Friday, November 18, 2016

IMAN, ISTIQAMAH KEPADA ALLAH MENJANJIKAN SYURGA FIRDAUS

IMAN, ISTIQAMAH KEPADA ALLAH  MENJANTIKAN SYURGA FIRDAUS 
(Disirkan pada 18. 11. 2016)
               Iman yang berterusan kepada Zat Allah akan mendapatkan kemuliaan di sisi Allah s.w.t. kelak menjanjikan syurga Firdaus. Perjalanan hidup manusia menuju akhirat singgah sebentar di dunia untuk mendapat bekalan hidup di akhirat kelak. Masa kehidupan di dunialah  segala-galanya  manusia mendapat ujian dan cubaan dari berbagai pihak seperti  makhluk yang halus iaitu, Jin dan Syaitan, dan pada keseluruhan falsafah kehidupan itu  adalah pemberian dari Allah s.w.t. maka setiap insan tidak akan terlepas dari ujian Allah dalam melaksanakan kekhalifannya di dunia.
               Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 29:2-3 yang bermaksud (tejemahan)
               “Apakah manusia itu  mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan: “Kami telah beriman.” sedang mereka  tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
               Allah mewujudkan manusia dengan segala fasiliti hidupnya seperti kasih sayang, yang  berterusan,  nikmat hidup yang berbagai macam sama ada di luar kehidupan  manusia itu atau di dalam jasmaninya sendiri. Kehidupan pada seorang insan harus menempuhi berbagai saingan dengan manusia lain demi melahirkan pembangunan yang mampan sebagai khalifah Allah s.w.t..
               Hidup ini bukan dari tangan ke mulut sepertimana yang difahami oleh seorang pengembara berbangsa German bernama Yuhansen. Ia berjumpa dengan ulamak Indonesia Prof Dr. HAMKA yang kebetulan bersama dalam satu Pesawat, penerbangan ke Jakarta. Hidup ini mempunyai berbagai ciri pembangunan seperti pembangunan jasmani dan pembangunan rohani. Kedua-duanya  mempunyai ketarikat antara satu dengan yang lain yang wajar setiap insan memahami tanggungjawabnya sebagai hamba Allah dan juga sebagai khalifahNya.
               Untuk melaksanakan ibadat, kedua-dua unsur manusia tersebut kita memerlukan iman, takwa, dan ilmu  pengetahuan. Untuk menzahirkan iman dan ketakwaan kita kena bekalkan diri dengan ilmu pengetahuan. Allah turunkan Islam kepada manusia sebagai cara hidup serta memahami segala falsafah yang menghubungkan kita dengan berbagai kehidupan makhluk khususnya makhluk manusia yang dikenali sebagai hablumminnas dan yang utama sekali ialah hubungan kita dengan Allah yang dikenali sebagai hubluminallah.
               Elemen utama yang kita perlukan dalam menyediakan diri dengan berbagai kemanfaatan hidup samada di dunia atau di akhirat kelak ialah iman kepada Allah. Hubungan kita dengan segala makhluk di alam kehidupan di dunia seharusnya membawa kita ke dimensi hubungan kita dengan Allah secara istqamah. Kerana wujudnya makhluk-makhluk  berkenaan adalah kekuasaan Allah s.w.t.
               Setiap wujudnya makhluk di alam ini semestinya ada kemanfaatan kepada kehidupan manusia. Maka itu untuk tujuan menerokai alam kehidupan kita wajar bermuara dengan  memperolehi ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan itu tidak datang dengan sendirinya. Kita kena usaha secara istiqamah mencarinya, terutamanya segala ilmu yang terkandung dalam kitab Suci Al-Qur’an.
               Istiqamah ertinya teguh hati, tetap pendirian. Walaupun tidak semua orang yang membudayakan istiqamah namun memeluk agama Islam untuk mendapatkan hikmah secara mendalam sangat memerlukan budaya istiqamah ini. Keperluan terhadap budaya istiqamah  sangat digunakan pada setiap masa, terutama sekali di zaman moden ini demi menangani falsafah globalisasi atau  kehidupan tanpa sempadan.
               Pembangunan  kehidupan di zaman modern ini, kita harus maju, namun tetap pada dasar pertama tanpa goyah. Ini dapat terwujud kepada orang-orang yang betul-betul memiliki jiwa dan pengetahuan ke Islaman yang mendalam. Firman Allah dalam surah Al-Jin ayat 72:16 yang bermaksud (terjemaahan)
               “Dan bahawasanya, jikalau mereka tetap berjalan lurus (istiqamah) di atas jalan itu (agama Islam) benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezeki yang banyak.”)
               Ada peribahas yang menyebutkan: “Di mana ada air di situlah ada harta, dan di mana ada harta di situlah ada ujian.”
