Sunday, May 20, 2012

BAIK BAGI DIRI MAKA BAIK UNTUK ORANG LAIN
(Di Siar pada 19.5. 2012)
Suatu sikap yang tidak luntur di kalangan orang-orang beriman ialah istiqamah atau teguh pendiriannya, tetap dengan perjuangan dan matlamat hidupnya, tidak mudah terpesona dan hidupnya tidak terambing-ambing oleh arus yang penuh tipu hela ini. Segala ujian hidup baik berupa perhiasan dunia, kenikmatan hidup, godaan syaitan, tuntutan hawa nafsu, baik dan buruk, lapar dan dahaga, harta dan anak atau pagkat dan pingat, dihadapinya dengan tabah dan waspada agar dia tidak tersasul dipersimpangan jalan. Semua ini sebagai  ujian Tuhan kepadanya untuk menyelami dan menyelidik tahap-tahap keimanannya kepada Allah s.w.t.
Perjuangan itu tetap berjalan setiap saat dan setiap detik meskipun manusia tidak mengeta huinya. Dari lahirnya manusia ke dunia perjuangan itu bermula dan berakhir dengan kematian. Walaubagaimanapun kematian itu bukan bererti hidup manusia sudah berakhir tetapi manusia tetap hidup dalam ertikata lain sudah selesai daripada perjuangannya dan manusia akan menerima hasil perjuangan tersebut.
Di saat kematian itu manusia seolah-olah bermimpi semasa hidup di dunia. Masa itulah manusia akan melihat sendiri terhadap perjungan hidupnya di dunia ini sama ada baik berakhir dengan kematian yang indah atau buruk dengan ditutupi oleh kematian yang menakutkan. Di sini manusia akan menerima ganjaran yang wajar dari perjuangannya itu sama ada menuju ke neraka atau pun ke syurga.
Penyesalan dalam hati timbul dan hendak kembali ke dunia untuk melaksanakan ibadat yang bermanfaat kepada kehidupan seterusnya, tetapi tidak diberi peluang lagi oleh Zat Yang Maha Berkuasa. Pepatah Melayu mengatakan penyeselan dahulu lebih bermanfaat daripada penyesalan kemudian kerana tidak ada gunanya lagi.
Semua perjuangan hidup haruslah dinilai kemanfatannya kepada diri sendiri. Baik bagi diri sendiri maka baiklah bagi orang lain. Dunia ini bagikan semaian pahala, yang kalau ibadat kita itu  memberi kemanfaatan kepada kehidupan kita sebagai pemain dalam pembangaun diri maka begitu jugalah kepada orang lain yang hidup bersama kita di alam yang fana ini.
Oleh itu, setiap manusia haruslah menyedari akan hakikat  perjuangan hidupnya. Dunia ini ibarat pentas sandiwara tempat mereka berlagak dan beraksi serta berlakon demi untuk menguji sejauh manakah kemampuan dan ketaatan mereka terhadap perjanjiannya dengan pengarah  agung iaitu Allah s.w.t. serta kemampuannya  dalam menghidupkan karakter atau pera nannya yang telah ditentukan dalam drama tersebut iaitu segala suruhan dan larangan Tuhan.
Seperti juga dalam wayang gambar dan sandiwara yang mengandungi berbagai macam watak dan tingkahlaku, begitu juga dunia penuh dengan manusia yang terdiri daripada berbagai macam jenis keturuan, bangsa, kepercayaan dan beraneka kebudayaan serta corak hidupnya. Tetapi yang menyedihkan ialah bilangan mereka yang berlakon yang mirip kepada watak iblis adalah lebih ramai daripada mereka yang berlakon menurut perintah Tuhan.
Menelusuri kisah-kisah dua puluh lima orang para nabi dan rasul sejak Nabi Adam a.s. hingga kepada  Nabi Muhammad s.a.w. sebagai penutup para nabi dan rasul, manusia di bawah pimpinan mereka semestinya ada saja yang tergelincir dari landasan hidup yang diredhai Allah s.w.t. yang dibawa oleh pemimpin mereka. Setelah menempuhi kegagalan dalam mentarbiahkan mereka maka azab Allah dipohon oleh pemimpin mereka maka lenyaplah manusia yang ingkar kepada perintah Tuhan.
