Saturday, May 26, 2012

KASIH SAYANG NADI PEMBANGUNAN UMAT
(Disiar pada 26. 5. 2012)
                Antara sifat Allah s.w.t.ialah pengasih dan penyayang. Begitu jugalah segala makhluk ciptaan-Nya yang hidup di alam dunia ini mempunyai fitrah kasih sayang sekurang-kurangnya terhadap jenisnya sendiri. Bukan hanya haiwan berbagai jenis yang mempunyai naluri perasaan kasih sayang bahkan tumbuh-tumbuhan pun demikian juga keadaannya.
                Pekebun sayur-sayuran sentiasa mendapati pertumbuhan sepohon sayurnya agak berbeza suburnya berbanding dengan yang lain yang kurang mendapat perhatian daripadanya. Pohon sayur yang selalu mendapat sentuhan dari pekebun pasti pertumbuhannya agak berbeza berbanding dengan yang lain yang kadang-kadang atau tidak pernah disentuh oleh pekebun berkenaan.
                Manusia  sebagai makhluk teristemewa di sisi Allah s.w.t. dibekalkan dengan berbagai fitrah yang membuatnya teristemewa berbanding makhluk ciptaan Allah yang lain. Antara fitrah termulia yang ada ada pada manusia ialah mempunyai akal dan naluri kasih sayang. Kedua-dua fitrah akal dan kasih sayanglah yang menjadinya manusia makhluk Allah s.w.t. yang teriste- mewa. Fakulti tersebut yang mendekatkan atau melahirkan keimanan kepada zat yang Maha Sempurna itu.
                Berdasarkan dari hakikat inilah, maka agama Islam adalah satu-satunya agama yang telah melekatkan manusia sesuai dengan fitahnya dan menimbulkan keperibadian manusia yang sebenar-benarnya sabagi khalifah Allah s.w.t. di muka bumi ini dan yang mempunyai watak dan karakter yang penting.
Peranan manusia bukan sebagaimana yang dianggap oleh ajaran Krestian sebagai manusia yang derdosa sejak dari kelahirannya yang dikenali sebagai dosa warisan atau original sin dalam bahasa Inggerisnya. Dan dosa tersebut hanya boleh dibersihkan dari jiwanya dengan memandikan bayi yang dipanggil sacrament of baptism. Tanpa melalui upacara ini dosa tidak akan berpisah dari jiwanya maka akibat itu orang yang dosa warisannya belum dibersihkan tidak akan masuk syurga.
Agama Islam satu-satunya yang menjamin hidup manusia di muka bumi ini untuk menikmati segala apa yang dijadikan oleh Allah s.w.t. mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dan sesuai dengan kejadian manusia itu sendiri. Lantara itu Islam sering mengarahkan manusia supaya selalu mengkaji dan mengingati kembali segala sejarah hidupnya, asal usulnya, matlamat kejadian dan detik-detik serta kesudahan perjuangan manusia.
Manusia adalah suatu makhluk mulia yang dijadikan Tuhan dengan seelok-elok kejadian, baik dari biologi, fizikal dan kemia dalam unsur-unsur pembentukannya atau juga di segi  spiritualnya, jiwanya, semangat dan nafsu, harta dan rupanya adalah lebih tinggi daripada segala makhluk-makhluk lain yang dijadikan Tuhan.
Unsur-unsur pembentukan manusia terdiri daripada dua unsur penting iaitu unsur kebendaan (material) dan unsur  kejiwaan (spiritual) dari satu sudut dan terdiri dari unsur bumi atau tanah dan langit dari sudut yang lain. Dalam erti kata yang lain kedua-dua unsur tersebut ialah unsur jasmani dan unsur rohani.
Manusia dari segi biologi dan fizikal serta kimianya adalah sama dengan binatang, sama-sama berkembang, membesar, tua dan mati, sama-sama beranak dan beristeri, maka minum juga sama-sama merasa sakit senang dan sebagainya. Bahkan segala unsur-unsur kejadian yang ada pada manusia itu ada juga pada makluk lain seperti tanah, binatang dan lain-lain lagi. Oleh sebab itulah Allah s.w.t. sentiasa mengarahkan manusia supaya merenungi segala penciptaan makhluk-
makhluk itu baik binatang, lagit dan bumi atau seterusnya, di mana dengan pemerhatian ini akan melahirkan keinsafan di hati manusia bahawa semua itu adalah menunjukkan betapa berharganya alam ini untuk dihayati oleh manusia dan terhadap penganugerahan tersebut.
