Saturday, August 1, 2009

AGENDA TERPENDAM WAWASAN TERSIRAT (Diterbit pada 01. 08. 2009)

Manusia wujud dengan kelengkapan fitrah berfikir. Apabila menangani agenda pembangunan, kemahiran berfikir menjadi elemen untuk membuat percambahan idea setiap individu untuk mendapatkan solusi penyelesaian kepada agenda yang terpendam. Kemahiran berfikir dipersembahkan dengan bantuan mata hati yang memandu melihat agenda berkenaan. Olahan pemikiran tersebut membuat manusia peka untuk melihat yang ghaib dijadikan sebagai agenda pembangunan fizikal.

Setiap agenda yang terpendam akan diolahkan oleh kepekaan berfikir untuk dijadikan satu visi mentamadunkan pembangunan manusia di alam yang 'real'. Sebagai contoh bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Mahathir Muhammad mempunyai visi yang amat kuat dan luas sehingga dapat melihat dengan mata hatinya satu agenda pembangunan yang sesuai untuk menimbulkan satu faktor yang boleh dikenali masyarakat sejagat bahawa kewujudan agenda yang terpendam dalam pemikiran beliau itu adalah lambang keutuhan pembangunan Malaysia.

Bangunan Petronas Berkembar merupakan satu cetusan pemikiran Dato’ Seri Dr. Mahathir Muhammad. Jurubina yang handal dari Perancis dan Jerman dipanggil untuk merekabentukkan wawasan pemikiran beliau yang terpendam itu dan wajar melambangkan negara Malaysia sebagai negara Islam yang unik. Kedua-dua jurubina bangunan tersebut tidak dapat melakarkan idea yang terpendam pada pemikiran dan citarasa bekas Perdana Menteri itu. Akhirnya beliau sendiri dengan kekuatan iltizamnya berjaya melakarkan bentuk bangunan yang terpendam dalam jiwanya.

Begitulah satu-satunya penampilan seorang pemimpin yang mempunyai wawasan yang unggul ingin melihat negaranya sebagai model pembangunan sejagat. Beliau sayang dan cintakan negaranya dapat mempersembahkan pemikiran yang terpendam kepada alam 'real' untuk memurnikan infrastruktur pembangunan tamadun kehidupan.

Bangunan Petronas Berkembar tersebut menjadi lambang kemegahan Malaysia yang berdaulat dan diisytiharkan satu-satunya bangunan yang unik di seluruh dunia. Sebagai pemimpin di sebuah Negara yang berdaulat, wawasan pemikirannya tidak jumud untuk memikirkan bagaimana memurnikan infrastruktur pembangunan demi menseimbangkan kemodenan tamadun kehidupan sejagat.

Kewujudan industri nasional, Proton Saga merupakan kejayaan Dato’ Seri Dr. Mahathir Muhammad yang pertama dalam memimpin negara. Agenda terpendam beliau tersebut pada mulanya tidak mendapat reaksi positif dari ramai ahli kabinetnya atas sebab tidak mempunyai keyakinan untuk bersaing dengan negara luar seperti Amerika Syarikat, Jepun, negara-negara Eropah dan sebagainya. Walaubagaimana pun agenda terpendam tersebut diyakini oleh beliau akan menyumbangkan ekonomi negara yang unggul. Maka itu kewujudannya jelas menggemparkan pasaran dunia dan mendapat pengiktirafan antarabangsa antara automobil yang termoden dan sesuai di zaman sains dan teknologi ini.

Agenda terpendam merupakan ilham yang dilakarkan dalam minda seseorang untuk tujuan membina wawasan negara sesuai dengan arus pembanguna manusia sejagat. Kekuasaan membina agenda terpendam memerlukan 'knowledge' dalam pengurusan atau K-Pengerusan yang membolehkannya melihat secara ghaib atau dengan mata hati. Alam ghaib adalah lebih luas berbanding dengan alam nyata atau dunia.

Dalam konteks dakwah Islamiah juga kita memerlukan agenda terpendam di dalam jiwa pihak pendakwah.Tuntutan dakwah tentunya memerlukan pengetahuan 'knowledge'. Pengetahuan bukan hanya dalam ilmu agama Islam itu sendiri tetapi dalam aspek-aspek yang lain seperti pengetahuan dalam mentafsir data dan maklumat dan menyampaikannya dengan berkesan.

Agenda terpendam memberi ruang untuk memahami lebih luas dan lebih mantap lagi mengenai disiplin pengurusannya. Ia juga mengecilkan 'error' pengimplimintasinya atau mempunyai kesilapan yang minimal dalam perlaksanaannya. Maka itu adalah wajar setiap pemain atau pendakwah mempunyai kemahiran berfikir yang dimurnikan dengan kehadiran ilmu untuk membolehnya mentafsir agenda berkenaan sebelum dimuatkan dalam agenda dakwahnya.

