Friday, June 22, 2012

UNSUR ROHANI WAJAR DIBERI KEUTAMAAN IBADAT KERANA ALLAH S.W.T.

UNSUR ROHANI WAJAR DIBERI KEUTAMAAN IBADAT KERANA ALLAH S.W.T.
(Disiarkan pada 23. 6. 2012)
Hidup adalah satu perjalanan mulai dari alam arwah ke distinasinya akhirat untuk bertemu dengan Zat yang Maha Pencipta, Allah. Allah s.w.t.  wujudkan makhluk manusia dari pada tanah dan rohaninya daripada roh Allah yang suci yang berupa azali. Maka itu unsur manusia  iaitu jasad dan roh tidak kekal bersama buat sementara waktu setelah ajal menjemput nyawa. Hanya rohani sahaja akan meneruskan perjalanan hidup hingga ke akhirat.
Jasad manusia yang asalnya daripada tanah akan kembali kepada tanah apabila telah berpisah dengan rohnya. Manakala rohaninya akan berpindah ke alam barzakh. Kemudian setelah dunia hancur-hancuran iaitu kebangkitan semula sekalian manusia daripada mati yang dipanggil kiamat berlaku, maka jasad akan bertemu semula dengan rohaninya dan meneruskan perjalanan ke padang masyhar untuk menerima pengadilan Tuhan. Pada hari kiamat kita diadili seadil-adilnya oleh Tuhan, sebelum meneruskan perjalanan ke akhirat sama ada di Syurga Allah s.w.t. atau di neraka jahanam untuk manusia yang tidak sujud kepada Allah s.w.t. semasa hidup di dunia. 
Rohani manusia semasa berada di alam barzakh akan mengalami dua keadaan. Jika hidup nya semasa di dunia dihiasi dengan kemurnian beribadah kerana Allah s.w.t. maka rohaninya akan selesa berada di alam kubur. Tetapi jika sebaliknya yang berlaku semasa berada di dunia maka keseksaan akan dialami oleh rohani semasa di alam barzakh. Disitulah kita dapat melihat kebajikan yang telah kita lakukan kepada rohani kita semasa hidup di dunia.
Dalam pembangunan manusia di alam dunia yang fana ini manusia menangani dua tang- gungjawab penting yang menjadi kewajipan setiap individu iaitu memelihara kebajikan jasmaninya dan juga kebajikan rohaninya. Kebajikan jasmani berbentuk dunia seperti membekalkan diri dengan ilmu agar dapat melaksanakan pembangunan sejajar dengan tamadun kehidupan. Menjaga makanan yang bersih, memelihara kesihatan seperti bersukan, beriadah, menikmati hiburan dan seumpama; manakala kebajikan rohani berbentuk ghaib seperti pahala yang diperolehi daripada amal-amal perbuatan  yang bersendihkan kepada kerukunan beragama kerana Allah s.w.t. 
Ilmu adalah salah satu perkara yang menyebabkan manusia menjadi makhluk yang paling mulia berbanding dengan makhluk lain. Hal ini tersirat di dalam ayat 32 – 34 surah al-Baqarah. Sehinggalah para malaikat diperintahkan bersujud kepada Nabi Adam a.s. (sebagai sujud penghormatan) kerana ilmu yang ada kepada baginda a.s..
Tumpuan keterkaitan ilmu dan amal ini boleh dikaji menerusi ayat  Allah s.w.t. sebagaimana yang bermaksud:” “Sesungguhnya yang takut  kepada Allah s.w.t. daripada hamba-hamba-Nya adalah  hanyalah ulama.” Perkataan ulama adalah bentuk jamak daripada alim yang bermakna “orang yang berilmu.” Orang yang takut kepada Allah s.w.t. adalah mereka yang sentiasa  mengamalkan perintah Allah  dan menjauhi segala larangan-Nya.
Allah wujudkan makhluk manusia sebagai khalifah-Nya di muka bumi ini. Maka itu jadikanlah dunia sebagai semaian pahala di samping memakmurkannya serasi dengan kehidupan makhluk ciptaan Allah s.w.t. yang lain. Dengan pada itu dalam semua aktiviti ibadah dan muamalah dunia, keutamaan harus diberi kepada kebahagian rohani kerana unsur roh adalah berkekalan tanpa batas berbanding dengan unsur jasmani yang hanya sementara sahaja semasa hidup di dunia.
