Saturday, August 1, 2009

MISI DALAM MENYEMPURNAKAN KEHIDUPAN DUNIA (Diterbit pada 25. 07. 2009)

Ilmu dan amal teras kesejahteraan umat hidup di alam dunia untuk menggapai keredhaan Allah S.W.T. Setiap hari apabila subuh menjelang tiba, azan dari masjid dan surau di kumandangkan di angkasa menyedarkan umat manusia tentang tanggungjawab masing-masing sebagai pemain dalam kelangsungan hidup beragama. Allah S.W.T. yang Maha Besar dan berkuasa terhadap segala-galanya sama ada di dunia mahu pun di akhirat; Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruh Allah yang telah merintis jalan kesempurnaan hidup demi keredhaan Allah; memurnikan hidup anda menuju kejayaan di dunia dan di akhirat kelak; mendirikan solat adalah lebih penting diutamakan daripada tidur. Demikianlah ajakan azan Subuh kepada umat manusia menyedarkan anda tentang agenda hidup sebagai amanah Allah masih belum selesai lagi.

Apakah tujuan Allah S.W.T. ciptakan manusia sebagai hamba Allah di alam dunia ini? Allah ciptakan berbagai makhluk yang tidak terkira banyaknya di cakerawala alam kehidupan ini dengan berbagai peranannya masing-masing untuk membentuk kehidupan itu wujud dalam suasana bersandarkan antara satu sama lain. Sebagai contoh, tumbuh-tumbuhan tidak mungkin hidup tanpa kehadiran air hujan. Sungai tidak mungkin ada airnya kalau tidak ada hujan turun dari langit; air hujan tidak akan wujud tanpa udara seperti keadaan di bulan dan di planet-planet lainnya; manusia tidak mampu hidup di alam dunia ini tanpa kehadiran makhluk-makhluk Allah yang lain dan sebagainya.

Semuanya itu menjadi kewajipan kepada manusia yang diamanahkan Allah sebagai khalifah untuk mengetahuinya atas dasar kemakmuran hidup bertamadun. Setiap manusia mulai dari hidup di dalam rahim ibu hinggalah lahir ke dunia, kemudian menjadi remaja, memasuki usia tua hinggalah ajal menjemput nyawa, peranan setiap individu ialah mengilmukan dirinya. Orang yang berilmu adalah jauh lebih bermanfaat kepada alam kehidupan daripada orang yang tidak berilmu.

Aktiviti dakwah merupakan ibadah yang wajar menjadi budaya hidup di dunia. Di samping mendidik orang lain mendekati Allah S.W.T., ia menjadi faktor memurnikan ukhuwah kemanusiaan yang akan menjamin pembangunan manusia seutuhnya. Dakwah masa kini memerlukan perjalanan pemikiran yang lebih dinamik, sambil tidak menafikan pendekatan dakwah klasik berdasarkan amalan Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat r.a.
Pembangunan dunia masa kini dengan pelbagai cabaran dan gugatan sosial sangat memerlukan mekanisme dan idea baru dalam perjalanan dakwah kepada masyarakat bukan Islam. Inovasi teknologi maklumat dan gagasan gelombang globalisasi yang didominasikan oleh Barat, telah banyak memberi cabaran yang besar buat dakwah Islamiah. Maka dengan sebab itu, usaha dakwah perlu dipergiatkan berdasarkan kemudahan-kemudahan teknologi yang diusahakan oleh manusia.

Dalam konteks dakwah Islam, tunjang kepada kekuatan dan keberkesanan dakwah terletak kepada penguasaan ilmu pengetahuan yang mendalam dalam ilmu agama (Islam) penting tetapi tidak cukup untuk menyampaikan dakwah Islam yang berkesan. Dalam al-Qur’an banyak disebut untuk tuntutan dakwah menyampaikan mesej Islam. Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud:

“Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang berakallah yang dapat menerima pengajaran.” Surah al-Zumar: 9

“Adalah kamu sebaik-baik umat, yang dilahirkan bagi manusia, (supaya) kamu menyeru dengan makruf dan melarang dari yang mungkar, serta beriman kepada Allah. Kalau berimanlah ahli kitab, nescaya lebih baik bagi mereka tetapi sesetengah mereka beriman dan kebanyakan mereka fasik.” Surah al-Baqarah: 110.

Islam memang menyarankan kepada manusia supaya menuntut ilmu. Allah S.W.T. dalam wahyu-Nya pertama yang diterima oleh Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. melalui malaikat Jibril supaya membaca, walaupun Rasul s.a.w. adalah dalam keadaan buta huruf. Membaca adalah mekanisme menuntut ilmu. Ilmu, memanusiakan manusia sebab ilmulah yang melahirkan hakikat kehidupan manusia sebagai hamba Allah. Tanpa ilmu hidup ini bagaikan haiwan yang hanya berpandu kepada kekuasaan nalurinya 'instinct' dalam mengolah kehidupan. Ilmu membina akal untuk memahami agenda pembangunan. Dengan kehadiran ilmu akan mendidik anda mengenali yang makruf dan yang mungkar. Memahami yang diperintah Allah dan juga yang dicegahNya.

Kesempurnaan hidup berpaksi kepada kehadiran ilmu. Baginda Rasul Nabi Muhammad menyarankan kepada umatnya untuk menimba ilmu mulai dari buaian hingga ke liang lahad. Ia membawa maksud ilmu itu tidak pernah jumud dan sentiasa diperlukan dalam hidup bertamadun. Dalam peringkat usia apa sekalipun, ilmu itu sentiasa diperlukan sebagai kekuatan memurnikan kehidupan di alam dunia mahupun di alam akhirat nanti.

Misi dalam menyempurnakan kehidupan wajar bermuara dari membina keluarga bahagia. Warna-warni yang dicorakkan oleh ibubapa kepada anak-anak akan membentuk mereka sebagai manusia yang sentiasa beriman dan bertakwa mengerjakan ibadat kerana Allah. Masyarakat keluarga yang terbina di atas landasan agama yang sempurna merupakan ciri-ciri yang penting untuk membina kesejahteraan umat bertamadun. Budaya kasih sayang pemangkin hidup bersepadu memurnikan kehidupan di dunia dan juga kemuliaan hidup di akhirat kelak.

Tamadun merupakan istilah yang paling popular digunakan dalam masyarakat Melayu untuk menceritakan tentang kebudayaan, kemajuan, pembangunan, peradaban dan kemakmuran yang dicapai oleh sesuatu bangsa. (Amdun Husain,1986; 548). Tamadun menurut perspektif Islam ia merangkumi pembanguan spiritual dan material secara serentak dan sepadu.

Masyarakat berdisiplin adalah cerminan dari keluarga yang sempurna. Keluarga yang sempurna menggamit ciri-ciri kecintaan kepada ilmu dan juga kecintaan kepada Allah S.W.T. Ilmu pemangkin kesempurnaan hidup yang diredhai Allah S.W.T. Dengan ilmu semata tidak menjamin kesempurnaan hidup tanpa dihiasi dengan ilmu agama. Ilmu agama membimbing dan membetulkan penampilan manusia sebagai pemain dalam membangunkan umat manusia.

Agama Islam melahirkan individu dan masyarakat Islam yang mempunyai kekuatan spiritual, akhlak, intelektual, material, mampu berdikari, berdaya saing, melihat ke hadapan, inovatif serta cekap menangani cabaran-cabaran semasa secara bijaksana, rasional, praktikal, dan damai. Dalam erti kata lain agama Islam diertikan sebagai suatu pendekatan pembangunan manusia yang bersifat menyeluruh berdasarkan perspektif tamadun Islam. Ia didirikan di atas prinsip-prinsip asas iaitu keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T., penguasaan ilmu pengetahuan, dan mendukung kehidupan berkualiti.

Agama Islam menetapkan tumpuan kepada aspek pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban, iaitu peradaban yang memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan dan pembangunan fizikal. Dengan cara demikian maka amanah Allah sebagai khalifah yang dipertanggung jawabkan kepada manusia dapat dilaksanakan sesempurna yang wajar.
Amar makruf nahi mungkar merupakan tanggungjawab setiap insan untuk melaksanakannya demi mentaati perintah Allah sebagai khalifah di muka bumi ini. Manusia hidup bermasyarakat dan bersosial maka itu adalah wajar dimurnikan dengan budaya nasihat menasihati dan tegur menegur antara sesama insan demi kesejahteraan hidup bertamadun.

Alam dunia merupakan sebidang ladang yang memerlukan manusia untuk mengusahakannya dengan tanaman yang mendatangkan hasil bermanfaat kepada kehiduan manusia. Segala musibah dan malapetaka yang menjadi perosak kepada tanaman berkenaan wajar lindungi atau dicegah dengan menggunakan berbagai teknologi yang manusia telah mengenali. Tidak ada sebaik usaha untuk melindungi musibah dari berlaku daripada mencegah apabila kemudaratan telah melanda.