Dalam kemahiran kehidupan wajar bermuara dengan agenda terpendam sebelum melaksanakannya dalam kehidupan yang 'real'. Manusia berfikir dengan menggunakan akal dibantu oleh mata hati menerokai alam ghaib. Apa yang ada dalam pemikiran tidak sewajarnya dilahirkan di alam nyata tanpa meneliti kemungkinan-kemungkinan yang menjadi pemangkin kepada kekufuran.

Sebagai contoh apabila baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. menyaksikan satu penampilan yang tidak sesuai dengan dakwah Islamiah, baginda hanya membisu dan memalingkan pandangannya ke lain tempat tanpa melihat kepada orang berkenaan yang membawa isu yang tidak menggerakkan aktiviti dakwah itu. Dalam erti kata lain adalah lebih elok dipendamkan dalam hati agenda yang kurang sesuai untuk diketengahkan sebagai isu perbincangan daripada dikeluarkan menjadi agenda yang akan membawa ke dimensi kekufuran.

Berdiam adalah lebih bermanfaat daripada membuat spekulasi kerana dengan perbuatan demikian akan menimbulkan syak wasangka kelak merenggangkan ukhuwah kemanusiaan. Banyak bercakap akan mengundang diri untuk membuat kesalahan yang mendekatkan anda kepada kedosaan. Menangani kehidupan adalah lebih afdal jika anda menggunakan kemahiran berfikir terlebih dahulu untuk memberi kesempatan kepada hati anda mentafsir permasalahan yang sedang dihadapi. Pendamkan dalam hati isu berkenaan buat sementara waktu. Masa yang sesuai akan tiba apabila keadaan mengizinkan untuk meluahkan isu berkenaan untuk diketengahkan sebagai agenda percambahan fikiran.

Dalam semua bentuk dakwah Islamiah wajar diwarnai dengan ilmu terlebih dahulu kerana ilmu mendewasakan anda untuk berfikir lebih bertamadun. Allah S.W.T. cintakan hambanya yang mengisi dadanya dengan ilmu sebagai kekuatannya melaksanakan dakwah. Berdakwah dengan ilmu akan mendapat redha Allah tetapi berdakwah tanpa ilmu akan menyesatkan anda dan juga mereka yang menyertai anda.

Dalam konteks dakwah Islam, Allah S.W.T. telah mensyariatkan bahawa dakwah dan hikmah merupakan suatu perkara seiring. Hikmah dalam konteks dakwah memerlukan ilmu kerana tanpa ilmu, hikmah tidak akan datang dengan sendirinya(i). Allah berfirman yang bermaksud:

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk”(ii)

Ayat ini membawa pengertian bahawa menyeru dan mengajak manusia kepada jalan yang diredhai Allah S.W.T. memerlukan ilmu. Ini kerana tanpa ilmu , ‘pelajaran yang baik’ dan ‘membantah dengan cara yang baik’ tidak mungkin memberi impak yang jitu kepada usaha dakwah Islamiah. Berbekalkan ilmu pengetahuan, seseorang boleh berhujah dan berdiskusi mempertahankan yang hak dan menafikan yang bathil. Prasyarat kepada dakwah tidak lain ialah 'knowledge' itu sendiri.

Dalam hadis sohih baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “bila diserahkan sesuatu urusan itu kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah saat kebinasaannya.” Hadis ini memberi maksud yang jelas tentang kepentingan ilmu pengetahuan. Diperkuatkan lagi dengan satu hadis Rasulullah s.a.w. yang mana baginda pernah bersabda yang bermaksud:

“Dakwah para ulama (ilmuan dan cerdik pandai ) lebih berharga daripada darah para syuhada”. (iii)

Agenda terpendam dapat difahami sebagai faktor kredibiliti pemain dalam kelansungan hidup bermasyarakat. Tetapi wajar juga setiap individu membaca alam yang tercipta oleh Allah S.W.T. yang mempunyai banyak agenda yang terpendam yang melahirkan wawasan tersirat demi keutuhan hidup makhluk manusia. Kawasan yang berhampiran dengan sebatang sungai Allah jadikan sebagai tadahan air yang mengekalkan isipadu air sungai untuk kegunaan berbagai makhluk Allah termasuklah manusia.

Tanggungjawab manusia untuk memelihara kesepaduan kehidupan alam dan makhluk-makhluk Allah ialah mengekalkan pokok-pokok di sepanjang bahagian tebing sungai mulai dari punca airnya hinggalah ke muara sejauh lebih kurang satu batu dari tebingnya. Air hujan jatuh ke bumi dimana pokok-pokok jutaan banyaknya tumbuh lalu meresap ke perut bumi melalui akar-akar pokok dan menjadi titisan air mengalir ke bahagian rendah.