Tetapi apabila beranak pinak  manusia yang tinggal, timbul lagi golongan yang menyimpang dari akidah Islam. Begitulah keadaan dunia manusia sentiasa diporak porandakan oleh iblis. Tetapi giliran Nabi Muhammad s.a.w. menjadi Rasul manusia dibawa pimpinannya, Nabi tidak memohon azab daripada Tuhan. Nabi sedaya upaya memberi contoh teladan yang terbaik kepada umatnya agar dapat memahami cara hidup yang diredhai Allah s.w.t. Hingga ke akhir hayat Nabi Muhammad, di ambang kewafatannya Baginda masih memikirkan keselamatan umatnya dengan kata-kata akhirnya: “Asolat, asolat; itakunisa, itakunisa; umati, umati (Solat dirikan solat; wanita, peliharalah wanita; umatku, umatku)”, kemudian Baginda pergi meninggal kan dunia dan berjumpa dengan Allah s.w.t.
Harus kita faham bahawa iblis telah berjanji kepada Allah yang Allah telah membenarkan untuk menyuntik jarum yang bisa untuk mempengaruhi ibadat manusia agar melincung daripada lanasan untuk kemanfaatan pembangunan manusia. Walaubagaimanapun, Allah telah menyata kan kepada iblis bahawa hanya manusia yang menjauhi dirinya dari perintah-Nya sahaja, hatinya boleh tergoda oleh tipu daya iblis tetapi mereka yang dekat dengan Allah yang melaksanakan perintahnya dan menjauh larangann-Nya akan selamat dunia  dan akhirat.
Perlu diingatkan bahawa manusia adalah lebih tinggi darjatnya dari Malaikat dan binatang. Kita diberi akal untuk menimbang yang mana benar dan yang mana salah atau yang mana seruhan Allah s.w.t. dan yang mana larangan-Nya serta yang mana ajakan syaitan dan larangan-Nya. Tetapi  yang mendukacitakan ialah  ramainya orang yang melakukan perbuatan yang boleh menghumbankan diri mereka ke dalam azab dan jurang kemusnahan.
Al-Qur’an melukiskan penilaian yang rendah terhadap kehidupan dunia ini. Ianya sebagai permainan, pelesaran, perhiasan dan sebagainya seperti firman Allah s.w.t. yang berbunyi
(terjemahan): “Ketahuilah bahawa sesunggunya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan (peleseran), perhiasan dan bermegah-megah antara kamu seta berbangga tentang banyak harta dan anak seperti hujan yang tanamannya mengkagumkan para petani kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian dia menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan keampunan dari Allah serta keredhaan-Nya dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (Al—Hadid: 20.
                Allah memaklumkan dengan perumpamaannya mengenai hal-ehwal kehidupan dunia, yang cepat menghilang iaitu: Wahai sekalian manusia, ketahuilah oleh kamu! Sesungguhnya kehidupan di dunia ini, tidak lain yang diagung-agungkan oleh manusia hanyalah mengadakan permainan demi permainan yang akan memenatkan orang seperti kanak-kanak yang dipenatkan oleh permainannya. Dan senda gurauan, yang melalaikan daripada mentaati Allah s.w.t. dan daripada mengingat akhirat – hanya untuk bersuka-suka sahaja.
                Meskipun ayat ini jelas menunjukkan bahawa kehidupan dunia ini adalah sebagai permainan dan hiburan, tetapi bukan bererti  untuk meremehkan kehidupan dunia ini, cuma adalah sebagai suatu ingatan kepada manusia agar jangan sampai manusia terpesona atau tergoda dengan kenikmatan dunia yang sebenar dan menipu ini.
                Kehidupan di akhirat itu adalah sebenar-benar hidup dan matlamat serta tempat tujuan seluruh manusia. Ianya digambarkan sebagai kehidupan yang penuh dengan keampunan, kasih sayang dan keredhaan Illahi. Setiap individu harus memahami perjuangannya dalam hidup serta apa matlamatnya setelah ajal menjemput nyawa.
                Segala kemurnian hidup di akhirat merupakan imbalan kepada ibadat kita di dunia terutama sekali memelihara ukhuwah kemanusiaan dan menjaga fenomena pembangunan yang mesra kepada kehidupan yang mengotakan prinsip apa yang baik kepada kita maka baiklah untuk orang lain. Masyarakat yang mesra dengan kehidupan bertamadun bagikan badan sendiri; jika kaki tersandung tunggul masa berjalan  maka mulut akan berkata ‘aduh!’ Dan bahagian anggota badan lain turut sama merasakan kesakitan.
