Friday, May 19, 2017

IKHLAS DAN KEJUJURAN TANDA CINTA KEPADA ALLAH SWT.

 .(Disiarkan pada 18. 5. 2017)
               Sifat-sifat kesempurnaan dalam hidup manusia memaparkan budaya ikhlas dan kejuruan kepada Allah s.w.t. Manusia diciptakan Allah dengan segala sifat kesempurnaannya berbanding dengan ciptaan-Nya yang lain maka Allah cintakan manusia lebih besar daripada cinta manusia kepada Allah. Malangnya sebahagian besar manusia di dunia tidak mencintai Allah malah ada yang tidak menaruh minat kepada keilmuan untuk mengenali Allah!
               Ada manusia yang ikhlas dan jujur serta cinta kepada Allah seperti halnya keluarga  ‘Imran bapa Mariam. ‘Imran ialah seorang ulama’ besar di kalangan ulama’-ulama’ Bani Israil. Isterinya bernama Hasnna binti Faqud, adalah seorang yang mandul; oleh itu dia berdoa kepada Allah dan bernazar jika ia diberi seorang anak lelaki maka dia akan menyerahkan anak itu kepada Baitul Muqaddis untuk berkhidmat di situ.
               Allah telah memakbulkan doa isteri ‘Imran. Beliau kemudian mengandung  dan melahirkan seorang anak perempuan yang dinamakan Maryam. Sungguhpun Maryam perempuan pada kebiasaannya tidak sesuai berkhidmat di tempat-tempat sembahyang tetapi nazar yang dibuatnya itu terus ditunaikan. Ia ikhlas dan jujur terhadap nazaranya adalah kekuasaan Allah s.w.t.
               ‘Imran meninggal dunia pada masa Maryam masih kecil. Ibu Maryam membawa Maryam kepada penjaga-penjaga Haikal. Mereka bertelingkah tentang siapa yang patut menjaga Maryam dan akhirnya dibuat undi. Undi telah jatuh kepada Zakaria dan Zakaria mengajarkan Maryam cara ibadat yang sebenar.
               Pada suatu hari iaitu setiap kali Zakaria berjumpa Maryam di tempat sembahyang dia mendapati makanan yang tidak dihantar oleh sesiapa dan makanan itu memang tidak  ada pada musim itu. Oleh itu Zakaria bertanya dari manakah datangnya makanan ini? Maryam menjawab bahawa ianya datang dari sisi Allah.
               Inilah yang diceritakan oleh Al-Quran kepada kita. Surah Ali ‘Imran ayat 4:35 -37) yang bermaksud: (terjemaahan).
               “(Ingatlah),ketika isteri Imran berkata: Ya Tuhanku, sesungguhnya aku menazarkan kepada Engkau anak yang dalam kandunganku menjadi hamba yang salih dan berkhidmat (di Baitul Maqdis), Kerana itu terimalah (nazar) itu daripadaku. Bahawasanya, Engkau adalah Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Maka manakala isteri ‘Imran melahirkan anaknya dia pun berkata: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku melahirkan seorang anak perempuan dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkan itu, dan anak laki-laki (yang dinazarkan itu) tidaklah seperti anak perempuan yang dilahirkan ini sesungguhnya aku telah menamainya dia Maryam dan aku melindungkannya dari syaitan yang terkutuk”. Maka Tuhan menerima ia (sebagai nazar) dengan penerimaan yang baik, dan mendidiknya dengan pendidikan yang baik dan Allah menjadikannya Zakaria pemeliharanya. Setiap kali Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati makanan di sisinya. Zakaria berkata: “Hai Maryam dari mana kamu memperolehi (makanan ini).” Maryam menjawab: “Makanan itu dari sisi Allah”. Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya tanpa hisab.”
Itulah kisah kandungan, kelahiran dan pendidikan Maryam. Pembaca dapat melihat bahawa suasana peribadatan telah melingkungi Maryam sejak ia dalam kandungan ibunya  sehingga mencapai umur dewasa. Sesungguhnya pembesarannya dalam suasana yang suci seperti ini adalah menjadi mukaddimah kepada sesuatu perkara  yang mulia iaitu dia dipilih oleh Allah atas segala wanita di dunia. Allah berfirman Surah Ali ‘Imran ayat 4:42-43 yang bermaksud: (terjemahan)
“Dan (ingatlah) ketika malaikat (Jibril) berkata: “Hai Maryam susungguhnya Allah
telah memilih kamu, mensucikan kamu dan melebihkan kamu atas segala wanita di dunia (yang semasa dengan kamu). Hai Mariyam taatlah kepada Tuhanmu, sujud dan rukuklah
bersama-sama orang yang rukuk.”
Pemilihan tersebut ialah pemilihan untuk menjadi seorang ibu yang melahirkan anak   bukan melalui sebab-sebab biasa. Tujuannya ialah untuk menjadi dalil (ayat) Allah. Kehidupan Maryam yang suci itu menyangkal segala keraguan yang timbul. 
Apabila Maryam dewasa, pada suatu hari ia telah melihat seorang pemuda kacak menghampirinya di tempat khalwatnya. Maryam merasa takut sebab ia menyangka  sesuatu yang buruk. Dengan hati yang ikhlas dan jujur, dia memohon perlindungan dari Allah dan menyebutkan kepada pemuda itu tentang  takwa supaya pemuda itu takut  kepada Allah. Tetapi pemuda itu menyatakan bahawa dia ialah Malaikat Jibril yang diutus oleh Allah kepadanya untuk diberikan seorang anak lelaki yang suci. Maryam dengan perasaan ikhlas dan jujur merasa hairan bagimana dia akan memperolehi anak sedangkan dia tidak mempunyai suami dan bukan pula seorang perempuan jahat (pelacur). Jibril memberi tahu bahawa Allah adalah berkuasa atas semua perkara dan anaknya yang akan lahir nanti menjadi tanda (ayat) dari tanda-tanda kekuasaan Allah.
Firman Allah dalam Al-Qur’an Surah Maryam ayat 19:16 – 21 yang bermaksud: (terjemahan).                                     
“Dan ceritakanlah (kisah) Maryam yang tersebut dalam al-Qur’an, ketika ia  menjauhkan diri dari keluarganya ke suatu tempat disebelah Timur. Maka ia mengadakan tabir (yang melindunginya) dari mereka, lalu Kami mengutus ruh Kami kepadanya, maka ia menjelma di hadapannya (dalam bentuk) manusia yang sebenarnya.  Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung daripadamu kepada Tuhan yang Maha Pemurah (janganlah kamu mengganggu aku) jika kamu seorang yang bertakwa.” Ia (Jibril) berkata: Sesungguh nya aku ini hanya utusan Tuhanmu, untuk memberimu seorang anak lelaki, sedangkan tidak pernah seorang manusiapun menyentuhku dan aku bukan (pula) seorang penzin”. Jibril berkata: “demikianlah Tuhanmu berfirman: “Hal ini adalah mudah bagi-Ku dan Kami berbuat demikian agar dapat Kami menjadikannya sebagai suatu tanda  bagi manusia dan sebagai rahmat dari Kami, dan hal itu adalah  suatu perkara yang sudah diputuskan”.  
Jibril memberi tahu Maryam bahawa anaknya bernama ‘Isa bin Maryam. Dia adalah seorang yang termasyhur di dunia dan di akhirat serta merupakan salah seorang dari orang-orang yang hampir kepada Allah. ‘Isa boleh bercakap sejak dari mula lahir. Allah mengajar kannya Al-Kitab, hikmah, Taurat serta memberikannya kitab Injil.
Allah berfirman dalam Al-Qur’an Surah  Ali-Imran ayat 3:45 – 48 yang bermaksud: (terjemahan)
“(Ingatlah), ketika Malaikat berkata: Hai Maryam, sesunguhnya Allah menggembira kan kamu (dengan kelahiran seorang putera yang diciptakan) dengan kalimat (yang datang) daripada-Nya, namanya Al-Masih Isa putra Mariam. Seorang terkemuka di dunia dan di akhirat dan salah seorang yang saleh. Maryam berkata: Ya Tuhanku betapa mungkin aku mempunyai  anak, pada hal aku belum disentuh oleh seorang manusia (lelaki). Allah berfirman (dengan perantaraan Jibril): “Demikianlah Allah menjadikan apa yang dikehendaki-Nya; apabila Allah hanya cukup berkata kepadanya:”Jadilah”, lalu jadilah dia. Dan Allah akan mengajarkan kepadanya Al-Kita Hikmah Taurat dan Injil”.
Maksud “kalimat” di sini ialah seorang anak. Sebabnya disebutkan kalimat di sini sebagai mana firman Tuhan yang berbunyi “Kun Payakun” yang ertinya “jadilah engkau! Maka jadilah ia”. Tiap-tiap makhluk dijadikan Tuhan dengan perantaraan kalimat-Nya – baik manusia mahupun malaikat, jin, binatang, tumbuh-tumbuhan, benda-benda dan lain-lain seterusnya – jika Tuhan menghendaki sesuatu difirmankan-Nya “jadilah engkau!” Maka apa yang dikehendaki-Nya itu pun terjadi dan berlaku.
Seterusnya malaikat menyatakan kepada Maryam, bahawa Tuhan akan mengurniakan kepadanya seorang anak lelaki yang bernama  “Al-Masih Isa Ibnu Maryam”. Gelarannya Al-Masih, namanya Isa, dan dipanggil anak Maryam.
Adapun perkataan “Al-Masih” itu, telah diarabkan dari bahasa Ibrani (Hibro) yang
asalnya “Masih” ertinya “orang yang berkat” – gelaran kepada orang berpangkat. Dan sebab nya ia dipanggil anak Maryam, kerana Nabi Isa itu tidak berayah yang boleh dibangsakan kepadanya, maka ia dibangsakan kepada ibunya.  
               Kata Ibnu Abbas, dinamakan Isa itu Al-Masih, kerana siapa saja orang yang sakit jika disapu dengan tangannya maka sembuhlah ia. Adapula yang mengatakan, dinamakan Al-Masih – Melayunya “menyapu” – kerana bila dia menyapu orang, orang itu pun mendapat berkat. Atau menyapu kerana membersihkan dari kotoran dosa. Atau ketika dilahirkan dari kandungan ibunya, tubuhnya bersapu minyak. Atau Malaikat menyapu tubuhnya dengan sayapnya sehingga tidak dapat syaitan hendak menggodanya. Atau lain-lain qaul lagi yang menyatakan sebab Isa dinamakan Al-Masih.
               Manakala Maryam mendengar kata-kata malaikat yang memberitahu dirinya bakal dikurniakan oleh Tuhan seorang anak, ia berkata: “Ya Tuhan! Bagaimana saya akan mendapat seorang anak sedang diri saya belum pernah disentuh lelaki?”
               Maryam bertanya, bagaimana dia dapat melahirkan seorang anak dengan tidak bersuami? Ia bertanya bukan disebabkan ragu-ragu tentang kekuasaan Tuhan, hanya sahaja tidak menjadi kebiasaan bahawa anak dapat dilahirkan dengan tidak berbapa. Ia hanya kehairan di atas  kebesaran kuasa Tuhan.
               “Demikianlah Allah menjadikan apa-apa yang dikehendaki-Nya.”
Yakni: Allah akan mnegurniakan kepada mu anak dengan tidak paya manusia menyentuhmu – gunanya untuk menjadi tanda dan iktibar kepada manusia – kerana Tuhan berkuasa menjadikan  apa saja yang dikehendaki-Nya.
               “Apabila Ia berkehendak memperlakukan sesuatu perkara maka ia berkata: Jadilah engkau! Maka jadilah ia.”
               Ini membuktikan tentang kesempurnaan kudrat Tuhan dan adanya kuasa penuh mengikut  apa yang dikehendaki-Nya serta menjadikan gambaran betapa cepat berlakunya segala yang dikehendaki – dengan tidak tertangguh-tangguh lagi.
               “Allah mengajarkan Isa kitab, ilmu pengetahuan, Taurat dan Injil”
Allah  telah mengajarkan Isa kandungan kitab Taurat, dan menyampaikan serta mengajarkan pula kepada kaumnya sebagai petunjuk kepada mereka. Kemudian Allah telah mengajarkan kitab Injil yang diwahyukan kepadanya.
               Siti Maryam mengandung ketika Malaikat menghebahkan anak kepadanya. Ianya suatu kandungan yang luar biasa. Allah menghendaki demikian untuk menjadi bukti kekuasaan-Nya
               Firman Allah Surah Ali-Imran ayat 3:59 yang bermaksud: (terjemahan)
“Sesungguhnya bandingan (penciptaan) Isa di sisi Allah, adalah seperti pencitaan Adam. Allah menjadikan Adam dari tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya: “Jadilah” (seorang manusia), maka jadilah ia.”
               Sebabnya ayat ini diturunkan kerana telah berlaku perdebatan antara rombongan kaum Nasrani dengan Nabi s.a.w. Rombongan  marah kepada Nabi mengatakan Nabi Isa itu hamba Allah!” Mereka bertanya: “Adakah pernah melihat seorang yang dilahirkan dengan tidak berayah? Kalau tuan orang yang benar tunjukanlah satu misalan kepada kami.”
               Maka Allah turunkan ayat ini, bahawa sesungguhnya misalan Isa yang dijadikan oleh Allah dengan cara yang mereka anggap pelik – kerana terjadi dalam tidak berayah itu – tidaklah kurang peliknya dengan misalan, Adam dijadikan daripada tanah. Kalaulah mereka sudah mengakui tentang kejadian Adam itu  tidak pelik, maka tidaklah sepetutnya mereka mengingkari tentang kejadian Nabi Isa pula. Kerana jika Tuhan menghendaki terjadinya sesuatu, Ia akan mengatakan: jadilah engkau!” maka jadilah ia.
               Maryam hairan memikirkan kata-kata Jibril. Ia memikirkan juga apa yang akan dikatakan kepadanya oleh manusia kerana mengandung tanpa suami. Oleh itu ia merasa takut
dan ingin berseorangan supaya manusia tidak mengetahui yang ia melahirkan anak.
               Apabila sudah hampir masa kelahiran dia pun pergi ke sebatang pohon kurma dan ketika itu ia merasakan lebih baik mati sahaja. Jibril cuba menenangkannya dan menyurunya mengoyang pokok kurma itu. Apa bila berbuat demikian maka gugurlah buah-buah kurma itu. Ia memakan  buahnya dan meminum air yang mengalir di bawahnya. Fikirannya yang runsing itu mula tenang dan tenteram. Jibril memberitahunya bahawa jika ada orang bertnya tentang kandungannya maka janganlah  dijawab tetapi berikan isyarat yang ia  berpuasa nazar.
               Allah berfirman Surah Maryam ayat 19:22-26 yang bermaksud: (terjemahan)
“Maka Maryam mengandungnya, lalu ia menyisikan diri dengan kandungannya itu ke tempat yang jauh, maka rasa sakit akan melahirkan anak memaksanya ia (bersandar) pada pangkal pohon kurma seraya berkata: “Aduhai, alangkah baiknya aku mati sebelum ini, dan aku menjadi barang yang tidak bererti lagi dilupakan”. Maka Jibril menyeruhnya dari tempat yang rendah: “Janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu, dan goyangkanlah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, (maka)  pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu. Maka makan, minum dan bersenang hatilah kamu. Jika kamu melihat seorang manusia, maka katakanlah “Sesungguh nya aku telah bernazarkan berpuasa kerana Tuhan Yang Maha pemurah, maka aku tidak akan berbicara dengan seorang manusia pun pada hari ini.”

               Pada dasar peristiwa ini, ibu Maryam adalah orang yang mandul maka dengan hati yang ikhlas dan jujur ia bernazar kepada Allah bahawa jika dikurniakan seorang anak lelaki maka ia akan beri kepada Baitul Muqaddis untuk berkhidmat di situ. Keikhlasan dan kejujuran hati ibu Mariam dalam nazarnya membuahkan satu peristiwa besar dan unggul mengenai pembangunan manusia atas kudrat Allah s.w.t. (bersambung)

No comments:

Post a Comment