                   Begitulah gambaran istiqamah yang dituntut di zaman moden ini. Namun kenyataan pada sebenarnya menunjukkan terjadi perubahan nilai istiqamah dalam diri masyarakat maju. Kebanyakannya lebih memperturutkan hawa nafsu dan kehendak diri sendiri tanpa memper- timbangkan akan nilai-nilai kebenaran dalam ajaran Islam.
               Jiwa yang jauh dari kehadiran iman kepada Allah lebih ramai daripada mereka yang tidak teguh pendirian dan tidak memiliki budaya istiqamah. Keresahan dan kebingungan lebih banyak melanda masyarakat yang mulai  jauh dari nilai-nilai agama lantaran cuba mencam- puradukkan kesucian dan kebenaran itu dengan debu-debu kemaksiatan.
               Istiqamah berkaitan dengan kemampuan manusia dalam berjuang untuk menghadapi ujian dan penderitaan kerana semakin tinggi nilai iman seseorang itu semakin besar pula cubaannya yang harus  dihadapinya. Dengan datangnya berbagai cubaan, ujian dan penderi- taan itu, jiwa seseorang menjadi kuat dan tabah.
               Namun sebaliknya bagi mereka yang tidak memiliki iman yang kuat, yang mudah terpengaruh dengan suasana lingkungan, mereka akan merasa lemah dan terus tumbang apabila cubaan atau bencana datang dari Allah. Mereka mengeluh, menyalahkan orang lain bahkan menyalahi Allah s.w.t.. Keimanan seseorang harus dibuktikan dengan cubaan untuk, melihat sejauh mana seorang itu  mampu mempertahankan nilai kesucian iman yang dimilikinya.
               Melihat dari sudut sejarah sejak manusia itu diciptakan Allah s.w.t. dan sejak  diciptakan kebaikan dan keburukan, kedua-duanya mendapat perlawanan. Kemenangan memerangi kemungkaran, sebaliknya kemungkaran atau kebatilan itu hadir di tengah-tengah kebenaran untuk mengganggu dan mencampuradukkan keduanya. Begitulah seterusnya sampai ke saat ini. Antara yang benar dengan yang salah terus terjadi perlawanan, namun kenyataan yang dapat kita saksikan bahawa kebatilan itu pasti akan menerima kehancuran.
               Allah s.w.t. telah memberi beberapa cubaan terhadap Nabi-nabi yang telah terdahulu. Betapa beratnya cubaan dan ujian yang harus mereka terima demi kepentingan akidah Islam sebagai cara hidup manusia di sisi Allah s.w.t.
               Istiqamah dalam kehidupan Nabi Adam sebagai bapa manusia pertama untuk membawa akidah Islam sebagai cara hidup manusia mendapat tentangan yang hebat, terutama sekali para Syaitan atau Iblis. Ilmu yang dibekalkan Allah kepada Nabi Adam sukar diterima oleh Syaitan atau Iblis dengan alasan kepentingan unsur kejadianya mengikutnya adalah lebih mulia berbanding dengan unsur kejadian manusia. Maka Syaitan atau Iblis disingkir oleh Allah dari syurgaNya maka terjadilah permusuhan antara makhluk manusia dengan makhluk Syaitan atau Iblis hingga ke hari kiamat.
               Istiqamah iman Nabi Adam kepada Allah telah teraniyaya apabila Nabi Adam, atas pujukan Iblis supaya menyentuh buah yang terlarang oleh Allah di Syurga. Akibat dari itu manusia juga terkeluar dari Syurga dan menyerah hidup di dunia seperti halnya kepada makhluk Syaitan atau Iblis.
               Istiqamah iman kepada Allah dalam menangani kehidupan Nabi Ibrahim a.s. dalam menegakkan kebenaran dan menghancurkan kepalsuan dalam kehidupan umatnya juga mendapat tentangan hebat dari kaumnya. Budaya menyembah patung sebagai tuhan yang direka oleh umatnya sendiri berjaya dihancurkan oleh Nabi Ibrahim yang mengakibatkan dirinya dibakar hidup-hidup. Istiqamah iman kepada Allah dalam dada Nabi Ibrahim menjadi kan unggun api yang serba besar menyala ke udara, gagal memakan tubuh badan Nabi Ibrahim. Namun kejadian sedemikian ajaibnya tidak dapat juga melembutkan hati umatnya untuk beriman kepada Allah s.w.t.
               Ujian Allah s.w.t. silih berganti menimpa kehidupan Nabi Ibrahim, namun iman  istiqamah kepada Allah tidak goyah walaupun sampai ke peringkat mengorbankan satu-satunya anak (Ismail) kesayangannya  sendiri. Namun demi keteguhan iman yang sentiasa bersamanya secara istiqamah membuahkan kejayaan Nabi Ibrahin demi mengukuhkan keimanan kepada Allah s.w.t. sebagai Tuhan yang Esa.
               Namun untuk mengukuhkan iman yang istiqamah kepada Allah semestinya hidup ini dihiasi dengan ilmu dan amal. Islam mewajibkan kaum muslimin dan muslimat menuntut ilmu sejak dari buaian hingga ke liang lahad, kerana orang yang berilmu di masyarakat menduduki darjat yang tinggi, sedangkan yang tidak berilmu menduduki darjat yang rendah.
