Friday, June 29, 2012

HIDUP SEORANG MUKMIN WAJAR DISERIKAN DENGAN IMAN DAN TAKWA

 (Disiarkan pada 30. 6. 2012)
Iman dan takwa merupakan ciri-ciri kehidupan orang yang sentiasa mengingati Allah s.w.t.  serta mensyukuri segala nikmat hidup yang Allah telah kurniakan kepada kehidupan. Hidup seorang mukmin sewajarnyalah dihiasi dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Hidup di alam dunia yang fana ini tanpa makna jika kita menjauhi diri kita kepada Tuhan yang Maha Berkuasa.
Iman kita mendidik jiwa untuk sentiasa mengingati Allah s.w.t.. Fenomena tersebut dapat dijelmakan dalam kalbu dengan cara sentiasa menghiasi diri dengan rasa kasih sayang dan kesyukuran dalam membina ukhuwah kemanusiaan. Kehadiran orang lain akan membina satu perasaan keselamatan dalam mengolakan pembangunan di alam kehidupan.
Tuhan telah memberi nikmat iman dan hidayah-Nya kepada manusia ke arah jalan yang diredhai-Nya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud (terjemahan): “Barang siapa yang Allah menghendaki akan memberi kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk Islam) dan barang siapa yang dikehendaki Allah kesesatan, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit seolah-olah dia sedang mendaki ke langit, begitulah Allah menimpakan seksa kepada orang-orang yang tidak beriman.” (Al-An’am: 125)
Nikmat iman dan hidayah ke jalan kebenaran adalah datangnya dari Allah s.w.t., bukan sesuatu perkara yang boleh diusahakan, Firman Allah s.w.t. yang bermaksud (terjemahan): “Tetapi Allah menjadikan kamu cintakan kepada keimanan dan menjadikan iman itu indah dalam hatimu dan menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan dan kederhakaan, mereka itulah orang-orang yang mengikut jalan yang lurus sebagai kurnia dan nikmat dari Allah s.w.t.” (Al-Hujurat: 7-8)
Allah s.w.t. menegaskan bahawa iman adalah suatu anugerah nikmat dari  Tuhan demi kebaikan manusia. Firman-Nya: “Mereka menganggap telah berbudi kepadamu dengan sebab mereka masuk Islam, katakanlah: ‘Janganlah kamu sebut-sebut keIslaman kamu  sebagai telah berbudi kepadaku, bahkan Allah  berhak menyebut-nyebut budinya ke atas kamu. Dialah yang melimpahkan nikmat kepadamu dengan menunjukkan kamu kepada keimanan, jika kamu adalah orang yang benar.” (Al-Hujurat: 17).
Sabda Nabi Isa a.s., iman seseorang mukmin sentiasa terpelihara dengan amalan kasih sayang antara umat terutama sekali sesama mukmin. Adalah digalakan kaum  muslimin bergaul dengan orang yang sentiasa dengan agamanya. Bergaul dengan orang yang sentiasa menasihati amal yang baik dan menjauhi dari orang yang kufur yang mementingkan dunia dari segala-galanya.
Orang yang beriman adalah orang yang merasai kasih  sayang  antara mukmin. Rasa senang hati apabila melihat amal perbuatan yang baik. Merasa gembira melihat orang-orang yang suka memakmurkan masjid. Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan kasih sayang kepada umatnya, apabila ia sembahyang sendirian ia berdiri membaca beberapa juz Al-quran tetapi  apabila ia sembahyang berjemaah hanya ayat-ayat yang pendek sahaja dibacanya.
Cinta kepada seluruh alam; anak isteri, pangkat , kemewahan, harta benda  merupakan sebahagian daripada iman yang dipersilakan akan  semua cinta into tidak mengalahkan cinta kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya. Cinta kepada alam dan segala isinya ada batasnya. Cinta kepada kerja dan pangkat  juga ada batasnya. Pangkat yang paling tinggi manusia boleh capai dalam satu-satu pekerjaan ialah apabila bersara.
Jikalau cinta kepada sesuatu itu mempunyai  batasan maka adalah tidak wajar menumpu kan kecintaan kita kepada segala-galanya di situ.  Tetapi  cinta kita kepada Allah s.w.t. dan Rasul tidak ada batasnya. Cinta kepada Allah dapat dirasai sebagaimana ertinya cinta kepada Islam. Cinta kepada Islam bermakna kesediaan kita mengikuti semua ajarannya dan berkorban segala-galanya kerana Islam.
