Saturday, May 5, 2012

HIDUP MERUPAKAN PERJUANGAN DALAM PANDANG ISLAM

(Disiarkan pada 5. 5. 2012) Meniti sejarah manusia di muka bumi ini asalanya dari Adam a.s. sebagai bapa manusia. Dari dirinya dijadikan Hawa iaitu dari tulang rusuk Adam. Kemudian mereka diijab kabulkan oleh Allah dengan mas kawin hanya membaca salawat nabi. Orangnya belum ada tetapi nama nya telah digunakan sebagai mas kawin pernikahan manusia pertama. Dari hasil perkongsian mereka berdualah berkembangbiaknya manusia di muka bumi ini hingga sekarang. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Nisa’:1 yang bermaksud (terjemahan) “Wahai manusia bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu dari diri yang satu dan menjadikan daripadanya isterinya dan diperkembangkan daripada keduanya lelaki dan perempuan yang ramai.” Kemudian Allah s.w.t. menjelaskan bahawa Dia telah menjadikan lembaga bapa manusia Adam dan membentuknya serta memerintahkan kepada para Malaikat dan iblis supaya sujud menghormatinya. Firman-Nya Surah Al-Araf:11 yang bermaksud (terjemahan): “Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam) lalu Kami bemtuk tubuhmu kemudian Kami katakan kepada para Malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam, maka mereka semua pun sujud melainkan iblis.” Iblis ingkar mematuhi arahan Tuhan untuk sujud tanda hormat kepada Adam kerana iblis memikirkan bahawa ia itu adalah yang lebih baik daripada Adam, dengan mengatakan kepada Tuhan bahawa: “Engkau jadikan aku daripada api sedangkan dia(Adam), Engkau ciptakan daripada tanah.” Dengan jawapan ini, Tuhan telah menghalau dan mengusir iblis keluar dari syurga yang didiaminya dan turun ke dunia dengan penuh kehinaan kerana syurga tidak layak untuk menumpangkan orang yang sombong seperti iblis tersebut. Perbicaraan antara Tuhan dengan iblis ini dirakamkan di dalam kitab Al-Qur’anul Karim di mana Allah s.w.t. telah menerima permintaan iblis supaya menangguhkan tempoh pembalasan itu hingga hari kiamat di samping memberi peluang kepadanya untuk mencucuk jarum penipuan nya terhadap manusia sebagai membalas dendam kepada Adam a.s. Iblis sendiri telah berjanji untuk mengambil peluang ini dengan sepenuhnya. Maka itu perjalanan hidup manusia di muka bumi ini penuh dengan ranjau-ranjau yang membuat kehidupan itu menjadi satu perjuangan yang kalau tidak diserikan dengan ibadat kepada Allah s.w.t. sebagai perisai terhadap godaan iblis, maka kesukaran hendak membangun serta mengumpul dana pahala akan sentiasa menjadi permasalahan hidup manusia. Perjalanan hidup seorang mukmin adalah melalui tiga fasa dan setiap insan mesti melalui atau mengalaminya. Kehidupan pertama adalah semasa dalam rahim ibu apabila jasmani bertemu dengan roh Allah s.w.t. dan pada masa itu lembaga dalam kandungan ibu menjadi insan. Semasa dalam kandungan ibu, sudah berlaku fenomena perjuangan si bayi kerana ia membalik-balikkan badan mencari jalan keluar. Segala kerenah hidup bayi dalam rahim ibu ditanggung oleh ibu mengandung. Maka itu ibulah yang mengalami perjuangannya untuk membentuk anak dalam kandungan supaya menjadi insan yang soleh dan solehin. Hasutan iblis kepada kedua suami isteri sudah mula berlaku dan jika kemenangan memihak kepada iblis maka segala perjuangan suami isteri membina insan dalam kandungan sentiasa mengalami kemuskilan jika perjuangan seisi keluarga jauh dari landasan tauhid. Usia bayi dalam alam rahim secara umum hanya sembilan bulan sepuluh hari sahaja. Kelahiran seorang bayi ke dunia bermulalah perjuangan hidup yang wajar dialami oleh seorang insan. Perbezaan antara hidup di alam rahim dengan alam dunia agak berbeza dari segi tanggung jawab. Keselesaan hidup yang dialami sebelum lahir mengakibatkan seorang bayi menangis seolah-olah tidak mahu hidup di alam dunia dan hendak kembali ke alam rahim. Tetapi keadaan demikian tidak dapat dilayani oleh Allah s.w.t. kerana perjanjian azali antara bayi berkenaan dengan Allah s.w.t. telah pun diakuinya bahawa hidupnya di dunia sebagai hamba Allah dengan segala nikmat hidup diberi oleh Tuhan yang Maha Berkuasa. Anak yang baru lahir diperkenalkan ciri-ciri pertama pembangunan manusia dengan kalimah suci untuk mengazankan kepada bayi lelaki dan mengkamatkan kepada bayi perempuan. Ini menandakan bahawa hidup seorang insan wajar dimurnikan dengan ilmu tauhid, mengagung kan nama Allah sebagai zat yang Maha suci dan Maha berkuasa. Allah s.w.t. menjadikan manusia sebagai makhluk yang teristimewa dan mulia berban- ding dengan makhluk yang lain. Allah s.w.t. berfirman dalam al-Qur’an Surah Al-Isra’ ayat 70 yang bermaksud (terjemahan): “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan manusia dan Kami tempatkan mereka di daratan dan di lautan, serta Kami berikan mereka rezeki daripada barang yang baik-baik serta Kami lebihkan mereka daripada kebanyakan makhluk yang Kami ciptakan dengan sebanar-benarnya kelebihan.” Di permulaan ayat ini Allah menyebutkan tentang kemuliaan dan di akhir ayat tentang kelebihan yang dikurniakan kepada manusia. Kemuliaan di sini, ialah menjadikan manusia lebih mulia daripada haiwan kerana diberi akal, boleh bertutur kata, pandai menulis dan melukis serta bagus pula rupa dan bentuk tubuh badannya. Dan maksud kelebihan pula, iaitu Allah menjadikan manusia berkelebihan kerana dengan akal dan kefahamannya dapatlah dia memperbaiki kepercayaan atau iktikadnya dengan betul serta memperbaiki budi pekertinya menjadi mulia. Allah melebihkan manusia itu daripada lain-lain makhluk, adalah terbatas kepada yang bukan malaikat kerana golongan malaikat kebanyakannya lebih mulia daripada manusia seperti: Jibril, Mikail, Israfil, Israil dan seumpamanya. Kelebihan ini hanyalah dikira daripada kalangan orang-orang mukmin, sedang orang kafir tidak ada kemuliaannya langsung. Perjuangan utama manusia dalam hidup ialah mengilmukan dirinya kerana dengan ilmu ia menjadi mulia maka itu Allah jadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda bahawa memperolehi kebahagiaan (kemuliaan) di dunia haruslah dengan ilmu; dan jika inginkan kebahagia di akhirat wajar dengan ilmu; dan jika inginkan kebahagiaan di kedua-dua alam, dunia dan akhirat juga wajar dengan ilmu. (Hadith sahih). Tugas utama ini telah disarankan Allah dalam firman-Nya yang pertama yang diterima oleh Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. iaitu “Iqra’ atau baca. Membaca adalah pintu menempuhi perjuangan demi meperolehi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat nanti. Dengan ilmu, hidup menjadi terarah kerana memudahkan kefahaman mengenai perjuangan dalam liku-liku pembangunan manusia di dunia. Hidup itu merupakan perjuangan. Kita berjuang dengan bekalan ilmu. Ilmu itu adalah kedatangan sesuatu makna. Dengan kedatangan sesuatu makna bermakna kita telah membuat satu perubahan pada diri sendiri. Menempuhi perubahan bermakna kita telah melangkah setapak maju seiring dengan keadaan semasa di mana kita hidup bermasyarakat. Manusia ditakdirkan hidup berjuang. Berdasarkan hakikat ini, manusia haruslah menginsafi bahawa hidupnya di dunia itu penuh dengan perjuangan, pertarungan. Setiap orang tidak terlepas dari hakikat perjuangan ini, kerana hidup ini sendiri sudah mempunyai erti berjuang, bergerak. Dengan penggarakan dan perjuangan ini menyebabkan wujudnya cita-cita hasrat kepada manusia. Tanpa cita-cita manusia diibarat bangkai, tanpa berjuang manusia tidak bererti hidup. Hidup, cita-cita dan berjuang adalah hakikat manusia. Maka itu kalimat manusia adalah mencakupi hidup mempunyai cita-cita dan perjuangan. Firman Allah s.w.t. Surah Al-Balad: 4 yang bermaksud (terjemahan): “Sesungguhnya Kami jadikan manusia itu dalam perjuangan (kehidupan bersusah payah.)” Perjuangan yang sebenarnya ialah perjuangan untuk menuju ke pangkuan Allah s.w.t. iaitu ke mercu perjumpaannya dengan membawa bermacam-macam wadah pejuangan untuk dipersembahkan kepadanya. Segala hasil perjuangan mereka akan dapat dilihat sama ada baik atau buruk. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud(terjemahan): “Wahai manusia sesungguhnya engkau berkerja keras menuju kepada Tuhanmu, maka pasti engkau akan menemui-Nya.” Surah Al-Insyiqaq: 6. Ayat ini menceritakan bahawa manusia di dunia ini baik disedari atau tidak adalah dalam rangka perjalanan menuju kepada Tuhan dan walau bagaimanapun pasti akan menemui Tuhan-nya, untuk menerima pembalasan dari perbuatannya sama ada baik atau buruk. Allah s.w.t. dengan jelas telah menegaskan kepada manusia bahawa hidup di dunia ini pasti mengadapi berbagai rintangan, cubaan dan dugaan yang hebat sebelum manusia dapat berjumpa denganNya demi menilai perjuangan manusia tersebut. Ini selaras dengan saranan Tuhan yang menjelaskan dunia ini adalah medan perjuangan hidup manusia bagi mencari kurnian Allah s.w.t. sebelum manusia di ketemukan dengan Tuhannya. Dalam menempuh golombang perjuangan hidup ini manusia menghadapai keadaan iaitu berjaya atau gagal. Setiap kejayaan itu pula melahirkan dua suasana di mana membuatkan dia bersyukur kepada Allah s.w.t. atas limpah kurnianya atau sebaliknya menimbulkan perasaan takbur dan lupa daratan. Begitu juga dengan kegagalan yang dihadapi oleh manusia akan mencetuskan dua keadaan (sekuansi) pula iaitu sama ada dia putus asa atau frustasi terhadap perjuangannya atau sebaliknya dia lebih meningkatkan lagi usahanya untuk melancarkan perjuangan baru berdasarkan pengalaman-pengalaman mereka dari perjuangan yang telah lalu. Dalam menempuhi alunan gelombang hidup ini, orang yang beriman tidak akan mengenal gagal dalam erti kata menghadapi perjuangan hidup. Masa yang diizinkan kepadanya dipenuhi dengan berbuat bakti kepada Allah s.w.t dan untuk cepat-cepat bertemu dan melaporkan perjuangan itu kepada Tuhan. Sabda Baginda Rasul Nibi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Barang siapa yang suka bertemu dengan Tuhan, Tuhan pun suka berjumpa dengannya dan sebaliknya barang siapa yang tidak mahu bertemu dengan Tuhan (benci), Tuhan pun benci untuk bertemu muka dengannya.” Firman Allah s.w.t. yang bermaksud (terjemahan): “Demi masa sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan nasihat menasihati tentang sesuatu yang benar dan nasihat menasihati agar bersabar.”(Al-Ash: 1 – 3) Peringatan Tuhan ini adalah sebagai penawar hati dalam menghadapi perjuangan hidup yang hebat ini serta untuk menjadi panduan kepada manusia bagi melancarkan perjuangannya. Masalah yang akan menentukan kejayaan dan kegagalan sesuatu perjuangan itu, sebab itu Tuhan bersumpah demi masa untuk menarik perhatian manusia yang telah dilalaikan supaya menggunakan masa yang begitu berharga itu bagi membantu perjuangan hidupnya. Hendaklah masa itu tidak dibiarkan berlalu dengan begitu sahaja tanpa diisi dengan sesuatu yang berguna, apa lagi kalau diisi dengan kejahatan dan perbuatan yang keji. Sejarah hidup manusia sejak dari dalam rahim ibu dari lahir, hingga besar remaja dan hingga tua bangka adalah penuh dengan perjuangan-perjuangan melawan berbagai-bagai cabaran, halangan, godaan, malapetaka, bencana, penyakit dan maut. Inilah bentuk kehidupan yang telah ditakdirkan oleh Allah s.w.t. supaya diharungi oleh manusia. Tidak seorang pun yang boleh melepaskan dan membebaskan diri mereka dari undang-undang perjuangan hidup yang kemas ini biar pun dia seorang yang gagah, tinggi, kaya dan disinilah letaknya rahsia kehambahaan manusia dan kelemahannya sebagai makhluk Allah s.w.t. Perjuangan hidup yang silih berganti itulah yang sentiasa memberi pengalaman dan pengetahuan kepada manusia, memberi undang-undang dan falsafah hidup yang baru, memberi kemajuan dan tamadun, memberi kekayaan dan kebesaran, memberi kekuatan dan kekuasaan kepada mereka. Kita tidak akan dapat mencapai kejayaan melainkan dengan perjuangan yang penuh tabah dan berani mencapai kemenangan. Kita tidak harus angkuh dan kita tidak harus lupakan Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment