Sunday, November 27, 2011

PENGARUH KEMODENAN DALAM KEHIDUPAN INSAN MENGIKUT ISLAM

(Disiarkan pada 26. 11. 2011)
Kemodenan pada lazimnya, mengikut sinario ilmu sekular, membawa maksud dunia sains dan teknologi. Dalam sinario ilmu holestik(Islam) tidak ada yang bersifat moden kerana segala ilmu yang ada dalam alam kehidupan adalah ilmu Allah s.w.t.. Islam mengenali kemo- denan itu sebagai hikmah atau ilmu yang Allah berikan kepada seseorang yang dikehendakiNya.
Ilmu adalah kedatangan sesuatu makna maka semakin banyak ilmu kita perolehi semakin luas kefahaman kita tentang cakerwalam alam kehidupan. Fenomena inilah yang Islam menge- nali sebagai kemodenan. Maka itu menjadi kewajipan kepada setiap insan menerokai alam pembangunan agar manusia dapat mendekati Zat yang Maha Pencipta.
Orang yang berilmu tidak sama dengan orang yang tidak berilmu. Dalam erti kata lain, orang awam tidak sama dengan seorang ulama’. Ilmu pengetahuan adalah suatu perkara yang amat berharga. Tanpa pengetahuan sesuatu perkara yang senang dan simple menjadi susah, begitu juga sebaliknya sesuatu perkara yang susah menjadi senang apabila kita memiliki pengetahuan mengenainya. Jurang perbezaan di antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu amat jauh dan boleh diumpamakan seperti perbezaan siang dan malam.
Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) apakah sama kedudukan diantara orang yang berpengetahuan dengan orang yang tidak berpengetahuan.” (Az-Zumar 39: 9.
Melalui ajaran Islam Allah s.w.t.mengarahkan penganuitnya agar berlumba-lumba di dalam menuntut ilmu untuk menambahkan pengetahun kerana tanpa pengetahuan yang jelas manusia tidak akan berjaya dunia dan akhirat. Pengetahuan merupakan jambatan utama untuk mengetahui dan mengenali perkara-perkara baik dan perkara-perkara buruk. Melalui pengeta- huan, kita dapat mengetahui suruhan dan larangan Allah sama ada kita patut mengerjakannya atau meninggalkannya. Barang siapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka akan dilapangkan dadanya dan dikurniakan kefahaman tentang agama.
Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 269 yang bermaksud (terjemahan): “Allah mengurniakan hikmah (ilmu) kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan barang siapa yang dikurniakan hikmah sesungguhnya dia telah dikurniakan kebaikan yang banyak. Dan tidak ada yang menyedari hakikat ini melalinkan mereka yang mempunyai hati(akal).
Rasulullah s.a.w. juga memberi galakan agar menuntut ilmu sebagaimana sabdanya, bermaksud: “Menuntut ilmu merupakan kewajipan ke atas setiap muslim.”
Sabdanya lagi, maksudnya: “Barang siapa yang dikehendaki oleh Allah untuk menjadi baik maka akan dikurniakan kefahaman (ilmu) mengenai agama dan diilhamkan kepadanya kebenaran.”
Melalui pengetahuan, manusia berjaya untuk meletakkan dirinya sebagai seorang yang bertakwa kepada Allah s.w.t. jika ia beramal dengan apa yang diketahuinya. Firman Allah s.w.t. dalam Al-Qur’an surah Fathir ayat 28 yang bermaksud (terjemahan): “Sesungguhnya mereka yang paling takut kepada Allah adalah dari kalangan mereka yang berilmu (ulama).
Dalam suasana pembangunan sekular atau yang biasa difahami oleh masyarakat majmuk sebagai pembangunan sains dan teknologi penganutnya atau pelanggan ilmu tersebut kurang mempunyai kefahaman sebenar tentang sains dan teknologi. Maka itu perkembangannya dalam era masa kini manusia sentiasa mengkufuri kemanfaatannya kepada pembangunan. Maka itu apabila landasan kefahamannya kurang menepati tujuan atau matlamatnya maka ia banyak merosakkan manusia daripada membina masyarakat mukmin yang bertemadun.
Hidup dalam kemodenan bermakna mempunyai ilmu pengetahuan tentang kefahaman mengenai pembangunan dunia dan pembangunan akhirat atau pembangunan jasmani dan pemba- ngunan rohani. Ilmu itu seharusnya ada keseimbangan antara ilmu duniawi dengan ilmu ukhrowi atau ilmu akhirat. Tanpa keseimbangan antara kedua fenomena alam tersebut akan mengakibat kan manusia mengkufuri ilmu pengetahuan terutama sekali ilmu pembangunan rohani.
Akibat ketidakseimbangan antara kedua ilmu berkenaan akan mengelincirkan manusia ke lembah kehinaan terutama sekali dalam penguasaan ilmu akhirat. Maka itu berlakulah kehidupan yang menjadikan Al-Qur’an itu sebagai makmum dan manusia sebagai imam. Pada zaman sains dan teknologi ini secara umum, masyarakat Islam masa kini (kursus para remaja) sering melandaskan pemikiran mereka kepada faktor kemodenan apabila berbicara soal kesucian beragama. Apa yang telah diterangkan oleh al-Qur’an dijadikan sebagai ketinggalan zaman!
Pemahaman manusia dalam era dunia kemodenan, banyak budaya yang mengkufurkan syariat dan akidah Islam yang digaris bawahkan oleh Al-Qur’an. Kiblat pemikiran mereka banyak ditumpuhkan kepada kemanfaatan dunia semata yang mengikuti telunjuk hawa nafsu yang memesungkan manusia dari amalan yang diredhai Allah s.w.t. Setiap individu menjadi proaktif dalam memikirkan keseronokan dunia daripada meningkatkan ibadat-ibadat mereka kepada Allah s.w.t.
Budaya yang sering menjadi pemangkin kepada akhlaq yang bertentangan dengan kemurnian beragama ialah tingkahlaku yang menggamit kesoronokan penonton untuk mencon- tohi seperti pergaulan bebas tanpa sempadan. Budaya serupa ini adalah akibat dari pengaruh media massa seperti televisyen, internet, lakunan-lakunan mengenai alam percintaan.
Perempuan sudah kehilangan rasa malu untuk berpegang-pegangan dengan lelaki yang bukan muhrimnya. Zuhud dalam memakai pakaian tidak lagi dijadikan sebagai ibadat. Menutup aurat sudah dianggap sebagai fesyen dan bukan ibadat kerana Allah. Pemakaian yang mendedahkan aurat menjadi kebanggaan sebilangan besar masyarakat Islam Malaysia. Budaya demikian berlaku kepada masyarakat awam mahupun pemimpin masyarakat dan tidak kurang juga pemimpin politik turut sama menyumbangkan keruntuhan moral manusia.
Para remaja perempuan tidak kira yang bertundung atau tidak, ramai yang terperangkap dengan budaya seks bebas yang mengakibatkan ramai anak luar nikah lahir setiap hari. Menutup aurat adalah sebahagian kecil daripada pembinaan akhlak dan moral manusia tetapi yang amat penting ialah bahan yang membina anak berkenaan semasa pembesarannya dalam rahim ibu. Ini bermaksud kejatuhan moral para remaja, sebahagian besarnya adalah akibat moral yang rendah yang telah dilakukan oleh orang tuanya semasa mengandung. Tidak kira ibu atau bapa kedua-duanya akan membina akhlak anak yang bakal dilahir.
Anak-anak remaja terbentuk sedemikian rupa akhlaknya dan moralnya disebabkan tingkahlaku ayah atau ibu semasa anak dalam kandungan ibu. Menghina akhlak anak remaja orang lain sahaja pun boleh terbentuk akhlak anak dalam kandungan. Janganlah memikirkan mengenai amalan seorang bapa atau seorang ibu yang menyonsangkan kemurnian dan kesucian beragama, mengeluarkan kata-kata untuk menghina orang lain pun sudah Allah kabulkan dalam pembentukan shahsia anak yang ada dalam kandungan.
Sebagai contoh yang paling baik ialah mengambil peristiwa yang berlaku kepada keluaga En. Mohd. Yunus Asahari yang tinggal di kampung Baginda, Keningau lebih kurang dalam tahun 1983. Anaknya bernama Susilawati bte Mohd. Yunus telah dijemput oleh pihak JAHEAINS datang ke Kota Kinabalu untuk membuat persembahan membaca Surah Yassin tanpa menggunakan teks, sempena menyambut perayaan Mauludi Rasul, di hadapan khalayak ramai di Padang Bandaran Kota Kinabalu. Anak perempuan tersebut baru berusia empat tahun, maka itu sebutannya pun belum berapa pantas. Amat sungguh menakjubkan kepada para hadirin yang menyaksikan upacara tersebut.
Kemudian pemberita menemuduga orang tua anak tersebut dan mendapati bahawa ibunya Puan Nasiah Salim, semasa mengandung anak berkenan, sentiasa suka mengaji seolah-olah membaca Al-Qur’an itu bagaikan mengidam kepadanya. Demikianlan peristiwa yang menggambarkan amalan seorang ibu semasa mengandung, akan mendidikan anak dalam kandungannya. Dan adalah tidak mustahil bagi seorang bapa juga jika ia mempunyai amalan yang suci atau tabiat yang tercela, akan membentuk keperibadian anak dalam kandungan isterinya.
Mengambil satu peristiwa lagi, berlaku kepada seorang bapa semasa isterinya sedang hamil empat bulan. Beliau menimbak seekor burung helang dan kemudian memakannya. Setelah anak yang dikandung oleh si isteri itu lahir anak matanya sentiasa bergerak seperti gayanya mata seekor burung helang apabila mencari mangsannya. Maka itu mereka yang baru menaiki takta perkahwinan atau isteri yang masih subur beranak, insaflah terhadap perlakuan yang kita laksanakan kerana setiap amalan yang anda lakukan akan terpancar kepada pembangunan insan dalam kandungan seorang isteri.
Dalam pembangunan manusia, sajian ilmu dan amal adalah amat penting dalam membina insan yang soleh. Amal adalah hasil dari ilmu. Lantaran itu pepatah pernah mengatakan bahawa “Ilmu tanpa amal umpama awan tanpa hujan atau “ilmu tanpa amal umpama pohon tanpa buah.”
Ilmu juga merupakan hasil dari keimanan yang benar kerana tidak dapat digambarkan wujudnya keimanan tanpa amal. Tidak diragukan lagi bahawa keimanan yang benar tidak dapat tidak mestilah membuahkan amalan. Amal yang dituntut ialah mengarahkan keupayaan yang rasional untuk melaksanakan matlamat Syarak terhadap manusia di permukaan bumi.
Dalam era dunia kemodenan ini, ilmu datang mencurah-curah dibawa oleh sains dan teknologi ke seluruh pelusuk dunia sehingga mewujudkan dunia tanpa sempadan. Perhubungan antarabagsa serantau telah dipermudahkan dan dipercepatkan oleh keunggulan teknologi sains hingga seola-ola kita hidup dalam satu perkampungan yang kecil.
Ilmu yang berbentuk sekular memerlukan saringan keagamaan agar penggunanya tidak terpedaya dengan amalan yang menyonsangkan kemurniaan akhlak di pentas dunia. Di situlah penting amal ibadat yang menjadi pemangkin ke arah kemurnian akhlak yang sentiasa memen- tingkan keredhaan Allah s.w.t..
Allah berfirman dalam Al-Qur’an surah Al-Zariyat: 56 yang bermaksud (terjerjemahan): “Dan Aku tidak mencipakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepadaKu.”
Surah Al-Baqarah: 30 yang bermaksud(terjemahan) “Sesungguhnya Aku mahu menjadi kan seorang khalifah di atas muka bumi.”
Surah Hud:61 yang bermaksud (terjemahan): “Dialah (Allah) yang menciptakan kamu dari tanah dan menjadikan kamu pemakmurnya.”
Tiga perkara ini saling bekait antara satu sama lain. Memakmurkan bumi adalah sebaha- gian dari ibadat serta melaksanakan tugas sebagai khalifah. Sementara ibadat menurut pengertian nya yang luas adalah meliputi khalifah dan memakmurkan bumi. Tidak dinamakan khalifah tanpa ibadat dan memakmurkan bumi.
Amal yang dikehendaki oleh Islam ialah “amal soleh”. Soleh adalah ungkapan al-Quran yang luas pengertiannya yang merangkumi semua amal yang membawa kebaikan kepada agama dan serta kepada individu dan masyarakat. Ia merangkumi ibadat dan muamalat, atau amal khidupan dan kematian sepertimana yang diungkapkan oleh para ulama Rahimahumula.
Dunia kemodenan wajar ditangani dengan iman dan takwa. Ilmu dan amal soleh menjadi sajian kepada kerukunan hidup bertoleransi yang dimuliakan oleh keunggulan iman yang tunjangi oleh ketakwaan kepada Allah s.w.t.

Saturday, November 19, 2011

FUTURISTIK DENGAN PEMIKIRAN KEAGAMAAN

(Disiarkan pada 19.11. 20)
Hidup beragama sentiasa melihat masa hadapan mengenai pembangunan rohani yang memfokuskan kepada kehidupan akhirat. Setiap individu muslim wajar beriman kepada hari akhirat iaitu satu daripada rukun iman yang kita pelihara dalam menangani kehidupan di alam dunia.
Dalam erti kata lain futuristik dengan pemikiran keagamaan memberi keutamaan kepada agenda seperti hari Qiamat; hari pembalasan, hari hisab; hari Mahsyar; hari dibangkit semula dari kubur; Yaumiddin (hari kemudian); kehidupan di syurga; kehidupan di neraka(minta Allah lindungkan); dan lain-lain.
Hidup yang berupa sementara ini wajar digunakan bagi membuat persediaan untuk menempuhi hidup yang kekal di alam ahirat kelak. Setiap individu wajar melalui dua pintu qiamat iaitu qiamat mini seperti kematian hidup di alam dunia dan qiamat yang kedua ialah dunia hancur-hancuran di mana kita dibangkitkan semula dari alam kubur dan dipertemukan semula dengan roh kita dan dikumpulkan semua di padang Mahsyar untuk menimbang ‘amal-‘amal setiap individu semasa hidup di dunia.
Allah berfirman dalam Al-Qur’an yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil (untuk menimbang ‘amal-‘amal makhluk) pada hari qiamat. Maka tidak ada diri sesiapa pun akan teraniaya sedikirpun, dan jika ‘amal sebesar biji sawi (sekalipun) nescaya Kami akan mendatangkannya (pahala). Dan cukuplah Kami sebagai penghitung”. (Surah Al-Anbiya’ : Ayat 47).
Allah menerangkan, bahawasanya pada hari kiamat nanti akan diletakkan sebuah neraca (timbangan) keadilan di hadapan khalayak ramai. Gunanya untuk menimbang amalan seseorang, supaya dia tidak teraniaya-walaupun amalannya itu cuma seberat biji sawi- yang melambangkan terlalu kecil dan remeh sekalipun, namun Allah tetap juga akan membalasnya dengan cukup dan tidak akan dikurangi. Dan memedailah Allah sahaja membuat yang akan membuat perhitungan semuanya, sekali-kali tidak menjadi kepayahan kepada-Nya untuk membalas tiap-tiap orang.
Jika amalan salih atau yang baik itu lebih berat, maka orang yang empunya amalan itu pun dimasukkan ke dalam syurga dan menjadi orang yang berjaya. Tetapi jika amalan buruk atau jahat yang lebih berat, maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka dan menjadi orang yang celaka.
Berlangsungnya menimbang amalan itu sesudah dilakukan hisab, yakni perkiraan terlebih dahulu. Bukan semua makhluk akan dihisab. Di antara mereka ada dikecualikan daripada ditim- bang dan dihisab seperti para nabi dan para malaikat.
Ayat ini merupakan amaran yang keras, supaya orang berjaga-jaga terhadap amalannya, kerana Allah akan mengira dan menimbangnya untuk diberikan balasan. Orang yang kufur atau berlaku syirik terhadap Allah tidak perlu amalannya ditimbang, kerana mereka tidak mempunyai apa yang disifatkan sebagai amalan disebabkan keingkarannya.
