Friday, May 21, 2010

GURU – HENDAK SERIBU DAYA TA’ HENDAK SERIBU DALIH (Disiarkan pada 15. 5. 2010)

Sebagai guru banyak yang boleh dilakukan semasa berkhidmat dengan kerajaan demi kebaikan diri dan juga keluarga serta anak-anak murid di bawah kelolaannya. Satu petunjuk dalam hidup seorang guru ialah mempunyai semangat “Saya mesti berubah!” Membuat perubahan boleh berlaku di mana-mana; pada diri sendiri, pada kerjaya, pada penampilan dalam masyarakat umum dan sebagainya. Penampilan diri menjadi keutamaan dalam pembangunan kendiri kerana ia menjadi faktor untuk pengenalan diri sebagai pemain dalam kelangsungan hidup.
Menuntut ilmu adalah antara yang terpenting dalam membuat perubahan pada diri anda. Ilmu adalah kedatangan sesuatu makna yang akan menambah pengalaman yang sedia ada. Ilmu adalah sebahagian daripada diri anda dan kehadirannya membentuk keperibadian manusia sebagai pemain dalam hidup bertamadun. Keperibadian seorang guru menjadi pemudah cara dalam segala pembangunan dengan syarat ia melaksanakannya dengan sedaya upaya yang dimurnikan dengan keikhlasan dan kejujuran.
Otak manusia adalah Central Processing Unit (CPU) dalam mengaplikasikan ilmu yang ada padanya dalam system mengola aktiviti pembangunan yang difahami sebagai kemahiran berfikir. Segala bahan ilmu yang diperlukan dalam pembinaan insan akan disalurkan oleh otak kepada system para jurit perlaksana yang diketuai oleh hati yang melahirkan perasaan tentang kewajaran ilmu berkenaan dalam membentuk kesempuraan insan. Perasaan adalah antara fitrah yang Allah bekalkan kepada manusia yang membezakannya dari haiwan. Fakulti inilah yang wajar ada pada seorang pendidik kerana ia melahirkan kasih sayang yang mendekatkannya kepada jiwa anak-anak murid di bawah kelolaannya dalam usaha mengilmukan mereka.
Membina kewibawaan seorang murid memerlukkan kepekaan seorang guru untuk menggunakan segala ilmu yang telah dilaluinya. Guru merupakan jurubina atau architect kemanusiaan dan membentuk insan dalam segala segi termasuklah pembangunan jasmani dan rohani. Guru yang proaktif dan inovatif menggapai kecemerlangan pelajar dalam usahanya menimba Ilmu. Semuanya berpaksi kepada semangat seorang guru yang sentiasa berpegang kepada prinsip hendak seribu daya ta’ hendak seribu dalih.
Khidmat seorang guru tidak sewajarnya dapat dipersoalkan kewibawaannya mendidik anak muridnya kerana ia telah melalui berbagai latihan intensif dari Institute Perguruan dan telah melalui berbagai kaedah termasuklah kefahaman psikologi kanak-kanak dan juga remaja. Seorang guru sewajarnya sentiasa tidak ketandusan cara menyampaikan ilmu kepada anak muridnya walau dalam keadaan apapun atau dalam situasi yang rumit sekalipun guru mempunyai cara tersendiri. Hanya persoalannya ialah hendak mendidik dengan jujur dan ikhlaskah atau sebaliknya.
Kepimpinan seorang Guru Besar atau Pengetua sekolah wajar berpegang kepada prinsip: “Come with a solusion and don’t come with a problem”. Maksudnya lebih kurang datang dengan membawa cadangan penyelesaian masalah dan jangan datang dengan masalah, tanpa cadangan. Guru yang mempunyai masalah dengan anak muridnya, dialah orang yang paling arif tentang penyelesaian masalah berkenaan berbanding dengan guru lain yang tidak terlibat dalam pengajaran murid berkenaan. Murid-murid dibawah jagaan seorang guru dianggap sebagai anaknya sendiri. Apa yang baik untuk anak sendiri maka baiklah untuk anak muridnya di sekolah.
Satu peristiwa pernah berlaku kepada seorang guru wanita yang baru juga menamatkan latihan dari Institute Perguruan, ditugaskan mengajar murid-murid tahun enam di sebuah sekolah di pedalaman atas Sabah. Murid-murid tahun enam tersebut adalah dalam kumpulan mixed ability atau kebolehan yang bercampur. Bilangan murid dalam kelas hanya seramai dua belas orang sahaja. Dalam dua belas orang tersebut ada seorang murid lelaki yang agak lemah pencapainnya dalam kelas. Guru berkenaan pinggirkan murid berkenaan dengan alasan ia dalam kumpulan “bodoh”. Ia tidak padai membaca dan mengira. Ia duduk di belakang tanpa teman dan hanya mengikuti kelas tanpa penyertaan mahu pun perhatian dari gurunya.
Pegawai yang menyelia pengajaran guru tersebut mencuba mengambil alih kelasnya dan melibatkan murid yang lemah itu. Ia mencoba mendidik murid berkenaan dengan menggunakan system suku kata dalam membaca perkataan. Murid tersebut boleh kenal huruf dan boleh menyebut atau membacanya. Latihan suku kata berjalan selama tiga minit sahaja kemudian pegawai mencobanya membaca suku kata berkenaan apabila dalam perkataan dan kemudian dalam ayat. Latihan mengambil masa selama enam minit sahaja untuk membolehkan murid itu membaca ayat tersebut dengan lancar.
Seorang guru mengatakan murid bodoh amat mengaibkan profesion keguruan. Kehadiran murid yang lemahlah maka wujudnya sebuah sekolah dengan segala kelengkapan pengajaran dan pembelajaran, termasuklah seorang guru yang ditauliahkan untuk mendidik manusia dengan diberi ganjaran berupa gaji setiap bulan. Guru yang berkhidmat sehingga sampai usia pesaraan akan diberi keestimewahan mendapat wang persaraan sehingga akhir hayatnya. Malah sesudah ajal menjemput nyawa, jika ia maseh mempunyai anak yang masih bersekolah akan dibela oleh ganjaran persaraannya hingga anak itu mendapat pekerjaan.
Seorang guru sewajarnya tidak berada di sekolah jika murid yang bodoh itu tidak ada. Murid yang sudah enam tahun bersekolah jika ia masih dianggap bodoh maka ganjaran guru mengajarnya menjadi tidak bersih atau haram. Murid yang lemah memerlukan usaha yang gigih, jujur dan ikhlas kerana Allah dari seorang guru. Jika guru itu handak murid itu pandai seribu daya ia akan laksanakan untuk mengobah keadaan. Jika guru itu indah ta’ indah sahaja mengenai mendidik anak murid berkenaan maka seribu alasan akan bermain dalam minda seorang guru termasuklah melebalkan anak muridnya sebagai bodoh.
Seorang guru sepatutnya sentiasa berinovatif dan merancang pengajarannya dalam keadaan yang menyeronokkan serta menggalakkan murid untuk lebih giat mengambil bahagian dalam perbincangan mengola pemikiran untuk menemukan penyelesaian sesuatu masalah. Bilik darjah adalah satu gelangang percambahan fikiran antara murid dalam tahap pemikiran mereka sesuai dengan umur.
Guru mendidik wajar dalam landasan hendak seribu daya kerana ilmu itu hendaklah diperolehi dengan sedaya upaya kerana Allah. Seorang guru harus pusatkan pemikirannya kepada keredhaan Allah S.W.T. kerana dari Zat yang Maha Berkuasalah berlakunya segala aktviti pembangunan yang memfokoskan kepada ketamadunan hidup manusia.
Hidup ini bukan setakat dari tangan ke mulut tetapi wajar memahaminya sebagai satu proses perjalanan hidup di mana manusia sebagai pemain dalam memurnikan segala ibadah kerana Allah. Seorang guru wajar memahami tanggungjawab sebagai pemurni alam kehidupan. Hiasilah hidup anda dengan mendapat kefahaman, “benarkan saya seorang pendidik?” Untuk mendapatkan jawapannya wajar tumpukan kepada keikhlasan dan semangat ‘sedaya upaya’ untuk mendapatkan bahan ilmu dalam memurnikan pengajaran.
Setiap perlakuan itu memerlukan pemikiran yang global. Sebagai contoh, makanan yang terhindang di atas meja belum menjadi makanan sebelum menggerakkan tangan untuk mendapat kannya dan masuk ke dalam mulut. Dalam proses memasukkan makanan itu ke dalam mulut adalah mukadimahnya dalam proseses mendapatkan zat pembanguan jasmani. Sebelum makanan itu ke mulut wajar difikirkan bagaimana makanan itu diperolehi. Adakah ia bersih dari segi puncanya mahupun dari segi keadaannya sebagai makanan yang tidak dicemari oleh makluk asing seperti kuman dan sebagainya dan itu adalah proses pembangunan rohani.
Membangunkan bangsa perlu dalam landasan seribu daya. Ini penting kerana jika penghasilannya tidak menepati kehendak pembangunan sejagat maka usaha anda sebagai kahlifah akan terumbang ambing tanpa kemanfaatan kepada generasi pelapis. Seorang pendidik wajar berfikiran global kerana tugasnya adalah tauliah dari Allah S.W.T. maka itu fahamilah khidmat seorang guru ialah sebagai architect atau jurubina dalam membangunkan manusia.
