Mana-mana bahagian dalam artikle ini tidak boleh dicetak semula, disalin, atau dipindakan dengan apa jua cara sekali pun, samada dengan menggunakan komputer, fotokopi, filem, dan sebagainya sebelum mendapat kebenaran daripada penulisnya.
"BERFIKIR,FIKIR & TERUS BERFIKIR" (Critical Thinking), merupakan "WAWASAN" yang mencerminkan keperibadian Haji Mohd.Farid Linggi, yang dilahirkan pada 22 Disember 1943, di Keningau, Sabah. Berpegang kepada prinsip "BUDAYA MEMBACA & MENULIS" telah menguatkan iltizam beliau untuk menjadi seorang pengarang sehingga ke hari ini. Dari segi akademik, beliau memperolehi Sarjana Sains dalam bidang Pendidikan (M.Sc.Ed), pada tahun 1979, dari Universiti Southern Illinois, at Carbondale, USA.
Dalam arena pekerjaan, beliau mempunyai pengalaman yang luas sebagai seorang guru, pensyarah, dan pentadbir. Pada tahun 1967, beliau bertugas sebagai Penolong Kanan dan bersama-sama Pengetua telah membuka dan membangunkan sekolah baru iaitu SMK Putatan. Seterusnya menjawat jawatan Pengetua di SMK Bingkor (1971-1973), pensyarah di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur (1974) dan pensyarah Maktab Perguruan Kent, Tuaran, sebagai Ketua Jabatan Bahasa Inggeris (1975-1977). Antara tahun 1977 hingga 1978, bertugas sebagai Penolong Setiausaha Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Sabah. Kecemerlangan dalam tugasnya, membolehkan Mohd.Farid Linggi dilantik sebagai Pegawai Pendidikan Bahagian; di Pantai Barat Selatan (1980-1982) dan di Keningau (1982-1989). Berikutnya beliau dilantik oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan sebagai Penolong Pengarah Pendidikan Kanan, untuk menyelaras KBSR di negeri Sabah (1989-1994). Pengalamannya yang luas dalam dunia pendidikan , telah menyebabkan Jabatan Pendidikan Sabah melantik beliau menjadi Pengetua SMK Mat salleh, Ranau (1994) dan sebagai Pengetua di SMK Gunsanad, Keningau (1995) .
Beliau telah menamatkan arena pekerjaan beliau pada Disember 1998 dan kini beliau sedang giat menulis buku. Antaranya "SAMUDERA KEMAHIRAN HIDUP", diterbitkan pada tahun 1994, "KEHIDUPAN DALAM TIGA DIMENSI"pada tahun 1998, "KELUARGA SUKU KAUM GANNA SABAH, MALAYSIA"pada tahun 2002,"WARNA-WARNI KEHIDUPAN"pada tahun 2007. Selain itu, beliau juga menulis artikel tentang topik-topik yang berkaitan dengan keagamaan dalam New Sabah Times yang diterbitkan pada setiap hari Sabtu. "Tuntutlah ilmu sampai ke Liang Lahad", itulah kata-kata Rasulullah S.A.W yang sentiasa dipegang oleh beliau. Semangat dan keghairahan beliau dalam menuntut ilmu tidak pernah padam dalam diari hidup beliau. Disamping menulis buku, beliau kini sedang mengambil kursus PhD di Universiti Malaysia Sabah dalam bidang Sains Sosial.
Mengenangkan jasa beliau dalam perkhidmatan, beliau telah dianugerahkan Tokoh Guru Negeri Sabah pada tahun 2000. Kemudian terpilih sebagai Tokoh Guru Persatuan sempena dengan perayaan Hari Guru dan Persidangan Agung Persatuan Peringkat Negeri Sabah. Dengan kegiatan dakwah melalui penulisan beliau dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah pada tahun 2008 peringkat pedalaman Sabah.
Akhir sekali, Beliau sangat-sangat berharap dan berdoa, semoga semua umat Islam dan khasnya orang Melayu/ Bumiputera agar dapat menceburi dalam bidang penulisan, kerana bidang ini merupakan "PUSAKA" yang tidak ada tandingan nilainya.
No comments:
Post a Comment