Makhluk manusia diwujudkan Allah di dunia bukan sia-sia tetapi dipertanggungjawabkan memegang amanah Allah s.w.t. Setiap insan dibekalkan Allah dengan akal dan ilmu yang memandunya dalam memakmurkan alam kehidupan sebagai khalifah Allah. Perlaksanaan amanah Allah difahami sebagai ibadat kerana Allah. Setiap ibadat yang kita laksanakan dalam menangani kehidupan wajar dimurnikan dengan pertanyaan “Allah redha atau tidak?” Dalam erti kata lain melaksanakan khidmat kepada diri. keluarga, masyarakat, agama dan negara harus dihiasi dalam jiwa yang melihat kemanfaatannya untuk akhirat.
Khidmat yang kita laksanakan adalah untuk masa depan kerana agenda yang kita hadapi menitik beratkan kepada faktor masa. Menangan masa adalah satu ibadat yang amat penting
apabila kita mengutamakan pembangunan jasmani dan pembangunan rohani. Pembangunan kedua-dua faktor memerlukan kita bersandar kepada kemurnian beragama.
Hidup beragama adalah untuk kesedaran atau peringatan kita bersama tentang ‘azab Allah yang amat pedih terhadap mereka yang melakukan dosa. Kepentingan memikirkan futuristik adalah untuk keselamatan dan kebahagian hidup di alam akhirat yang Allah telah sediakan untuk hamba-hambaNya. Menempuhi hidup bahagia di akhirat nanti wajar membina kehidupan bahagia di dunia dengan tidak melakukan dosa.
Allah telah menurunkan dokumen wahyu guna untuk manusia mengikuti cara hidup yang diredahiNya demi mendapatkan tikit masuk ke syurga. Manusia melakukan dosa apabila gagal beribadah kepada Allah s.w.t. Mari kita perhatikan sedikit keterangan mengenai neraka Allah. Allah telah menerangkan dalam surah Al-Muddathir, ayat 42-46 seperti berikut:
Ayat 42 yang bermaksud: “Apakah yang menyebabkan kamu masuk neraka?”
Ayat 43 yang bermaksud: “ Orang-orang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.”
Ayat 44 yang bermaksud: “Dan Kami tidak pernah memberi makan orang miskin.”
Ayat 45 yang bermaksud: “Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkata- kan yang salah bersama-sama orang yang memperkatakannya.”
Ayat 46 yang bermaksud: “Kami sentiasa mendustakan hari pembalasan.”
Allah telah menyediakan di akhirat nanti untuk mereka yang berbuat dosa dan tidak bertaubat terhadap kezalimannya kepada Allah seperti dalam firmanNya Surah Al-A’raf: ayat 41 yang bermaksud:
“Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api neraka). Dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keingkarannya).”
Orang-orang tersebut akan dimasukkan ke dalam neraka Jahanam, yang mana seluruh tubuhnya nanti akan dikelilingi oleh api, dari bawah sebagai tilamnya dan dari atas sebagai selimutnya. Dan begitulah mereka mendapat pembalasan daripada Allah kerana kezaliman mereka, iaitu beribadat kepada yang bukan tempatnya. Itulah siksaan dan balasan yang akan diterima oleh orang yang zalim
Distinasi hidup manusia adalah alam akhirat yang terbahagi kepada syurga bagi orang-orang yang beruntung dan neraka bagi mereka yang rugi kerana zalim dan mengkhianati Al-Qur’an. Kiblat pemikiran yang mulia sentiasa mengharapkan kebahagian hidup di syurga maka itu ia sentiasa melaksanakan ibadatnya dalam sinario kemurnian beragama kelak memusatkan pemikiran terhadap ibadat yang dilaksanakan, “Allah Redha atau tidak?”
Kehidupan di akhirat iaitu kehidupan selepas qiamat dan selepas dibangkitkan dari kubur, masing-masing, ada dua kehidupan sahaja, kehidupan di syurga dan kehidupan di neraka (semoga dilindingi Allah jua). Selain dari dua kehidupan ini tidak ada lagi kehidupan lain.
Manusia diberi peluang di dunia ini supaya ber’amal dengan ‘amalan yang baik bagi mendapat keredhaan Allah dan seterusnya mendapat balasan baik dari Allah di akhirat kelak iaitu mendapat balasan syurga.
Menyentuh soal syurga marilah kita perhatikan keterangan Allah dari Kitab Suci Al-Qur’anul-Karim, Surah Ad-Dukha: Ayat 51 -57 yang bermaksud (terjemahan):
“Sesungguhnya orang yang bertakwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa iaitu di dalam beberapa taman syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya. Mereka memakai pakaian dari sutera yang halus dan sutera tebal yang bersulam, (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan. Demikianlah keadaannya, dan Kami
jadikan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya. Mereka meminta di dalam syurga itu tiap-tiap jenis buah-buahan (yang mereka ingin), dalam keadaan aman sentosa. Mereka tidak merasai kematian di dalam syurga itu selain daripada mati yang mereka rasai di dunia dahulu, dan Allah selamatkan mereka dari ‘azab neraka. (Mereka diberikan semuanya itu) sebagai limpah kurnia dari Tuhanmu (wahai Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasalam)’ yang demikian itulah kemenangan yang besar.”
Orang-orang yang takwa kepada Allah di dunia ialah yang takut kepada seksa Allah dengan memelihara dirinya dari melakukan kejahatan, iaitu mengerjakan perintah dan menjauhi tegahan, Allah menjanjikan kepada mereka di akhirat nanti akan mendapat kedudukan yang baik. Aman sentosa dari merasakan kematian, bahkan aman dari bencana dan kesusahan.
Allah berfirman dalam Al-Qur’an surah Al-Hadid ayat 20 yang bermaksud (terjemahan): “Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan sesuatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah di antara kamu serta berbangga-bangga dengan banyaknya harta benda dan ramainya anak pinak. Sesungguhnya itu (terhad waktunya) samalah seperti hujan (yang menumbuhkan tanam-tanaman yang menghijau subur) menyebabkan penanamnya gembira dan tertarik hati terhadap kesuburannya. Kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa tertentu). Selepas itu engkau melihatnya menjadi kuning dan akhirnya akan hancur. Dan hendaklah diketahui lagi bahawa di akhirat disediakan azab yang berat (bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan di dunia) dan ada pula kumpulan besar serta keredaan dari Allah (disediakan untuk orang-orang yang mengutamakan akhirat). Ingatlah bahawa kehidupan dunia hanyalah kesenangan bagi orang-oran yang terpedaya.”
Allah memaklumkan dengan perumpamaannya mengenai hal-ehwal kehidupan dunia yang cepat menghilang iaitu: Wahai sekalian manusia, ketahuilah oleh kamu! Sesungguhnya kehidupan di dunia ini tidak lain yang diagung-agungkan oleh manusia hanyalah mengadakan permainan demi permainan yang akan memenatkan orang seperti kanak-kanak yang penat oleh permainannya.
Dan senda gurauan, yang melalaikan daripada mentaati Allah dan daripada mengingat akhirat- hanya untuk bersuka-suka sahaja.
Dan merupakan perhiasan, yang dengannya orang-orang yang jahil itu menjadikan bermacam-macam model pakaian yang cantik-canti, dipakai untuk menghiasi kenderaan yang bagus-bagus dan melengkapkan rumah-rumah besar yang mewah dengan beraneka rekreasi yang menarik.
Menurut Ibnu Abbas mengumpulkan harta daripada hasil yang dimurkai Allah membang ga-banggakannya kepada hamba-hamba yang mentaati Allah dan dibelanjakannya pula pada perkara yang dimurkai Allah.
Itulah gambaran kehidupan di dunia laksana bunga-bunga yang indah yang akan layu dan fana dan merupakan nikmat-nikmat menyenangkan yang cepat menghilang, telah digambarkan oleh Allah seperti air hujan yang turun dengan lebatnya menimpa bumi, akan menyuburkan tanam-tanaman menyebabkan petani-petani merasa kagum melihatnya dan bergembira untuk mendapatkan hasilnya. Tetapi sayang! Kemudian para petani itu keadaannya bertukar menjadi panik apabila melihat tanam-tanaman tersebut berubah menjadi kering, warnanya kuning, kemudian hancur dan diterbangkan angin.
Demikianlah sekelumit contoh budaya pemikiran futuristik yang berlandaskan kemurnian beragama. Wawasan hidup seharusnya merangkumi sinario kesucian beragama dan sentiasa kiblatkan pemikiran kepada Zat yang Maha Berkuasa kerana amal ibadat itu adalah tawakal semata-mata kepada Allah yang pantas meredhai usaha kita.

Sunday, November 13, 2011

AKAL DAN IMAN MEMBINA MANUSIA MULIA DI SISI ALLAH S.W.T.(Bahagian Kedua)

(Disiarkan pada 12 November 2011)
Akal dan iman adalah dua fakulti dalam diri insan yang mengangkat martabat manusia sebagi khalifah Allah s.w.t. Walaubagaimanapun hakikat manusia sebagai insan mempunyai identiti yang istimewa. Mereka dikurniakan oleh Allah dengan sifat khusus untuk membolehkan mereka menanggung amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan menegakkan agama Allah yang tidak tertanggung oleh makhluk yang lain (Surah al-Baqarah 2:30).
Al-Qur’an menjelaskan penciptaan manusia yang pertama dalam dua tahap yang berbeza, iaitu tahap awal dan tahap biologi. Pada tahap awal, Allah mencipta nabi Adam a.s. sebagai manusia yang pertama. Jasad Nabi Adam dicipta dari tanah yang dibentuk oleh Allah dalam bentuk yang seindah-indahnya. Kemudian Allah meniupkan roh-Nya ke dalam jasad yang telah dibentuk itu. Penciptaan manusia diisytiharkan sendiri oleh Allah di hadapan para malaikat:
“Ketika Tuhanmu bekata kepada malaikat: Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang telah berubah. Apabila Aku telah sempurnakan kejadiannya, dan Aku tiupkan ke dalamnya daripada roh-Ku, maka tunduk lah kamu (malaikat) kepadanya (Adam) dengan bersujud.” (Surah al-Hijr 15:28-29)
Allah telah menjelaskan bahawa manusia terdiri daripada dua unsur, iaitu jasad dan roh, Jasad manusia boleh dilihat kerana ia terbentuk daripada bahan tanah lumpur yang terdapat dibumi, manakala roh manusia tidak boleh dilihat kerana ia terbentuk daripada bahan roh Allah yang hanya terdapat di sisi Allah. Roh manusia yang termasuk perkara ketuhanan bersifat ghaib dan kekal manakala jasad manusia yang termasuk perkara keduniaan bersifat nyata dan sementara. Cantuman dua unsur yang mempunyai cirian, sumber, keadaan, orientasi, dan bentuk yang berbeza inilah yang menghasilkan sejenis makhluk yang dikenali sebagai manusia.
Dengan tercipta Nabi Adam a.s. dan hawa, maka terbentuklah zuriat manusia yang seterusnya (Surah al-Nisa 4:1). Dengan itu, proses kejadian manusia selepas Nabi Adam dan Hawa adalah berbeza daripada proses kejadian yang dialami oleh mereka berdua. Pada tahap biologi ini, jasad manusia tidak lagi dicipta secara langsung daripada tanah, tetapi terhasil daripada percantuman sel sperma lelaki (spermatozoon) dengan telur matang wanita (ovum). Walaupun begitu, manusia masih mempunyai unsur jasad dan unsur roh sebagaimana kejadian Nabi Adam pada tahap awal. Al-Qur’an menjelaskan kejadian manusia pada tahap biologi seperti firman Allah yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu sari pati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikannya air benih (nutfah) yang tersimpan dalam tempat yang kukuh (uterus). kemudian Kami jadikan air benih itu segumpal darah (alaqah), lalu gumpalan darah itu Kami jadikan seketul daging (mudqah), lalu Kami liputi tulang belulang itu dengan daging. Kemudian kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain(manusia yang sempurna). Maha suci Allah, sebaik-baik Pencipta.” (Surah al-Mu’minun 23:12-14.
Walaupun proses kejadian manusia peringkat awal (Nabi Adam) dan proses tahap biologi agak berbeza tetapi bahan kejadian keduanya adalah serupa. Proses awal kejadian manusia dari tanah kemudian apabila bentuknya yang diindahkan maka Allah meniupkan rohnya ke dalam jasad yang telah dibentuk itu maka jadilah makhluk manusia. Setelah itu Allah bekalkan berbagai fitrah sebagai fakulti yang membantu manusia melaksanakan berbagai ibadat.
Manakala proses biologi pula cantuman air mani lelaki dengan air mani perempuan menjadi segumpal darah. Perkembangan kejadiannya adalah dalam tiga peringkat. Setiap peringkat memakan masa 40 hari. Pada peringkat 40 hari yang ketiga Allah meniupkan roh-Nya maka jadilah makhluk manusia yang berperasaan.
Air mani lelaki terbentuk dari makanan yang diambilnya dari tumbuh-tumbuhanan yang hidup mendapatkan makanan dari tanah. Semua zat makanan yang diambil sememangnya berasal dari tanah. Makanan seperti daging, telor, kiju, ikan, sayur-sayuran dan sebagainya adalah semuanya berasal dari tanah setelah melalui proses yang berperingkat-peringkat. Setelah manusia dilahirkan ke dunia oleh ibu yang mengandunya maka Allah bekalkan berbagai fitrah yang membantunya untuk melaksanakan ibadat. Maka kejadian awal manusia dengan kejadian dalam proses biologi adalah serupa.
Pembangunan manusia sama ada dari segi jasmani mahupun rohani dimurnikan oleh Islam yang diterima dari langit (Allah) oleh Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. dalam perantaraan Malaikat Jibril. Kehadiran akal fikiran dan iman kepada Zat yang ghaib pada setiap individu memurnikan hidup manusia di sisi Allah s.w.t. Amanah Allah yang dipertanggung- jawabkan kepada manusia sebagai khalifah-Nya ialah memakmurkan kehidupan di alam dunia.
Maka itu setiap ‘amalan akan dibalas walaupun sebesar biji sawi. Tetapi Allah juga ber- kuasa mengampunkan dosa dan sememangnya Allah ampunkan segala dosa orang yang memohon keampunan kepada-Nya, selain dari dosa syirik. Dosa syirik perlulah bertaubat dan mohon ampun kepada Allah.
Sebagaimana telah diketahui Rukun Iman ada enam (6) perkara, iaitu:
1. Berimankan kepada Allah
2. Berimankan kepada Malaikat
3. Berimankan kepada Kitab Allah
4. Berimankan kepada Rasul-Rasul Allah
5. Beriankan kepada hari Akhirat
6. Beriankan kepada Qadha’ dan Qadar Allah.
Beriman kepada Allah adalah kemuncak kepada segala kepercayaan manusia. Maksud beriman kepada Allah, ialah percaya dengan sebenar-benar percaya yang Allah itu sebenar-benarnya ada, dan percaya bahawa di sebalik kejadian langit dan bumi ada Tuhan(yang berhak disembah) yang bernama Allah. Allah inilah yang mencipta langit dan bumi dan seluruh makhluk baik di langit dan di bumi. Allah jugalah yang mentadbir ‘alam dan semua makhluk, baik makhluk bernyawa atau makhluk tidak bernyawa.
Allah Maha Esa, Maha Tunggal. KuasaNya dan ‘ilmuNya meliputi segala sesuatu. Tidak ada Tuhan di sampingNya. Dan tidak ada sebarang kuasa di sisi-Nya melainkan kuasa-Nya jua. Segala kuasa yang ada pada makhluk (termasuk manusia) adalah anugerah-Nya belaka. Tidak ada sesuatu makhluk pun yang memiliki kuasa mutlak bagi dirinya. Segala-galanya tunduk patuh kepada kehendak-Nya.
Allah berfirman dalam Al-Qur’an surah Ash-Shaffaat ayat 4: bermaksud (terjemahan) “Sesungguhnya Tuhan kamu hanyalah satu.”
“Tuhan (yang mencipta serta mentadbirkan) langit dan bumi dan segala yang ada antara keduanya, dan Tuhan (yang mengatur) tempat-tempat terbit matahari. (Surah Ash-Shaffaat: ayat 5).
“…..dan tidak ada yang bersifat ketuhanan melainkan Allah. Yang Maha Esa lagi Yang Maha Mengatasi penguasaan-Nya.” (Surah Shad: Ayat 65)
Sifat ketuhanan ialah sifat kesempurnaan yang terkaya daripada segala yang lain tidak berhajat kepada sesuatu apapun. Bahkan berkehendak yang selain Allah kepada Allah . Dialah Allah tempat tumpuan semua makhluk.
Rukun iman yang kedua ialah berimankan kepada Malaikat. Malaikat ialah makhluk Allah yang dijadikan-Nya dari cahaya (nur). Malaikat sejenis makhluk halus seperti jin juga yang tidak boleh diketahui keadaannya dengan pancaindera, kecuali ia menjelma menyamar diri, sebagai makhluk yang zahir. Malaikat dijadikan Allah untuk menjalankan tugas yang diperintah kan oleh Allah di dalam urusan Allah mentadbir ‘alam dunia dan ‘alam kubur serta ‘alam akhirat. Tempat malaikat ialah di langit.
Malaikat terbahagi kepada beberapa kumpulan yang tertentu sesuai dengan tugas yang ditetapkan oleh Allah. Ada yang hanya ber’ibadat sahaja kepada Allah dari dahulu hingga ke hari qiamat. Ada yang turun-naik dari langit ke bumi dan dari bumi ke langit menghadiri majlis-majlis ‘ibadat yang dikerjakan oleh manusia, seperti; majlis sembahyang, majlis ‘ilmu, majlis zikir dan sebagainya.
Beriman kepada Kitab Allah adalah rukun iman yang ketiga. Setiap orang Islam diwajibkan beriman kepada semua kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah kepada Rasul-RasuNya. Kitab-Kitab itu adalah wahyu yang diturunkan Allah kepada Rasul-Nya melalui Jibril. Kemudian wahyu itu ditulis menjadi kitab.
Allah berfirman dalam al-Qur’an yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya dan kepada kita Al-Qur’an yang telah diturun kepada RasulNya(Muhammad Shallallahu ‘alihi wasallam) dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan siapa yang kufur ingkar kepada Allah dan malaikat-malaikatNya dan kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya dan juga hari akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesasatan yang sejauhnya.” (Surah An-Nisa’: Ayat 136)
“Dan Kami turunkan kepadamu (Wahai Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam). Kitab (Al-Qur’an) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya kitab-kitab suci yang terdahulu daripadanya dan untuk memelihara serta mengawasinya…. (Surah Al-Ma’idah: Ayat 48)
“Dia menurunkan kepada engkau (Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasalam) Al-Qur’an dengan sebenarnya (membawa kebenaran), membenarkan kitab yang telah diturunkan sebelum nya dan Dia menurunkan Taurat dan Injil. (Surah Ali-“Imran: ayat 3)
Dari keterangan-keterangan tersebut dapat difahamkan bahawa Allah menurunkan Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Allah telah turunkan juga kitab-kitab kepada Rasul-Rasul yang terdahulu. Dengan itu wajiblah kita beriman sebagaimana keterangan Al-Qur’an berikut.
Rukun Iman yang ke empat ialah berimankan Rasul-Rasul Allah. Beriman kepada rasul adalah Rukun Iman yang kedua pentingnya selepas berimankan kepada Allah, kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyampaikan kepada manusia akan segala ajaran Allah. Tanpa mempercayai rasul, maka seluruh pengajaran yang Allah hendak sampaikan aka terhalang. Tidak mempercayai rasul samalah tidak mempercayai Allah.
Beriman Kepada Hari Akhirat adalah satu daripada rukun iman yang wajib diyakini oleh setiap muslim. Pengertian hari akhirat termasuklah Hari Qiamat; Hari Pembalasan; Hari Hisab; Hari Mahsyar; Hari dibangkitkan semula dari kubur; Yaumiddin (hari kemudian); Kehidupan di syurga; Kehidupan di neraka (minta Allah lindungkan) dan sebagainya.
Allah menyebut di dalam Al-Qur’an mengenai hari akhirat seperti berikut: “Bahawa sesungguhnya hari qiamat itu mesti datang, tiada ragu lagi padanya, dan Allah akan memba- ngunkan orang dari kuburnya. (Surah Al-Hajj: Ayat 7)
“Katakanlah , sesunguhnya orang-orang dahulu dan orang-orang kemudian, tetap akan dikumpulkan pada hari qiamat yang termaklum”. (Surah Al-Waqi’ah: Ayat 49-50)
“ Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil (untuk menim- bang ‘amal’-amal makhluk) pada hari qiamat . Maka tidak ada diri sesiapa pun akan teraniaya
sedikitpun, dan jika ‘amal sebesar biji sawi (sekalipun) nescaya Kami akan mendatangkannya (pahala). Dan cukuplah Kami sebagai penghitung”. (Surah Al-Anbiya’: ayat 47)
Keterangan ayat-ayat di atas adalah jelas mengenai hari akhirat dan balasan yang setimpal dengan ‘amalan masing-masing, baik dibalas baik dan jahat dibalas dengan se ‘adil-‘adilnya.
Berimankan Qadha’dan Qadar adalah rukun iman yang keenam. Segala sesuatu seluruhnya, apa sahaja baik di langit, bumi dan segala isinya serta apa yang berlaku didalam dan diluarnya, adalah mengikut peraturan yang sempurna yang dibuat dan diatur oleh Allah yang bersifat dengan amat bijaksana.
Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “…dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan disisiNya dengan qadar yang tertentu.” (Surah Ar-Ra’d: Ayat 8)

Friday, November 4, 2011

AKAL DAN IMAN MEBINA MANUSIA MULIA DI SISI aLLAH s.w.t.

(Disirkan pada 5 November 2011)
Manusia terbina diatas fakulti akal yang dipimpin oleh kemuliaan iman kepada Zat yang Maha Pencipta. Makhluk manusia terpimpin di atas landasan kemurnian akal yang membolehkan ia menjadi khalifah Allah di muka bumi ini. Akal dan ilmu yang dimuliakan oleh iman melahir kan kesempurnaan hidup bertamadun.
Penganugerahan akal kepada manusia adalah sesuatu hadiah yang paling berharga sekali dan tidak dapat dinilai. Tanpa akal manusia tidak dapat menjalankan tugas sebagai khalifah Allah s.w.t. dan manusia adalah sama dengan binatang.
Dengan akal manusia dapat berfikir dan bertindak sesuai dengan tugasnya sebagai hamba Allah. Akal juga merupakan alat bagi seseorang manusia untuk dapat menilai sesuatu dan meng gunakannya untuk manfaat umum. Segala rahsia yang selama ini terpendam dan tersembunyi dapat dibongkar oleh manusia. Inilah hikmah Allah menjadikan seluruh makhluk ini tidak sia-sia.
Untuk mengetahuinya manusia perlulah mengkaji dan menyelidik, akan tersingkaplah rahsia-rahsia tersebut. Maka itulah peranan akal yang menemukan sesuatu itu dengan hakikat kejadiannya. Manusia akan kagum terhadap hikmah kebijaksanan ciptaan Allah s.w.t.. Nilai akal kepada manusia adalah suatu yang tidak dapat dihitung oleh manusia, oleh itu Allah s.w.t. menyarankan kepada manusia supaya menggunakan akal ini mengikut landasan yang telah digariskan oleh Allah.
Allah befirman dalam al-Qur’an surah An-Nahl ayat 78 yang bermaksud (terjemahan): “Allah telah mengeluarkan kamu dari perut ibumu sedangkan kamu tidak mengetahui sesuatu. Lalu Allah jadikan bagimu pendengaran, penglihatan dan hati(akal) supaya kamu bersyukur.”
Allah seringkali menggesa supaya manusia menggunakan akalnya demi manfaat kepada dirinya, keluarganya dan masyarakat umum. Akal yang digunakan tidak mengikut aturan yang sepatutnya atau tidak menggunakan akal yang diberikan itu adalah sesuatu kesalahan. Apa yang sepatutnya, akal haruslah diarahkan untuk mengkaji dan menilai kekuasaan Allah s.w.t. bagi menguatkan lagi akidah tauhid dan keimanan kepadanya.
Firman Allah yang bermaksud: “Hendaklah kamu fikirkan apa yang ada d langit dan di bumi” (Yunus:10)
Pada ayat yang lain Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud (terjemahan): “Tidakkah mereka berfikir tentang diri mereka. Allah tidak menjadikan langit dan bumi dan barang di antara keduanya melainkan dengan sebenar (tidak sia-sia).” (Ar-Rum:8)
Allah s.w.t. menjadikan manusia dengan sebaik kejadian baik dari segi bentuk badannya ataupun dari sudut darjatnya dan lebih berkedudukan daripada makhluk-makhluk lain. Allah lengkapkan manusia dengan akal dan jiwa. Dengan akal ini manusia dapat mengatur seluruh alam, dapat mengatur hidupnya, menyusun masyarakat dan memerintah sesebuah negara. Dengan akal inilah juga manusia menjadi makhluk teristemewa daripada makhluk-makhluk yang lain. Ketinggian akal ini dapat dilihat pada kelakuan dan tindak tanduk manusia, sama ada semasa berjalan, duduk, tidur dan sebagainya.
Hawa dan akal dalam diri manusia mempunyai peranan masing-masing. Hawa membawa sesat dan tidak berpedoman sedangkan akal menjadi pedoman menuju keutaman. Sebab itu kita perlu mengetahui manakah perintah hawa dan manakah perintah akal. Perbezaan antara keduanya sangat sulit, berkehendakkan kepada ilmu hakikat yang dalam.
Garis besar yang lurus diperhatikan, ialah bahawa akibat yang dikehendaki akal itu ialah akibat mulia dan utama, tetapi jalannya sukar. Hawa berakibat bahaya, tetapi jalannya amat mudah. Sebab itu jika menghadapi dua perkara, hendaklah dipilih barang yang sukar mengerja-
kan tetapi baik akibatnya. Jangan barang yang diingini oleh hawa nafsu, kerana akibatnya buruk. Kebanyakan barang yang baik sukar dikerjakan. Itulah sebab Rasulullah bersabda: “Diramai kan syurga dengan barang yang berat mengerjakan dan diramaikan neraka dengan syahwat.” (HR: Bukhari dan Muslim)
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud (terjemahan): “Boleh jadi kamu benci sesuatu, padahal dia baik bagimu, dan boleh jadi kamu cintai sesuatu padahal dia jahat bagimu.” (Al-Baqarah:216)
Inilah suatu pedoman besar di dalam kehidupan. Sebab itu, jika nanti tertarik dan keingi- nan telah besar kepada sesuatu maksud, lekaslah timbang. Kerana jika telah lekat kepada sesuatu, mata boleh buta dan telinga boleh pekak, pertimbangan tidak ada lagi. Hawa menyuruh mengelamun , berangan-agan, tetapi akal menyuruh menimbang.
Sungguhpun pedoman telah ada, namun manusia boleh juga sesat kerana semua bergantung kepada taufik dan hidayah Illahi. Maka itu hendaklah segera lari atau merujuk kepada Allah di waktu hati telah mulai ragu. Minta pertimbangan-Nya. Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. sering berdoa kepada Allah apabila berada dalam situasi demikian dengan berkata: Ya Allah berilah aku kekuatan untuk melihat yang putih itu adalah putih dan yang hitam itu adalah hitam.” (Haditah Shahih)
Ulama berkata, bila terjadi peperangan di antara akal dan hawa nafsu, akal mempertahan kan barang yang pahit tetapi manis akibatnya, nafsu mempertahankan barang yang manis tetapi pahit bekasnya. Ketika itu keduanya sama mencari alasan dan sandaran. Akal mencari pembelaan dari nur Allah, nafsu mencari perlindungan dari was-was syaitan.
Kalau menang bala tentera hawa terhapuslah cahaya kebenaran, padamlah sulu yang hak, terang matanya menghadapi keuntungan yang sebentar, buta dari keuntungan yang sebenarnya. Tertipu oleh kelezatan yang cepat datang dan cepat hilang, tidak insaf kepada kekayaan, dan kalahlah petunjuk ilahi. Kalau yang mempunyai akal itu lekas segera mempertahankan petunjuk Tuhan, berpedoman Nur Tuhannya, necaya jatuh tersungkurlah bala tentera syaitan dan terpasunglah hawa nafsu.
Kalau Rasul diturunkan kepada manusia sebagai penasihat dan petunjuk jalan yang benar yang diredhai Allah s.w.t. maka akal juga dibekalkan Allah kepada setiap manusia sebagai alat untuk memberi pedoman dalam menangani kerenah-kerenah hidup di dunia. Kemuliaan amal manusia disisi Allah s.w.t. bersadarkan kepada petunjuk yang diberi oleh Rasul dengan berpedomankan kepada wahyu Illahi iaitu Al-Qur’an al Karim.
Manakala akal membentuk akhlak manusia agar dapat melaksanakan ibadat yang diredhai Allah s.w.t. Perjalanan akal menangani landasan hidup yang mulia sering diporak-porandakan oleh hawa dalam diri manusia. Tetapi Rasul memimpin manusia ke jalan yang lurus sentiasa dihalang oleh iblis laknatullah. Memberi kekuatan kepada kedua-dua pemimpin tersebut ialah merujuk kepada Allah s.w.t.yang akan membetulkan tidakan yang benar.
Perbezaan antara kedua-dua pemimpin ialah Rasul adalah nyata boleh dilihat dan dirasai keberadaannya dan dia berada diluar diri manusia. Kepimpinannya memerlukan akal dan kemahiran berfikir kepada orang yang dipimpin untuk mentafsirkan fakta yang dikemukakan. Tetapi akal adalah dalam keadaan ghaib dan hanya dapat dilihat kesannya. Ia berada dalam diri manusia memimpinnya ke landasan yang benar. Akal bersepadukan dengan kemahiran berfikir di atas lanasan iman untuk mengeluarkan fakta.
Akal itu satu nikmat Allah yang membezakan makhluk manusia dengan makhluk-makhluk Allah yang lain. Akal disepadukan dengan fikiran manusia mencapai alam Malaikat,
mengenal Zat yang Maha Pencipta mengembang dan menjalankan amanah, beradaptasikan dengan lingkungan, menguasai berbagai disiplin ilmu dan boleh membezakan antara kebajikan dengan keburukan. Akal manusia adalah satu bukti kebesaran Allah s.w.t.
Akal bersepadukan keimanan kepada Allah adalah pusat analisa dan disiplin ilmu pengetahuan., tempat bersarangnya hikmah yang membezakan antara yag kufur dan yang bathil. Akal dan iman sebagai pemimpin yang harus ditaati. Apa yang terasa sempit oleh mata dan jiwa akan terasa luas bagi akal fikiran.
Akal dan iman adalah sebagai sarang ilmu pengetahuan dan tempat hikmah. Semakin banyak ilmu yang dikuasai semakin tinggi potensi manusia, namun demikian ia tidak mampu menjangkau hakikat akal itu sendiri. Akal berfungsi sebagai dasar dari jiwa dan naluri yang normal, baik ketika mencintai sesuatu atau membencinya.
Pembentukan manusia adalah jauh lebih canggih daripada malaikat kerana kehadiran akal dan nafsu. Manusia menggunakan akal untuk menyelesaikan masalah adalah jauh lebih selamat daripada manusia yang melayani nafsu tanpa memberi ruang kepada akal untuk memainkan peranan.
Akal manusia sebagai media yang memiliki potensi dan dapat mengetahui hakikat Allah, iaitu dengan jalan memikirkan dan mengenalisa tanda-tanda kebesaranNya. Tanda-tanda kebesaran Allah itu terdapat pada setiap makhluk ciptaanNya. Allah sentiasa mengajak kita untuk memikirkan bagaimana proses mencipta.
Allah telah memberikan manusia kemampuan berfikir, meramal, merasa, berkhayal dan berilustrasi, sehingga dengan kemampuan berkhayal, manusia dapat melihat benda-benda abstrak, menembusi dinding zaman, mengembara di alam semesta dan merasakan keindahannya.
Kemampuan manusia dapat mengingat semua data yang tertulis dan terpahat dalam otaknya. Ini semua merujuk kepada potensi akal di samping juga berfikir dan kesedaran yang pada akhirnya akan menimbulkan sikap cinta, marah, menolak, ingin dan mahu. Dalam sikap demikian akan muncul daya cipta baik secara implisit mahupun eksplisit.
Watak pemikiran manusia melihat sesuatu yang indah dan merasa kagum dan setelah menatap sesuatu yang buruk ia akan mengetahui maknanya baik. Manusia tidak akan mengetahui maknanya baik jikalau belum melihat yang buruk dan tidak akan memikirkan yang lebih baik sebelum merenungi yang baik.
Dari sudut jasmani, fungsi akal merujuk fungsi yang dijalankan oleh organ otak. Dari sudut rohani pula, akal bertanggungjawab terhadap proses persepsi, pemahaman, penakulan, pemikiran dan pembinaan skim ilmu. Dengan akal manusia dapat berfikir tentang baik buruknya sesuatu perkara, mengatasi konflik kognitif, dan meneliti perubahan dalam persekitaran sehingga dapat mengambil manfaat darinya. Pada asasnya, akal terdiri daripada bahan kerohanian yang membolehkan roh rasional mengenali dan membezakan kebenaran daripada kebatilan.
Fakuli akal mempunyai kecendrungan untuk mengetahui. Akal merupakan alat yang membolehkan seseorang memahami dan mengamati fenomena alam semulajadi. Sejarah tama- dun manusia, dan perkembangan diri serta menganalisis kepentingan hidup beragama. Melalui akal, manusia dapat memerhati, mentafsir, dan memahami tanda-tanda Allah yang bersifat lingustik begitu juga yang bukan bersifat linguistik. Tanda linguitik merujuk kepada ayat-ayat al-Qur’an, manakala tanda bukan linguistik merujuk kepadsa fenomena alam semula jadi.
Iman ertinya percaya. Islam ditegakkan di atas dua rukun, iaitu Rukun Islam dan Rukun Iman. Tentang rukun iman pula, Allah memberi jaminan bahawa orang-orang yang beriman akan dimasukkan ke syurga walaupun ia melakukan dosa. Sama ada dibalas dengan neraka terlebih dahulu di atas segala dosanya sebelum dimasukkan ke syurga terpulanglah kepada Allah jua.
(bersambung)

Wednesday, November 2, 2011

MURNIKAN AGENDA DUNIA SEBELUM AJAL MENJEMPUT NYAWA

(Disiarkan pada 29. 10. 2011)
Manusia diwujudkan Allah di dunia mempunyai tanggungjawab yang wajar dilaksanakan sebagai hamba Allah. Dokumen wahyu(al-Qur’an) yang diturunkan dari langit oleh Allah dalam perantaraan malaikat Jibril yang diterima oleh manusia (Muhammad) mempunyai disiplin dalam membina infrastruktur pembangunan manusia.
Allah berfirman dalam al-Qur’an surah Az-Zariyat ayat (51)56 yang bermaksud: “Tidaklah aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Aku…”. Jika seorang telah mengakui beriman kepada Tuhan, tidaklah dia akan mahu jika hidupnya di dunia ini kosong sahaja. Dia tidak boleh menganggur. Selama nyawa dikandung badan, manusia harus ingat bahawa tempohnya tidak boleh kosong dari pengabdian. Seluruh hidup hendaklah dijadikan ibadat.
Ayat ini memberi ingatan kepada manusia bahawa sedar atau tidak sedar dia pasti mematuhi Tuhan. Maka jalan yang lebih baik bagi manusia ialah menginsafi kegunaan hidup nya, sehingga dia pun tidak merasa kebaratan lagi mengerjakan berbagai ibadat kepada Tuhan.
Apabila manusia mengenal budi yang luhur, nescaya dia mengenal apa yang dinamai berterimakasih. Ada orang yang menolong kita melepaskan dari malapetaka, kita pun segera mengucapkan terimakasih! Kita mengembara di satu padang pasir. Dari sangat jauhnya perjalanan, kita kehausan, air sangat sukar. Tiba-tiba di situ tempat yang sunyi sepi kita bertemu seorang yang menyuruh kita berhenti berjalan sejenak.
Kita pun berhenti. Lalu dia bawakan seteguk air. Kita pun mengucapkan banyak-banyak terimakasih. Kita ucapkan terimakasih dengan merendahkan diri. Sebab kita merasa berhutang budi kepadanya. Dan tidaklah ada manusia beradab di dunia yang membantah keluhuran budi yang berterimakasih itu.
Maka bandingkanlah semuanya dengan anugerah ilahi bagi menjamin hidup kita. Sejak mulai lahir dari perut ibu sampai kepada masa habis tempoh di dunia ini kita menutup mata, tidakkah dapat dihitung dan dinilai betapa besar nikmat dan kurnia Allah kepada kita. Maka timbullah petanyaan. Apakah tidak patut kita berterimakasih kepada-Nya atas seluruh kurnia itu?
Di sinilah Tuhan menjuruskan hidup kita, memberi kita pengarahan. Allah menciptakan kita, jin dan manusia tidak untuk yang lain, hanya untuk satu macam tugas saja, iaitu mengabdi, beribadat. Beribadat iaitu mengaku bahawa kita ini hamba-Nya, tunduk kepada kemahuan-Nya.
Ibadat itu dimulai dengan IMAN. Iaitu percaya bahawa ada Tuhan yang menjamin kita. Percaya akan adanya Allah itu sahaja, sudah jadi dasar pertama dari hidup itu sendiri. Maka IMAN yang telah tunbuh itu, wajib dibuktikan dengan amal yang salih. Iatu perbuatan yang baik. IMAN dan AMAL SALIH inilah pokok ibadat. Bila kita telah mengaku beriman kepada Allah, nescaya kita pun percaya kepada Rasul-Nya. Maka pesan Allah yang disampaikan oleh Rasul itu kita perhatikan. Perintah-Nya kita kerjakan, larangan-Nya kita hentikan.
Maka dapatlah kita jadikan seluruh hidup kita ini ibadat kepada Allah. Sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, bezakat kepada fakir miskin, adalah bahagian kecil, sebagai pematri dari seluruh ibadat yang umum itu. Semunya itu kita kerjakan, kerana kita IMAN kepada-Nya, dan kita pun beramal yang salih , untuk faedah sesama kita manusia. Kalau tidak ini yang kita kerjakan, tidaklah ada erti hidup kita yang terbatas di dalam dunia ini.
Melakukan dakwah kepada jalan yang baik adalah tugas utama dalam hidup. Manusia diciptakan ke dunia ini adalah untuk mengabdikan diri, kalau tidak beribadat kepada Allah apalah ertinya hidup itu. Umur terlalu pendek di dunia ini. Umur yang pendek itu mesti diisi, sehingga setelah manusia mati sekalipun, namun Iman dan amal salih masih hidup dan tetap hidup.
Hidup merupakan perjuangan. Perjuangan sebenarnya ialah perjuangan untuk menunju ke pangkuan Allah S.W.T. iaitu ke mercu perjumpaannya dengan membawa bermacam-macam wadah perjuangan untuk dipersembahkan kepadanya. Segala hasil perjuangan manusia ini akan dapat dilihat sama ada baik atau buruk.
FirmanAllah S.W.T. dalam al-Qur’an surah Al-Insyiqaq: 6 yang bermaksud (terjemahan). “Wahai manusia sesungguhnya engkau berkerja keras menuju kepada Tuhanmu, maka pasti engkau akan menemui-Nya.”
Ayat ini menceritakan bahawa manusia di dunia ini baik disedari atau tidak, adalah dalam rangka perjalanan menuju kepada Tuhan dan walaubagaimanapun dia pasti menemui Tuhan-nya, untuk menerima pembalasan dari perbuatannya sama ada baik atau buruk.