Memurnikan alam kehidupan di dunia yang fana ini wajar dihiasi dengan kemurnian beragama (Islam) kerana agama sahajalah yang dapat menjamin kesejahteraan hidup bertamadun. Mencegah yang mungkar merupakan satu usaha tawakal kerana Allah. Maka itu penghasilannya adalah terletak kepada prerogatif Allah S.W.T. yang Maha bijaksana.

Berkerjalah dengan rajin dan gigih seolah-olah hidup mu masih panjang lagi dan dirikan solat mu seolah-olah anda akan mati hari esok. Setiap pelaksanaan ibadah itu wajar ditontoni dengan semangat yang membawa kepada pemikiran yang cerah dan gemilang. Motivasi dalaman setiap insan dalam melaksanakan ibadah wajar ada dalam kehidupan. Kalau kita berkerja dan pada masa yang sama memikirkan bahawa usia anda sudah di ambang Maghrib maka adalah mustahil bagi anda untuk mendapat budaya kerja yang cemerlang kerana sentiasa memikirkan bahawa berkerja pun tidak ada maknanya lagi sebab akan menemui maut juga.

Mengerjakan solat memerlukan kekhusyukan. Suasana demikian amat sukar dilaksanakan 100% khusyuk kerana bermacam-macam agenda dunia datang membayang dalam minda semasa mengerjakan solat. Walaubagaimana pun jika anda memikirkan bahawa hidup ini akan berakhir hari esok maka pasti kekhuyusukan melaksanakan solat pasti bersama anda.

Kelazatan iman dalam diri anda memandu anda mendekati Allah S.W.T. kelak dapat mendirikan solat dengan khusyuk dan tawadhu. Saidina Ali r.a. menyarankan kepada para sahabat untuk menolong memecahkan bisulnya semasa beliau mengerjakan solat, kerana masa itulah beliau merasa tidak berada di dunia khusyuk menghadap Allah S.W.T. Dengan kesempurnaan mengerjakan ibadah solat akan memantapkan iman kepada Allah.

Misi dalam menyempurnakan kehidupan di dunia wajar membangkitkan kefahaman Islam sebagai cara hidup (addin). Bekas Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Dr. Mahathir Muhammad telah menimbulkan idea menubuhkan sebuah Institusi Kefahaman Islam Malaysia untuk membina sebuah 'think-tank' bagi memahami soal-soal keislaman supaya dapat memberi gambaran yang jelas mengenai Islam kepada seluruh masyarakat Islam dan juga bukan Islam.

Visi institusi tersebut ialah untuk merangka dan melaksanakan agenda kerja yang strategik ke arah peningkatan kefahaman Islam. Misinya ialah berusaha meningkatkan kefahaman Islam dalam kalangan orang-orang Islam dan bukan Islam dengan menyerlahkan nilai-nilai sejagat dan semua rangkuman Islam yang realistik dan berhubungkait, dengan kehidupan manusia.(i)
Masjid merupakan rumah Allah yang paling dicintai-Nya. Oleh itu Allah telah memerintahkan umat Islam bertanggungjawab untuk memakmurkannya. Usaha memakmurkan masjid tidak hanya terhad kepada amalan ibadat sahaja, bahkan masjid memainkan peranan penting dalam seluruh kehidupan umat Islam.

Baginda Rasul Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang membangunkan sebuah masjid kerana mengharapkan keredhaan Allah, maka Allah akan membangunkan pula sebuah mahligai di syurga.(ii) Misi menyempurnakan kehidupan dunia termasuklah juga menjaga kebajikan kedua-dua unsur manusia iaitu jasmani dan rohani. Adalah menjadi tanggungjawab setiap insan memelihara Jasmani (dunia) dan rohani (akhirat). Menjaga kebajikan rohani lebih penting daripada menjaga kepentingan jasmani kerana menjaga kepentingan rohani (akhirat) dengan sendirinya dunia turut terbela, tetapi jika jasmani (dunia) yang diutamakan belum tentu akhirat turut sama terpelihara.

Masalahnya ialah manusia lebih cendrung menjaga kebajikan jasmani kerana dapat melihat kesannya setelah melaksanakan ibadah. Alam rohani merupakan alam ghaib dan memerlukan iman yang mantap untuk meyakininya. Kedua ialah kebajikan yang ditumpukan kepada rohani tidak dapat melihat kesannya serta merta. Kesan kepada budaya globisasi atau dunia tanpa sempadan telah merumitkan lagi persepsi orang-orang Islam meningkatkan iman kepada yang ghaib.

(i) Abdul Aziz Mohd. Zin dan empat orang lain: Dakwah Islam di Malaysia hlm. 151 -152.
(ii) Sahih Bukhari dan Muslim

No comments:

Post a Comment