Thursday, January 5, 2017

KEBAHAGIAN ITU LAHIR LEWAT USAHA IKHLAS KEPADA ALLAH

 (Disiarkan pada 6. 1. 2017
               Ikhlas kepada Allah, hanya semata-mata percaya kepada-Nya. Ia tidak boleh dipersekutukan dengan yang lain, pada zat sifat dan kekuasaan-Nya. Hadapkan kepada-Nya segala sifat-sifat pada kekuasaan-Nya. Hadapkan kepada-Nya segala sifat-sifat  kesempurnaan yang penuh , dihindarkan daripada  persangkaan sifat-sifat kekurangan. Taat  mengikuti perintah-Nya, jauh segala larangan-Nya dan jangan  derhaka kepada-Nya.
               Firman Allah dalam surah Al-Kahfi ayat 18:110 yang bermaksud: (terjemahan)
               “Barang siapa yang mengharapkan hendak  bertemu dengan Tuhannya, hendaklah dia mengamalkan amalan soleh, dan  jangan menyekutukan dalam beribadat kepada Tuhan.”
               Sesiapa yang mengingini pahala daripada Allah hendaklah beribadat kepada-Nya dengan seikhlas-ikhlasnya, jangan  menyekutukan-Nya dengan yang lain seperti yang dilakukan oleh orang-orang yang tidak percaya kepada keterangan-keterangan Allah dan kepada pertemuan dengan-Nya.
               Amal kebajikan yang kita laksanakan semata-mata kerana Allah, yakni semata-mata kerana mengharapkan keredhaan-Nya, itulah yang disebut beramal dengan ikhlas. Ikhlas itulah ruh sesuatu amal dan amal dan amal kebajika, amal ibadah yang ditunaikan seseorang yang tidak disertai  ikhlas, maka amal yang demikian itulah, amal yang tidak mempunyai ruh, sebagaimana sabda Nabi Muhammad saw. yang bermaksud: (terjemahan)
               “Allah tidak menerima amalan, melainkan amalan yang  ikhlas dan yang kerana untuk mencari keredhaan Allah.” (Hadis diriyatkan Ibnu Majah)
               Ikhlas juga merupakan syarat diterimanya amal ibadat, sebagaimana firman Allah swt. dalam surah Al-Bayyinah ayat 98:5 yang bermaksud: (terjemahan)
               “Mereka itu tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan  tulus ikhlas beragama untuk Tuhan semata-mata yang cendrung (kepada agama yang benar), dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan membayar zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus.”
               Dalam kitab Taurat dan Injil mereka sudah tahu, bahawa mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah sahaja, dengan mengesahkan serta tulus ikhlas beragama untuk-Nya semata-mata. Hendaklah berkeadaan cendrung kepada agama yang benar iaitu agama Islam. Jujur mengikut agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim dan juga agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw., Rasul yang terakhir. Mereka juga disuruh mengerjakan sembahyang dengan cukup sempurna tepat pada waktunya, mengikut segala syarat dan rukunnya serta dikerjakan dengan khusyuk dan beradab sopan.
Begitu juga disuruh membayar zakat harta dan sebagainya, untuk  dibahagi-bahagikan kepada  golongan yang  berhak menerima zakat dan dibayar dengan kerelaan hati. Maka beribadat dengan ikhlas, mendirikan sembahyang dan membayar zakat itu merupakan semulia-mulia tiang agama yang lurus tidak bengkok, dialah agama Islam.
Mengelurkan derma, atau memberikan sesuatu kepada orang lain merupakan perbuatan dan amal yang baik, tetapi kadang-kadang manusia memberikan derma atau hadiah kepada seseorang bermaksud untuk menarik simpatinya atau agar  mereka menganggap bahawa ia sebagai dermawan. Perbuatan ini kedua-duanya termasuk dermawan, tetapi  dermawan  yang didorong oleh perasaan diri manusia, dan menurut Islam pemberian semacam itu tidak termasuk sedekah; kerana sedekah harus  bersih dari kotoran jiwa  dan harus  disertai ikhlas kerana Allah.
Daya intelek merupakan nikmat yang diberi oleh Allah kepada manusia sebagai amanah. Manusia disuruh menggunakan amanah itu untuk beribadat kepada Allah. Ibadah dalam pengertian yang luas merupakan mekanisme bagi mencapai kebahagian hidup di dunia dan di akhirat. Menurut ajaran Islam, manusia akan mencapai kebahagian hidup sekiranya mereka berjaya menghadapi ujian Allah.
Dalam ujian tersebut, Allah menjadi  penguji, manusia menjadi pengambil ujian, kehidupan di dunia menjadi medan ujian, umur mereka menjadi tempoh masa ujian, dan setiap tindakan atau operasi yang dijalankan oleh manusia menjadi butir atau soalan ujian (Harun Din dan rakan-rakan, 1990). Semakin tinggi keimanan dan keilmuan manusia, maka semakin hebat ujian Allah terhadap mereka.
Ujian Allah kepada manusia bukanlan bertujuan untuk merendahkan martabat mereka. Sebaliknya, ujian tersebut diadakan semata-mata untuk meningkatkan tahap penghakikian dan pembangunan potensi kekuatan semula jadi manusia. Jestru, manusia yang berjaya meng- hadapi ujian Allah ialah manusia yang pintar cerdas dalam erti kata yang sebenar. Mereka memang layak untuk memperolehi kedamaian, keselamatan, dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat; pendik kata mereka layak meperolehi kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.
               Amal kebajikan yang kita laksanakan semata-mata kerana Allah, yakni semata-mata kerana mengharapkan keredhaan-Nya, itulah yang disebut beramal dengan ikhlas. Ikhlas itulah ruh sesuatu amal, dan amal kebajikan, amal ibadah yang ditunaikan seseorang yang tidak disertai ikhlas, maka amal yang demikian itulah, amal yang tidak mempunyai ruh.
               Bagi manusia yang menurut jalan yang telah ditetapkan oleh wahyu, mereka memperolehi kekuatan semula jadi. Golongan ini mencapai taraf mukmin, dengan memiliki akhlak mulia serta ketenangan, keharmonian dan kebahagian jiwa.
               Istilah kebahagian atau dalam  bahasa Arab, sa’ada, merujuk kesedaran atau kepastian kalbu tentang tanggungjawab terhadap Allah, manusia, alam semesta, dan diri sendiri, serta penunaian tindakan yang selaras dengan kesedaran atau kepastian tersebut.
               Manusia secara semula jadi mempunyai sifat yang mulia dan bersih (fitrah). Mereka dilahirkan dalam keadaan yang baik serta bertujuan untuk kebaikan. Bagaimanapun, kebaikan atau keadaan fitrah itu boleh berubah, bergantung pada tindakan dan operasi yang dilakukan oleh manusia. Jadi, manusia perlu berikhtiar dengan bersungguh-sungguh untuk menjaga dan mempastikan keadaan fitrah itu terus berkembang dengan baik.
Proses penjagaan dan pengembangan itu membabit dua aktiviti asas, iaitu beriman kepada Allah dan mengerjakan amal soleh. Tanpa iman kepada Allah atau kekuatan akidah, diri manusia akan diselubungi sifat lupa dan lalai yang saling berkait dengan dorongan hawa nafsu. Kelalaian boleh menyebabkan manusia melakukan aktiviti yang dilarang oleh Allah.  Keadaan ini dikenali sebagai kejahatan. Manusia yang gagal menjalankan kedua-dua aktiviti asas dan terus terjebak dengan kejahatan dianggap sebagai manusia yang mempunyai martabat yang sangat rendah.
Amal ibadat yang menjadi sumber kebahagian hidup di dunia dan kebahagian hidup di akhirat berpaksi kepada
falsafah pembangunan yang ditamsilkan dalam muamalah hidup di dunia yang membawa satu kefahaman bahawa “kalau kita
tanam padi tanpa diundang rumput tumbuh sama; tetapi kalau kita tanam rumput jangan mimpi  padi akan tumbuh sama.”
Konotasi  demikian melambangkan satu ibadah yang mementingkan kemantapan iman dan takwa kepada Allah. Iman dan ketakwaan kepada Zat yang Maha pencipta merupakan satu jaminan kebahagian hidup di dunia dan seterusnya kebahagian di akhirat. InsyaAllah.
Menanam padi melambangkan satu ibadah yang mementingkan kemurnian hidup di akhirat. Dalam erti kata lain, memelihara kebajikan rohani atau mementingkan pembangunan rohani merupakan satu ibadat yang menuju kepada kemurniaan hubungan kita  dengan Allah swt. atau yang biasa dikenali sebagai “habluminaallah”. Falsafah di sebaliknya ialah  memberi penekanan kepada persoalan “Mengapa Allah ciptakan manusia di alam ini sebagai hamba-Nya?”
Allah berfirman dalam al-Qur’an surah Adz-Dzariat ayat 51:56 yang bermaksud: (terjemahan)
“Dan tiadalah Aku (Allah) menjadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah kepada-Ku.”
Allah menjelaskan, bahawa tujuan-Nya menjadikan makhluk jin dan manusia tidak ada maksud yang lain, kecuali untuk memberi tugas kepada mereka supaya menyembah Allah dengan mengabdikan diri kepada-Nya dan menegaskan-Nya – bukan supaya mereka  mencari kepentingan hidup di dunia dan bertungkus lumus untuknya. Kerana mereka tidak  memiliki manfaat atau muderat bagi diri  mereka, bahkan tunduk kepada qadak-Nya.
Mementingkan pembangunan rohani iaitu pembangunan akhirat menjadi pokok kepada amal ibadat kita dalam menelusuri kehidupan di dunia. Memelihara pembangunan akhirat dengan sendirinya pembangunan dunia akan terbela. Dalam erti kata lain apabila kita menanam padi tanpa diundang rumput tumbuh sama.
Rumput dikhiaskan sebagai dunia dan padi melambangkan sebagai akhirat. Maka itu jika kita menanam rumput padi tidak akan tumbuh sama. Sayugia, jika kepentingan serta usaha menanam padi diberi keutamaan akan membawa manfaat kerana tujuan ibadah dalam hidup adalah sebagai persediaan untuk hidup akhirat kelak.
               Tamsilan bahasa ini menyedarkan manusia bahawa kewujudan insan  di alam dunia ini wajar bertawakal kerana Allah dan segala penghasilan dalam melaksanakan ibadat merupa kan ujian Allah demi menemukan kebahagian hidup sebagai bekalan di akhirat kelak. Berjayanya menemukan kebahagian hidup di dunia bermakna kita telah lulus ujian melaksana kan kekahlifahan kita sebagai pemakmur alam kehidupan.
               Menanam rumput atau mengutamakan pembangunan dunia bukan tidak mendatangkan kebahagian tetapi ianya semantara sahaja. Pada amnya memelihara pembangunan dunia tidak selalunya akhirat turut sama membangun. Maka itu kehidupan di dunia hanya semata-mata menunjukkan kesyukuran kita kepada nikmat dan rahmat  yang Allah telah redhakan kepada khidmat kita. Kesyukuran terhadap kebahagian yang telah kita perolehi sebenar akan mendekatkan kita kepada Allah swt kelak akan membawa kita ke dimensi mengenali diri kita sebelum kita mengenal Allah. 
               Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. mendapat kebahagian di dunia berpaksi kepada hubungannya yang erat kepada umatnya. Ukhuwah kemanusia merupakan satu faktor yang melahirkan kebahagian hidup Rasul di dunia. Ia mengungkapkan kasih sayangnya kepada umatnya dengan mengatakan:
“Kalau umatku kaya biarlah saya orang yang terakhir merasa kenyang; dan jika umatku miskin biarlah aku orang yang pertama merasakan kelaparan.”
Beliau mengutamakan kebajikan umatnya lebih daripada dirinya sendiri. Jika umat nya kaya biarlah ia orang yang terakhir merasa kebahagiaannya. Dan jika umatnya menjadi miskin biarlah beliau orang yang pertama menanggung penderitaan itu. Kebahagian hidupnya bersandar kepada kebajikan umatnya terutama sekali dalam memelihara akidah Islam sebagai cara hidup; maka itu perjuangannya di dunia ialah inginkan semua umatnya mencintai Islam dan ingin betul jika semua umatnya masuk syurga.
Nanti di akhirat apabila rasul tersedar dari tidurnya dia seolah-olah seperti orang yang bingung. Lalu Allah menegurnya bahawa adakah syurga-Nya tidak enak? Rasul bersabda bahawa syurga Allah amat cantik dan membahagiakan tetapi bagimana umatku di dunia? Ia meminta izin kepada Allah nak kembali ke dunia  untuk melihat umatnya. Allah mengesahkan bahawa umatnya di dunia semuanya bahagia. Maka Rasul pun berkata, kalau begitulh keadaan mereka, syukurlah kepada Allah s.w.t..
Rasul kita Nabi Muhammad saw mencintai umatnya dari dunia hingga akhirat. Walaupun Rasul sudah berada di syurga beliau masih tidak merasa bahagia jika umatnya di dunia dalam keadaan susah. Rasul inginkan semua umatnya dalam keadaan bahagia dan masuk syurga bersamanya.
Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. bersabda jika kita inginkan kebahagian hidup di dunia, perolehi ilmu, dan jika kita inginkan kebahagian hidup di akhirat perolehi ilmu. Dan jika kita inginkan kebahagian kedua-duanya, di dunia dan di akhirat perolehi ilmu penge- tahuan. Mempunyai ilmu menjadi faktor hidup bahagia samada di dunia atau pun di akhirat.
Kita semua perlu mengetahui bahawasanya tanda kebahagian itu hanyalah satu dan tidak ada alternatifnya yang lain. Tanda manusia yang bahagia ialah apabila ia dapat memperoleh taufik atau pertolongan dari Allah, sehingga baginya dirasakan muda dan  tidak ada beratnya sama sekali untuk mengerjakan amal soleh, perbuatan yang baik, baik yang keuntungannya kepada diri sendiri atau juga dapat dirasakan oleh umat dan masyarakat.
Jadi selama hidupnya di dunia ini ia merasa ringan tenaga untuk melaksanakan segala macam bentuk amal soleh tersebut. Hamba Tuhan semacam itulah yang benar-benar dapat dinamakan al’Abdus soleh, yakni hamba yang baik. Keringanan yang dimiliki olehnya itu bukan  sekali-kali dari peribadinya datang, tetapi  adalah kurnia Tuhan yang dilimpahkan oleh Allah Ta’ala kepadanya, sebab Allah  Ta’ala sengaja menciptakannya sebagai orang yang
dianggap kekasih dan kecintaan-Nya. Oleh itu pertolongan selalu dilimpahkan kepadanya.
Menerima hidayah merupakan satu rasa kebahagian dalam hati kerana Allah bersama dengan kita. Begitu juga dalama usaha hendak mencari solusi penyelesaian kepada sesuatu masalah. Pada kebiasaannya kita hendak membawa masalah itu dalam doa kita terutama sekali semasa kita sedang mengerjakan solat subuh. Dalam rakaat akhir semasa mendirikan solat Subuh, gunakan masa akhir sujud itu untuk memohon  perkenankan masalah kita kepada Allah. Allah akan memberi kita ilham atau petunjuk jalan yang mengatasi masalah berkenaan. Dengan datangnya ilham akan melahirkan rasa bahagia dalam hati kerana memperoleh taufik atau pertolongan dari Allah.
               Allah itu Maha Bijaksana, Maha Kaya dan Maha Penyayang kepada hamba-Nya yang sentiasa mencari keredhaan-
Nya. Orang yang sentiasa mencari keredhaan Allah secara ikhlas akan mendapat kemudahan dalam usahanya beribadah

kerana kesungguhannya bertawakal kerana Allah. Maka merekalah yang wajar mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat kelak. Insyallah!

No comments:

Post a Comment