Saturday, November 27, 2010

IMAN DAN TAKWA
(Disiarkan pada 27. 11. 2010)
Iman dan takwa bagikan gulai dengan garam tidak dapat dipisahkan. Kewujudan iman semestinya ada kehadiran takwa. Iman tidak mampu sendirian. Bagitu jugalah takwa tidak mampu berjalan sendirian. Keberadaan keduanya dalam diri seseorang akan membina insan yang mulia dan bersopan santun. Kedua-duanya adalah dalam keadaan yang ghaib, tidak boleh dilihat hanya boleh dirasi dalam jiwa manusia.
Kebersamaannya adalah dalam naluri manusia mukmin. Orang yang beriman semestinya ada ketakwaannya dan orang yang bertakwa wajar ada keimanannya. Iman dan takwa menginap dalam hati seseorang yang ada kesempurnaan hidupnya. Kepentingan pembangunan rohani disajikan dengan pembangunan jasmani.
Kehadiran iman dalam diri apabila kita mengalami sesuatu kepuasan diri bahawa apa yang kita pohonkan kepada Allah mendapat keredhaan-Nya. Sebagai contoh pengalaman seorang mualaf merasakan kehadiran iman dalam diri apabila ia berjaya mendapat keredaan Allah s.w.t. terhadap amal ibadahnya.
Setelah megucap dua kalimah syahadat ia tidak meninggalkan amalannya semasa hidup di luar Islam kerana tidak mengetahui amal-amal ibadah yang digalakkan Tuhan dan dilarang oleh-Nya. Sembahyang dan puasa di bulan Ramadan dilakukan juga tetapi tidak mengetahui rukun-rukun ibadah puasa. Ia meneruskan amalan kegemarannya iaitu minum arak, berbuat maksiat dan bergagai-bagai lagi amalan yang biasa dilakukan semasa hidup sebagai kafir. Beliau menerusakan amalan hidup sedemikian keadaan selama tujuh tahun setelah memeluk Islam.
Antara masalah yang dialaminya ialah tidak ada yang tampil ke hadapan membantu mendidiknya tentang ilmu tauhid. Setelah hidup sekian lama bergelomang dengan kemaksiatan, pada suatu ketika apabila ia bertemu dengan adik saudaranya yang juga seorang mualaf, adiknya mendidik abangnya mengenai satu amalan iaitu sembahyang sunat tahajud.
Sembahyang tersebut diamalkan setelah tidur kemudian bangun di waktu malam dan mendirikan sembahyang sunnat tahajud dua rakaat. Setelah selesai sembahyang kemudian membaca surah al-Fatihah tiga kali untuk dihadiakan kepada saudara muslim yang telah kembali ke rahmatullah. Bagitulah dakwah adik saudaranya kepada abang mualaf berkenaan.
Mualaf itu dengan hati yang ikhlas dan gembira, melaksanakan sembahyang sunat tahajud tepat pada 15 haribulan Ramadan. Setelah tiga hari berlalu mualaf berkenaan bermimpi kepada ipar saudaranya yang juga mualaf yang telah lama meninggal dunia, datang berkunjung ke rumahnya lalu berjumpa dengannya. Dengan perasaan sedar dalam mimpi bahawa ipar saudaranya itu sudah meninggal dunia, mualaf berkenaan lalu memeluknya seraya berkata bahawa dia sangat rindu kepadanya. Kata-kata itu kemudian dijawab oleh iparnya bahawa demikian juga perasaanya.
Mualaf itu tersedar dari tidur tepat jam lima pagi. Ia bangun lalu mengambil air wuduk kemudian mendirikan solat Subuh. Setelah selesai solat ia bergagas ke tempat adik saudaranya yang mendidiknya tentang sembahyang sunat tahajud lalu meminta tafsir mimpinya. Adik saudaranya bertanya tentang dakwah yang disampaikan itu. Dengan ikhlas memberi tahu bahawa ia telah mengamalkannya. Adik sudara itu memeluknya dengan erat seraya menangis kerana gembira sambil berkata: “Syukur alhamdulilah amalan mu itu telah disampai oleh Allah s.w.t.”
Abang saudaranya juga turut sama mengeluarkan air mata kerana memikirkan bahawa sehina-hina hidupnya yang tidak faham mengenai disiplin hidup sebagai muslim, Allah perkenankan juga ibadahnya. Dengan keadaan demikian ia bersyukur kepada Allah lalu iman yang kukuh tertanam dalam dadahnya. Ia meninggalkan amalannya yang mengotorkan Islam dan mencari ilmu di bawah bimbingan adik saudaranya.
Kegigihannya menuntut ilmu tauhid begitu kuat sehingga ia menjadi pendakwah bebas melalui penulisan. Ramai orang mengikui rencananya yang disiarkan dalam surat khabar tempatan keluaran setiap minggu. Fokus dakwahnya ialah mengenai pembangunan rohani dan jasmani manusia dalam kefahaman bahawa Islam adalah addin.
Iman itu satu kekuasaan dalam jiwa manusia yang meyakini bahawa segala sesuatu itu ada penciptanya. Tidak ada kewujudan sesuatu itu dengan sendirinya melainkan diciptakan seperti bumi, matahari, bulan, bintang-bintang, langit dan sebagainya. Semua yang ada dalam alam kehidupan adalah kekuasaan Allah s.w.t. mewujudkannya. Allah yang Maha Pencipta, Maha Mengetahui, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Allah itu tidak mempunyai bentuk atau rupa. Ia adalah zat dan pengetahuan-Nya menjangkau di mana-mana sahaja. Berlaku pada suatu masa seorang guru mempunyai 20 orang murid dalam kelasnya tahun enam. Setiap masa apabila guru tersebut meminta tolong ia hanya meminta kepada sorang murid bernama Mohd. Nabil sahaja dan tidak pernah meminta tolong kepada murid-murid yang lain. Apabila keadaan itu telah diketahui oleh semua murid yang lain maka mereka merasa curiga dan cemburu mengapa mereka tidak diberi peluang untuk membantu guru mereka.
Satu ketika, bertanyalah murid-murid kepada guru itu mengapa Mohd.Nabil sahaja yang diminta membantunya. Guru tidak menjawab tetapi ia meminta, pada keesokan harinya, semua murid termasuklah Mohd. Nabil, masing-masing membawa sebila pisau ke sekolah. Apabila guru datang ke sekolah ia membawa 20 ekor burung merpati. Ia memberi setiap muridnya seekor burung dan sebilah pisau yang sudah sedia ada pada setiap murid.
Guru memberi tahu kepada semua murid supaya membawa burung itu ke satu tempat di mana mereka fikir tidak ada yang melihat, dan sembelihkan burung itu. Semua pelajar pun berkeliaran mencari tempat yang sunyi yang tidak ada yang melihat. Mereka berada dibawah jambatan, di dalam gua, di dalam hutan, di dalam parit, di dalam rumah kosong dan sebagainya.
Mereka diberi tempoh lima minit sahaja untuk menguruskan penyembelihan burung tersebut. Tidak lama kemudian pelajar yang pertama, yang sering membuat kenakalan dalam kelas, kembali selepas tiga minit dengan kepala burung telah terpisah dari badannya; diikuti oleh pelajar yang lain, semuanya berjaya menyembelih burung masing-masing kecuali Mohd.Nabil yang belum pun kembali lagi setelah tempuh yang diberi telah tammat.
Rakan-rakan menungguh Mohd. Nabil datang. Sepuluh minit kemudian ia pun kembali dengan muka yang sedih. Ia menyembunyikan tangannya di dalam bajunya. Guru bertanya mengapa ia lambat. Mohd. Nabil menjawab bahawa ia terlambat kerana tidak dapat tempat yang sesuai untuk ia menyembelih burungnya. Di mana sahaja ia berada ada sahaja yang melihat. Guru itu bertanya siapa yang melihatnya. Mohd. Nabil berkata Allah yang melihatnya.
Dengan muka yang sedih ia mengembalikan burung itu kepada gurunya seraya meminta maaf kerana tidak berjaya menyembelihnya. Guru kemudian memberi jawapan kepada pertanyaan anak-anak muridnya mengenai Mohd Nabil yang selalu diminta menolongnya. Guru mempunyai keyakinan kepada Mohd. Nabil kerana ia mempunyai iman yang tertanam dalam dadanya. Sebarang perlakuannya ia sentiasa memikirkan kebenaran dan mempunyai keyakinan bahawa Allah itu sentiasa mengawasinya.
Imam Al-Ghazali mengklasifikasi iman kepada tiga tingkat: pertama iman mat’buk, iaitu keyakinan yang tetap atau stabil, yang tidak berlebih dan tidak juga berkurang seperti imannya para Malaikat. Malaikat tidak ada nafsu, tidak ada perbuatan yang negatif. Kehidupan Malaikat bukan kehidupan perjuangan. Hidupnya tanpa alternatif.
Kedua ialah iman ma’sum, iaitu iman yang terpelihara dari segala dosa, sebagaimana iman para nabi-nabi. Imannya terus bertambah dan tidak pernah berkurang. Kehidupan Nabi sentiasa susah tetapi semakin berat kehidupan semakin mantap perjuangannya. Tidak ada Nabi yang dianak-emaskan.
Tingkat yang ketiga ialah iman maqbul, iaitu iman yang bersih yang diterima oleh Allah, seperti iman orang-orang mukmin. Iman ini tidak statik mengikut amalan individu berkenaan. Iman bertambah dalam ketaatannya, sekali berkurang kerana perbuatan yang terlanjur melakukan maksiat. Ulama’-ulama’ Syafie menjelaskan bahawa iman itu berlebih dengan taat dan berkurang dengan maksiat.
Selain dari ketiga peringkat iman tersebut, terdapat dua peringkat iman lagi yang tidak diterima oleh Allah seperti iman orang-orang munafik dari umat Muhammad yang dinamakan mauquf. Tetapi apabila kemunafikan dalam hatinya itu sudah lenyap, maka imannya itu sah kembali. Kelima, iman mardud, yang ditolak sama sekali tidak diterima dan diperhitungkan seperti iman orang-orang kafir terhadap Allah.
Allah berfirman dalam al-Quran surah al-Hujerat ayat (49) 13 yang bermaksud “………Sesungguhnya orang yang termulia di antara kamu di sisi Alah ialah orang yang lebih bertakwa.”
Dalam menelusuri hidup jaminan keselamatan buat sekalian umat ialah membudayakan ketakwaan mereka kepada yang Maha Berkuasa di samping memenuhi jiwanya dengan ilmu pengetahuan sebagai faktor untuk membimbingnya ke jalan yang benar demi menggapai kebahagian di dunia dan juga di akhirat.
Perkataan takwa memberi tiga pengertian iaitu tawadhu, qannah dan warak. Orang yang bertakwa kepada Allah mempunyai pembawaan diri yang bersifat tawadhu atau rendah diri. Rendah diri adalah satu pembawaan atau sifat yang tidak mahu dipuji dan tidak sombong dan angkoh. Ia memahami hidupnya Allah sahaja yang lebih berkuasa dan Allahlah yang sepatut berhak merasa sombong.
Qannah adalah sikap orang yang sentiasa bersyukur dan merasa cukup apa yang dia ada dari pemberian Allah s.w.t. Sifat memadai sekadar apa yang ada tanpa merasa tamak dan haloba. Sebagai faktor keselamatan negara pemimpin harus membudayakan keadilan dan memikirkan mereka yang dipipinnya lebih diutamakan daripada segala-galanya.
Tidak lengkap dan kukuh ketakwaan seseorang itu jika ia tidak menjauhi diri dari pekerjaan yang subahat yang membawa manusia ke lembah hina. Dalam perkataan takwa itu ada menyentuh mengenai perasaan warak atau tidak subahat, lebih-lebih lagi perkara yang haram. Manusia apabila mendapat peluang yang memenuhi kehendak nafsunya ia akan hilang perkiraan dan lupa akan dirinya sebagai hambah Allah. Ramai orang ibadahnya kepada Allah tekun tetapi amalan yang haram juga jalan terus. Ia mengenali perkara yang subahat dan juga yang haram tetapi dia membenarkan dirinya menghalalkannya untuk kepuasan dunia semata.
Dalam mendisiplinkan diri menangani pembangunan, manusia mengerjakan ibadah sembahyang lima waktu dalam sehari semalam kerana Allah. Tetapi apabila dia sujud kepada Allah kepalanya diletakkan ke atas lantai sama rendah dengan telapak kaki menunjukkan bahawa sujud merendahkan diri di hadapan Allah s.w.t. Dalam mengolah aktiviti kehidupan, umat islam harus memimpin dirinya supaya sentiasa menjaga diri jangan sampai hilang pedoman dan membelakangi kekuasaan Tuhan.
Amalan-amalan hidup yang sentiasa memelihra kesucian Islam itu akan membawa manusia bertemankan iman. Iman merupakan benting segala kekufuran dan kebathilan. Iman itu adalah jaminan Allah untuk memasuki Syurga-Nya. Kenikmatan mempunyai keimanan kepada Allah s.w.t. akan mendorong kita lebih bertawakal dan mensyukuri segala apa yang ada pada diri. Iman dan takwa membina manusia sempurna di sisi Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment