran mereka di Medinah itu, mereka pun masing-masing segera membuang senjata lalu berpeluk-pelukan sesama mereka sambil menangis dan menyesali kesilapan mereka.
               Itulah sebabnya diturunkan ayat ini yang maksudnya: Wahai orang–orang yang beriman, jika kamu mendengarkan segala hasutan dan fitnah yang dilakukan kepada kamu oleh orang-orang Yahudi itu, sedang kamu segera pula melayani tipu daya mereka, nescaya mereka akan mengambilkan kamu dari beriman menjadi kufur. Ketahuilah kekufuran itu  mengakibatkan kebinasaan di dunia dan di akhirat.
               Dalam ayat berikutnya merupakan pertanyaan Allah yang mengandungi ras kehairanan dan celaan iaitu ditujukan kepada sahabat-sahabat Nabi kaum Ansor dari suku al-aus dan Khazraj yang disebutkan kisahnya dalam huraian ayat yang lalu.
               Maksud ayat berikutnya:Apakah jalannya yang  menyebabkan kamu berlaku kufur padahal Quran selalu dibacakan kepada kamu oleh Rasul – utusan Allah – Quran yang mengandungi petunjuk-pertunjuk dan pengajarana yang masih segar lagi diturunkan dari langit, istemewa pula ada di samping utusan Allah iaitu Muhammad (s.a.w.) yang dapat menerangkan kepada kamu pengajaran-pengajaran itu dengan lebih terang dan jelas dan dapat pula dengan mudahnya kamu teladani dan ikut jejak langkahnya.
               Tidaklah seyogia kamu berpaling mengikut kata-kata orang-orang Yahudi itu bahkan semestinya kamu cemburu dengan segala tingkah laku mereka  yang mendatangkan syak dan
keraguan, kemudian menyampaikannya pula kepada  Rausullah (s.a.w.) agar dapat dihilang kan keraguan-keraguan tersebut daripadamu.
               Maksud “takut” pada ayat berikutnya di sini ialah dengan cara  mengerjakan segala suruhan yang wajib dan meninggalkan segala tegahan yang haram. Sesiapa bertakwa atau takut kepada Allah sekuasanya, bermakna takut dengan sebenar-benar takut. Berpegang teruslah kamu dengan agama Islam selama kamu hidup hingga ke mati dengan mentauhidkan Allah, menunaikan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
               Seterusnya  pada ayat berikutnya bermaksud berpeganglah kamu dengan isi  kitab Allah dan dengan perjanjian antara kamu dengan Allah kerana setiap manusia dahulunya telah pun menyaksikan adanya Allah dan berjanji untuk bersetia dengan-Nya. Juga dimaksudkan menyeru supaya kamu bersatu padu di antara satu dengan yang lain dengan penuh kemesraan pada mentaati Allah dan Rasul-Nya. Dan tali Allah di sini ialah agama-Nya yang menuju  ke jalan yang lurus. Dan dilarang kamu bercerai-berai, yakni jangan berselesi di antara kamu sesama Islam kelak membawa ke jalan yang sebaliknya iaitu jalan yang ditegah oleh Allah.
               Si antara jalan-jalan perselisihan dan perpecahan ialah menubuhkan perkumpulan-perkumpulan atau parti-parti yang berdasarkan semangat berpuak-puak dan berpihak-pihak dan semangat taassubkan bangsa – masing-masing memandang sukunya atau bangsanya lebih daripada yang lain – dan masing-masing hendak mengalahkan lawannya seperti yang dibayangkan oleh Tuhan terhadap kalangan suku Aus dan suku Khazraj mahupun yang banyak kita saksikan berlaku di kalangan kita pada masa ini. Jalan yang membawa perpecahan tesebut hendaklah dijauhi.
               Sebelum kedatangan agama Islam kamu adalah suku-suku yang saling bermusuh-musuhan dan berbunuh-bunuhan, yang kuat menganiaya yang lemah dan yang kaya menindas yang miskin. Tetapi Allah telah mengurniakan nikmat-Nya dengan mendatangkan kepada kamu agama Islam. Disatukan-Nyalah hati kamu sehingga semuanya menjadi saudara yang amat mesra. Hinggalah orang-orang Ansor relah membahagi-bahagikan hartanya, rumahnya, sawah ladangnya dan lain-lainnya kepada saudara-saudara mereka orang-orang Muhajirin. Dan Allah padamkan api peperangan di antara suku Aus dengan Khazraj yang telah berterusan selama 120 tahun. Semua ini disebabkan kedatangan agama Islam sebagai nikmat Allah yang patut kamu ingati.
                    Kamu pada masa itu masih lagi dalam keadaan syirik disebabkan menyembah berhala dan menyekutukan Allah – seola-olanya kamu berada di tubir suatu jurang api neraka – yang hanya menanti ajal atau kematian kamu sahaja. Bila mati akan masuklah ke dalamnya. Tetapi  beruntunglah, sebelum  kamu mati  kamu telah diselamatkan oleh kedatangan Islam yang berdasakan tauhid dan menolak penyekutuan itu.
                    Setelah Allah jelaskan kepada kamu tentang apa yang tersembunyi di hati orang-orang Yahudi untuk menipu kamu, dan tentang hal-hal yang diperintahkan dan yang ditegahkan, begitu pula tentang keadaan kamu semasa jahiliah, yang berakhir  kemudiannya kamu menjadi orang, orang  yang memeluk agama Islam, maka bukti-bukti akan keterangan-keterangan tersebut adalah menunjukkan kelimpahan nikmat-Nya supaya kamu selamanya memperolehi petunjuk-Nya sehingga tidak lagi kembali berkeadaan di zaman jahiliah, berkeadaan perpecah-belah dan antara satu sama lain bermusuh-musuhan.
                    Firman Allah surah  Ali Imran ayat 3:104 yang bermaksud:
                    “Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu umat yang menyeru ke arah kebajikan, menyuru kepada yang makruf mencegah dari yang mungkar. Mereka itulah orang-orang yang beruntung.”
                    Ini membuktikan kepada kita perkara yang menyatukan umat Islam serta menghimpun kan mereka ialah kewujudan manhaj yang satu yang menjadi  pegangan dan rujukan. Iaitulah di sini, tali dari Allah: Islam dan al-Quran. Begitu juga  dengan kewujudan risalah bersama yang menjadi tanggugjawab bersama dan menjadikannya sebagai tugas terpenting.Yang di
maksudkan di sini ialah menyeru ke arah kebaikan dengan melakukan amar ma’ruf dan nahi mungkar.
                    Tetapi apabila umat Islam tidak melaksanakan risalah ini, atau mengabaikan manhaj nya, maka jalan-jalan perpecahan akan mencerai-beraikan mereka ke kanan dan ke kiri. Syaitan-syaitan akan mengambil kesempatan untuk menarik  perhatian mereka ke arah timur dan barat. Perkara ini telah diingatkan oleh al-Quran, di dalam surah al-An’am ayat 6:153 yang bermaksud:
                    “Sesungguhnya ini jalanKu yang lurus, maka ikutilah ia; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain; kerana jalan-jalan tersebut akan mencerai-beraikan kamu dari  jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan oleh Allah agar kamu bertaqwa.”

                    Kesatuan yang diwajibkan ke atas umat Islam tidak bererti menolak adanya kepelbagaian yang disebabkan adanya perbezaan suasana dan kebiasaan yang dipengaruhi oleh pelbagai jenis tamadun serta warisan ilmu pengetahuan yang beraneka macam. Ia adalah kepelbagaian dalam bingkai yang sama. Ia saling tak tumpah seperti  kepelbagian bakat, kecenderungan, pemikiran dan profesonial dalam satu keluarga atau seperti kepelbagaian bunga-bungaan atau buah-buahan di dalam taman yang sama.

No comments:

Post a Comment