Sunday, June 5, 2011

IKHLAS DAN JUJUR MEMANTAPKAN KEIMANAN
Disiarkan pada 28. 5. 2011)
Fenomena ikhlas, jujur dan iman merupakan kekuatan naluri seorang insan dalam menangani hidup bertamadun. Allah melantik manusia sebagai khalifah-Nya di muka bumi ini untuk memakmurkan alam kehidupan sesuai dengan fitrah kehidupan manusia serta segala makluk Allah yang dicipta-Nya di alam nyata ini.
Manusia sebagai insan dilengkapi dengan pelbagai fitrah yang memurnikan tanggung jawabnya sebagai khalifah Allah S.W.T. seperti iklas, jujur dan iman. Kehadiran elemen-elemen tersebut dalam naluri manusia amat penting sebagai khalifah Allah untuk melaksanakan amanah Allah S.W.T.
Setiap ibadah yang dilaksanakan dalam hidup wajar dimurnikan dengan rasa ikhlas dan jujur untuk menggamit keimanan kepada Allah S.W.T.. Lahirnya keikhlasan dan kejujuran dalam naluri manusia akan memantapkan keimanan kepada Sang Pencipta bahawa segala kewujudan sesuatu fenomena alam adalah kekuasaan-Nya.
Firman Allah surah Al-Baqarah ayat 2:177 yang bermaksud (terjemahan): “Bukankah kebaikan itu (dengan) kamu hadapkan muka kamu arah ke timur dan ke barat, tetapi kebaikan itu ialah; orang-orang yang beriman dengan Allah, hari akhirat, malaikat-malaikat, kitab-kitab dan para nabi - sedang dia mendermakan harta yang dikasehinya kepada; karib kerabatnya. Anak yatim, orang-orang miskin, pengembara, peminta-peminta, hambah sahaya yang menuntut kemerdekaan – serta mengerjakan sembahyang dan mengeluarkan zakat, lagi menepati janji, dan mereka berhati sabar di atas kemiskinan, dalam sakit dan pada masa berperang. Mereka itulah orang-orang yang benar (menepati dengan imannya), dan mereka itu orang yang takwa.”
Kebaikan bermaksud oleh orang-orang ahli kitab ialah: menghadap muka mereka ke barat (seperti orang Yahudi) ataupun arah ke timur (seperti orang Nasrani) pada pekerjaan sembahyang mereka itu sahaja. Tatapi yang dimaksudkan kebaikan itu amat banyak. Orang-orang Yahudi dan Nasrani itu menyangkakan pekerjaan yang baik hanya merupakan sembah yang sahaja. Anggapan mereka itu salah. Allah menyangkal dengan perkataan ayat (177) ini.
Maksud daripada kebaikan itu ialah: orang yang beriman; orang yang mendermakan hartanya, pada hal ia amat mengasihinya; orang yang mengerjakan sembahyang; orang yang mengeluarkan zakat; orang yang menepati janji jika membuat perjanjian; dan orang yang berhati sabar. Manakala orang yang beriman itu ialah yang percaya kepada Allah; hari kemudian; kitab-kitab Allah; malaikat; para nabi.
Orang yang mendermakan hartanya itu ialah: Yang membelanjakannya untuk keperluan kaum kerabatnya seperti anak isterinya; anak yatim; orang miskin; pengembara yang kehabisan belanja di jalan; peminta-minta sedeka dan orang yang hendak membebaskan diri dari perhambaan atau tawanan perang.
Orang yang mengerjakan sembahyang itu ialah yang mengekalkan pekerjaan sembah yang fardu mengikut batas-batas peraturan. Orang yang mengeluarkan zakat ialah yang mengeluarkan jenis hartanya tertentu dan dibahagi-bahagikan kepada golongan yang tertentu sahaja.
Orang yang menepati janji ialah yang apabila berjanji ditepati, apabila bernazar ditunai kan, apabilah bersumpah benar ikhrarnya dan apabila berkata tetap jujur. Orang yang berhati sabar ialah orang sabar ketika ditimpa kesempitan, kemiskinan dan kepapaan dalam hidup. Ia bersabar ketika ditimpa sakit atau wabak dan orang yang sabar ketika menghadapi bahaya peperangan atau sedang ditempur dengan musuh.
Falsafah kehidupan manusia mempunyai dua unsur jasmani dan rohani. Allah menciptakan makluk manusia sedemikian rupa kerana hidupnya tidak terhenti di alam dunia sahaja. Kehidupan ini adalah satu perjalanan jauh menuju alam baka di mana kita bertemu dengan Zat yang menciptakan manusia.
Semasa kita berada di alam dunia pelbagai elemen yang wajar manusia ketahui untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.. Amalan harian sebagai contoh tentunya sentiasa kiblatkan pemikiran kepada kekuasaan Allah S.W.T.. Hidup sentiasa ditimang dengan dua keadaan alam kehidupan iaitu keadaan kesihatan sama ada sehat atau sakit. Dan ini wajar agar manusia merasakan kelezatan hidup itu.
Perasaan iklas dan jujur semestinya sentiasa menemani anda di mana saja anda berada dan apa sahaja anda lakukan dengan iringan doa. Sebagai contoh pada keikhlasan yang penuh keredhaan diri ialah semasa berada di tandas hendak membuang kotoran. Naluri manusia menunjukkan keikhlasan dan kejujurannya seratus peratus. Tidak mencurigai apa yang keluar dari badannya dengan memikirkan bahawa yang keluar itu adakah buah durian yang telah makan atau sate yang telah dimakan semasa di warung!
Kita ikhlas dengan mengatakan syukur Alhamdulillah, Allah memberi kesihatan ini. Kembalilah asal mu daripada api balik kepada api; dan daripada angin kembali kepada angin; dan daripada tanah kembalilah kepada tanah. Tinggallah zat untuk kemanfaatan hidup ini.
Dalam melaksanakan ibadah harian sama ada yang berbentuk pembangunan jasmani mahupun pembangunan rohani, keikhlasan dan kejujuran pada naluri individu berkenaan sentiasa mewarnai ibadahnya. Dan ini penting sebab setiap perlakuan manusia itu merupakan tawakkal kepada Allah. Ketentuan kepada produktivitinya adalah prerogatif Allah S.W.T.
Dalam hidup semestinyalah ada kejujuran dan keikhlasan kerana inilah jalan yang lurus kepada segala perlaksanaan amanah yang Allah petanggungjawabkan. Pada manusia itu ia mempunyai fitrah kemahiran berfikir yang memandunya untuk mengenali tujuan hidupnya. Segala perlaksanaan ibadah semestinya datang dari naluri manusia dengan menggunakan keikhlasan dan kejujuran demi mencapai keredhaan Allah S.W.T.
Raja dalam diri manusia itu ialah hati. Jika ia baik maka baiklah segala perlaksanaan ibadahnya kerana Allah. Jika ia tidak baik maka buruklah padanya. Keikhlasan dan kejujuran adalah buah daripada hati yang baik. Apabila kedua-dua buah tersebut matang maka lahirlah iman. Iman itu satu kekuatan dalam jiwa manusia yang meyakini bahawa segala sesuatu itu ada penciptanya. Tidak ada kewujudan sesuatu itu dengan sendirinya melainkan diciptakan.
Seperti bumi dan matahari, bulan dan bintang-bintang, langit dan cakerawala alam dan sebagainya tidak wujud dengan sendirinya tanpa ada kekuasaan yang mewujudkan. Yang mewujudkan segala itu adalah kekuasaan Allah yang Maha Pencipta, Maha Mengetahui dan Maha Pengasih dan Penyayang. Malah keikhlasan dan kejujuran adalah ciptaan Allah yang ditanamkan-Nya ke dalam naluri manusia yang membentuk manusia sebagai ciptaan Allah yang paling unggul dan sempurna berbanding ciptaan-Nya yang lain.
Iklas, jujur dan iman adalah tiga rakan sejati menginap dalam jiwa manusia yang tidak boleh dipisahkan. Ketiga-tiganya menjadi kemestian kepada setiap individu memperolehinya. Menjadi orang yang mulia semestinya dipimpin oleh ketiga-tiga elemen berkenaan. Jika satu daripadanya tidak ada maka pincanglah tindakan manusia dalam mengola segala bentuk pembangunan.
Seperti juga keadaan ilmu dan amal. Kedua-duanya adalah rakan sejoli yang tidak boleh dipisahkan jika hendak mengamalkan hidup yang berpedoman. Hidup yang sentiasa berkiblat kepada kebaikan untuk masyarakat jelata dituntut oleh semua masyaakat tidak kira bangsa, keturunan dan kepercayaan. Dalam suasana menangani hidup bermasyarakat kita mempunyai berbagai ideologi yang masing-masingnya mempunyai tafsiran yang berbeza-beza apabila kita memikirkan apakan itu kebaikan.
Dalam kontek menentukan yang mana baik dan yang mana buruk kita memerlukan elemen tiga sejoli seperti tersebut di atas iaitu iklas, jujur dan iman. Tanpa kehadiran ketiga-tiga elemen tersebut tafsiran individu tentang kebaikan dalam menangani hidup agak tergenlincir dari landasan yang Allah S.W.T. redahi.
Ikhlas ertinya bersih, tidak ada campuran, ibarat emas murni, tidak ada campuran perak beberapa persent pun. Perkerjaan yang bersih terhadap sesuatu, bernama ikhlas. Misalnya seorang bekerja kerana diupah, semata-mata kerana mengharapkan puji majikan, maka ikhlas amalnya kepada majikannya, atau dia bekerja memburu harta dari pagi sampai petang, dengan tidak jemu-jemu, kerana semata-mata memikirkan upah, maka keikhlasannya kepada perutnya.
Lawan ikhlas ialah ‘isyrak’, ertinya bersyarikat atau bercampur dengan yang lain. Antara ikhlas dengan Isyrak tidak dapat dipertemukan, sebagaimana tidak pula dipertemukan antara gerak dengan diam. Kalau ikhlas telah bersarang dalam hati, Isyrak tak kuasa masuk, kecuali telah terbongkar keluar. Demikian juga sebaliknya, keluar segala perasaan isyrak dahulu, baru ada tempat buat ikhlas.
Tempat ikhlas dan isryak ialah hati. Bilamana seorang berniat mengerjakan sesuatu pekerjaan, maka mulai melangkah sudah dapat ditentukan ke mana tujuan dan bagaimana dasar. Ada yang berniat hendak menolong fakir dan miskin. Perkerjaan memberi pertolongan adalah baik tetapi belum tentu baik jika dasanya tidak subur. Barulah akan baik dari zat sampai kepada sifatnya jika didasarkan kepada ikhlas. Iaitu menolong fakir dan miskin kerana Allah, bukan kerana semata mengharapkan puji dan sanjung manusia. Oleh sebab itu perkataan aikhlas itu terpakai terhadap Allah semata-mata.
Ikhlas itu tidak dipisahkan dengan jujur yang dalam bahasa halusnya ‘tulus’, sebab itu selalu orang berkata ‘tulus ikhlas’, dan ketulusan itu bukanlah dilidah sahaja, kerana lidah mudah berputar, mudah mungkir. Kerana lidah berkata atas kehendak hati. Yang penting ialah ketulusan hati:
“Jangan terpedaya oleh seorang ahli pidato, lantaran pidatonya, sebelum kelihatan bukti
pada perbuatannya. Kerana perkataan itu sumbernya ialah hati. Lidah hanya dijadikan sebagai
tanda dari hati.”Ikhlas, dan jujur akan membuahkan keimanan kepada Allah S.W.T. Apabila iman telah bersarang dalam dada maka segala tindakannya semestinya dihiasi dengan keikhlasan dan kejujuran.

1 comment:

  1. Ar Rayah World News
    http://www.arrayah.info/
    Berita Terkini Kebangkitan Negara Islam Global - Khilafah Islamiyah

    ReplyDelete