(Disiarkan pada 22. 9. 2012)
Iman dan takwa merupakan teras keunggulan naluri manusia sebagai hamba Allah. Kedua-dua fenomena ini bersifat rohaniah maka kewujudannya dalam diri seseorang adalah produk dari amal ibadah kerana Allah. Amanah yang dipertanggunjawab oleh Allah s.w.t. menjadi keutamaan dalam agenda peradaban pembangunan kehidupan manusia.
Islam membangun peradaban masyarakat manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Jestru itu iman dan takwa kepada Allah s.w.t. menjadi perisai dalam menempuhi ranjau-ranjau kehidupan dalam membangunkan tamadun. Allah wujudkan makhluk manusia sebagai khalifah di muka bumi ini dengan segala fasiliti-Nya yang wajar diserikan dengan iman dan takwa demi mendapat jaminan keredhaan Allah dalam segala muamalat dunia.
Allah s.w.t. menjadikan manusia sebagai makhluk yang teristemewa dan mulia berban- ding dengan makhluk yang lain. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud (terjemahan): “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan manusia dan Kami tempatkan mereka di daratan dan di lautan, serta Kami berikan mereka rezeki daripada barang yang baik-baik serta Kami lebihkan mereka daripada kebanyakan makhluk yang Kami ciptakan dengan sebenar-benar kelebihan.” (Al-Isra’:70)
Manusia adalah makhluk yang termulia berbanding makhluk ciptaan Allah yang lain. Kemuliaannya atas dasar kehadiran fitrah yang diberi kepadanya seperti kesempurnaan dirinya zahir dan batin. Kesempurnan lahiriah dengan adanya anggota kerja seperti segala fasiliti kehidupan iaitu tangan untuk mengolah aktiviti muamalat, kaki untuk bergerak melaksanakan segala agenda kehidupan, otak untuk berfikir dan kesempurnaan batin dengan adanya tenaga jiwa yang menjadi sumber kepercayaan (ketuhanan), perasaan dan kemahuan. Dari sumber ini timbullah perbuatan, muncullah amalan, dan wujudlah pembalasan.
Hakikat ini wajar diketahui oleh setiap individu mukmin, kerana Islam telah menempat kan diri manusia ke tempat yang istemewa dan mulia sesuai dengan bentuk kejadian, keadaan dan keperibadian manusia. Kewajaran dalam hidup sebagai muslim dan beriman kepada Allah s.w.t. adalah mengetahui tentang ajaran-ajaran Islam(agama Allah) serta mengetahui di manakah taraf dirinya sebagai manusia? Apakah tugas-tugasnya dan peranannya di dalam dunia ini?
Maka itu kita kembali kepada persoalan pokok, mengenai iman dan takwa dalam perseptif Islam. Penganugerahan akal kepada manusia adalah suatu hadiah yang paling berharga sekali dan tidak dapat dinilai, tanpa akal manusia tidak dapat menjalankan tugas sebagai khalifah Allah maka itu manusia adalah sama seperti haiwan.
Dengan akal manusia dapat berfikir dan bertindak sesuai dengan tugasnya sebagai hamba Allah s.w.t.. Akal juga merupakan alat bagi seseorang manusia untuk dapat menilai sesuatu dan menggunakannya untuk manfaat umum. Segala rahsia yang selama ini terpendam dan ter- sembunyi dapat dibongkar oleh manusia.
Akal membawa kita ke satu dimensi kehidupan yang amat komplek dan bermanfaat kepada manusia untuk menjalankan tugas sebagai hamba Allah iaitu iman dan takwa. Kedua-dua fenomena ini membina tamadun di landasan yang diredhai Tuhan yang Maha mengetahui itu. Dengan iman dan takwa, kita dapat memahami kewujudan makhluk manusia sebagai hamba Allah iaitu pemakmur alam kehidupan.
Memahami unsur manusia daripada kejadiannya seperti mempunyai jasad yang asalnya daripada tanah dan jiwa atau rohani adalah zat dari Allah. Iman dan takwa merupakan sesuatu yang bersifat ghaib dan ini dibekalkan oleh Allah kepada setiap insan yang bergelar manusia. Muamalat dalam hidup manusia dipertanggungjawabkan kepada jasad untuk menghasilkan produk yang dikenali sebagai takwa. Orang yang bertakwa kepada Allah adalah mereka yang mempunyai iman. Oleh itu iman dan takwa tidak boleh dipisah demi mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
Perkataan takwa adalah dari suku kata ‘tak’ ‘qof’ dan ‘wau’, masing-masing mempunyai makna yang tersendiri. ‘Tak’ dari perkataan tawadhu yang membawa makna tidak mahu dipuji dan sentiasa rendah diri, tidak angkuh dan tidak sombong dan mempunyai sikap kefahaman mental.
Pemimpin yang berwibawa adalah golongan manusia yang tawadhu. Syaidina Abu Bakar, setelah dipilih oleh rakyat sebagai pemimpin berkata: “Saya telah dipilih oleh kamu untuk memimpin tuan-tuan. Kalau saya benar bantu saya tetapi kalau saya lari dari kebenaran, tegur saya.” Inilah contoh orang yang besikap tawadhu.
‘Qof’, terbitan dari perkataan qanaah yang membawa makna, merasa cukup dengan apa yang ada. Qanaah mengandungi lima perkara seperti:
1. Menerima dengan rela akan apa yang ada
2. Memohon kepada Tuhan tambahan yang pantas, dan berusaha.
3. Menerima dengan sabar akan ketentuan Tuhan
4. Bertawakal kepada Tuhan
5. Tidak tertarik oleh tipu daya dunia.
Orang yang mempunyai sifat qanaah telah memagar hartanya sekadar apa yang dalam tangannya dan tidak menjalar fikirannya kepada yang lain. Bekerjalah, kerana manusia dikirim ke dunia buat bekerja, tetapi tenangkan hati, yakinlah bahawa di dalam pekerjaan itu ada kalah dan ada menang. Jadi tuan bekerja lantaran memandang harta yang telah ada belum mencukupi, tetapi bekerja lantaran orang hidup tak boleh menganggur.
‘Wau’, terbitan dari perkataan warak yang bermaksud terpelihara baik yang subahat lebih-lebih lagi yang haram. Tidak sama sekali mendekati rasuah. Orang yang rasuah sentiasa mementingkan diri sendiri dan tidak memberi peluang kepada orang lain menikmati sesuatu terutama sekali dalam urusan tender atau sebut harga dalam perniagaan atau pengurusan pembekalan makanan.
Islam dengan segala keunggulan ajarannya mampu membekalkan pandangan yang mantap, memberi manfaat, dan mampunyai pendekatan bersepadu tentang kecerdasan. Panda- ngan tersebut menganjurkan prinsip takwa bagi menggambarkan kecerdasan. Secara kasar, takwa merujuk kesedaran mengenai kehadiran dan kekuasaan Allah di sepanjang masa. Manakala prinsip takwa pula merujuk satu gagasan meritokrasi yang menyeluruh, yang merangkumi aspek keimanan, keilmuan, kerohanian, kebendaan, akhlak, dan amalan yang soleh.
Pandangan Islam terhadap kecerdasan menghasilkan metafora bersepadu. Perkataan bersepadu dalam bahasa Inggeris ialah integration yang berasal dari perkataan Latin, integrates yang bermaksud keseluruhan, lengkap, atau sempurna.
Dari asal usul perkataan, bersepadu bermaksud suatu fenomena atau keadaan yang lengkap dan sempurna hasil daripada penggabungan seluruh aspek yang berkait dengan fenomena tersebut. Menurut fenomena bersepadu, manusia yang pintar yang berjaya memenuhi tuntutan keimanan, keilmuan, dan amal soleh dengan cemerlang (Nik Azis Nik Pa 1999).
Keimanan, keinsafan, dan kesedaran tentang kekuasaan Allah hanya berlaku dalam kalbu. Segala perbuatan yang dilakukan oleh anggota badan merupakan manifestasi daripada apa yang tersimpan dalam kalbu. Misalnya, perbuatan baik yang dilakukan oleh anggota badan merupakan unjuran daripada sinar keimanan yang tersimpan dalam kalbu. Sebaliknya, perbuatan keji yang dilakukan oleh anggota badan merupakan unjuran daripada sinar kebatilan, kegelapan, dan kesesatan yang tersimpan dalam kalbu.
Dalam hal ini, al-Ghazali (1988) menjelaskan bahawa manusia yang dapat mengenal kalbunya akan mengenal dirinya, dan sesiapa yang telah mengenal dirinya maka dia telah mengenal Tuhannya. Kesedaran dan kejernihan kalbu bergantung kepada keupayaan seseorang untuk menjauhi diri daripada dosa, maka terjadilah bintik hitam dalam kalbunya.
Dosa yang bertimbun-timbun pula boleh menutup kalbu daripada mendapat hidayah Illahi (petunjuk Allah). Tanpa hidayah Illahi, manusia tidak mampu menjalankan tugas asas sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi. Hidupnya dikuasai oleh hawa nafsu dan bisikan syaitan. Ia amat cenderung ke arah duniawi dan seringkali menganggap kelakuan jahatnya sebagai sesuatu yang menyeronokkan.
Dari sudut kesedaran dan kejernihan kalbu, manusia boleh dikelaskan kepada empat kategori:
1. Manusia yang mempunyai kalbu yang bersih. Lampu keimanan sentiasa bersinar dalam kalbu. Inilah keadaan kalbu orang mukmin.
2. Manusia yang mempunyai kalbu yang hitam. Lampu kebatilan sentiasa bersinar dalam kalbu. Inilah keadaan kalbu orang kafir.
3. Manusia yang mempunyai kalbu yang terbungkus sehingga menjadi gelap. Inilah keadaan kalbu yang munafik.
4. Manusia yang mempunyai kalbu yang mengandungi campuran iman dan nifaq. Sifat iman dalam kalbu boleh diumpamakan sebagai tubuh yang sihat dan cergas, manakala sifat nifaq boleh diumpamakan sebagai tubuh yang dipenuh luka yang bernanah. Yang dominan antara dua sifat inilah yang mewarnai kehidupan manusia.
Menurut Islam, kalbu menjadi bercahaya apabila manusia sentiasa berzikir kepada Allah. Konsep berzikir merujuk proses merenung sesuatu dengan tujuan mengingatinya. Konsep ini menggambarkan hubungan yang akrab antara iman dengan Pencipta (Sye Muhammad Dawilah, 1993) Amalan berzikir secara istiqamah atau konsisten hanya dapat dilakukan oleh orang bertakwa kepada Allah s.w.t. Jadi takwa berfungsi sebagai paksi bagi perlaksanaan zikir yang berterusan.
Zikir pula merupakan satu mikanisme utama bagi memperolehi ilham daripada Allah. Melalui ilham, manusia dapat mencapai kejayaan yang besar, iaitu memperolehi ilmu kerohanian dan hikmah daripada Allah s.w.t.
Kesepaduan antara ilmu dan amal adalah penting bagi melahirkan individu yang pintar cerdas. Bagaimanapun, ilmu mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dalam konteks keperluan hidup daripada amal. Misalnya, amal tanpa ilmu dianggap tidak bermakna, kerana ilmu itu sendiri dianggap sebagai sejenis amal, iaitu amal mental.
Ilmu dan amal tanpa iman dianggap tidak bermakna. Dalam pendidikan pintar cerdas, satu nilai yang penting ialah takwa dan nilai itu mengandungi unsur-unsur iman, ilmu, dan amal soleh. Islam memberi penekanan dan pegiktirafan yang tinggi kepada pengunaan akal atau berfikir dalam usaha mencapai kebenaran dan keyakinan. Malah berfikir adalah satu kewajipan menurut Islam. Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Berfikir sejam adalah lebih baik daripada sembahyang sunat tujuh puluh tahun.”(HR Ibn Majjah)
Mengikut Filosof Islam, Iman itu meskipun bermacam-macam rupanya, namun pertalian dengan agama kuat sekali, bahkan tidaklah ada agama kalau tidak ada iman, pada hal iman boleh ada meskipun agama tidak ada.
Iman dan takwa merupakan gelombang kemurnian hidup membina tamadun. Keunggulan Islam sebagai cara hidup berpaksikan kepada iman dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. demi memanfaatkan segala kurniaan Allah berupa pahala yang menjamin keselamatan hidup di akhirat nanti. Insyallah!
No comments:
Post a Comment