                Disiplin pembangunan manusia sedemikian rupa yang memerlukan kepekaan jasmani mengolah ibadah kerana Allah s.w.t. disebabkan kompleknya unsur manusia. Fenomena kehidupan seorang insan wajar bersendikan kepada pembangunan jasmani dan rohani kerana hidup itu satu perjalanan jauh menujuh ke alam akhirat sama ada kebahagian di syurga Allah s.w.t. ataupun ke neraka jahanam berpandukan kepada amal ibadah seorang insan telah  laksana kan semasa hidup di alam dunia. 
                Kedua-dua distinasi alam akhirat dibentuk oleh Allah s.w.t. sedemikian rupa untuk menguji amalan hidup hamba-Nya semasa melaksanakan kekhalifahannya di alam dunia. Jika kita meninjau dari segi pembangunan diri setiap individu, lebih kompleks berbanding dengan pembangunan kehidupan di alam dunia. Dalam diri manusia Allah s.w.t. telah membekalkan berbagai-bagai fitrah Allah s.w.t.
                Untuk berfikir diberi-Nya otak mengola pembangunan kehidupan. Untuk melihat alam ghaib kita diberikan hati untuk memahami kewujudan sesuatu kelak mendekatkan kita kepada Allah s.w.t. Hati juga dipertanggugjawabkan untuk mengawal tindakan manusia agar ia tidak bercelaru dengan kepentingan nafsu. Hati yang sihat sentiasa berteman dengan iman sebagai perisai manusia daripada godaan iblis dan syaitan.         
                Fitrah nafsu jika bertemankan hati yang sihat atau suci akan membina mahligai kebaha- gian dunia  dan juga akhirat. Orang yang  mempunyai hati yang suci bersih ini menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai model atau contoh dalam kehidupannya. Dalam kehidupan sehari-hari ia berusaha untuk menuju ke  arah kemuliaan hati Rasulullah s.a.w. Pada dasarnya, setiap tingkah laku serta akhlaknya sesuai dengan Sunnah Rasulullah s.a.w.. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud(terjemahan):
                “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya, dan bertakwalah  kepada Allah Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Al-Hujarat:1)
Tetapi jika nafsu bertemankan dengan hati yang sakit akan menempah hidup yang mementingkan dunia semata. Qalbun Maridh, iaitu hati yang masih memiliki kehidupan, namun  di dalamnya tersimpan benih-benih penyakit. Kadang kala ia hidup sihat dan pada masa tertentu ia hidup dalam keadaan yang berpenyakit. Beriman kepada Allah s.w.t.. ikhlas dan tawakal adalah merupakan makanan yang akan menghidupkan  hati yang sakit ini.
Begitu juga sebaliknya, lebih mengutamakan dunia, cinta syawat, tamak, dengki, takabur dan ujub adalah merupakan racun yang dapat menghancurkan hati insan kelak menjadikan rohani kita dalam keadaan gelisah dan sengsara, mungkin sampai pada peringkat mematikan hati kita.
Hati yang sakit ini pada asasnya mempunyi dua motivasi, pertama; motivasi yang mengajaknya, menuju Allah s.w.t. dan Rasul-Nya untuk mencari kebahagian abadi di akhirat; kedua, motivasi yang mengajak menuju kepada kebahagian dunia yang bersifat sementara. Hati yang semacam ini akan mengikut pengaruh mana yang paling kuat menguasai dirinya dan  ia akan masuk ke pintu pengaruh tersebut.
Demikianlah jenis-jenis hati yang kita ketahui dan fahami, agar kita dapat menilai dan meletakkan diri kita ke dalam golongan hati yang suci. Kerana hati yang  sihat dan suci adalah hati yang hidup, merendahkan diri atau tawadhuk, lemah lembut dan memiliki kefahaman yang mendalam. Sedangkan hati yang mati adalah hati yang beku dan tertutup oleh nafsu. Begitu juga hati  yang sakit sentiasa dalam keadaan yang tidak pasti, kerana boleh jadi ia lebih dekat pada jalan keselamatan ataupun lebih dekat kepada kehancuran.
Dalam suasana kehidupan sains dan teknologi seperti masa kini, masalah hakikat manusia dan kehidupan semakin mendapat  tempat untuk dibincangkan. Masalah ini memang cukup penting kerana ia merupakan titik  tolak dalam memberikan batasan yang melibatkan fungsi manusia dalam kehidupan ini.
Daripada hasil perbatasan itu, kemudian disusun prinsip-prinsip dasar yang berkaitan dengan segala aspek kehidupan manusia, politik , ekonomi, sosial bahkan etika. Dalam erti kata bahawa bentuk dan system aspek-aspek kehidupan  tersebut harus ditentukan oleh pengertian tentang hakikat manusia atau bersumber darinya. Jika tidak demikian system-sistem tersebut akan segera gagal. Masa berlakunya akan merupakan masa kesengsaraan manusia, kerana ia bertentangan  dengan hakikat yang dimilikinya.
Kepentingan perbincangan ini lebih terasa lagi setelah disedari bahawa ilmu pengetahuan dan teknologi belum dapat menjamin  kebahagiaan manusia selagi nilai-nilainya tidak tunduk di bawah nilai-nilai keagmaan dan rohani. Allah s.w.t. menganugerahkan ilmu kepada manusia bagi membolehkan ia menjadi  khalifah di bumi dan mentadbir dunia. Dengan kelebihan ilmu inilah manusia akan menjadi makhluk yang paling mulia sekiranya mampu berilmu dan mengamalkannya.
Hubung-kait ilmu dan amal bagikan roh dan jasad. Ia ibarat bapa dan anak, amalan muncul kerana adanya ilmu  dan ilmu muncul kerana adanya amalan. Oleh itu orang yang beramal tanpa ilmu ibarat seorang kehilangan penglihatan, berjalan di tengah-tengah bandar. Dan orang yang berilmu tanpa amal dianggap sebagai hidup seorang yang lumpuh.
Agama Islam disebut dengan agama hanif, kerana di dalamnya terdapat segala nilai-nilai kesempurnaan, yang mulia , suci dan agung, indah baik dan adil. Salah satu makna hanif ialah kerinduan pada yang benar. Islam sesuai dengan fitrah manusia, dengan demikian maka manusia pada fitrahnya rindu kepada kebenaran. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud (terjemahan):
“Bebenaran itu adalah dari Tuhan-Mu, sebab itu janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu.” (Al-Baqarah: 147)
Di samping dalam diri manusia itu merindui kebenaran, ia juga dipersiapkan oleh Allah s.w.t., untuk menyampaikan kebenaran-kebenaran yang diperolehinya itu. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud (terjemahan): “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah s.w.t. (Ali-Imran: 110)
Dalam falsafah kehidupan, unsur rohani wajar diberi keutamaan. Kebahagian hidup di dunia dan di akhirat merupakan cita-cita semua umat manusia terutama  umat Islam. Islam dalam segala hal muamalah dunia penekanan kepada keperibadian unsur rohani menjadi keutamaan. Maka beriman kepada Allah s.w.t. akan menghasilkan jiwa yang tenang dan tenteram, sebab dalam meyakini adanya Allah s.w.t. kita akan memahami akan sifat-sifat Allah s.w.t. yang maha Agung. Akhirnya jiwa kita akan merasa damai dan hidup dalam suasana yang dicita-citakan.
Islam tidak sukar diterima oleh setiap manusia, kerana ianya sesuai dengan kemanusiaan itu sendiri. Allah s.w.t. dalam al-Quran telah menjelaskan bahawa Dia-lah yang mengatur dan memiliki segala yang ada di alam ini. Firman Allah s.w.t. maksudnya:
“Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia. Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Dialah Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.” (Al-Hasyr: 22)
Di dalam menjalankan usaha memenuhi keperluan hidup di alam semesta ini jangan anda menjadi manusia yang tamak, sehingga membuat kerosakan  di sana-sini, sebagaimana disebut kan Allah s.w.t. dalam firman-Nya bermaksud:
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan manusia, supaya mereka rasakan sebahagian dari balasan yang mereka kerjakan, mudah-mudahan mereka kembali kepada kebenaran (taubat)” (Ar-Rum: 41)       
Setelah Allah s.w.t. menyebutkan perangai orang-orang musrik yang menyembah selain Allah dan menyekutukan-Nya dengan yang lain – sedangkan syirik itu adalah perbuatan buruk yang menjadi sebab kerosakan di muka bumi. Perangai manusia yang mencemarkan kehormatan Allah s.w.t. dan kemuliaan-Nya iaitu: Banyak terjadi malapetaka, lahir di sana sini bencana baik
di darat, di laut mahupun di udara bahkan juga di seluruh alam ini tersebar dengan luasnya beberapa banyak peperangan dan serangan dari angkatan bersenjata yang menggunakan kapal-kapal perang, kapal-kapal terbang, kapal-kapal selam dan alat-alat senjata lainnya, sehingga memusnahkan makhluk yang bernyawa dan harta benda. Semuanya itu adalah terbit dari hasil dan usaha tangan manusia itu sendiri.         

No comments:

Post a Comment