Thursday, February 9, 2017

IMAN DAN TAKWA MEMIMPIN MANUSIA KE JALAN YANG LURUS

  (Disiar pada 10 . 2. 2017)
Keunggulan manusia di sisi Allah s.w.t. berpaksi lepada keimanan dan ketakwaannya kepada zat yang Maha berkuasa itu. Iman merupakan keyakinan terhadap wujudnya Allah dengan hati, yang dilafazkan dengan kata-kata, dan dilaksanakan dengan amalan. Iman itu ketetapan hati, kekuatan batin bahawa segala kewujudan alam kehidupan adalah atas kekua- saan Allah menciptanya.
Apabila iman bersarang dalam hati individu mukmin ia sentiasa melihat fenomena alam dalam keadaan muda, ceria dan bercahaya. Amal ibadahnya berkiblat kepada persoalan “Allah redha atau tidak? Soalan ini menuju kepada ketakwaan kita kepada Allah yang pokok perjuangannya ialah merasa takut kepada Allah s.w.t.
Ringkasnya, Islam dengan segala keunggulan ajarannya mampu membekalkan panda- ngan yang mantap, memberi manfaat, dan mempunyai  pendekatan bersepadu tentang kecer- asan. Antara lain, pandangan tersebut menganjurkan prinsip takwa bagi menggambarkan kecerdasan. Secara kasar, takwa merujuk kesedaran mengenai kehadiran dan kekuasaan Allah di sepanjang masa. 
Prinsip takwa merujuk satu gagasan meritokrasi yang menyeluruh, yang merangkumi aspek keimanan, keilmuan, kerohanian, kebendaan, akhlak, dan amalan yang salih. Di dalam pendidikan pintar cerdas, satu nilai yang penting ialah takwa dan nilai ini mengandungi unsur-unsur iman, ilmu, dan amal salih.
Bagaimanapun, ilmu mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dalam kontek keperluan hidup daripada amal. Misalnya, amal tanpa ilmu dianggap tidak bermakna, kerana  ilmu itu sendiri dianggap sebagai sejenis amal, iaitu amalan mental.
Semua amal perbuatan yang kita lakukan adalah benar-benar merupakan pancaran cahaya Iman; dari sanalah terbentuknya akhlaqul kalimah, dan laku perbuatan terpuji atau amal salih. Kepada merekalah Allah akan memberikan kebahagian dunia dan tempat yang baik kelak di akhirat, sebagaimana firman Allah surah Ar-Ra’ad, ayat 13:29 yang bermaksud: (terjemahan)
“Orang-orang yang beriman dan beramal salih, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik.”
Ayat di atas merupakan penegasan janji Allah bagi orang-orang yang beriman dan beramal salih. Amal salih yakni perbuatan yang baik adalah meliputi tindak laku pribadi dan pergaulan bermasyarakat. Tegasnya seorang mukmin harus bersikap dan berbuat baik terhadap diri sendiri dan masyarakat sekitar.
Terhadap diri sendiri ia harus memelihara perangai dan tata hidup sesuai tuntunan Allah; terhadap masyarakat  sekitar iapun harus berbuat dan bergaul dengan sikap terpuji. Manusia adalah sebaik-baik makhluk Allah; kepada merekalah Allah menunjukkan jalan yang benar, iaitu agama Islam.
Akan tetapi kerana keterbatasan sifat manusia banyak di antara mereka tersesat perjalanan hidupnya, gugur oleh bujuk rayu syaitan. Syaitan sentiasa berusaha agar manusia ingkar kepada Allah, iaitu  dengan memperlihatkan dan menjanjikan kemanisan hidup duniawi, sehingga tidak sedikit manusia terlena dan akhirnya terlepas sama sekali dari tuntunan Allah. Oleh sebab itulah Allah memberikan beban kepada orang-orang yang beriman agar melaksanakan amar ma’ruf dan nahyi mungkar.
Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 3:110 yang bermaksud: (terjemahan)
“Adalah kamu sebaik-baik umat yang dibangkitkan bagi manusia supaya kamu menyuruh mengerjakan kebajikan dan kamu melarang berbuat kejahatan serta percaya kepada Allah. Kalau berimanlah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) nescaya lebih baik bagi mereka.(Tetapi) setegah mereka itu mukmin dan kebanyakan mereka fasik.”
Jelasnya bahawa umat Islam adalah semulia-mulia umat bagi pandangan Allah dan ciri
mereka ialah sentiasa melaksanakan amar ma’ruf dan nahyi mungkar. Dari itu, sebagai mukmin kita wajib melaksanakan amar ma’ruf dan nahyi mungkar sebagai bukti ketaatan dan kecintaan kepada Allah, iaitu dengan melakukan amal salih dan membendung diri dari tingkah laku yang tercela.
               Dengan demikian sampailah kita kepada satu kesimpulan bahawasanya dari Iman yang benar akan terpancar akhlaq yang baik, dari akhlaq yang baik terwujudlah perbuatan- perbuatan yang salih, termasuk di dalamnya kesediaan beramar ma’ruf dan nahyi mungkar.
               Kunci iman ialah ibadat. Benar atau tidak ibadat seseorang sangat berpengaruh terhadap benar atau tidaknya iman; dengan kata lain iman yang tidak  terpelihara maka ibadatnya pun tidak teratur.
               Kita telah menyatakan dan mengakui iman kepada Allah, maka ibadat kitapun hendak lah kerana Allah dan menurut ketentuan-ketentuan Allah. Jadi petanda seorang mukmin ialah ibadat dan segala perbuatannya. Allah berfirman dalam Al-Qur’an surah  At-Taubah ayat 9:71 yang bermaksud: (terjemahan)
               “Dan orang-orang yang mukmin lelaki atau perempuan, sebahagian mereka menjadi pemimpin kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh memperbuat kebaikan dan mela- rang daripada kejahatan. Mereka mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan mentaati Allah dan rasul-Nya. Itulah orang-orang yang akan dirahmati Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Perkasa lagi Bijaksana.”
               Demikianlah gambaran sifat dan sikap Mukmin yang disukai Allah. Kepada mereka lah Allah menjanjikan rahmat yang akan dikurniakan di dunia dan akhirat berkepanjangan – disebabkan ketaatan mereka terhadap Allah dan rasul-Nya.
               Rasa persaudaraan, tolong-menolong, bantu membantu dan sayang-menyayangi antara seorang Mukmin dengan yang lain telah diumpamaka oleh Nabi saw seperti suatu kumpulan yang menjadi tubuh yang satu menguatkan yang lain. Mereka bersatu untuk mempertahankan kebenaran, keadilan dan meninggikan kalimat Allah.
               Dalam kelanjutan ayat di atas, Allah berfirman dalam Al-Qur’an surah yang sama ayat 9:72 yang bermaksud: (terjemahan)
               “Allah menjanjikan kepada orang-orang yang mukmin lelaki dan perempuan beberapa buah  syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka berkekalan di sana serta mendapat tempat tinggal yang bagus di dalam syurga ‘Adn dan keredaan daripada Allah adalah paling besar (nikmat-Nya), itulah dia kejayaan yang besar.”
               Setelah Allah menerangkan sifat-Nya ysng perkasa lagi bijaksana dan menerangkan tentang rahmat yang dikurniakan-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang mukmin secara ijmal (ringkas), maka di sini diterangkan pula balasan yang
akan diberikan-Nya kepada  orang-orang Mukmin secara tafsil (perinci) mengenai rahmat tersebut.
               Kita menyedar bahawa  hakikat hidup manusia adalah untuk beribadat kepada Allah, sebagaimana firman-Nya dalam Al-Qur’an surah Al-Dhariyat ayat 51:56 yang bermaksud: (terjemahan)
               “Tiadalah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk memberi pengabdian yang luas.”
               Mengingat terbatasnya umur yang diberikan Allah kepada makhluk-Nya, maka marilah kita isi sepanjang hidup dengan akhlaq dan amal yang baik serta ibadat yang benar, sebagai pembuktian pernyataan iman terhadap Allah s.w.t.
               Kita laksanakan segala perintah-Nya, kita jauhi larangan-larangan-Nya. Marilah berusaha melaksanakan amar ma’ruf dan nahyi mungkar meskipun terhadap diri sendiri. Maka itu marilah saudara-saudara  meningkatkan amal dan ibadat. Kita tanamkan Iman yang benar kepada anak-cucu, kita bina akhlaq dan amaliyah mereka serta kita betulkan tata cara ibadat mereka.
               Semoga dengan cara demikian kita semua berserta anak-cucu akan mendapatkan
kebahagian dunia dan akhirat; memperoleh janji-janji Allah yang menjadi harapan hamba-hamba yang salih. Dan semoga Allah menjauhkan kita dari segala tipu daya dan bujuk rayu syaitan yang menyesatkan.
               Firman Allah dalam Al-Qur’an surah Al-Kahfi ayat 18:110 yang bermaksud: (terjemahan)
               “Katakanlah:“Hanyasanya aku adalah manusia seperti kamu juga. Diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu adalah Tuhan yang satu. Maka barang siapa mengharap-harapkan menemui Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amalan yang baik, dan janganlah menyekutukan dalam menyembah Tuhannya dengan sesiapa pun.”
               Allah menyuruh rasulnya (Nabi Muhammad saw) mengatakan kepada umatnya bahawa dia ((Rasul) adalah manusia biasa seperti kamu juga. Aku tidak mengaku bahawa pengetahuanku meliputi perkataan-perkataan Tuhanku, Bahkan tak ada langsung pengetahuan ku kecuali apa yang diajarkan-Nya kepadaku. Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepada ku supaya kamu menyembah Allah sebagai Tuhan yang satu.
               Siapa yang menginginkan pahala daripada Allah hendaklah beribadat kepada-Nya dengan seikhlas-ikhlasnya, jangan menyekutukan-Nya dengan yang lain seperti yang dilakukan oleh orang-orang yang tidak percaya kepada keterangan-keterangan Allah dan kepada pertemuan dengan-Nya.
               Islam untuk keselamatan dunia dan akhirat. Allah adalah Pencipta jaya raya. Dia mencipta makhluk-Nya iaitu alam dan manusia. Dia bersifat “al-Rahman” dan “al-Rahim” yakni yang Maha Pemurah  lagi Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya. Kepada hamba-hamba-Nya diturunkan wahyu dengan perantaraan Rasul-rasul-Nya untuk memberita kan, menjelaskan, memperincikan, mentafsirkan dan memberi teladan itu dalam kehidupan yang nyata.
               Wahyu dan penerapannya  dalam kehidupan yang nyata mewujudkan salam yakni kebahagiaan. Kesejahteraan dan keselamatan bagi hamba-hamba-Nya yang berakal. Wahyu-Nya kepada alam semesta atau jagat raya berbentuk Sunnah Allah yang diterjemahkan oleh istilah alam “hukum alam” untuk melaksanakan salam dalam kehidupan alam. Wahyu dan cara penerapannya yang ditrunkan kepada manusia pun adalah juga dinamakan “sunnah Allah”. Allah mewajibkan salam kepada manusia untuk kepentingan manusia sendiri, supaya manusia benar-benar dapat menikmati keamanan, kesejahteraan dan keselamatan. Allah tidak mempercayai kepentingan kerana Dia terkaya dari alam semesta dan Dia Maha Kaya lagi Maha sempurna. Allah menurunkan agama Islam kerana semata-mata kasih sayang-Nya kepada hamba.
               Dalam Islam iman mesti bertimban dengan amal salih, iman sahaja tidak bererti kalau ‘tidak menjadi amalan atau kenyataan. Iman tanpa amal laksana pokok tanpa buah atau ada mahkamah tanpa hakim, atau ada raga tanpa isi. Amal sahaja tidak bermakna tanpa berpangkal dari iman. Amalan kita akan keliru, akan salah, laksana pokok yang berbuah busuk. Iman itu berbentuk teori, amalan pula berbentuk praktik. Iman ialah awalan ajaran Islam manakala amal salih menjadi hujung ajaran Islam. Maka perimbangan antara kedua itu dinamakan oleh al-Qur’an dengan:
               Terjemahan: Mereka yang beriman dan beramal salih
               Rukun Iman dalam Islam diimbangi oleh rukun Islam, sebagaimana pengajaran diimbangi oleh pendidikan. Iman itu terletak di dalam hati nubari. Apakah seseorang itu beriman atau tidak, kita dapat ketahui, tetapi rukun Islam itu bersifat aktif dalam perbuatan, rukun Islam merupakan pernyataan dan rukun iman.
               Matlamat agama ialah membentuk manusia supaya bertaqwa: sifat taqwa juga menjadi pangkal kehidupan untuk merealisasikan kehidupan yang baik, taqwa sebagai sikap hidup yang dibentuk oleh agama untuk menjadi kenyataan yang diamalkan oleh manusia dalam kehidupan sehari-hari.
               Di antara semua makhluk yang dicipta Allah, manusialah yang termulai. Kemuliaan nya itu antara lain kerana ia dianugerahkan Allah akal. Tanpa akal, darjat manusia jatuh ke tingkat binatang. Darjah manusia bukanlah terletak pada badannya, kerana dari segi jasmaniah tidak banyak beza manusia daripada haiwan. Darjah itu terletak pada akal. Oleh itu ada orang mendifinisikan manusia dengan binatang yang berakal. Jadi kemuliaan manusia tidak melekat pada badannya, tetapi pada akal yang dimilikinya.
               Tidak dijadikan oleh Allah suatu makhluk yang terlebih mulia disisi-Nya daripada akal.    (Riwayat sebahagian Ahli Sunan)
               Secara kesimpulan bahawa akal itu penting bagi manusia, dengan sendirinya ia juga penting bagi Islam. Islam diturunkan untuk menunjuk-ajar manusia dan menuntun dia kepada kesempurnaan. Maka akallah jadi alat dalam menuju kepada kesempurnaan itu. Demikian dibaratkan peranan akal oleh Islam, sehingga akal dan Islam merupakan “dua yang satu”.
“Sesungguhnya Din itu akal. Tidak ada Din bagi dia, yang tidak mempergunakan
   akal”.
Yang dimaksudkan dengan Din ialah Islam. Tidaklah seseorang itu menganut Islam yang tidak mempergunakan akal. Dengan demikian peningkatan Islam bergantung pada peningkatan akalnya. Untuk itu:
               1. Pemikirannya perlu diperkaya dengan ilmu pengetahuan.
               2. Kalbunya perlu diisi dengan agama.
Dengan agama Islam akan lahir keimanan dan ketakwaan kepada Allah yang akan

memimpin manusia ke jalan yang lurus yang diredai-Nya.

No comments:

Post a Comment