Apabila jutaan titisan air dari akar-akar pokok bertemu diperut bumi akan menjadi anak air sungai dan mengalir ke satu destinasi menjadi sungai kecil. Apabila air sungai kecil itu mengalir ke bahagian rendah akan mengutip aliran air di sepanjang tebing sungai dalam perjalanannya hingga ke laut kelak menjadi sebatang sungai yang besar. Sebatang sungai yang besar membawa isipadu air yang besar. Bagitulah agenda yang terpendam dalam perut bumi yang Allah wujudkan untuk makhluk-makhluk-Nya.

Apakah agenda yang terpendam dapat kita lahirkan dari sebuah sungai yang besar? Bidang sains dan teknologi dapat menggunakan aliran sungai yang deras untuk memutar 'turbine dynamo' dan menghasilkan tenaga letrik untuk kegunaan manusia sepertimana yang berlaku kepada negara-negara yang membekalkan tenaga letrik dari teknologi air tersebut.

Air sungai juga mempunyai banyak kegunaannya dalam kelangsungan hidup berbagai makhluk di bumi Allah ini. Tali air atau 'irrigation' memainkan peranan penting untuk industri pertanian. Penghasilan dari industri tani akan mengekalkan bekalan beras sebagai makanan utama manusia di samping menjadi produk yang membantu meningkatkan ekonomi negara.

Agenda yang terpendam di alam dan diperut bumi ini wajar diterokai demi kemanfaatan hidup sebagai pemakmur alam kehidupan. Air mata yang keluar dari perut bumi semasa musim hujan dapat dikekalkan airnya walaupun di musim kemarau dengan menanam pokok pisang berhampiran dengan air mata tersebut. Sebatang pisang tumbuh di bahagian yang lembab akan mengekalkan isi padu air dan menjadi perigi yang boleh dibina kolam ikan air tawar. Begitulah keadaan alam yang Allah telah sediakan untuk manusia memahami filosofinya.

Apakah agenda terpendam yang dapat dilahirkan dari kuasa veto yang dipegang oleh empat negara besar termasuklah Amerika Syarikat? Keangkuhan dunia Barat yang memegang kuasa veto dan bertindak sebagai polis dunia memaksa dunia Islam tunduk di bawah kekuasaannya. Mana negara yang enggan tunduk bererti negara tersebut akan menerima hukuman. Inilah yang terjadi ke atas negara Afghanistan dan Iraq.

Sikap 'double standard' yang ditunjukkan oleh Amerika terutama mengenai isu Palestin dan Israel mendapat kecaman bukan sahaja seluruh dunia Islam tetapi juga sebahagian rakyat yang cintakan keamanan di negara-negara Barat sendiri. Namun semua itu tidak mengubah dasar luar Amerika dan sekutunya ke atas dunia Timur (Islam).

Sehingga kini, kelihatan di dada akhbar memaparkan jumlah kematian yang semakin meningkat di negara-negara yang dijajah oleh kuasa barat itu. Apa yang penting bagi mereka hanyalah kekayaan dan kuasa, walaupun terpaksa memijak mayat-mayat manusia yang tidak berdosa. Inilah akibat pengaruh kebudayaan materialisme yang begitu meluas di Barat sehingga tidak merasa bersalah atas jenayah yang dilakukan.

Tamadun Barat yang berjalan pada hari ini adalah jenis tamadun yang lupakan Tuhan. Orang sentiasa mencari kesedapan diri, memuaskan hawa nafsu syahwat, mengenyangkan perut dan menyedapkan tekak, berhias dan bersuka-sukaan, dahagakan nama dan kemegahan, lambakan wang dan kekayaan, tamakkan kuasa dan kerajaan, berebut-rebut hendak memerintah dunia.(iv) Maka dengan itu agenda yang terpendam dalam pemikiran manusia mempunyai dua mesej yang bertentangan mengikut selera manusia berkenaan. Dengan iman agenda terpendam melahirkan kebajikan tetapi dengan nafsu syahwat agenda tersebut akan melahirkan kekufuran.

(i) Kasim B. Hj.Mansur: K-Dakwah dan peranannya dalam Proses Islamisai Di Sabah: Harapan dan Cabaran. Dipetik dari buku Isu-isu Sosial dari Perseptif Islam Oleh Asmadi Idris dan lain-lain.
(ii) Al-Qur’an Surah an-Nahl: 125.
(iii) opsit. Bammate. 1962. Muslim Contribution to Civilization. Maryland American Trust publication
(iv) Za’ba, 1980:58)

No comments:

Post a Comment