Saturday, June 9, 2012

SAYA MESTI BERUBAH KEPADA KEBAIKAN
(Disiarkan pada 9. 6. 2012)
Setiap sesuatu yang bernama hidup semestinya ada perubahan kepada keadaan dirinya mahupun kepada keadaan sekelilingnya. Keadaan demikian selari dengan falsafah pembangunan yang mengatakan “Hari ini pencapainya adalah lebih baik daripada kelmarin dan hari esok pasti lebih baik berbanding hari ini, dan seterusnya”.
                Perubahan itu  mengikut kadar kemampuan diri dengan ilmu yang ada padanya. Dalam erti kata yang lain perubahan  berlaku disebabkan faktor masa yang dimainkan oleh mata hari. Untuk menentukan perjalanan masa maka direka alat pengesan masa atau petunjuk kepada perubahan masa setiap saat, masa itu berjalan. Kemudian masa itu dibahagikan kepada beberapa unit seperti saat, minit, jam, hari, bulan dan seterusnya tahun.
                Semua pergerakan masa itu adalah kekuasaan Allah s.w.t.. Dialah yang berkuasa untuk menentukan segala-galanya dalam pembangunan kehidupan. Sebenarnya keadaan fenomena pembangunan kehidupan telah diatur oleh Tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana, Hanya manusia memerlukan ilmu untuk membuat perubahan itu kepada yang lebih baik daripada yang sedia ada. Usaha itulah yang dikenali sebagai ibadat kepada Allah s.w.t.
                Para ulama berkata bahawa ilmu yang dipeolehi oleh manusia di alam dunia bagikan setitis air yang membasahi jari setelah diculupkan ke dalam air laut, berbanding dengan ilmunya Allah bagikan air lautan yang tidak bertepi itu. Dan jika air laut itu dijadikan sebagai tinta mencatat ilmunya Allah s.w.t., sehingga kering air lautan pun belum habis mencatat ilmu Allah s.w.t.. Dan jika digandakan air laut itu, tidak juga dapar menghabiskan  mencatat semua ilmu Allah s.w.t.
                Manusia diwujudkan Allah s.w.t. dengan segala fasiliti dalam dirinya berupa fitrah sebagai agen kepada perubahan. Otak untuk berfikir; hati untuk melihat pembangunan yang berbentuk ghaib; tenaga untuk mengola ibadat kepada Allah s.w.t.; iman untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.; takwa memimpin kita untuk melaksanakan perintah Allah s.w.t. dan menjauhi segala larangan-Nya.
                Kita berfikir menggunakan otak dan hati melihat arus pembangunan jasmani dan juga pembangunan rohani. Dalam kontek fenomena alam kehidupan - jasmani dan rohani, kewajaran pembangunan rohani perlu diutamakan terlebih dahulu maka dengan sendirinya pembangunan jasmani akan terbela. Dalam keadaan semulajadi manusia biasanya tergiur mengutamakan pembangunan jasmani disebabkan mungkin kerana perubahannya dapat disaksikan dengan mata kepala sendiri serata merta.
                 Kewujudan sesuatu fenomena yang baru menjadi pemangkin kepada setiap individu untuk membuat perubahan. Tetapi apabila bercakap soal ibadat kepada Allah s.w.t. yang memfokoskan kepada pembangunan  rohani yang hasilnya masih dalam keadaan ghaib, maka naluri manusia mungkin tidak bergitu tergalak untuk meningkatkan ibadat atau memperbaiki amal ibadat setapak demi setapak sebagaimana disiplin falsafah pembangunan jasmani mendidik kita.  
                Manusia harus sandarkan keutamaan pemikirannya kepada kebajikan rohani demi mendekatkan diri kepada Zat yang Maha Berkuasa maka itu kita akan terpelihara dari mementingkan diri hidup di alam dunia sebagai keutamaan dalam perubahan pembangunan. Kefahaman kepada pembangunan kehidupan bersendikan kepada suasana perasaan kasih sayang dan membina budaya ukhuwah kemanusiaan kerana Allah s.w.t. Ini penting dijelmakan dalam kehidupan atas dasar manusia hidup bersosial.
                Tenaga yang ada pada jasmani manusia dimanfaatkan untuk melaksanakan ibadat dengan tujuan membuat perubahan kepada kehidupan sebagai hamba Allah. Memperolehi perubahan bererti kita telah membangun setapak maju daripada yang sudah sedia ada. Walaubagaimanapun untuk mempastikan perubahan itu berlaku seperti mana yang diinginkan, kita memerlukan satu kekuatan minda yang dikenali umum sebagai ilmu pengetahuan.
                Ilmu itu adalah kedatangan sesuatu makna kelak menjadi agen kepada perubahan dalam sinario kehidupan. Dalam mengola pembangunan semestinya ada yang merentis jalan menuju kepada perubahan itu. Perintis jalan itu adalah terletak kepada kepekaan individu berkenaan merangka acuan pembangunan yang matlamatnya adalah kepada melahirkan perubahan.
                Wujudnya perubahan menjadi pemangkin kepada pemikiran diri mahupun orang lain untuk memperbaiki apa yang telah dicapai. Dalam sinario kepuasan diri mengikut falsafah ekonomi yang mengatakan bahawa, “there is no ends in wants”; setelah kita berjaya mendapat sesuatu yang baru atau mencapai kejayaan pasti ada sahaja yang difikirkan untuk melakarkan sesuatu  selain yang sudah sedia ada.
                Maka itu manusia hidup seharusnya sentiasa memikirkan sesuatu model atau kehidupan yang terkini  untuk  memperbaiki yang sudah sedia ada. Dengan melihat pencapaian orang lain kadangkala menjadi pemangkin jiwa untuk turut sama membuat perubahan. Disitulah keperluan ilmu pengetahuan sebagai agen perubahan.
                Menangani perubahan atau yang biasa dikenali masa kini sebagai kemodenan perlu menyediakan satu perancangan yang rapi. Sebagai contoh, negara Malaysia di bawah kepim- pinan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Muhamad, telah melakarkan satu sejarah yang dipanggil “Wawasan 2020”.
                Dari segi pemandangan seorang insan, jika penglihatannya mencapai tahap 2020 ber- makna matanya tidak ada masalah atau kecacatan dan boleh melihat dengan terang dan jelas. Wawasan 2020 yang telah didaftarkan oleh negara Malaysia untuk dicapai menyatakan bahawa pada tahun 2020 negara Malaysia akan mencapai sebagai sebuah negara yang maju dalam semua bidang infrastruktur pembangunan sama ada dari segi teknologinya, pendidikan, pertanian, ekonomi, pembuatan dan sebagainya akan setaraf dengan pencapaian negara-negara maju di seluruh dunia.
                Pada tahun 2020 negara dijangka menjadi sebuah negara maju, meninggalkan tarafnya sebagai negara membangun. Pada masa itu tentunya serba-serbi berjalan pantas. Kehidupan masyarakat Malaysia, seperti yang diramalkan, akan dipenuhi pembaharuan demi pembaharuan. Teknologi informasi dan komunikasi pada masa itu akan secanggih mungkin.
                Masyarakat Malaysia akan diterap dan dicorakkan oleh nilai-nilai dan kesan-kesan globalisasi dengan hebatnya. Segala macam ilmu akan lebih pantas diperolehi. Cara berfikir, cara bertindak dan cara hidup – semuanya akan berubah. Banyak penyakit yang tidak boleh diubat pada masa ini mungkin beroleh penawar yang mujarap di zaman itu.
Atau sebaliknya, masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu, akan lebih terdedah kepada unsur-unsur negatif yang kurang  upaya mereka tangkis sehingga mereka mungkin hilang identiti menerusi pencabulan bahasa, budaya, sosiopolitik dan hak-hak asas yang lain yang selama ini mencorakkan sifat-sifat asas mereka sebagai orang Melayu.
Seperti yang telah disaksikan kebelakangan ini, kesan kemajuan global telah banyak berubah cara hisup lama. Orang mulai membaca khabar dan mengirim berita pantas melalui e-mail, mula ramai yang berurus niaga melalui internet. Hiburan, berita dan maklumat, yang kebanyakannya disajikan oleh media dari barat sampai terus ke bilik tidur dengan nisbah yang lebih ketara daripada yang disajikan secara tempatan. Alat-alat canggih pengguna terpasar luas lalu menggantikan peralatan lama; bahasa Melayu ditutur separuh  Inggeris seolah-olah sekerat ular sekerat belut. Dan secara ketara, pendidikan negara mulai disalutkan dengan kaedah-kaidah baru dengan perantaraan media baru. Dunia siber sudah bertapak dalam hidup kita. Bersedialah kita membuat perubahan atau menyesuaikan diri dan menentukan hak-hak kita selepas tahun 2020.
                Kekuatan ilmu dunia wajar diimbali dengan kekuatan ilmu kerohanian atau ilmu agama demi keselamatan pembangunan dunia dan pembangunan akhirat. Setiap  pembangunan itu wajar bermuara dari individu untuk  melengkapkan dirinya dengan ilmu  akhirat terutama sekali dan ilmu dunia.
Ilmu akhirat sebagai pemangkin kepada kesempurnaan perlaksanaan pembangunan jasmani. Ini wajar kerana setiap perubahan yang berlaku dapat disaksikan dengan mata kepala sendiri maka itu perlu mempunyai kekuatan iman untuk menyeleggarakan pembangunan jasmani demi keutuhan pembangunan itu sebagai ibadat kerana Allah s.w.t. 
Iman itu tidak boleh dipusakai dari seorang ayah atau dipelajari dari mana-mana gendung ilmu. Iman adalah kekuatan dalaman setiap individu mukmin. Kehadirannya dalam diri individu tidak menentu berpandu kepada kekuatan atau keikhlasan ibadat kepada Allah s.w.t.. Iman mendekatkan kita kepada Zat yang Maha Berkuasa.
Rasa takwa kepada Allah s.w.t. merupakan ketaatan melaksanakan perintah Allah s.w.t. dan menjauhi larangan-Nya. Orang yang takwa adalah mereka yang merasakan tawadhu atau rendah diri terhadap perubahan yang dicapainya dan tidak meloncat bangga menyombongkan diri. Ia tahu diri bahawa segala kejayaan atau perubahan yang diperolehi adalah prerogatif Allah s.w.t. Dan kita sebagai pemain dalam mewujudkan kejayaan hanya sebagai hak guna pakai semata; hak mutlaknya ialah Allah s.w.t.
Menangani budaya perubahan sewajarnya  setiap individu harus berhati-hati jangan sampai maruh diri tergadai.  Seperti yang kita ketahui bahawa proses dan aspek globalisasi yang sedang pesat berfungsi kini, khususnya menerusi kemajuan multimedia dan alam siber, cara hidup iaitu budaya kita di Malaysia akan berubah. Perubahan itu meliputi struktur dan nilai hidup. Di bawah perubahan struktur kita akan mengalami cara berfikir dan cara bertindak yang mirip kepada kaedah luar yang pada hakikatnya adalah Barat.
Komputer, satu-satunya ciptaan dunia Barat sudah pun muncul sebagai alat hidup yang sebati dengan kehidupan seharian. Kehidupan di hari muka tidak  lagi boleh berjalan tanpa system koputer yang meliputi jaringan internet. Tiada apa salahnya dengan computer atau kehidupan yang berasaskan komputer kerana faedahnya kepada kehidupan manusia terlalu banyak sekali kesan kontranya ada.
Fakta bahawa dunia Islam tidak mencipta computer tidak usah dirunsingkan, seperti  mana juga  kita tidak lagi runsing dengan ciptaan-ciptaan lain di dunia ini yang sama-sama dinikmati oleh semua manusia. Yang perlu dirunsingkan ialah cabaran yang dicetuskannya: bersediakah kita?
Kemudahan dan kecanggihan yang dilahirkan terlalu meluas untuk diabaikan. Mahu tidak mahu kita sudah dilanda gelombang pembaharuan, dan jika kita tidak turut  meniti buih gelombang itu  kita mungkin tercicir dan tersadai di belakang. Hidup berkomputer menjadi biasa seperti memakai pakaian dalam kehidupan seharian.
Tetapi dengan hanya menceduk apa yang disajikan  oleh bangsa Barat dalam bentuk software dan hardware, Malaysia akan menjadi negara pengguna kepada Barat. Mesti ada suatu ikhtiar untuk mewujudkan industri hardware dan software kita sendiri yang semestinya pula mengandungi dan memangkin teras kehidupan kita. Mesti  ada perancangan mewujudkan industry perisian komputer kita sendiri.
Pembangunan sosial masyarakat Malaysia masa kini telah berubah akibat jaringan internet yang berleluasa tanpa sekatan. Agama tidak dapat bertahan untuk menyekat perubahan budaya yang kini merunsingkan. Maruah diri seakan-akan sudah tersadai di persimpangan jalan kehidupan. Kehormatan kepada pembangunan keluarga sudah di ambang kemusnahan. Undang-undang tidak lagi menjadi faktor yang disegani untuk menyekat kemasukan budaya samsing.
                Perubahan itu perlu jika untuk kebaikan pembangunan tamadun manusia dan bukan sebaliknya. Maka itu ilmu yang memanusiakan insan wajar menjadi perisai dalam arus gelombang pembaharuan dalam kehidupan.

No comments:

Post a Comment