Sunday, May 28, 2017

IKHLAS DAN KEJUJURAN TANDA CINTA KEPADA ALLAH S.W.T..(Sambungan)

  (Disiarkan pada 26. 5. 2017)
               Mariam melahirkan anak tanpa suami yang menggegarkan masyarakat dunia khusus nya masyarakat musrikin terutama sekali bangsa Yahudi yang tidak meyakini tentang kekuasan Allah s.w.t. Kekuasaan Allah itu ramai manusia di dunia menganggap tidak ada sandarannya kerana tidak dapat dibuktikan dengan facts and figures. Mereka tidak menerima kewujudan sesuatu yang bersifat ghaib.
               Orang ramai terkejut apabila mendengar berita yang Maryam melahirkan anak. Mereka terkejut kerana mereka dapati Maryam selama ini adalah sentiasa beribadat dan tidak bersuami. Hal ini menyebabkan mereka membuat tuduhan. Apa yang dibuat oleh Maryam hanyalah melakukan suruhan Jibril iaitu berdiam diri dan memberi isyrat kepada mereka supaya menanya anak yang baharu lahir itu. Ini menyebabkan lagi kemarahan mereka kerana mereka mengaggap Maryam mempermain-mainkan mereka. Mereka tidak percaya yang anak itu boleh bercakap.
               Tetapi Isa telah menjawab pertanyaan-pertanyaan. Beliau membersihkan ibunya dan memberitahu mereka bahawa beliau akan menjadi seorang ahli ilmu yang Allah berikan “Kitab” kepadanya. Allah akan menjadikan seorang nabi dan wasiatkan kepadanya supaya bersembahyang dan mengeluarkan zakat selama ia hidup. Dia akan berbuat baik kepada ibunya dan akan menjadi seorang tawadhu’.         
               Firman Allah Surah Mariam ayat 19:27 – 33 yang bermaksud: (terjemahan)
“Lalu Maryam membawa anak itu kepada kaumnya. Kaumnya berkata: Hai Maryam, sesungguhnya kamu telah melakukan sesuatu yang amat keji. Hai saudara permpuan Harun (hanya gelaran kerana ibadatnya seperti Nabi Harun) ayahmu sekali-kali bukanlah seorang yang jahat dan ibumu sekali-sekali bukanlah seorang penzina. Maka Maryam menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata: “Bagaimana kami akan berbicara dengan anak kecil di dalam buaian?” Berkatalah Isa: Sesungguhnya aku hamba Allah. Dia memberikan Al-Kitab (Injil) dan Dia menjadikan aku seorang Nabi. Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana saja aku berada, dan memerintahkan kepadaku (mendirikan) sembahyang dan (menunaikan) zakat selama aku hidup. Dan berkatilah kepada ibuku dan dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong lagi celaka. Dan kesejahteraan semoga dilimpahkan kepadaku, pada hari aku dilahirkan pada hari aku meninggal dan pada hari aku dibangkitkan hidup kembali.”
Setelah Maryam mendengar yang dia dianjurkan supaya berpuasa hari itu jangan bercakap dengan sesiapa jika ditanya orang, dia pun ikhlas dan jujur bertawakal kepada Allah dan menyerahkan nasibnya kepada Maha Kuasa, lalu dibawalah anaknya pulang ke rumah menemui kaum keluarganaya.
Apabila kaum keluarganya melihat Maryam pulang dengan membawa anak alangkah terperanjatnya, mereka bertangis-tangisan menyesali perbuatan Maryam dan menyalahkan seraya berkata: “Hai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan kesalahan yang luar biasa.” Maka berbagai-bagai celaan dan caci-hamun dilimparkan kepadanya seraya menam- bahkan – dengan kata-kata: “Hai adik Harun.” Inilah kata-kata sindiran yang mereka pakai untuk menunjukkan bahawa Maryam itu adalah keturunan Nabi Ibrahim abang kepada Nabi Musa (a.s.) yang terkenal sebagai orang baik-baik dalam kalangan Bani Israel
 Bandingannya bagi orang Melayu, kalau memarahi anak digunakanlah umpamanya dengan kata-kata seperti “Hai anak bertuah” sebab bagi keluarga yang baik-baik tidak molek menggunakan kata-kata makian. Maka begitu pula halnya Maryam. Adapun nama Harun itu pula biasanya dipakai untuk memberi nama kepada orang yang taat beribadat lagi zahid (yang tak mengindahkan kemewahan dunia), yang seolah-olah mereka menyesali Maryam  yang bersifatkan dari keturunan orang baik-baik mengapa dia tergamak berlaku sumbang atau curang? Mereka menempalaknya pula dengan mengatakan: “Ayahmu iaitu Imran bukanlah  seorang yang buruk laku dengan berbuat zina, begitu pula ibumu Hannah bukan perempuan
jahat yang melacurkan diri. Dari mana engkau mendapat Anak ini kalau bukan melakukan perbuatan keji?”
               Maryam tidak menjawab sepatah kata, dia hanya menunjuk kepada Isa, supaya bayi itu sahaja yang akan menjawab pertanyaan mereka. Sebab Maryam sendiri tidak tahu dengan hujah apa dia akan menjawab. Manakala melihat Maryam memberi isyarat kepada bayi yang masih di atas pangkuannya kaumnya pun marah dengan mengatakan: Bagaimana kami dapat bercakap dengan bayi yang masih dalam buaian (pangkuan)? Apakah engkau hendak mengejek dan mempersenda kami?
               Apabila Isa mendengar orang ramai berkata begitu diapun segera melepaskan tetek ibunya yang sedang dihisapnya kerana dia sedang menyusu, lalu berpandang menghadap mereka sambil menunjukan dengan tangan kanan seraya berkata:
Isa memperkenalkan dirinya kepada  orang ramai. Dia menerangkan akan sifat yang ada padanya iaitu:
1             “Sesungguhnya aku adalah hamba Allah.”
Yakni: Akulah hamba yang mengabdikan diriku kepada Allah, hanya kepada-Nya sahaja aku menyembah – tidak kepada yang lain. Pengenalannya ini mengisyaratkan, agar dirinya janganlah dipuja sebagai Tuhan. Dan dengan kata-kata ini jua bererti dia telah membuat penafian terhadap ibunya dari berlaku curang dan membersikannya daripada sebarang tohmah. Kerana Allah tidak sekali-kali akan memberikan kedudukan yang tinggi kepada seorang anak yang dilahirkan sebagai anak zina.
2             “Aku dikurniakan oleh-Nya Kitab.”
Yakni: Allah akan menurunkan kepadaku Kitab Injil. Mengikut kata kebanyakan ulama: Bahawa Isa diturunkan Kitab Injil semasa dia masih kecil dan akalnya telah sempurna sebagai akal orang dewasa. Mengikut al-Hasan: Isa diilhamkan kepadanya Kitab Taurat sedangkan dia masih dalam kandungan ibunya.
3             “Dan aku dijadikan nabi.”
Yakni: Pengakuannya sebagai seorang nabi ini pun merupakan pembersihan terhadap ibunya dari melakukan kekejian. Sebabnya ialah, seorang nabi itu tidak mungkin berasal daripada anak haram.
4             “Dijadikan-Nya aku pembawa berkat di mana aku berada.”
Yakni: Allah akan menjadikan aku sangat berguna dan mendatangkan manfaat yang besar kepada manusia, iaitu untuk memberi petunjuk kepada mereka jalan yang selamat di mana sahaja aku berada. Atau dimaksudkan: dialah bakal menjadi guru yang akan mengajar kebaikan dan menyeru manusia  supaya menyembah Allah, mengesakan-Nya serta beribadat kepada-Nya. Atau pembawa berkat di sini dimaksudkan juga, memberi kebaikan yang banyak kepada pengikut-pengikutnya.
5             “Aku dipesan supaya sembahyang dan mengeluarkan zakat  selama aku hidup.”
