Friday, May 21, 2010

GURU BAGIKAN SANG SURIA MENYINARI BUMI (Disiarkan pada 22. 05. 2010)

Lahirnya seorang anak di alam dunia ini Allah bekalkan dengan fitrah kehidupan seperti pendengaran, penglihatan, merasa, sentuhan dan menghidu yang dibekalkan kemudian apabila anak itu sudah sampai peringkat umur mengenali makanan. Dalam peringkat bayi dunianya ialah ibu yang memberi segala keperluan hidup. Cahaya hidupnya dibekalkan oleh seorang ibu yang berbentuk kasih sayang, harapan dan motivasi dalam segala pembangunan seorang bayi.
Anak yang menangis apabila ia memerlukan keselesahan hidup, seorang ibu sentiasa bersedia melimpahkan kasih sayangnya walau ia sebuk sekalipun dengan berbagai urusan dunia yang berupa ibadah. Seorang bayi menaruh penuh harapan kepada seorang ibu untuk memenuhi keperluannya. Dengan kasih sayang seorang ibu, ia melahirkan motivasi kepada anak untuk menerokai alam kehidupannya.
Apabila anak itu meningkat umur persekolahan orang tuanya menghantar ke sekolah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan yang diperolehi dari seorang ibu. Kalau seorang ibu memberi cahaya hidup kepada anaknya, maka seorang guru akan menyinarkan cahaya dalam hidup seorang insan. Cahaya inilah yang membentuk akhlak dan keperibadian anak sebagai ahli masyarakat manusia.
Seorang ibu memberi cahaya hidup kepada si bayi berupa makanan dan kasih sayang secara langsung darinya. Tetapi seorang guru memberi cahaya hidup kepada anak muridnya berupa ilmu pengetahuan yang akan membentuk anak itu memahami disiplin kehidupan. Disiplin kehidupan seperti menghormati ibubapa dan guru serta rakan sebaya. Menghormati masyarakat dan undang-undang kerajaan dan menjadi pemain yang bertorelansi dan bertangungjawab. Kepentingan ilmu untuk memahami berbagai agenda kehidupan menjadi prasyarat dalam kehidupan..
Allah telah berfirman yang bermaksud “baca dengan nama Tuhan mu.” Membaca kalimah Allah yang terucap iaitu dokumen wahyu seperti al-Qur’an nul karim dan kalimah Allah yang tercipta oleh Allah iaitu alam ini merupakan ibadah kerana Allah. Untuk membolehkan manusia membaca kalimah-kalimah tersebut wajar mempunyai ilmu. Ilmu itu boleh diperolehi dari gedung-gedung ilmu seperti institusi pendidikan yang dikelolakan oleh seorang guru dan juga dari pengalaman seseorang.
Guru mendidik dengan kalimah-kalimah pembangunan sama ada jasmani mahupun rohani. Mengilmukan insan adalah khidmat yang paling mulia berbanding dengan profesion lainnya kerana ia memberi cahaya hidup kepada seorang insan. Apabila cahaya tersebut ada pada seorang individu, bermakna ia boleh mengolah aktiviti ibadahnya sebagai kahlifah di muka bumi ini. Mengolahkan ibadah bermaksud ia sebagai pemakmur alam kehidupan yang disediakan oleh Allah S.W.T.
Melihat fenomena alam yang lain ia serupa dengan keadaan alam tumbuh-tumbuhan serta berbagai makluk lainnya. Segala makluk tersebut dapat hidup dengan bantuan sinaran cahaya mata hari yang menyinarkan cahayanya selama dua belas jam setiap hari dalam masa dua puluh empat jam sehari semalam.
Dengan cahaya mata hari sahaja tumbuh-tumbuhan dapat memproseskan makanannya sendiri kelak menjadikan tumbuh subur lalu mengeluarkan bunga. Bunga itu akan melalui proses pendebungaan dari seekor haiwan seperti lebah, burung-burung, insekta yang melawat bunga itu untuk memakan madu yang ada di dalamnya. Setelah proses ini berlaku maka bunga itu akan layu dan menjadi buah yang mempunyai gula di dalamnya yang berhasiat kepada haiwan lain termasuklah manusia.
