TATACARA DAN DISIPLIN KEHIDUPAN MENURUT ISLAM
(Disirkan pada 12. 5. 2012)
Masyarakat manusia adalah makhluk bersosial. Untuk hidup bahagia ia memerlukan kese tiakawanan sosial demi melahirkan ukhuwah kemanusiaan. Hidup adalah satu perjuangan maka ia memerlukan tatacara dan disiplin kehidupan demi mewujudkan suasana kehidupan yang conducive atau yang melahirkan keselesaan.
Semua kegiatan manusia sebagai hamba Allah sama ada yang berupa ibadat terhadap Illahi atau pun yang berupa muamalat terhadap sesama manusia, semuanya itu hendaklah dilaku kan dalam rangka persembahannya kepada Allah s.w.t. dengan niat hendak mencapai keredhaan Allah semata-mata. Inilah tujuan hakiki dari hidup ini iaitu keredhaan Allah s.w.t., keredhaan Illahi yang memungkinkan tercapainya hidup yang sebenar-benarnya.
Hidup yang tinggi mutunya ialah hidup yang bukan bermaksud kebendaan tetapi hidup di alam akhirat yang puncak kebahagiaannya terletak dalam pertemuan dengan Khalik. Itulah ertinya menyembah Allah s.w.t. sebagai tujuan hidup. Di samping itu manusia semuanya telah bersumpah dan berjanji kepada Allah s.w.t. serta mengakui bahawa Allah adalah Tuhan yang perlu disembah dan Dialah yang mengatur seluruh makhluk ini.
Maka itu tatacara dan disiplin kehidupan adalah menegakkan ibadat kepada Allah s.w.t.. Melaksanakan ibadat kerana Allah haruslah berlandaskan keredhaan Allah s.w.t. dengan tujuan tidak mengetepikan amalan muamalat antara sesama manusia. Allah s.w.t. menyatakan bahawa manusia telah mengakui keesaan-Nya dan berjanji untuk berbakti dan beribadat kepada-Nya di alam arwah. Maka setiap perjanjian itu perlu menempuhi neraca ujian, apakah iman itu benar atau palsu, sadurankah atau sejati (waja), ianya ibarat emas yang mesti diuji terlebih dahulu, apakah tulin atau tidak. Setelah diuji barulah ianya bernilai baik atau tidak, tinggi atau rendahnya mutu emas itu.
Begitu juga iman belum boleh dikatakan seseorang itu baik dan beriman kerana kedudu kan iman seseorang itu berbagai rupa menurut kesanggupan menguasai iman masing-masing. Iman yang tidak disertakan dengan taat dan perjanjian yang tidak disertakan dengan pengorbanan adalah dikira palsu dan tidak boleh dipercayai. Oleh itu taat dalam perjuangan perintah Allah s.w.t. serta dibuktikan dengan pengorbanan suci untuk menegakkan kalimah Allah s.w.t. dikira sebagai tanda bahawa seseorang itu telah pun benar-benar beriman dan percaya kepada Allah s.w.t.
Dunia yang fana yang kita diami sekarang ini bukanlah merupakan syurga yang aman bahagia bagi orang yang beriman. Bahkan sebaliknya merupakan tempat ujian, percubaan, persaingan, pentas drama untuk manusia berlakun dan memainkan peranan penting sekali dalam menentukan nasib hidup anda di masa akan datang iaitu alam akhirat.
Seandainya manusia dapat menghadapi segala tatacara dan disiplin kehidupan yang berupa cubaan dan rintangan-rintangan itu, maka berjayalah mereka di dalam hidupnya dan dapatlah dia mempertahankan keperibadian sebagai manusia yang sebenar-benarnya. Untuk memberi kemampuan diri kepada manusia dalam menghadapi perjuangan ini, maka manusia dilengkapkan dengan keistemewaan dan keutamaan-keutamaan tertentu.
Keestimewaan manusia ini terdapat dalam segenap sudut baik dari segi bentuk kejadiannya mahupun dari segi sudut baik dari segi bentuk kejadiannya mahupun dari segi keadaan atau pun dari segi kehidupannya, manusia adalah makhluk teristimewa daripada makhluk-makhluk yang lain kerana manusia dilengakapkan dengan lima perkara diantaranya: Agama; Akal; Jiwa; Harta dan Keturunan.
Menjaga dan memelihara kelima-lima perkara ini, merupakan kewajiban dalam hidup demi menempuhi kebahagian hidup yang terjamin keperibadiannya sebagai manusia. Sebaliknya
jika disiplin dan tatacara penjagaannya tidak terlaksana seperti sewajarnya maka hinalah hidup mereka dan akan merana sepanjang masa serta sia-sialah sifat-sifat keistimewaan dan keutamaan yang diberikan kepada manusia.
Menjaga dan memelihara agama menjadi keutamaan dalam hidup kerana ia akan menjamin kebahagian hidup di dunia dan di akhirat kelak. Memelihara agama seperti kita menanam padi. Tumbuhnya padi tanpa diundang rumput akan tumbuh sama. Tetapi jika kita tanam rumput jangan mimpi padi akan tumbuh.
Analoginya ialah memelihara agama, dunia akan turut sama terbela tetapi jika kita utamakan kehidupan dunia kebahagian akhirat sukar diperolehi. Maka itu tatacara dan disiplin menjaga dan memelihara agama merupakan perjuangan hidup di dunia. Tanggungjawab manusia dalam kehidupan dunia ialah melaksanakan amanat yang diperintahkan Allah s.w.t..
Allah s.w.t. menyatakan di dalam Al-Qur’an bahawa manusia dilantik menjadi khalifah atau penggantinya di muka bumi ini, sepertimana yang tersebut di dalam kisah Adam a.s. dan cita-cita para Malaikat untuk menduduki tempatnya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, (terjemahan):
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat, ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata: ‘Apakah Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, sedangkan kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau.” Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku lebih mengetahui dari apa yang kamu tidak ketahui.’” (Al-Baqarah:30
Firmannya lagi (terjemahan) yang bermaksud: “Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa (khalifah) di muka bumi ini.” (Al-An’am: 165)
Di tangan manusia terletak kekuasaan untuk mengatur dan mengendalikan segala isi alam ini. Firman Allah s.w.t. (terjemahan) yang bermaksud: “Dialah Tuhan yang menjadikan segala apa yang di bumi ini untuk kepentingan manusia.” (Al-Baqarah: 29)
Maka itu kemajuan dan kemunduran, kebaikan dan keburukan alam ini adalah bergantung kepada manusia. Manusialah yang layak memegang amanah ini yang tidak dapat ditanggung oleh makhluk-makhluk lain. Perkara ini ditegaskan oleh Allah s.w.t. sendiri dalam firman-Nya yang bermaksud (terjemahan); “Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat ini kepada langit, bumi, dan gunung, maka semuanya tidak sanggup memikulnya, mereka takut akan menghianatinya dan manusialah yang layak memikul amanat ini, tetapi manusia ini amat zalim dan bodoh.” (Al-Ahzab: 72).
Amanat di sini ialah bebanan dalam segi keagamaan seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, becakap benar, menjelaskan hutang, menyukat dan menimbang dengan cukup, bahkan anggota badan dan kehormatannya hendaklah digunakan sesuai dengan maksud ia dijadikan dan lain-lain perkara lagi.
Amanat merupakan kewajipan-kewajipan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. kepada orang-orang mukallaf sebagai suatu amanat yang mesti dipikul dengan penuh dan taat. Begitu juga orang-orang mukallaf itu diperintah, supaya memeliharanya untuk ditunaikan – sedikit pun tidak boleh menyalahinya. Namun demikian, amanat yang diterimanya itu oleh setengah manusia telah diabaikannya, sehingga ia berlaku aniaya terhadap dirinya, dan bertindak secara jahil terhadap perintah Tuhannya.
Mengapakah manusia yang ada mempunyai persediaan untuk menerima bebanan itu setengahnya telah mengabaikannya. Hal in tidak lain kerana pada diri manusia itu terdapat naluri atau pembawaan suka marah yang mengakibatkan ia berlaku aniya dan zalim. Begitu juga ingin
menurut kemahuan nafsu syahwatnya yang mengakibatkan ia jahil untuk mengambil tahu dan memperhatikan terhadap kesudahan sesuatu perkara. Oleh itu Allah bebankan kewajipan-kewajipan agama kepadanya, maka bebanan-bebanan itulah yang menjadi pengekang dari mengikuti berterusan-terusan kehendak nalurinya yang tidak terbatas, agar tidak celaka.
Tanggungjawab manusia terhadap Tuhan tentang amanat ini bukanlah suatu perkara yang ringan malah ianya haruslah melaksanakannya dengan baik dan jujur. Perkara utama tentang kelayakan jawatan khalifah ialah bahawa manusia itu hendaklah mengenali Tuhannya dengan sebenar-benarnya dan beribadat kepadanya dengan sebenar-benar ibadat.
Firman Allah yang bermaksud (terjemahan): “Allah yang menjadikan tujuh petala langit dan begitu juga belangannya dari bumi, yang mana segala perintah diturunkan di antara kedua-duanya supaya kamu mengetahui bahawa Allah amat berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu dan Allah ilmu-Nya telah meliputi tiap-tiap sesuatu. (Al-Thalaq: 12)
Mengenali Allah s.w.t. itu adalah tujuan bagi segala kejadian langit dan bumi. Kegagalan berbuat demikian Allah s.w.t. akan menurunkan azab yang pedih, lebih-lebih lagi amalan yang mensyirikkan Allah s.w.t. iaitu mempercayai adanya Tuhan yang lain selain Allah s.w.t. Orang demikian tidak tercium Syurga Allah dan nerakalah matlamat hidupnya.
Sebaliknya apabila mereka dapat menjalankan segala tugas dan tanggugjawabnya itu dengan sempurna, nescaya dia diberikan Allah s.w.t. ganjaran yang utama dan mulia. Ganjaran-ganjaran ini merupakan bekalan hidup di akhirat nanti Maka kenalilah dirimu sebelum mengenali Tuhan.
Mengenali diri adalah wajib dan fenomena ini merupakan tatacara dan disiplin dalam kehidupan. Sebagai contoh, Allah s.w.t. menjadikan manusia sebagai makhluk yang teristimewa dan mulia berbanding dengan makhluk-makhluk lain. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud (terjemahan):
“Dan sesungguhnya Kami telah muliakan manusia dan Kami tempatkan mreka di daratan dan di lautan, serta Kami berikan mereka rezeki daripada barang yang baik-baik serta Kami lebihkan mereka daripada kebanyakan makhluk yang Kami ciptakan dengan sebenar-benar kelebihan.” (Al-Isra’ : 70)
Penganugerahan akal kepada manusia adalah suatu hadiah yang paling berharga sekali dan tidak dapat dinilai, tanpa akal manusia tidak dapat menjalankan tugas sebagai khalifah Allah s.w.t. dan manusia adalah sama dengan binatang atau haiwan. Akal merupakan alat bagi seseorang manusia untuk dapat menilai sesuatu dan menggunakannya untuk manfaat umum. Segala rahsia yang selama ini terpendam dan tersembunyi dapat dibongkar oleh manusia.
Dengan akal dapat kita menggunakan kemahiran berfikir serta mengaplikasikan tatacara dan disiplin hidup sejajar dengan pembangunan sebagai hamba Allah s.w.t.. Hidup yang dipimpin oleh disiplin akan melahirkan tamadun yang berlandaskan kemurnian beragama. Kehidupan beragama menjadi ciri terpenting masyarakat bertamadun.
Allah s.w.t. menyarankan kepada manusia supaya menggunakan akal ini mengikut landasan yang telah digariskannya. Firman Allah yang bermaksud (terjemahan): “Allah telah mengeluarkan kamu dari perut ibumu sedangkan kamu tidak mengetahui sesuatu. Lalu Allah jadikan bagimu pendengaran, penglihatan dan hati (akal) supaya kamu bersyukur.” (An-Nahl: 78).
Allah s.w.t. menggesa supaya manusia menggunakan akalnya demi manfaat kepada dirinya, keluarganya dan masyarakat umum. Akal yang digunakan tidak mengikut aturan yang sepatutnya atau tidak menggunakan akal yang diberikan itu adalah suatu kesalahan yang besar dan dapat menjatuhkan dirinya ke jurang kebinasaan.
No comments:
Post a Comment