Jangan jadikan Islam sebagai dekorasi atau penjaga rumah tetapi haruslah  memantapkan nya dengan pengisian keilmuan dengan mengikuti ceramah-ceramah ke agamaan, masjid, tahlil, usrah dan sebagainya. Memahami hidup dan kehidupan ialah harus  mencari ilmu berlandaskan Islam.
                Islam adalah addin atau cara hidup yang diredhai Allah s.w.t. Hidup sebagai Islam wajar melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Inilah tanggungjawab seorang mukmin yang setia dan cinta kepada Islam. Hidup di dalam Islam  bermaksud sentiasa beriman kepada Allah s.w.t. serta bertakwa kepada Zat yang Maha berkuasa dan Maha Bijaksana. Bertakwa kepada Allah s.w.t. adalah mereka yang sentiasa merasa takut kepada Tuhan.
                Jika kita takut kepada harimau jauhi dan jika kita takut kepada ular jangan mendekatinya tetapi takut kepada Allah s.w.t. dekati. Kerana orang yang paling takut kepada Allah s.w.t. adalah orang yang paling dekat dengan-Nya. Iman dan takwa  adalah naluri yang mendekatkan manusia kepada Allah s.w.t. Dalam erti kata yang lain iman dan takwa itu merupakan kecintaan kita kepada Allah s.w.t..
                Allah s.w.t. menciptakan manusia dari tanah tetapi tanah juga Allah ciptakan bermacam warna. Ada warnanya hitam, ada yang kemerah-merahan dan tidak kurang pula yang berwarna putih. Warna tanah kadangkala digunakan untuk menamakan kampung di mana manusia bermastautin seperti kampung tanah Merah, kampung pasir Putih dan sebagainya.
Walaupun tanah dicipta Allah s.w.t. dalam bermacam warna tetapi tanah yang berkuliti mengikut ilmu Biologi ialah tanah yang berwarna hitam kerana dipercayai banyak bahan makanan tumbuh-tumbuhan ada di situ. Jika manusia dijadikan daripada tanah maka wajarlah difahami bahawa manusia yang ada di alam dunia mempunyai warna kulit seperti kuning langsat, hitam, putih dan sebagainya seperti keadaan tanah juga. Dari situ kita memahami bahawa Allah s.w.t. wujudkan manusia berbangsa-bangsa  dan bersuku suku dan wajar berkenal-kenalan. Tetapi orang yang termulia di antara mereka ialah orang yang lebih bertakwa kepada Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t. Surah Al-Hujurat: 49:13 yang bermaksud (terjemahan): Hai manusia  sesungguhnya Kami menjadikan kamu dari laki-laki dan perempuan (bapa dan ibu) dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa (bermacam-macam umat) dan bersuku-suku  supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang termulia di antara kamu di sisi Allah s.w.t., ialah orang yang lebih bertakwa. Sungguh Allah s.w.t. Maha mengetahui lagi Maha amat mengetahui.” 
Allah memberi tahukan, bahawasanya sekalian  manusia itu asalnya  telah dijadikan seorang lelaki, iaitu Nabi Adam (a.s.) dan seorang perempuan  iaitu isterinya Siti Hawa. Kemudian dari  kedua-duanya, Allah  telah menjadikan pula berbagai-bagai bangsa dan suku. Maka tiadalah seyogia manusia itu bermegah-megah antara satu sama lain, atau mengejek-ejek, mencela, mentertawakan dan sebagainya. Sedangkan mereka semuanya berasal dari satu keturunan, walaupun berlain-lainan bangsa, bahasa, warna kulit  dan bentuk roman mukanya. Apalah yang hendak dimegah-megahkan, walhal semuanya berasal dari air dan tanah.
Allah s.w.t. menjadikan manusia berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, untuk berkenal-kenalan di antara satu  sama lain. Dan untuk mendekatkan pergertian, persefahaman dan perbaikan, agar tercipta di dalam dunia ini ketenteraman dan kerukunan.
Sesungguhnya manusia yang hidup di dunia ini sentiasa berlumba-lumba di antara satu dengan yang lain, untuk mencari kemuliaan. Dalam hubungan  ini, Ibnu Abbas (r.a.) ada
mengatakan: Bahawa kemuliaan di dunia ialah kekayaan, sedangkan kemuliaan di akhirat pula ialah takwa (kebaikan  kepada Allah s.w.t.) Maka bagi Allah s.w.t., orang yang paling mulia disisi-Nya ialah yang banyak kebaktiannya kepada Allah s.w.t., atau yang paling berbakti kepada-Nya. Dan caranya berbakti kepada Allah s.w.t. itu hendaklah menjalankan segala apa yang diperintahkan-Nya, dan meninggalkan semua yang ditegah-Nya.
                Sesungguhnya Allah s.w.t. Maha Mengetahui. Allah tahu akan apa yang dilahirkan oleh seseorang dan juga tahu tentang susur-galur keturunannya. Allah berfirman yang bermaksud (terjemahan): “Tiadalah Ku jadikan jin dan manusia melainkan menyembah Aku.” (Surah Az-Zariyat (51) ayat 56). Maka itu tanggungjawab umat manusia ialah menyembah Allah s.w.t. dan mensyukuri segala nikmatnya.
Perkataan ‘takwa’ terbitnya dari tiga huruf iaitu ‘ta’, ‘qof’ dan ‘wou’.dan masing mempunyai makna yang tersendiri. ‘Ta’ terbitnya dari perkataan tawadhu yang membawa makna tidak mahu dipuji, sentiasa rendah diri, tidak angkoh dan tidak sombong. Pemimpin yang berwibawa adalah golongan manusia yang tawadhu
Syaidina Abu Bakar setelah dipilih  oleh rakyat sebagai pemimpin berkata: “Saya telah dipilih oleh kamu untuk memimpin tuan-tuan. Kalau saya benar bantu saya  tetapi kalau saya lari dari kebenaran tegur saya”. Inilah contoh orang yang bersikap tawadhu. Dia tidak meloncat sombong setelah dipilih malah kalau boleh ia menolak perlantikan itu. Oleh kerana kecintaannya kepada rakyat yang ingin kepimpinan yang berwibawa maka ia menerima dengan penuh harapan agar rakyat berganding bahu membantunya dan dengan hati yang ikhlas dan terbuka untuk menerima kritikan dari rakyat yang dipimpinnya.
                Perasaan tawadhuk adalah sesuatu amal yang membentuk manusia untuk merendah diri sebagai hamba Allah s.w.t. Tidak ada ciptaan Allah s.w.t. di bumi ini yang berhak untuk merasa sombong melainkan Allah sendiri kerana Dialah mewujudkan segala-galanya untuk kemanfaatan segala bentuk kehidupan di alam ini.
Dalam mendisiplinkan diri mengerjakan ibadah sembahyang, bahagian badan kita yang amat bermutu ialah bahagian kepala. Tetapi apabila kita sujud kepada Allah s.w.t. kepala kita letakkan sama rendah dengan telapak kaki, Allahuakbar! Menunjukkan bahawa manusia sujud merendahkan diri di hadapan Allah s.w.t. Dalam mengola aktiviti kehidupan, umat Islam harus memimpin dirinya supaya sentiasa menjaga diri jangan sampai hilang pedoman dan membela- kangi kekuasaan Allah s.w.t.
Huruf ‘qof’ terbitnya dari perkataan tawadhu, yang membawa makna Qanaah yang membawa maksud cukup dengan apa yang ada. Qanaah itu  mengandungi lima perkara: Pertama:  menerima dengan rela akan apa yang ada; Kedua: Memohonkan  kepada Tuhan  tambahan yang pantas, dan berusaha; Ketiga: menerima dengan sabar akan ketentuan Tuhan; Keempat:  bertawakal kepada Tuhan dan Kelima: tidak tertarik oleh tipu daya dunia.
Qanaah adalah modal yang paling teguh untuk menghadapi penghidupan, menimbulkan kesungguhan hidup yang betul-betul (energi) mencari rezeki. Jangan takut dan gentar, jangan ragu-ragu  dan syak, mantapkan fikiran, teguhkan hati, bertawakal kepada Tuhan, mengharapkan pertolongan-Nya, serta tidak merasa kesal jika ada keinginan yang tidak berhasil, atau yang dicari tidak dapat.
Orang yang mempunyai sifat qanaah telah memagar hartanya sekadar apa yang dalam tangannya dan tidak menjalar fikirannya kepada yang lain. Berkerjalah, kerana manusia dikirim ke dunia buat bekerja, tetapi tenangkan hati, yakinlah  bahawa di dalam pekerjaan itu ada kalah dan menang. Jadi tuan bekerja lantaran memandang harta yang telah ada belum mencukupi, tetapi bekerja lantaran orang hidup ta’ bolah menganggur.
Huruf ‘wou’ terbitnya  dari perkataan tawadhu yang membawa makna warak yang bermaksud baik yang subahat lebih-lebih lagi yang haram tidak sama sekali mendekati korupsi. Maka itu orang yang takwa adalah mereka yang tawadhu atau rendah diri; qanaah atau cukup apa yang ada dan warak atau tidak subahat atau korupsi. Maka hidup sebagai Islam wajar menghiasi dan menyerikan dirinya  dengan kuliti iman dan takwa.

No comments:

Post a Comment