                Firman Allah s.w.t. yang bermaksud (terjemahan) “Tidakkah mereka perhatikan unta bagimana ia dijadikan, dan langit bagaimana ditinggikan dan gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan dan bumi bagaimana ia dihamparkan.” (Al-Ghasiyah: 17 – 20)
                Unsur-unsur langit yang ada pada pembentukan manusia, yang memiliki daya penarikannya yang tersendiri, di mana ianya menjadikan manusia itu bersifat malakiah yang sentiasa mengarahkan manusia kepada beribadat kepada Tuhan, kerana Malaikat ialah suatu makhluk yang dijadikan Tuhan agar sentiasa beribadat, tunduk dan patuh kepada apa-apa arahan Tuhan seperti dalam firman-Nya yang bermaksud (terjemahan);
                “Mereka ( Malaikat) tidak pernah menderhaka Allah s.w.t. terhadap perintah-Nya dan mereka sentiasa mengerjakan apa sahaja suruhan Allah s.w.t..” (Al-Tahrin:6)
                Berdasarkan dari cantuman dua unsur ini, ianya menjadikan manusia seimbang dan dapat hidup dengan baik. Atau dengan kata lain hasil dari cantuman antara unsur bumi dan langit, unsur Malaikat dan haiwan, material dan spiritual inilah yang membolehkan manusia layak memegang jawatan khalifah atau penguasa di bumi ini. Manusialah yang selayaknya menjadi makhluk yang mampu menghayati alam ini dengan iman dan amal, kemajuan dan ketamadunan.
                Di samping menyedari bahawa segala kejadian ini sama ada bentuk susunan tubuh badannya yang kacak dan tegap atau ciptaan langit dan bumi yang menakjubkan ini melahirkan rasa syukur manusia terhadp Allah s.w.t. Ada beberapa firman Allah s.w.t. yang menceritakan kejadian manusia dan menggesa mereka supaya sentiasa memikirkannya.
                Firman Allah yang bermaksud (terjemahan); “Sesungguhnya Kami jadikan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian.” (At-Thin: 4)
                “Dan dibentukkan kamu dan dielokkan rupa parasmu.” (At-Taghabun: 3)
                “Tuhan yang telah menjadikan kamu sempurna kejadianmu dan menjadikan sususan tubuhmu seimbang. Dan Dia menjadikan kamu mengikut gambaran yang dikehendaki.” (Al-Infitar: 6)
                Anugerah Allah sedemikian unggul dan sempurna, maka wajarlah setiap insan mempu- nyai perasaan kasih sayang terhadap dirinya dan memanjangkan kasih sayang tersebut kepada orang lain kelak mengukuhkan kesetiakawanan sosial sebagai teras pembangunan umat demi membina tamadun yang cintakan kejadiannya kerana Allah s.w.t.
                Perasaan cinta dan kasih sayang pada diri sendiri serta kepada orang lain merupakan motivasi dalaman yang akan melahirkan iman dan takwa kepada Allah s.w.t. yang Maha Pencipta dan Maha bijaksana. Maka itu tanggungjawab utama dalam menunjukkan kasih sayang kepada diri sendiri ialah beribadat kepada Allah s.w.t. serta menjaga kebajikan jasmani dan rohani semasa hidup di alam dunia.
                Mengapakah kita wajar cinta dan kasih sayang pada diri sendiri? Setiap individu mukmin harus berbuat demikian sebagai tanda kesyukuran kepada Allah s.w.t. kerana memberi keistemewaan kepada makhluk manusia. Maka itu diwajibkan setiap individu mengenali dirinya terlebih dahulu sebelum ia mengenali Tuhan yang Maha Pencipta itu.
Tubuh manusia adalah ibarat enjin atau mesin automatik yang sentiasa bertugas siang dan malam tanpa mengenal penat lelah, walaupun tubuh kita tidak bergerak ketika sedang tidur, namun jentera-jentera dalam jasmani kita tetap bertugas baik yang bertugas untuk menghadam kan makanan yang kita makan atau pun mengepam darah ke seluruh tubuh manusia atau sebagainya.
Secara ringkas kita cuba amati dan melihat  secara halus akan menampakkan kepada kita betapa bijaksana Tuhan yang mencipta alat-alat atau anggota-anggota tersebut dan bagaimana
besar nilainya kepada manusia. Alat-alat atau anggota-anggota ini sentiasa bekerja dan berjalan dengan baik, tidak pernah rosak dan terbantut, lagipun tidak ada alat-alat ganti yang disimpan dalam stor atau dijual di kedar tertentu!
                Alat-alat tersebut adalah  anugerah yang besar dari Allah s.w.t. jugalah yang sentiasa mengawasi dan menjalankan tugasnya dengan menghantar Malaikat hafazah untuk menjaga manusia agar terselamat dari mara bahaya musuh-musuh yang berupa binatang-binatang buas sama ada yang besar atau kecil ketika jaga dan tidur di samping juga menggerakkan dan menyelia system yang ada dalam tubuh manusia itu dengan baik dan teratur sehingga ajal menjemput nyawa.
                Firman Allah s.w.t. yang bermaksud (terjemahan): “Dialah yang mempunyai kekuasaan tertinggi ke atas semua hamba-Nya dan diutuskan kepada mu Malaikat-malaikat  penjaga, kemudian apabila datang kematian kepada seseorang kamu dia diwafatkan  oleh Malaikat-malaikat Kami dan Malaikat-malaikat Kami itu tidak pernah melalaikan kewajipannya.  Kemudian mereka (hamba Allah) dikembalikan kepada Allah s.w.t. Penguasa mereka yang sebenarnya, ketahuilah bahawa segala hukum  (pada hari itu)kepunyaan-Nya dan Dialah  yang paling cepat membuat perhitungan.” (Al-An’am: 61 – 62) 
                Alah berkuasa penuh untuk melakukan sebarang apa yang disukai-Nya terhadap hamba-hamba-Nya. Dia boleh mengadakan dan meniadakan, boleh menghidupkan dan mematikan, boleh member pahala dan seksa dan demikian seterusnya.
                Di antaa tanda-tanda yang menunjkkan kekuasaan Allah itu ialah adanya beberapa banyak malaikat yang bernama “Hafadzoh”. Tugas mereka ialah menjaga tingkalaku semua anak Adam yang merupakan kebaikan dan kejahatan, ketaatan dan maksiat – baik dengan perbuatan mahupun dengan percakapan.
                Sesetengah kaul mengatakan bahawa setiap manusia dijaga oleh dua orang malaikat. Seorang di kanan yang menuliskan kebaikannya, dan yang seorang lagi di kiri, menulis kejahatannya. Kalau manusia itu berbuat kebaikan, segeralah malaikat yang di kanan menulisnya. Dan kalau berbuat kejahatan, malaikat yang kanan pula berkata kepada malaikat yang di kiri: Sabarlah, jangan engkau tuliskan dahulu! Mudah-mudahan dia bertaubat. Kalau tidak bertaubat, barulah kejahatannya dituliskan.
                Gunanya di adakan malaikat  di kanan dan di kiri supaya  manusia itu ingat, bahawa dirinya sentiasa diiringi oleh malaikat, yang seolah-olahnya sebagai polis yang sentiasa mengawasi gerak-geri orang yang diiringinya dan menuliskan semua amalannya, untuk dibacakan nanti di khalayak ramai pada hari akhirat. Bila teringat ini, sekurang-kurangnya  datanglah perasaan segan atau takut hendak melakukan sesuatu kejahatan.
                Semua makhluk yang telah dimatikan itu kemudiannya dikembalikan kepada Allah s.w.t. Kerana mereka kepunyaan Allah s.w.t., mereka akan dibicarakan oleh Allah s.w.t. dengan seadil-adilnya, kemudian diberikan oleh Allah dengan seadil-adilnya, kemudian diberi balasan mengikut kadar baik buruk amalannya. Allah sendirilah yang menjadi penguasa, dan Dialah sahaja yang berhak menjatuhkan hukuman, serta cepat pula mengira semua amalan hanba-hamba-Nya dalam tempoh yang sesingkat-singkatnya.
                Demikianlah tujuan mengapa kasih sayang itu merupakan nadi pembangunan umat. Ia membangunkan umat dari dunia hingga ke akhirat apabila bertemu dengan Allah s.w.t. untuk mendapat keadilan tentang amal perbuatannya sama ada pada dirinya mahupun pada orang lain atau makhluk-makhluk yang ada dalam alam kehidupan manusia.

No comments:

Post a Comment