               Islam agama ilmu dan agama akal. Sebelum Islam membeban pengikut-pengikutnya supaya menghasilkan maksud-maksud keduniaan, lebih dahulu Islam mewajibkan kepada pengikut-pengikutnya menjadi orang yang berilmu, berakal, sihat, faham, cemerlang fikiran nya, elok penglihaannya, berpandangan luas, dapat mendalami segala urusan sebelum mengerjakannya, dapat membanding sesuatu dengan berbagai perbandingan, agar perbuatan nya bersesuaian dengan kebenaran, keadilan, kemaslahatan dan kewajiban.
               Islam juga membebankan pengikut-pengikutnya menjadi orang-orang yang berpenge- tahuan, mengetahui segala sebab kemaslahatan dan jalan-jalan kemanfaatan; menyelami hakikat-hakikat alam, dapat meninjau dan menganalisa segala pengalaman yang telah didapati oleh umat yang telah lalu, baik yang berhubungan dengan akidah dan ibadat, baik yang berhubung dengan muamalah, yakni hubungan ekonomi sosial kemasyarakatan.
               Islam menganggap, bahawa agama tidak akan mendapat tempat yang baik, apabila orang-orang Islam tidak mempunyai pengetahuan yang matang dan fikiran yang sihat. Oleh kerana itu pengetahuan bagi Islam bagikan ruh (nyawa) bagi manusa.
               Ini terkandung dalam al-Qur’an mencakup semua ruang lingkup kehidupan manusia, sebagaimana firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 14:52 yang bermaksud: (terjemahan)
               “(Al-Qur’an) ini adalah penjelasan yang cukup bagi manusia, dan supaya mereka diberi peringtan dengan dia, dan supaya mereka mengetahui bahawasanya Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa dan agar orang-orang yang berakal mengambil pelajaran).
               Dan Allah menggambarkan bahawa ucapan-ucapan penghuni jahannam itu hanya cakap-cakap kosong, sebagaimana Allah berfirman dalam surah Al-Mulk ayat 67:10 yang bermaksud: (terjemahan)
               “Dan mereka berkata: “Sekiranya kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) nescaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala.”
               Allah s.w.t. memuliakan kehidupan manusia, apabila manusia itu  setelah dewasa dan tumbuh kekuatannya, ia siap membersikan diri dengan ajaran yang paling suci dan tinggi. Dengan kata lain Islam membimbing manusia sesuai dengan perkembangannya untuk menuju kesempurnaan kehidupan menuju kemajuan dunia yang lebih dekat daripada itu.
               Apabila kita memperhatikan ibadat solat yang merupakan ibadat yang pokok dalam Islam, sebelum solat dikerjakan, terlebih dahulu dikumandangkan adzan oleh mu’adzin. Azan yang dilakukan oleh mu’adzin, semata-mata merupakan ketentuan yang dapat diterima akal. Ajakan untuk mengerjakan solat, dengan untaian kata-kata yang mengetuk hati dan menggugah akal. Isinya mengaggungkan Allah, bahawa Allah Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Allah, dan  bersaksi bahawa Nabi Muhammad utusanNya; mengajak mencapai kebahagiaan.
               Dengan kemampuan, kecerdasan dan keteguhan fitrah, mansia dapat meresapi ajaran Islam di dalam hatinya. Kerana hanya orang-orang yang sempit pandangannya sajalah yang jauh sekali akan boleh maju di dalam beragama. Allah berfirman dalam surah Al-‘Alaq, ayat
96:1 – 5 yang bermaksud: (terjemahan)
               “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah mencipta manusia dari segumpal darah, Bacalah dan Tuhanmulah Yang Paling Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam, Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”
               Apabila kita perhatikan ayat yang paling pertama turunnya dari Al-Qur’an, nyatalah bahawa Tuhan memberikan perhatiannya kepada qalam dan tulis menulis, kepada ilmu dan mempelajarinya.

               Dengan memperhatikan ayat itu saja, cukuplah sudah untuk menegaskan bahawa Islam itu agama ilmu dan agama akal. Islam menghendaki supaya pemeluknya pandai memegang kalam dan otaknya penuh dengan aneka rupa ilmu. Dengan menggunakan ilmu yang ada dapat kita budayakan istiqamah dalam memahami sesuatu permasalahan. Dengan itu ilmu juga dapat membantu kita menyelesaikan kesulitan dalam pembangunan kehidupan.

No comments:

Post a Comment