Jangan biarkan masa menimbulkan celaka dalam perjuangan mengilmukan insan. Mengikut Prof. Syeikh Yusuf Dajwi, ia menyinarai beberapa faktor maka berlakunya kecelaka- an pada diri seseorang dalam perjuangannya membina tamadun kehidupan. Membuang masa adalah antara faktor yang mengakibatkan kecelakaan dalam melaksanakan khidmat sebagai pemain. Wajar pandai mengatur membahagikan waktu. Sebab itu hendaklah orang mengadakan peraturan untuk menjaga perjalanan dirinya sendiri. Jangan dipercaya hati sendiri yang berkata bahawa dia tak perlu diatur. Kerana diri itu biasanya memang tak mahu turut peraturan, sehingga tidak difikirkan bahayanya yang akan menimpa.
Ketahui bahawasanya umur manusia yang sangat pendek itu akan sangat pajangnya, kalau pandai mengatur diri dan pekerjaannya. Yang memendekkan umur, walaupun hidup di dunia seratur tahun, ialah tak pandai mengatur pekerjaan dan diri.
Prof. Syeikh Yusuf Dajwi mengatakan bahawa orang yang mempunyai didikan agama sentiasa melihat hidup ini cerah dan berpotensi. Pengaruh kebendaan sukar mendekati hati orang yang mempunyai didikan agama. Setiap usaha itu difahaminya sebagai ibadah kerana Allah maka di situlah timbulnya semangat juang yang membina identiti diri yang ingin melihat keberhasilannya menggapai kecemerlangan.
Hendak seribu daya ta hendak seribu dali, mempunyai mesej yang amat mengerunkan pembanguan manusia. Setiap pemain haruslah membawa pemikirannya ke dimensi yang diatur oleh Zat yang Maha Berkuasa. Apakah peranan anda dalam sinario pembangunan apabila Allah mentauliahkan anda sebagai kahlifah di muka bumi ini? Dibekalkan manusia dengan fikiran untuk memahami agenda pembanguan dan disertakan juga hati yang dapat merasa kepentingan partisipasi dalam membina tamadun.
Apakah tujuan anda dalam hidup? Membina stratigi untuk menemukan jawapan teka teki kehidupan atau melakarkan berbagai alasan untuk mengetepikan diri dari berperanan dalam membangunkan tamadun kehidupan. Jawapannya, tepuk dada tanyalah iman! Dalam sinario pemikiran sebagai kahlifah konotasi tersebut sepatutnya tidak wajar wujud dalam pembangunan manusia. Tetapi ia menjema juga disebabkan permainan iblis laknatullah hendak menggelincir kan manusia dari landasan kekahlifaannya.
Bertemu dengan masalah wajar diselesaikan dengan mencari solusinya dan bukan mencari alasan mengapa ia berlaku. Sebanyak mana alasan yang ditemui tidak akan mengubah keadaan malah masa akan membawanya kepada keadaan yang memborokkan lagi. Maka itu kelahiran masalah sebenarnya menjemput usaha mencari solusi penyelesaiannya. Di situlah daya usaha memainkan peranan.
Setiap unit pembangunan itu memerlukan seribu daya untuk melahirkan usaha sehingga menemui solusi penyelesainya. Oleh yang demikian seorang guru itu tidak punya pilihan melainkan berjalan di atas landasan menuju redha Allah kelak akan terbina masyarakat penyayang dan berilmu. Profesion keguruan secara automatik pemegang amanah Allah membina tamadun maka itu budaya tak hendak seribu dalih tidak wajar ada dalam diari kehidupan seorang pendidik.

1 comment:

  1. Memmang ituah kewajiban sebagai seorang guru yang ikhlas mengajar murid-murid.Tanggungjawab harus diutamakan. Ada segelintir yang mungkin kerana hanya untuk mendapatkan pekerjaan dan gaji, sanggup mejadi guru walau pada hakikatnya mereka tidak ikhlas. Akibatnya lahirlah guru yang kurang mengambil perhatian terhadap muri-muridya.Apakan jadi jadilah asalkan hujung bulan ada gaji. Tetapi kaunseling dan latihan-latihan yang berkaitan dengan ilmu perguruan akan mengobah prinsip seseorang. Ada sesetanga guru yang diambil walau pun mereka bukanlah kelulusan dari universiti perguraun atau pun tiada latihan perguruan, mungkin ini yang meyababkan bukan kebanyakan, tapi sesetanga guru kurang berminat untuk mengajar. Minat adalah satu sebab seseorang itu sanggup melakukan apa saja kerana minat samaada berhasil atau pun sebaliknya. Apabila seseorang itu ada minat dengan perkerjaan yang diceburiya, akan lahirlah hasil kerja yang bermutu tinggi.

    ReplyDelete