Allah S.W.T. dengan jelas telah menegaskan kepada manusia bahawa hidup di dunia ini pasti menhadapi berbagai rintangan, cubaan dan dugaan yang hebat sebelum manusia dapat berjumpa dengan-Nya demi menilai perjuangan manusia tersebut. Ini selaras dengan saranan Tuhan yang menjelaskan dunia ini adalah medan perjuangan hidup manusia bagi mencari kurniaan Allah S.W.T. sebelum manusia diketemukan dengan Tuhannya.
Manusia ini hidup di atas dunia berkerja keras, membanting tulang memeras tenaga siang dan malam, apa jua pun jenis yang dikerjakan, namun akhir perjalanan adalah menuju Tuhan juga. Oleh itu janganlah sekali-kali melupakan bahawa segala kerja keras menghabiskan tenaga di dalam hidup itu akhirnya akan diperhitungkan di hadapan Tuhan.
Dengan menempuh gelombang perjuangan hidup ini manusia menghadapi keadaan iaitu berjaya atau gagal. Setiap kejayaan itu pula melahirkan dua suasana di mana membuatkan dia bersyukur kepada Allah S.W.T. di atas limpah kurnianya atau sebaliknya menimbulkan perasaan takbur dan lupa daratan.
Begitu juga dengan kegagalan yang dihadapi oleh manusia akan mencetuskan dua keada an pula iaitu sama ada dia putus asa atau frustasi terhadap perjuangannya atau sebaliknya dia lebih meningkatkan lagi usahanya untuk melancarkan perjuangan baru berdasarkan pengalaman-pengalaman mereka dari perjuangan yang telah lalu.
Bekas Peresiden Amerika John F. Kennedy telah memberi peringatan kepada rakyatnya bahawa “Jangan bertanya kepada negara apa negara beri kepada anda tetapi bertanyalah kepada diri anda sebagai rakyat Amerika, apa anda berikan kepada negara?”. Pertanyaan yang serupa mengenai sumbangan kita kepada agama. “Jangan tanya kepada Islam apa Islam telah beri kepada anda, tetapi bertanyalah kepada diri anda sebagai hamba Allah apa anda telah beri kepada Islam sebagai agama Allah?”.
Kalau kita sudah beriman kepada Allah dan telah mengikhtiharkan diri bahawa Allah itu Satu dan Nabi Muhammad itu pesuruh-Nya maka tanggungjawab kita sebagai hamba Allah ialah memurnikan agama sesuai sengan cara hidup manusia di alam. Memurnikan Islam bermuara dari kita sendiri sebab kelahiran masyarakat manusia adalah dari pembangunan keluarga setiap insan. Terbinanya keluarga salihin akan menjanjikan kebahagian pembanguan tamadun manusia.
Berbakti kepada agama adalah sebenar berbakti kepada diri sendiri. Islam adalah cara hidup maka itu adalah menjadi kewajipan kepada setiap individu mukmin memurnikan hidup kita untuk berbakti kepada agama. Masyarakat mukmin hidup bersosial maka itu menjadi kewajipan setiap insan menghidupkan budaya ukhuwah kemanusiaan sebagai teras kesetiaan solidaritas sosial kelak melahirkan perasaan kasih sayang dalam membina masyarakat Bani Adam.
Menghidupkan ukhuwah kemanusiaan bermakna kita hidup saling tunjang menunjangi, tolong menolong, dan merasakan kebahagian hidup dirasi bersama. Hidup tegur menegur antara sesama wajib kerana kelemahan itu lebih jelas dikesan oleh orang lain berbanding dengan kita sendiri untuk melihat kelemahan kita. Dalam erti kata lain penyakit rohani itu sukar diketahui oleh orang yang punya penyakit tersebut tetapi ia mudah diketahui oleh orang lain.
Menurut pendapat ilmu jiwa, manusia adalah sama sifat hidupnya dengan binatang. Kedua-dua makhluk ini mempunyai keinginan yang sama,seperti mahu makan, berketurunan dan sama merasa sakit dan sihat, merasa tua dan mati. Persamaan ini adalah persamaan asal yang dibawa ke alam dunia.
Memang benar manusia menyemai binatang dalam sifat semulajadi ini tetapi manusia mempunyai kelebihan iaitu ia boleh berfikir maka itu manusia dikategorikan sebagai “thinking animal” atau binatang yang berfikir. Maka itu manusia mempunyai tugas dan tanggungjawab tertentu. Manusia ditugaskan untuk memajukan dunia ini serta mengaturkan urusan hidupnya berlandaskan akal fikiran dan ilmu pengetahuan.
Makan manusia hendaklah daripada makanan yang baik-baik dan halal. Sakit manusia haruslah diubati dan mati manusia hendaklah di dalam iman yang sempurna. Tugas tersebut dinamakan sebagai ibadat kerana Allah. Maka itu manusia bertanggungjawab terhadap Allah s.w.t.. Segala peranannya sebagai khalifah di dunia ini wajar bersifat halal dan berbentuk kebajikan.
Apakah sumbang anda terhadap Islam? Pertanyaan serupa ini memerlukan jawapan yang menyeluruh iaitu untuk kehidupan dunia dan lebih-lebih lagi kehidupan di akhirat. Untuk keman- faatan kepada masyarakat dunia wajar berbentuk pembangunan kerohanian iaitu mengilmukan generasi pelapis dengan ilmu tauhid. Untuk itu maka kita perlukan dua perkara iaitu tenaga pengajar untuk menyampaikan ilmu dan bangunan madrasa serta rumah-rumah ibadat.
Menyampaikan ilmu tauhid kepada generasi pelapis kita boleh laksanakan dalam dua media iaitu secara langsung dengan menggunakan tenaga pengajar atau melalui media cetak seperti penulisan. Karya-karya yang diusahakan oleh penulis buku mengenai ilmu tauhid merupakan media yang boleh menyampaikan ilmu sehingga bila-bila masa dan di merata tempat di pelusuk dunia.
Sebuah buku ilmiah tidak pernah jumud ilmunya terutama sekali ilmu mengenai keisahan Tuhan serta segala bahan ilmu yang menyentuh mengenai hikmah-hikamah Allah yang mereka perolehi dalam hidup. Semakin banyak ilmu kita perolehi dalam perjalanan hidup semakin banyak lagi ilmu yang kita masih belum menerokainya. Ilmu Islam mengisahkan cara hidup manusia serta makhluk lain yang ada di alam ini.
Produk dari sekolah madrasa yang dipimpin oleh ustaz dan ustazah akan melahirkan generasi yang beriman, bertakwa dan bertauhid. Pembangunan mentaliti manusia yang terbina dengan ilmu tauhid sentiasa melihat amanah dalam membina tamadun kehidupan sebagai ibadah kerana Allah s.w.t.. Insan yang berprinsipkan membina masyarakat bertakwa akan sentiasa hidup dalam kenangan generasi pelapis.
Generasi yang hidupnya sentiasa dihiasi dengan ilmu tauhid akan menjadi perintis pembangunan manusia yang terselamat dari faktor-faktor yang berunsur negatif. Masyarat bertauhid tidak mendekati amalan korupsi dan libih-lebih lagi mementingkan diri dalam melaksankan agenda pembangunan. Visi pembangunannya adalah untuk membina tamadun yang mementingkan agama, bangsa dan keturunan.
Sumbangan anda kepada Islam yang amat tinggi ialah membina anak yang salih. Anak yang salih tidak mendekati syirik atau menyekutukan Allah. Allah berfirman dalam al-Qur’an surah Luqman ayat 13 yang bermaksud (terjemahan): “Ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya memberinya pengajaran: “Hai anakku! Janganlah engkau menyekutukan Allah,
sesungguhnya menyekutukan Allah (syirik) itu sememangnya penganiayaan yang besar.”
Allah menyebutkan di sini bagaimana Luqman itu mendidik anaknya dengan pengajaran dan asuhan yang baik, supaya menjadi manusia yang sempurna. Manusia yang sempurna ialah orang yang penuh dadanya dengan iman dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Sebaik-baik manusia yang memimpin umat adalah mereka yang menjauhi syrik kerana ia adalah perbuatan zalim atau aniaya yang sangat besar dosanya.