Mata hari adalah punca kehidupan segala makluk di muka bumi ini. Sinaran cahayanya
menghidupkan atau mengaktifkan berbagai makluk Allah yang berkeliaran di merata tempat. Dengan cahayanya membolehkan makluk tersebut dapat melihat mangsanya atau musuhnya selain dapat bergerak dengan bebas mencari makanan.
Allah bentukkan matahari untuk memberi kemudahan kepada semua jenis kehidupan di muka bumi ini selain dari membekalkan tenaga kepada pokok untuk memproseskan makanan nya. Tenaga suria juga boleh digunakan dalam industri penjanaan tenaga elektrik sebagai mengganti tenaga elektrik yang dikeluarkan oleh dynamo dari turbine yang diputar oleh air
seperti yang berlaku dalam proses hydro-eletrik yang dibina menggunakan pancutan air.
Guru memberi cahaya hidup kepada murid bagikan mata hari menyinari bumi di waktu siang. Tumbuh-tumbuhan memproses makanannya dengan adanya cahaya mata hari manakala manusia dapat mengolahkan kehidupan dengan ilmu yang dipelajari dari seorang guru. Analogi demikian sangat bertepatan kepada seorang guru mengilmukan manusia dan memanusiakan ilmu. Ilmu yang ada pada manusia wajar dimanfaatkan sebagai firah Allah s.w.t. kerana menyalahgunakan ilmu akan mengheretkan manusia ke jurang kehinaan yang membawa kedosaan besar di sisi Allah s.w.t.
Ramai orang menghabiskan sebahagian usianya merengkok di penjara kerana tidak menggunakan ilmu untuk memanusiakan diri. Penjara adalah satu tempat di mana banduan membuangkan masa dan usianya tanpa memanfaatkannya. Ilmu adalah untuk menjadi sinaran kepada kehidupan di dunia dan bukan dijadikan satu kesempatan untuk berbuat sesuatu yang akan menggelapkan masa depan anda terutama sekali apabila anda mendapat giliran untuk beralih hidup ke akhirat.
Ilmu itu memberi cahaya kepada kehidupan manusia. Cahaya yang membentuk pembangunan jasmani dan rohani. Kedua-dua unsur ini adalah pelengkap kepada hidupnya seorang insan yang kenal diri serta tahu tanggungjawabnya sebagai kahlifah Allah di muka bumi ini. Manusia adalah diamanhkan Allah menjadi kahlifah atau pemakmur alam kehidupan dengan memanfaatkan ilmu yang diperolihi dari seorang guru.
Dalam membina seorang insan pembangunan jasmani beriringan dengan pembangunan rohani wajar diterapkan kerana majadi kewajipan pada setiap manusia memahami unsur-unsur kemanusiaannya. Ilmu membentuk peribadi mulia seseorang itu kelak melahirkan ukhuwah kemanusiaan yang menjadi teras kesepaduan umat bermasayrakat.
Membentuk insan dengan pembangunan rohani akan mengenalkan dirinya sebagai hambah Allah serta sifat-sifat-Nya yang pengasih dan penyayang. Sifat-sifat tersebut akan membentuk jiwanya untuk mengenali makluk Allah yang lain kelak menjadi pemangkin dalam kelangsungan hidup sebagai kahlifah. Merasa sayang kepada makluk seperti haiwan berbagai jenis dan juga tumbuh-tumbuhan akan melahirkan perasaan tanggungjawab sebagai pemain dalam kehidupan ini.
Ilmu yang diajar oleh seorang guru kepada murid di sekolah menjadi pemudah cara baginya dalam mengolah pembangunan. Murid itu memahami masalah maka itu mencari solusi penyelesaiannya agar ia bermanfaat kepada kehidupan. Jika masalah itu diibaratkan sebagai cahaya yang gelap atau pudar maka setelah menemui solusi penyelesaiannya akan menyinarkan cahaya yang berupa kegembiraan seseorang sebagai pemain.
Murid yang mendapat didikan sempurna dari seorang guru akan menggunakan ilmu berkenaan dalam memimpin diri sebagai pemain dalam semua bidang pembangunan seperti pembangunan keluarga, masyarakat, umat manusia, negeri dan negara. Pemain yang berilmu dapat menggunakan kemahirannya berfikir dan mengolah agenda pembangunan mengikut acuan yang dibentuk oleh kerajaan.
Didikan yang sempurna merangkumi ilmu dunia dan akhirat. Ia mengenali dirinya sebagai hambah Allah dan melaksanakan ibadah demi kesejahteraan ummah. Memelihara ukhuwah kemanusiaan menjadi agenda yang melahirkan kesetiakawanan sosial sebagai benting kesepaduan bermasyarakat. Budaya tolong menolong yang dimurnikan dengan perasaan kasih sayang antara sesama insan akan membina solidaritas sosial kelak mengembalikan perasaan persaudaraan sejagat yang tidak mengenali perbezaan antara umat.
Ilmu dunia yang membebaskan diri dari kepentingan peribadi akan memperolehi keredhaan Allah S.W.T. kelak dapat mengumpulkan dana pahala sebagai faktor keselamatan dan kemuliaan kehidupan di akhirat kelak. Hidup tanpa kehadiran orang lain tidak membuahkan sebarang manfaat kerana kehadiran merekalah yang membuat kehidupan itu bermakna.
Generasi pelapis adalah peneraju dan penerus cerita agenda pembangunan tamadun manusia. Pembangunan itu adalah cahaya dalam kehidupan. Maka itu setiap pemain dalam meningkatkan pembangunan wajar mempunyai ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan itulah yang dianalogikan sebagai sang suria menyinari bumi.
Apakah yang diperlukan dalam kelangsungan hidup bertamadun? Pada dasarnya cahaya kehidupan dapat dimanfaatkan dengan kehadiran ilmu. Walaubagaimanapun ilmu semata tanpa dimurnikan dengan ilmu kerohanian sukar mendapat cahaya kehidupan kerana pemainya akan mudah menyalahgunakan ilmu yang ada padanya.
Tamadun merupakan istilah yang paling popular digunakan dalam masyarakat Melayu
untuk menceritakan tentang kebudayaan, kemajuan, pembangunan, peradaban dan kemakmuran yang dicapai oleh sesuatu bangsa. Jika istilah tamadun dilihat menurut perspektif Islam ia merangkumi pembangunan spiritual dan material secara serentak dan sepadu.
Ciri-ciri tamadun Islam menepati kehendak fitrah manusia.Tututan pembangunan dan kemajuan Tamadun Islam adalah bertepatan dengan kehendak naluri manusia yang menitik beratkan spiritual, emosional dan moral berbanding fisikal dan material.Tamadun yang dibangun kan secara pincang dan menitikberatkan aspek material berbanding spiritual hanya dapat memenuhi tuntutan hawa nafsu dan tidak berlandaskan ilmu dan iman. Oleh itu tamadun Islam meletakkan tujuan pembinaannya adalah taqwa dan keredhaan Allah s.w.t. bukan keinginan hawa nafsu manusia.
Pembanguan Islam adalah sejagat mutlak dan tetap. Tamadun Islam tidak mugkin berlaku perubahan dari sudut garispanduannya. Pertukaran zaman, perubahan geografi dan sebagainya tidak mungkin mengubah haluan matlamat dan paradighmanya. Ini disebabkan sumber mutlaknya bukan pemikiran manusia yang sering mengalami kebuntuan dan kecelaruan, tetapi sentiasa segar dan bertenaga walaupun mengalami perubahan masa dan geografi.
Kecemerlangan tamadun Islam ialah sepadu dan seimbang antara spiritual, intelektual, emosional dan material atau fisikal. Ciri ini membuktikan bahawa agama menjadi acuan bagi Tamadun Islam. Allah berfirman dalam al-Qur’an yang bermaksud: (Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Agama Islam yang kami telah sebatikan dengannya ialah), acuan Allah (yang telah mencurahkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik acuannya (berbanding acuan Allah yang kami beriman dengan-Nya)? Dan kepada-Nyalah kami beribadat.” (al-Baqarah 138)
Ilmu yang menyinari cahaya kehidupan dunia dan akhirat menjadi agenda yang wajar setiap insan memperolehinya dalam kehidupan. Manusia diwujudkan oleh Allah untuk menjadi kahlifah di muka bumi di samping melaksanakan ibadah kepada Allah s.w.t. Allah berfirman dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya menyembah kepada ku”. Surah Az-Zaariyat ayat (51) 56.
Oleh yang demikian khidmat seorang guru mendidik manusia bukannya setakat mengenali huruf dan mampu mengira tetapi membina manusia agar berfaedah kepada
pembangunan umat manusia sejagat dan berfaedah kepada kehidupan akhirat.

No comments:

Post a Comment