Thursday, June 1, 2017

HIDUP MANUSIA WAJAR DENGAN JIWA YANG IKHLAS

 (Disirkan pada 2.6. 2017)
               Mengikut kamus dewan edisi keempat menyatakan bahawa ikhlas adalah dari hati yang suci, tidak menimpu atau tidak berpura-pura. Dia menolong dengan ikhlas, tidak  meng- harapkan apa-apa balasan. Dengan ikhlas, dengan suci hati ia menghulurkan bantuan kepada rakannya; tulus ikhlas adalah orang yang sangat jujur.
               Orang yang sangat jujur dalam menelusuri kehidupannya ialah Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. Kejujuran dan keikhlasannya dalam segala muamalat hidup memaksa umatnya berserta dengan musuh-musuh  Islam mengakuinya sebagai al-Amin, orang yang tulus ikhlas. Akhlak Baginda begitu mulia dan sempurna sehingga Saidatina Khadijah binti Khuwalid jatuh cinta kepada Baginda Rasul dan menjadi isteri beliau.
               Satu contoh yang amat baik yang telah menunjukkan hati yang ikhlas ialah dalam perjuangan Baginda untuk mentarbiahkan Islam kepada keluarganya, Quraisy yang hidup dalam kejahilan itu. Bukan sahaja kepada keturunannya malah kepada seluruh umat manusia di alam dunia untuk memperkenalkan cara hidup yang diredai Allah S.W.T..
               Dalam usahanya membawa Islam menjadi agama kepada umat manusia, sehingga Baginda mempertaruhkan jiwanya dalam semua bentuk penindasan serta pujukan terhadapnya untuk menghalangnya berbuat demikian, namun Baginda tidak berganjak untuk berundur. Keikhlasan dan kejujuran jiwanya untuk mentarbiahkan manusia cara hidup yang diredai Allah S.W.T. menjadi keutamaan dari segala-galanya dalam hidup Baginda.
               Masyarakat Quraisy pernah menawarkannya hadiah yang amat lumayan dalam hidup beliau asalkan saja beliau berhenti meneruskan usahanya mentarbiahkan Islam. Quraisy menawarkan untuk memilih wanita yang amat cantik dalam masyarakat Quraisy menjadi isterinya. Ia juga diberi peluang untuk diberi keistemawaan, memperolehi semua kekayaan bangsanya, namun semua itu tidak mengiurkan Baginda.  
Bahkan beliaunya Pa’ Man Abu Talip yang memeliharanya dari kecil, turut serta juga memujuk beliau dan membayangkan kepadanya keselamatannya disisi masyarakat Quraisy tetapi keikhlasan hatinya untuk meneruskan usahanya demi kecintaannya kepada Allah S.W.T. kian membara.
Baginda membayangkan bahawa jika Allah menghadiakan matahari di tangan kanan nya dan bulan di tangan kirinya, namun berhenti dalam usahanya mentarbiahkan Islam kepada semua umat manusia, dia tidak sama sekali berganja berbuat demikian.   
Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. sering berdoa kepada Allah agar dia dihidup kan sebagai orang yang miskin dan dimatikan dalam keadaan miskin dan dikumpulkan ia di akhirat nanti bersama-sama orang yang miskin. Ini menunjukkan keikhlasan hati Baginda memimpin umatnya agar semua mereka selamat di dunia dan juga selamat di akhirat.
               Allah cinta kepada umatnya yang berakhlak mulia serta jujur dan ikhlas kepada amal ibadatnya kerana cintanya kepada Allah s.w.t. Antara manusia yang Allah sangat cinta dan sayang ialah Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w.. Namanya saja Allah benarkan Nabi  Adam a.s. dijadikan sebagai Mas kahwin kepada Siti Hawa: “Allahuma sallih ala Saidinan Muhammad.” Salawat Nabi. Orangnya belum wujud lagi tetapi namanya sudah digunakan sebagai mas kawin oleh manusia pertama.
               Ketulusan dan keikhlasan hati  Nabi Muhammad s.a.w. dalam semua amal ibadatnya membolehkan baginda dipilih oleh Allah untuk menerima wahyu-Nya yang telah disusun dan dikumentasikan manjadi dokumen yang terunggul dalam pembangunan manusia di dunia iaitu “Al-Qur’an nul Karim.”
               Keselamatan hidup di dunia yang akan membawanya kebahagian hidup di akhirat semestinya dengan budi perkerti yang luhur untuk keselamatan dan kebahagian manusia itu sendiri. Allah berfirman dalam al-Qur’an surah  Asy-Syams ayat 91:9-10 yang bermaksud: (terjemahan)  
“Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya
merugilah orang yang mengotorinya.”
Jiwa manusia itu diperkenalkan oleh Allah dengan perkara yang salah sebagai orang yang fasik, dan dengan perkara yang benar sebagai orang yang bertakwa.
Para Muffassirin mengatakan; Allah bersumpah dengan menyebutkan tujuh macam makhluk iaitu: matahari, bulan, siang, malam, langit, bumi dan jiwa manusia, untuk menunjuk kan keagungan kudrat-Nya dan ketunggalan-Nya sebagai Tuhan. Di samping itu ditunjukkan-Nya betapa besar faedah yang ditimbulkan oleh makhluk-makhluk itu untuk kepentingan hidup manusia. Adapun makhluk-makhluk tersebut pasti ada yang mencipta, mentadbirkan peredaran dan perjalanannya sama ada bergerak mahupun berhenti.
Semuanya itu untuk menarik akal manusia supaya  memikirkan keagungan Allah (s.w.t.). Sumpahnya ini bertujuan untuk menguatkan bahawa sesungguhnya manusia akan beruntung kalau dia dapat mensucikan jiwanya dengan mentaati Allah dari dicemari oleh perbuatan maksiat dan dosa.
Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotori jiwanya lantaran bersifat kufur dan derhaka yang akan membawanya ke lembah kebinasaan. Sesungguhnya siapa yang menurut kemahuan hawa nafsunya dan menderhakai perintah Tuhannya, terkeluarlah dia dari kalangan orang yang dikira berakal, dan termasuklah dia ke dalam kumpulan orang yang jahil lagi bebal.
Maka itu satu hal yang pasti ialah, manusia memerlukan agama. Manusia memerlukan keseimbangan nafsu dan akalnya, memerlukan nasihat, budi pekerti yang luhur untuk keselamatan dan kebahagian manusia itu sendiri. Untuk mencapai kebahagian hidup di dunia dan akhirat kelak, manusia dituntut untuk memiliki ilmu, akhlak, kejujuran, kesucian jiwa dan ketahanan mental. Kesemuanya ini boleh didapati dalam agama Allah (Islam).
Firman Allah dalam Surah al-Mai’dah ayat ayat 5:3 yang bermaksdu: (terjemahan)
“.........Hari ini telah Ku(Allah) sempurnakan agama kamu bagimu dan Aku cukupkan nikmat-Ku ke atasmu, dan Aku reda agama Islam itu menjadi agamamu.....”
Dengan turunnya ayat ini, nyatalah kepada  kita bahawa agama Islam telah sempurna, berisikan perkara-perkar yang fardu dan sunat, ada batas-batas hukuman, diterangkan perkara-perkara yang halal dan haram, sehingga tidak ada satu hukum yang halal atau haram diturunkan lagi selepas itu.
Syariyatnya berkekalan hingga hari kiamat. Dengan sempurnanya Islam, menjadilah ia suatu nikmat dari Allah, di
antaranya orang-orang mukmin dapat mengerjakan haji dengan aman. Agama Islam telah diredai oleh Allah. Sehingga siapa
yang menghendakinya agama lain dari Islam, tidaklah Allah terima agamanya, dan rugilah ia di akhirat.
Tempat ikhlas ialah dalam hati manusia. Bilamana orang berniat mengerjakan sesuatu pekerjaan, maka mulai melangkah sudah dapat ditentukan ke mana tujuan dan bagimana dasarnya. Pekerjaan memberi pertolongan, adalah baik, tetapi belum tentu baik jika dasarnya tidak subur. Ia akan baik dari zat sampai kepada sifatnya jika didasarkan kepada ikhlas. Iaitu menolong fakir dan miskin kerana Allah, bukan kerana semata mengharapkan pujian dan sanjungan manusia.
Oleh sebab itu, perkataan ikhlas itu terpakai terhadap Allah semata-mata. Ikhlas itu tidak dipisahkan dengan jujur yang dalam bahasa halusnya ‘tulus’, sebab itu selalu orang berkata ‘Tulus Ikhlas’, dan kehalusanya bukanlah di lidah saja, kerana lidah mudah berputar. Lidah berkata atas kehendak hati, yang penting ialah ketulusan dan keikhlasn hati.  
Di dalam satu hadits diriwayatkan oleh Muslim, Nasai, Turmudzi, ibnu Majah, yang bersumber dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda tentang tiga orang yang telah beramal namun amalan mereka sia-sia saja.
Pertama, ada seorang yang mati di medan perang, dia katakan mati syahid kerana di dalam membela kebenaran sampai mengorbankan jiwanya. Tetapi setelah dihisab, ternyata amalnya tercuri oleh syaitan kerana di dalam perjuangannya dia tidak ikhlas, kerana ingin mendapat pujian, dan akhirnya ingin menjadi pahlawan besar.
Kedua, orang yang alim Qur’an, ilmunya telah sampai, pidatonya membuat semarak nya para pendengar, lancar lagi fasih tetapi setelah dihisab juga, kosong amalnya. Tak lain adalah kerana dia ingin dimasyhurkan orang lain sebagai orang yang paling ‘alim dan  cekatan lisannya.
Ketiga, ada seorang yang suka menolong kepada orang lain atau kepada orang yang memerlukan pertolongan, tetapi setelah dihisab, juga kosong melompong sama sekali. Hal ini adalah kerana dia dalam mendermakan harta dan wangnya itu kerana ingin dikatakan sebagai seorang yang dermawan.
Demikianlah, seorang yang nampaknya alim atau berbakti kepada Allah tetapi ternyata masih tercuri oleh syaitan. Dia masih boleh diintai atau ditrobos oleh syaitan.
Ikhlas, jujur dan iman merupakan kekuatan naluri manusia dalam menangani hidup bertamadun. Manusia sebagai insan dilengkapi dengan pelbagai fitrah yang memurnikan tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah S.W.T. seperti ikhlas, jujur, dan iman. Kesemua elemen tersebut  berpangkal daripada hati yang suci kerana Allah. Kehadirannya dalam naluri manusia amat penting sebagai khalifah Allah untuk menanggungjawabkan amanah Allah S.W.T. itu.
Setiap ibadat yang dilaksanakan dalam hidup wajar dimurnikan dengan rasa ikhlas dan jujur untuk menggamit keimanan kepada Allah S.W.T.. Lahirnya keikhlaan dan kejujuran dalam naluri manusia akan memantapkan keimanan kepada Tuhan bahawa segala kewujudan sesuatu fenomena alam adalah kekuasaan-Nya.
Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 2:177 yang bermaksud: (terjemahan)
“.............Kebaikan itu ialah: orang-orang yang beriman dengan Allah, hari  akhirat, malaikat-malaikat, kitab-kitab dan para Nabi – sedang dia mendermakan harta yang dikasihinya kepada: karib kerabatnya, anak yatim, orang yang miskin, pengembara, peminta-Peminta, hamba sahaya yang menuntut kemerdikaan – serta mengerjakan sembayang, dan mengeluarkan zakat, lagi menepati janji, dan mereka berhati sabar di atas kemiskinan, dalam sakit dan pada masa berperang. Mereka itulah orang-orang yang benar (menepati dengan imannya), dan mereka itu orang-orang takwa.”
               .........Yang dimaksudkan dengan kebaikan itu ialah orang yang beriman, menderma kan harta, padahal ia amat mengasihinya; orang yang mengerjakan sembahyang; mengeluar kan zakat; menepati janji jika membuat perjanjian; orang yang berhati sabar.
Orang yang beriman itu ialah yang percaya kepada Allah, hari kemudian, kitab-kita Allah, malaikat dan para nabi.  
          Orang yang mendermakan hartanya itu ialah yang membelajakan untuk keperluan: Kaum kerabatnya, seperti anak isterinya dan sebagainya. Anak yatim, yakni kematian ayah nya, sedang ia belum baligh; orang miskin; Pengembara: yang kehabisan belanja di jalan; peminta-peminta sedekah; dan orang yang membebaskan diri dari perhambaan atau tawanan perang.
                    Orang yang mengerjakan sembahyang itu ialah: Yang mengekalkan pekerjaan sembahyang fardu mengikut batas-batas peraturannya.
                    Orang yang mengeluarkan zakat itu ialah: Yang mengeluarkan jenis hartanya tertentu, dengan cara yang tertentu dan dibahagi-bahagikan kepada  golongan yang tertentu pula. Mengeluarkan zakat ini wajib, berlainan dengan mendermakannya.              
Orang yang menepati janji itu ialah: Yang apabila berjanji ditepati, apabila bernazar ditunaikan, apabila bersumpah benar ikrarnya, apabila berkata tetap jujurnya dan apabila diserahi amanah dipeliharanya dengan sebaik-baiknya.
                    Orang yang berhati sabar itu ialah: Orang yang sabar ketika ditimpa kesempitan, kemiskinan dan kepapaan dalam hidupnya; Orang yang sabar ketika ditimpa sakit atau wabak; orang yang sabar ketika menghadapi bahaya peperangan, ataupun sedang bertempur dengan musuh.
                    Maka, segala yang disebutkan di atas itulah yang dimaksudkan dengan “kebaikan”. 
Barangsiapa berbuat demikian, maka dialah orang yang menepati dengan imannya, dan orang yang demikian itu pula yang digelarkan orang yang takwa (takut).
                    Dalam hidup semestinyalah ada  kejujuran dan keikhlasan dalam hati kerana inilah jalan yang lurus kepada segala perlaksanaan amanah yang Allah pertanggungjawabkan. Pada manusia itu ia mempunai fitrah kemahiran yang memandunya untuk mengenali tujuan hidupnya. Segala perlaksanaan ibadat semestinya datang dari naluri manusia dengan menggunakan keikhlasan dan kejujuran demi mencapai keredaan Allah S.W.T.
                    Raja dalam diri manusia itu ialah hati. Jika ia baik maka baiklah segala perlaksanaan ibadatnya kerana Allah. Jika hati itu tidak baik maka buruklah padanya. Keikhlasan dan kejujuran adalah buah daripada hati yang baik. Apabila kedua-dua buah tersebut matang maka lahirlah iman. Iman itu satu kekuatan dalam jiwa manusia yang meyakini bahawa segala sesuatu itu ada penciptanya. Tidak ada kewujudan sesuatu itu dengan sendirinya melainkan diciptakan Allah.
                    Keikhlasan dan kejujuran adalah ciptaan Allah yang ditanamkan dalam naluri manusia yang membentuk manusia sebagai ciptaan Allah yang paling unggul dan sempurna berban- ding ciptaan-Nya yang lain.
                    Ikhlas, jujur dan iman adalah tiga rakan sejati menginap dalam jiwa  manusia yang tidak boleh dipisahkan. Ketiga-tiganya menjadi kemestian kepada setiap individ memperolehi nya. Menjadi orang yang mulia semestinya dipimpin oleh ketiga-tiga elemen berkenaan. Jika satu daripadanya  tidak ada maka pincanglah tindakan manusia dalam mengola segala bentuk pembangunan.
                    Dalam melaksanakan ibadat kepada Allah secara ikhlas dan jujur bermakna ia cinta kepada Allah. Bila orang sudah merasa cinta kepada Allah dan merasa diri selalu di samping Tuhannya, tak satu perkara lagi yang dikhawatirkannya dalam hidup atau sesudah mati. Tak takut miskin atau melarat, tak takut musuh siapa jua, tak takut ditahan atau dipenjara. Di mana saja dia berada, dia berada di samping

Tuhannya. Demikianlah sifat seorang yang tertanam  sifat ikhlas dalam hatinya.

No comments:

Post a Comment