Yakni: Aku disuruh mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat mengikut aturan yang ditetapkan oleh agama, untuk menegah aku daripada  melakukan kekejian dan membersihkan aku daripada segala kekotoran baik yang lahir mahupun yang batin.
               Adapun perintah mengerjakan sembahyang dan mengeluarkan zakat itu bukanlah mesti ditunaikan seketika itu juga. Bahkan, menunaikannya  mengikut waktunya yang tertentu. Apabila sudah baligh dan cukup berakal. Adapun tempoh bagi Nabi Isa melaksana kan kewajipannya itu ialah  selama dia hidup di muka bumi, kemudian selama dinaikkan ke langit dan semasa nanti dia diturunkan semula ke muka bumi.
6             “Dan berbakti kepada ibuku”
Yakni: Aku dijadikan seorang yang berbakti kepada ibuku, patuh kepada perintahnya dan akan membuat jasa kepadanya. Pengakuan ini juga membawa pengertian iaitu, kalaulah ibuku seorang perempuan jahat masakan seorang rasul seperti Nabi Isa (a.s.) di suruh berbakti kepadanya.
7             “Dan tidaklah aku dijadikan seorang yang sombong lagi celaka.”
Yakni: Aku tidak membesarkan diri dengan sikap enggan untuk beribadat kepada Allah, dan tidak pula menjadi orang yang celaka disebabkan menderhakai ibuku.
8             “Dan sejehteralah atasku pada hari aku dilahirkan, hari wafatku dan pada hari aku dibangkitkan hidup kembali.”
Yakni: Ini merupakan jaminan Allah untuk mengurniakan kesejahteraan kepada Aku, sehingga tidak siapa pun dapat mendatangkan muderat kepadaku dalam tiga peristiwa yang penting iaitu, pada hari lahirku tidak ada syaitan yang menggangguku, apakala hari wafatku tidaklah aku menjadi syrik, pada hari kebangkitan tidak khuatir menghadapi kegemparan di akhirat.
               Demikianlah penjelasan Isa dari hati yang ikhlas dan jujur yang menandakan kecintaan kepada Allah. Setelah Isa  mengatakan demikian, tahulah mereka bahawa Maryam adalah seorang  dara yang suci daripada sebarang noda – tidak lagi bercakap – sehingga dia sampai ke peringkat kanak-kanak yang sudah pandai bercakap, barulah dia bercakap.
Kenapa Allah melahirkan Nabi Isa tanpa bapa? Allah jualah yang lebih mengetahui hikmahnya ayat dalam Al-Qur’an Surah Maryam ayat  19:21 menyatakan yang bermaksud: (terjemahan)
“Dan (Kami berbuat demikian) agar dapat kami menjadikan sebagai suatu tanda bagi manusia dan sebagai rahmat dari Kami, dan hal ini adalah perkara yang sudah diputuskan.”  
               Apabila kita memperlihatkan ayat ini, yang  menunjukkan kelahiran Isa tanpa bapa, maka kita dapati ayat ini mengisytiar kekuasaan Allah S.W.T. Ia menunjukkan bahawa Allahlah pencipta yang teragung yang mencipta sesuatu dengan kehendak-Nya tanpa terikat dengan hukum “sebab dan musabab” yang diikuti oleh peraturan alam.
               Orang-orang Israil telah melampau batas dan telah terkeluar dari batas yan sebenar. Mereka mengikut hawa nafsu, mensia-siakan rezeki Tuhna dan terlampau mengumpulkan harta. Dengan sebab itu Allah telah mengharamkan banyak jenis rezeki yang baik-baik kepada mereka. Allah berfirman dalam Al-Qur’an Surah An-Nisa’ ayat 4:160-161 yang bermaksud: (terjemahan)
               “Maka disebabkan kezaliman orang-orang Yahudi, Kami haramkan atas mereka (memakan makanan) yang baik-baik (yang dahulunya) dihalalkan bagi mereka, (juga) kerana mereka banyak menghalang (manusia) dari jalan Allah. Dan disebabkan mereka memakan riba, pada hal sesungguhnya mereka telah dilarang daripadanya, dan kerana mereka memakan harta orang dengan jalan yang batil. Kami telah menyediakan untuk orang-orang yang kafir dan di antara mereka itu seksa yang pedih.”                   
               Allah kemudiannya mengutuskan Isa kepada mereka untuk memperbaiki keadaan mereka yang telah menyelewing itu. Nabi Isa diberi waktu dan diajarkan Taurat dan Injil. Allah berfirman Surah Ali-Imran ayat 3:48 yang bermaksus: (Terjemahan)
               “ Allah mengajar Isa kitab, ilmu pengetahuan, Taurat dan Injil. Dan (sebagai) Rasul kepada Bani Israil.”
               Nabi Isa telah menyeru Bani Israil mengikutinya. Menyeru mereka supaya  kembali jalan yang sebenarnya. Isa menerangkan kepada mereka apa yang  Allah haramkan dan apa yang dihalalkan kepada mereka. Allah berfirman dalam Al-Qur’an Surah Ali-Imran ayat 3:50-51  yang bermaksud: (terjemahan)
               “Dan pula saya membenarkan kitab yang sebelum saya (Taurat), dan supaya saya halalkan bagimu sebahagian apa-apa yang diharamkan ke atas kamu. Dan saya datangkan kepada kamu tanda daripada Tuhan kamu. Maka takutlah kamu  kepada Allah dan ikutlah perkataan saya!”
                    Nabi Isa menjelaskan bahawa ia membenarkan isi kitab Taurat – kerana semua para Nabi, masing-masing membenarkan satu sama lain, baik kitabnya mahupun syariatnya – tidak lah Nabi Isa itu membatalkan atau menolak, apa lagi menyelahi hukum-hukum yang ada dalam Taurat. Hanyasanya Tuhan telah memberi keringanan dan kemudahan di dalam beberapa perkara yang terkandung di dalam injil, yang dahulunya merupakan perkara-perkara
yang amat berat di dalam Taurat. Itulah sebabnya disebutkan dalam ayat yang bermaksud:
                    “Supaya saya halalkan bagimu sebahagian apa-apa yang diharamkan ke atas kamu.”
                    Setengah ahli Tafsir menerangkan, syariat yang dibawa oleh Nabi Isa itu lebih ringan dari syariat yang dibawa oleh Nabi Musa. Misalnya, syariat Nabi Musa itu mengharamkan memakan daging unta dan lemaknya, dan mengharamkan memakan beberapa jenis burung dan ikan, begitu juga mengharamkan bekerja pada hari Sabtu. Pengharaman tersebut sebagai hukuman di atas beberapa pekerja  kaum Bani Israel. Maka kemudianya hukuman tersebut telah dilonggarkan dan diringankan ketika dibangkitkan Nabi Isa (a.s.).
                    Nabi Isa juga menjelaskan bahawa ia ada membawa tanda dari Tuhan – satu demi satu – untuk membuktikan  kerasulannya. Misalnya; ia dapat membuat burung, dapat menyembuh kan orang buta dan, menghidupkan orang mati, memberitakan perkara yang ghaib dan lain sebagainya. Oleh sebab itu ia pun menyeru kaumnya dengan berkata yang bermaksud:
                    “Maka takutlah kamu kepada Allah dan ikutlah perkatan saya!”  
(51) “Sesungguhnya Allah  itu Tuhan  saya dan Tuhan kamu, maka sembahlah dia. Inilah jalan yang lurus.”
Yakni: Semua Rasul itu berada di dalam satu agama, iaitu agama Tauhid. Tidak seorang pun yang menyalahinya. Ayat ini menjadi hujah yang tepat untuk membersihkan Nabi Isa dari sangkaan salah yang dikemukan oleh  orang-orang Najran (Yaman), Ketika bertengkar serta berhujah dengan Nabi (s.a.w.) tentang Nabi Isa – yang telah dahulu kisahnya.
                    “Inilah jalan yang lurus”

Yakni: Inilah yang diperintahkan Tuhan supaya kamu mengikutinya, iaitu jalan yang lurus yang membawa kebahagian di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment