Saturday, December 18, 2010

KEHIDUPAN BERSEPADU MENURUT AJARAN ISLAM
(Disiarkan pada 18. 12. 2010)
Berpadu maknanya bercampur atau bersebati. Berpadu suara membawa makna dua suara digabungkan menjadi satu.Kehidupan bersepadu bermakna kepimpinan diri menangani kehidupan dalam dua unsur pembangunan iaitu pembangunan jasmani dan pembangunan rohani. Setiap insan wajar memahami hidupnya adalah dalam dua unsur iaitu jasmani dan juga rohani. Tanpa kefahaman mengenai unsur dirinya akan membawa kegagalan dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t..
Keberadaan seorang insan adalah disebabkan kehadiran roh dalam dirinya yang meng- akibatkan jasadnya berperasaan, berkemahuan dan dapat berkata-kata. Jasad tanpa roh tidak wajar dipanggil sebagai manusia. Ia dikenali sebagai bangkai sebab ia tidak bertahan lama dan akan menjadi buruk dan busuk.
Jasad yang telah ditinggalkan roh hanya mempunyai sifat manusia tetapi tidak dapat melakukan sesuatu. Ia mempunyai mata tetapi tidak dapat melihat; jangankan melihat terbuka sahaja pun tidak. Ia mempunya mulut tetapi tidak dapat berkata-kata. Ia mempunyai anggota seperti tangan dan kaki tetapi tidak dapat bergerak untuk melakukan sesuatu. Maka itu hidup ini disepadukan jasad dan roh untuk melaksanakan pembanguan manusia.
Dalam persepsi pembangunan kerohanian, hidup bersepadu membawa makna hidup beragama. Ada orang yang tidak ada keyakinan mengenai alam ghaib oleh itu iman tidak memimpin hidupnya seperti hidupnya haiwan maka itu ia hanya berkeyakinan kepada fenomena hidup ini hanya berakhir di alam dunia sahaja. Segala fenomena alam kehidupan wujud dengan sendirinya. Orang seperti ini dikenali sebagai ateis.
Agama membetulkan persepsi pemikiran manusia mengenai keberadaannya sebagai hambah Allah serta segala ciri-ciri kehidupan yang diamanahkan Allah kepada manusia sebagai khalifah-Nya di muka bumi ini. Menyelidik dan memahami unsur-unsur kehidupan manusia di sisi Allah s.w.t. mempunyai falsafahnya yang tersendiri yang wajar diketahui oleh setiap insan sebagai pemain dalam kelangsungan pembangunan tamadun manusia.
Falsafah pendidikan Islam secara umumnya dapat diertikan sebagai mencari, mengkaji atau menggapai sesuatu dengan menggunakan kecerdasan akal dan kebijaksanaan. Jestru itu, bagi al-Syaibani (1979), ahli-ahli falsafah merupakan orang yang mencintai kebenaran atau hikmah di samping berusaha bagi mendapatkannya. Mereka juga berusaha secara positif bagi menanggapi hakikat sesuatu, dengan meneliti punca dan akibat serta mentafsir pengalaman-pengalaman manusia.
Falsafah ialah sesuatu yang bersifat abstrak, mempunyai pendekatan yang rasional terhadap sesuatu masalah dan persoalan. Falsafah merupakan suatu bentuk penyelidikan atau kajian yang mempunyai struktur komprehensif dan logik yang mengandungi asas-asas pemikiran semua aktiviti manusia, khususnya dalam bidang sains, seni, agama dan pendidikan.1
Falsafah pendidikan mempunyai peranan yang begitu penting dalam sesuatu system pendidikan. Antara aktiviti yang dapat disumbangkan oleh falsafah dalam bidang pendidikan ialah membentuk fikiran yang sempurna, sesuai dengan sifat semula jadi operasi, motif dan peranan pendidikan. Falsafah pendidikan merupakan asas penentuan berhubung dengan konsep pelajaran am dan khas, di samping membentuk kurikulum, kaedah pengajaran dan pembelajaran.
Menurut tanggapan Islam, sumber utama bagi falsafah pendidikan Islam ialah kitab suci al-Qur’an dan sunnah Rasulullah s.a.w.. Al-Qur’an ialah kitab Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhamad s.a.w., mengandungi mukjizat dan hidayah. Kandungannya mencakupi berbagai-bagai aspek kehidupan manusia yang begitu komprehensif dan lengkap terutamanya bagi membentuk peribadi insaniah yang unggul sama ada dari segi rohani, jasmani, akal, cita rasa dan sosial, supaya dapat berfungsi sebagai hamba dan khalifah Allah di bumi ini.
Menurut fitrah, manusia ialah makluk yang hidup secara berkelompok dan bermasya- rakat, berinteraksi dan berkomunkasi, mereka tidak dapat hidup bersendirian dan berasingan. Bagi menyempurnakan potensi itu, Islam telah menentukan beberapa prinsip sebagai landasan untuk berkomunikasi. Untuk mencapai objektif tersebut, setiap individu dibimbing supaya mengenal diri sendiri dan Penciptanya, menjaga kesihatan akal, berusaha mencari hak dan bertanggung jawab, berakhlak mulia, membina bakat dan kemahiran juga memelihara kesihatan badan dan ketahanan jasmani.2
Kehidupan bersepadu seorang insan harus mengenal diri serta tanggungjawabnya di isi Allah s.w.t.. Hidup di dunia sentiasa ditemani dengan keseronokan yang kalau tidak ditangani dengan kemantapan iman akan mengakibakan manusia lupa tangungjawabnya sebagai khalifah. Keseimbangan hidup di dunia dengan memelihara kebajikan rohani akan sentiasa menjadi agenda utama dalam kelangsungan hidup bersepadu.
Sembahyang mendidik manusia berakhlak mulia dan sentiasa menjauhi larangan Allah
dan melaksanakan segala perintah-Nya. Mendirikan solat dengan khyusuk dan tawadhu akan menempatkan hidup anda dalam khiasan kasih sayang Allah s.w.t. kelak akan mendapat ganjaran pahala sebagai bekalan hidup di alam yang berikutnya.
Menjauhi larangan-larangan Allah dan melaksanakan segala perintah-Nya merupakan dua tanggung jawab yang menjadi agenda dalam hidup masyarakat mukmin. Hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia antara sesama menjadi perjuangan masyarakat mukmin dalam kelangsungan hidup bertamadun. Kesepaduan kedua-dua fenomena kehidupan wajar dipelihara dengan disiplin hidup yang amat tinggi.
Seruan ulung yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. dalam seri resalahnya adalah untuk menyeru manusia supaya mengenal Allah dan mentauhidkan-Nya. Kalimah syahadah, ungkapan suci dan berkesan berjaya menukarkan konsep kepercayaan masyarakat dari berbilang bilang Tuhan kepada Tuhan Yang Esa. Sungguhpun urusan iman merupakan satu-satunya urusan yang paling sukar, sulit dan mencabar, tetapi iman dapat dikuasai dan dipengaruhi dengan ilmu dan pendidikan.
Kesepaduan ilmu dan pendidikan yang berteraskan ‘aqidah, syari’ah dan akhlak yang diimplimentasikan oleh junjungan itu, dalam masa yang sengkat sahaja berjaya merubah hati, fikiran, tanggapan serta struktur masyarakat arab daripada konsep jahiliah dan kufur kepada iman dan tauhid.
Kehidupan yang dipimpin oleh iman dan ketakwaan, hanya patuh dan mengabdikan diri kepada Allah dalam semua situasi dan aktiviti, juga semua urusan hidup sama ada yang bersifat keduniaan mahupun keakhiratan. Manusia semata-mata menyembah Allah dan memohon segala pertolongan daripada-Nya.3 Sifat pengabdian manusia digambarkan dalam al-Qur’an yang bermaksud:
“Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolonan.” Surah al-Fatihah 1:5
Kehidupan bersepadu dengan kekuatan iman dipupuk dengan ilmu dan pendidikan rabbani, menjadikan manusia golongan yang benar-benar bertakwa kepada Allah; sentiasa mengabdikan diri kepada Allah bagi menunaikan ibadat sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa dan mengerjakan haji bila tiba waktunya. Manusia sanggup membantu agama dengan pengorbanan harta dan tenaga, semata-mata mempertahankan Islam dan mendapat keampunan Allah. Allah berfirman dalam al-Qur’an surah an-Anfal: 8:74 yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang Muhajirin), mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh keampunan dan rezeki (nikmat) yang mulia.”
Pengabdian kepada Allah dalam memelihara syari’at Islam dapat dilaksanakan daripada pengorbanan harta kekayaan, tenaga dan jiwa. Bukan saja mempertahankan Islam dengan kekuatan fisikal dan kekuatan lahiriah, bahkan mempertahankannya menerusi kekuatan jiwa, munajat dan zikir. Pada waktu siang berusaha dan sebahagian daripada malam, bermunajat dan mengabdikan diri kepada Allah.
Di samping berusaha mencari rezeki dan kehidupan duniawi bagi memelihara diri, keluarga dan masyarakat seperti yang dituntut oleh Islam, tidak ketinggalan sepanjang siang dan malam melakukan ibadat khusus seperti sembahyang, zikir, dan tasbih. Menurut Islam , segala urusan keduniaan dan keakhiratan yang matlamatnya untuk mendapat keredhaan Allah, termasuk dalam istilah pengabdian diri yang sebenarnya kepada Allah.
Kekuatan iman dan patuh kepada hukum Allah menjadikan manusia golongan yang rajin, maju dan progresif terutama dalam usaha mencari rezeki yang halal. Manusia melakukan usaha-usaha tersebut secara berdikari dan bersungguh-sungguh dan berpegang pada prinsip nahawa semua rezeki itu berpunca daripada Allah. Jestru itu, semua usaha dijalankan tanpa sebarang penyelewengan, penipuan, kezaliman dan penindasan apatah lagi untuk mengamalkannya berdasarkan system riba yang jelas ditegah oleh syari’at Islam.
Menurut tanggapan Islam, berusaha mencari rezeki bagi mendapat pendapatan yang halal termasuk juga dalam konsep pengabdian diri dan berjihad di jalan Allah seperti ibadat-ibadat yang lain. Sudah menjadi resam orang-orang yang beriman bahawa setiap harta yang dicari dan dimiliki, dibelanjakan bukan sahaja untuk diri dan keluarga bahkan juga untuk masyarakat. Maka itu disitulah kelihatan peranan manusia sebagai pemain dalam kelangsungan pembangunan tamadun manusia.
Hidup bertoleransi dengan kukuatan iman dan takwa kepada Allah menyepadukan Islam dalam pembangunan ummah. Sikap demikian amat diungguli oleh masyarakat mukmin tidak seperti orang Yahudi (Bani Israil) yang mematuhi setengah hukum Allah serta menolak setengah hukum yang lain. Perbuatan menerima sebahagian dan menolak yang lain boleh menggugat ‘aqidah dan tertolak iman.
Al-Qur’an menceritakan sikap golongan tersebut supaya ia boleh dijadikan iktibar dan peingatan kepada kaum Muslimin kemudiannya. Alla berfirman dala al-Qur’an surah al-Baqarah 2: 85 yang bermaksud: “……Adakah kamu beriman dengan sebahagian al-Kitab(Taurat) dan ingkar dengan sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia dan pada hari kiamat, mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat….
Kehidupan bersepadu membawa kebahagiaan dunia dan kebahagian akhirat. Ia memimpin manusia ke jalan yang
diredhai Allah s.w.t.. Ia akan melahirkan perasaan kasih sayang terhadap semua kaum tidak kira masyarakat mukmin atau
sebaliknya. Orangnya sentiasa menyayangi makluk Allah seperti haiwan bermacam jenis dan ia membencihi kemaksiatan, jenayah dan penindasan antara sesama manusia. Tangannya sentiasa ringan membantu orang yang berwajib dan setiap amalannya dilakukan atas prinsip kerana Allah.
1 Haji Abdullah Ishak: PENDIDIKAN ISLAM DAN PENGARUHNYA DI MALAYSIA h 1-2
2 Ibid h 3
3 Ibid h 93

No comments:

Post a Comment