                Dalam  menghadapi suasana kehidupan di dunia ini terdapat tiga golongan di kalangan orang-orang muslimin iaitu pertama, dunia adalah tujuan dan matlamat hidup; kedua dunia sebagai jambatan hidup ke akhirat; dan ketiga ialah dunia sebagai penjara hidup.
                Mereka yang meganggap dunia sebagai tujuan dan matlamat hidup kerana segala usaha, hidup dan matinya adalah semata-mata untuk mencari kepentingan dunia sahaja tanpa mengira akibat sebaliknya. Apa yang difikirkan dalam mindanya ialah kesenangan, kemewahan, pangkat kedudukan di dunia ini agar dipandang hormat dan mendapat sanjungan dari masyarakat walaupun mesti melalui jalan-jalan gelap atau mengharungi lembah-lembah kehinaan.
Mereka merasa puas hati kiranya nafsunya telah tercapai dan segala hasratnya tertunai. Hidupnya dan pemikirannya sempit dalam ruang lingkup dunia semata. Dia menganggap kejayaannya adalah akibat titik peluh dan usahanya semata. Ia tidak memahami dirinya sebagai pemain dalam kelangsungan hidup bertamadun.
Orang yang memahami dunia sebagai jambatan hidup ke akhirat mempunyai perspektif pemikiran yang agak memahami dirinya sebagai hamba Allah. Dia tinggal dan hidup di dunia ini ibarat orang musafir atau orang berhenti sebentar untuk mencari bekalan bagi meneruskan perjalanan ke akhirat.
Segala kesenangan dan kenikmatan hidup digunakan mengikut sekadar yang diperlukan nya untuk menolong membantu dirinya supaya kuat beribadat kepada Allah s.w.t. dan yang menjadi tujuan asas dan matlamat hidupnya ialah kenikmatan dan kesenangan hidup di akhirat, kehidupan yang kekal abadi. Banyak usaha dan tenaganya telah disumbangkan untuk tujuan tersebut.
Dunia sebagai penjara hidup bagi mereka yang menumpukan hidupnya untuk mengabdi kan diri beribadat kepada Allah s.w.t. tanpa menghiraukan kenikmatan dan kesenangan hidup ini. Dia tidak mengambil tahu tentang urusan rumahtangganya. Politik negaranya dan suasana masyarakat tempat dia tinggal. Apa yang ada pada ingatannya ialah Allah s.w.t. dan selain daripada itu adalah najis yang tidak berfaedah, dan dunia ini ialah penjara baginya.
Di dalam ketiga-tiga pandangan hidup di atas ternyatalah pandangan yang kedua itu sesuai dengan ajaran Islam di mana dunia ini adalah ibarat jambatan yang merentangi hidup di alam arwah dengan alam akhirat. Segala kenikmatan dan kesenangan hidup di dunia ini diusahakan dengan bersungguh-sungguh di samping bersyukur kepada Allah s.w.t. di atas segala kurniaan tersebut.
Mereka bersungguh-sungguh berusaha memajukan dunia ini mengikut lunas-lunas yang disarankan oleh Allah s.w.t.. Baginya dnia adalah sebagai tempatpersediaan hidup bagi melancarkan perjuanga untuk menegakkan kalimah Allah s.w.t. dan mempertahankan identiti Islam selaras dengan keunggulannya  sebagai agama dunia.
Islam telah memberikan suatu pegangan kepada manusia supaya menjaga keseimbangan antara kepentingan hidup duniawi dengan kepentingan hidup ukhrawi. Matlamat hidupnya diarahkan kepada persiapan hidup di akhirat di samping tidak mengabaikan dirinya demi untuk kemajuan dunia. Sikap inilah yang digambarkan oleh Allah s.w.t. sebagai sifat orang-orang mukmin di mana dia menghayati dunia ini dengan iman, takwa, amal dan selaras dengan saranan
Tuhan seperti firman-Nya  dalam Surah An-Nahl: 30 yang bermaksud (terjemahan):
                “Dan dikatakan kepada orang-orang yang bertakwa: ‘Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?’ Mereka menjawab: ‘Allah telah menurunkan kebaikan.’ Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan mendapat pembalasan yang baik dan sesungguhnya kampung akhirat itu adalah lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang yang bertakwa.” 

No comments:

Post a Comment