Friday, December 31, 2010

ISLAM MENSYARIATKAN JIHAD DEMI MEMELIHARA HAK ASASI MANUSIA
(Disiarkan pada 01. 01. 2011)
Islam dan jihad adalah dua konotasi yang saling memerlukan keberadaannya dalam kehidupan manusia. Syariat adalah hukum agama atau peraturan agama. Al-Qur’an adalah sumber pertama dari syariat Islam. Islam telah mensyariatkan umatnya supaya sentiasa berbaik-baik antara satu sama lain.
Islam melalui sumbernya al-Qur’an mempunyai berbagai hukum dan peraturan yang membentuk kehidupan manusia sentiasa di landasan yang diredhai Allah s.w.t.. Hukum itulah yang menjadikan Islam itu sebagai cara hidup manusia yang terunggul daripada agama-agama lain di alam dunia. Ada hukum yang mencegah manusia melakukan sesuatu yang bertentangan dengan akidah Islam di mana ia adalah satu faktor yang menyeronokan kepada kehidupan manusia di dunia sebagai pemaian. Dalam suasana demikian manusia wajar berjihad untuk menjauhi salah laku-salah laku tersebut.
Pada kebiasaannya berjihad itu adalah di lapangan pertempuran tetapi berjihad untuk menentang kemaksiatan, lapangannya adalah dalam hati setiap individu. Hati yang bersih dari segala kotoran mempunyai kekuatan melaksanakan jihad. Jihad serupa ini amat sukar dilaksana kan kerana ia memerlukan iman yang kuat memimpin jiwa manusia untuk berjihad di lapangan pemikirannya.
Dalam kelangsungan hidup beragama banyak faktor kehidupan yang wajar dijauhi walaupun pada naluri manusia keinginan melakukannya amat kuat. Budaya menentang keinginan hati untuk melakukan sesuatu yang akan menggelincirkan manusia dari landasan hudup yang diredhai Allah s.w.t. adalah sebenar satu jihad yang diperlukan dalam hidup.
Menghalalkan cara adalah antara yang sering melemahkan semangat manusia melaksana kan jihad. Sebagai contoh seorang pemborong pembekal makanan di sekolah hendak menyertai sebut harga yang dikeluarkan oleh kerajaan. Budaya yang selalu menghantu pemborong dalam mendapatkan sebut harga berkenaan ialah bersubahat dengan orang atasan yang bertanggung jawab dengan pemberian sebut tersebut.
Orang yang ingin betul mendapatkan sebut harga berkenaan tidak memikirkan perbuatan halal atau haram asalkan ia berjaya mendapatkannya. Ia membudayakan aktiviti rasuah dengan memberi ganjaran berupa wang kepada pegawai berkenaan yang menjalankan pertarungan sebut harga berkenaan. Apabila aktiviti rasuah sudah diamalkan dalam sebut harga berkenaan maka keadilan tidak lagi menjadi pra syarat untuk memilih orang yang sesuai memenangi dalam pertarungan sebut harga tersebut.
Tahukah anda bahawa kebersihan dalam pertarungan untuk mendapatkan kemenangan dalam tawaran tersebut amat diperlukan dalam kelangsungan hidup umat Islam yang terlibat dalam aktiviti sebut harga itu. Jika berlakunya aktiviti yang tidak bersih dalam mendapatkan sebut harga berkenaan, maka dua pehak akan terjebak dalam budaya rasuah yang berupa haram mengikut pandangan Islam.
Punca pendapatan jika unsurnya berlandaskan kepada amalan subahat maka seluruh ahli dalam keluarga yang terlibat akan termakan dari penghasilan yang haram yang tidak diredhai Allah s.w.t. Dua pihak yang terlibat dalam aktiviti subahat (haram) tersebut ialah pihak yang berjaya mendapatkan sebut harga berkenaan dengan sogokan wang dan pihak kedua ialah orang yang menerima sogokan tersebut.
Apakah akibanya mendapat penghasilan yang berupa haram? Apabila sesuatu itu berunsur haram maka aktiviti mementingkan diri telah berlaku kelak membelakangi kelahiran ukhuwah kemanusiaan, dan ini Allah s.w.t. sama sekali tidak meredhainya, (Hujerat(49) 13). Benda yang haram dalam pandangan Islam akan membentuk generasi yang sentiasa berfikiran serong terhadap peraturuan awam. Budaya demikian megakibatkan ganjaran dosa yang akan menutup pintu syurga bagi orang yang terlibat.
Hidup ini adalah untuk kesejahteraan di akhirat kelak. Ini penting kerana kehidupan di dunia adalah semetara waktu sahaja manakala kehidupan akhirat adalah kekal dan abadi. Dosa yang di bawa bersama ke alam berikutnya akan menempa tikit ke neraka dan tidak ada lagi peluang untuk bertubat meminta ampun kepada Allah lagi.
Kemurnian hidup di alam dunia sentiasa mengusik jiwa untuk membelakangi kesem- purnaan beragama. Kedatangan sains dan teknologi telah melahirkan bermacam-macam cara hidup yang menggugat kestabilan dan kesucian hidup beriman. Dunia tanpa sempadan telah membuka peluang kepada semua lapisan masyarakat sama ada mukmin mahupun musrikin untuk melanggan berbagai aktiviti yang dibawa oleh internet.
Banyak perkara yang dipaparkan oleh internet yang menjajah hati dan keimanan masyarakat muslim wajar dijadikan satu jihad secara besar-besaran membenteras penjajahan tersebut khusus dalam dunia Islam. Mulai dari masyaraka kanak-kanak, remaja, dan hinggalah ke peringkat pemimpin sama sekali wajar berganding bahu bersatu hati dengan misi satu masyarakat mukmin, berdiri dengan iman yang teguh tidak mahu menjadi mangsa penjajahan dunia Barat yang tidak ada perikemanusiaan itu.
Hidup dengan cara Islam memelihara keunggulan Islam dan mengenali had-had batasan antara kemanusiaan dan kehaiwanan. Keseronokan dunia yang dipelopori oleh sains dan teknologi itu tidak membawa apa-apa pembangunan manusia yang inginkan kebahagian hidup di dunia mahupun di akhirat kelak.
Masyarakat mukmin tidak ada alasan tidak mengetahui cara hidup yang diredhai Allah s.w.t. kerana panduannya telah diperlengkapkan Allah dalam dokumen wahyu-Nya iaitu al-Qur’anul Karim dan diperjelaskan lagi oleh hadis-hadis Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. Iman dan takwa wajar sentiasa memimpin manusia ke jalan yang benar dan menjadi nadi untuk berjuang menegakkan jihad demi kesempurnaan hidup bertamadun.
Berjihad adalah perjuangan susuatu untuk mempertahankan sesuatu yang baik atau untuk menentang sesuatu yang tidak baik. Orang Islam perlu berjihad dengan ikhlasnya ke jalan Allah. Dalam hidup anda sudahkan berjihad kerana Allah? Jihad yang paling ringan untuk dilaksanakan ialah memelihara solat lima waktu sehari semalan. Bagi orang yang imannya mantap melaksana kan 17 rakaat adalah kemestian dalam amal ibadahnya.
Walau bagaimana pun jihad yang dianggap bagi orang yang beriman dan bertakwa adalah mudah dilaksanakan tetapi pada kebanyakan manusia memelihara solat lima waktu itu adalah satu ibadah yang paling berat dilaksanakan. Mereka yang berfikiran sedemikian adalah orang yang dibuai oleh kesibukan dunia untuk mengejar kebahagiaan yang bernama ‘kaya’. Menjadi kaya tidak ada penyudahnya. Adakah kekayaan itu punca hidup bahagia di dunia?
Keinginannya untuk mendapatkan sesuatu yang difikirkan kebahagiaan baginya tidak ada kepuasan dalam hati. Setelah berjaya mendapatkannya maka ada lagi keinginan lain yang baru. Apabila manusia diperintah oleh hawa nafsunya maka manusia lupa daratan kerana ingin mengejar sesuatu yang difikirkan membuatnya lebih mulia daripada orang lain.
Orang seperti ini memahami bahawa kebahagiaan hidupnya adalah kekayaan. Tetapi pada dasarnya faktor kekayaan itu apabila sudah kepunyaan anda akan memesungkan anda dari mendekati Allah s.w.t.. Dan yang paling sedih sekali ialah ia tidak mengenali dirinya dan bersyukur kepada Allah terhadap penghasilannya yang membawanya bahagia hidup di dunia. Hidupnya, solatnya tidak lagi kepada Allah kerana buaian keseronokan dunia sudah menjadi tuhannya.
Akal dan nafsu sememangnya mempunyai kaitan. Fakulti akal semata-mata tanpa penyertaan nafsu manusia mungkin tidak dapat mengolah segala keperluan hidup walaupun akal itu merupakan satu nikmat Allah yang membezakan manusia dengan makluk-makluk lain. Dengan akal fikiran manusia mencapai alam Malaikat, mengenal zat yang Maha Pencipta mengembang dan menjalankan amanah, beradaptasi dengan lingkungan, menguasai berbagai disiplin ilmu dan boleh membezakan antara kebajikan dan keburukan.
Akal manusia adalah satu bukti kebesaran Allah s.w.t.. Akal fikiran adalah pusat analisa dan disiplin ilmu pengetahuan, tempat bersarangnya hikmah yang membezakan antara kufur dan yang batil. Akal fikiran itu sebagai pemimpin yang harus ditaati. Apa yang terasa sempit oleh mata dan jiwa akan terasa luas bagi akal fikiran. Akal adalah sebagai sarang ilmu pengetahuan dan tempat hikmah.
Akal itu sendiri berfungsi sebagai dasar dari jiwa dan naluri yang normal, baik mencintai sesuatu atau membencinya. Akal juga sebagai tempat petunjuk, iman, pengertian, kemahuan, dan keputusan. Manusia yang menggunakan akal untuk menyelesaikan masalah adalah jauh lebih selamat daripada manusia yang melayani nafsu tanpa memberi ruang kepada akal untuk memainkan peranan.
Walau bagaimana pun urusan berjihad dalam melaksanakan ibadah untuk mempertahan kan sesuatu yang baik atau menentang sesuatu yang tidak baik, nafsu dan akal memainkan peranan yang penting. Akal memberi jalan untuk melihat kebenaran sesuatu manakala nafsu(semangat) membantu naluri manusia untuk melaksanakan jihad.
Berjihad menentang sesuatu yang tidak baik amat dialu-alukan oleh agama. Kemiskinan dalam hidup adalah antara faktor yang tidak baik kepada pembangunan manusia. Kemiskinan itu adalah dua perkara iaitu kemiskinan ilmu dan kemiskinan harta benda. Kedua-duanya tidak sama sekali sesuai dalam kehidupan manusia.
Untuk membentras faktor kemiskinan tersebut setiap individu diwajibkan berjihad. Kemiskinan harta benda dan kemiskinan ilmu pengetahuan merupakan sesuatu yang talam dua muka atau kembar. Berjihad untuk menentang kedua-dua faktor kehidupan bermuara daripada kesungguhan dan kerajinan beribadah atau bekerja. Tanpa kelahiran faktor rajin yang mem- bentuk semangat jihad tidak akan berjaya menentang suasana kehidupan tersebut.
Rajin belajar untuk meningkatkan atau menambah ilmu pengetahuan adalah jihad. Belajar menuntut ilmu tidak semudah yang difikirkan. Ia memerlukan semangat(nafsu) untuk menentang naluri kemalasan manusia untuk belajar. Faktor malas boleh meningkat jika keadaan hidup mengalami serba kekurangan. Keadaan demikian merupakan satu ujian yang amat tinggi untuk menentang faktor yang menggagalkan perjuangan.
Agama Islam mensyriat umat manusia berjihad demi memelihara hak asasi kemanusiaan. Jihad yang dimaksudkan di sini ialah melaksanakan ibadah solat serta amal-amal kebajikan yang lain. Mendirikan solat lima waktu tepat pada waktunya serta rukun-rukunnya adalah dikategori kan sebagai jihad. Orang yang mampu bangun awal pagi setiap hari seumur hidup untuk mengerjakan sembahyang subuh secara berjemaah di masjid adalah orang yang imannya mantap dan sentiasa dilindungi Allah segala amal perbuatannya.
Begitu juga memelihara solat lima waktu sehari semalam adalah kewajipan setiap individu mukmin. Memelihara kesempurnaan hidup di dunia wajar berjihad menegakkan akidah Islam melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Hidup seseorang muslim hatinya wajar sentiasa dekat dengan Allah kerana cara demikian akan terpelihara dari godaan iblis syaitan yang telah memohon kepada Allah jangan mereka dimatikan kerana ia membalas dendam kepada manusia(Adam), gara-gara manuialah maka iblis laknatullah tersingkir dari syurga. Laksanakan ibadah jihad untuk kebahagian hidup di akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment