Saturday, August 1, 2009

MURNIKAN HIDUP DENGAN IBADAH DAN KESYUKURAN (Diterbit pada 18. 07. 2009)

Kehidupan di dunia wajar disajikan dengan ketakwaan dan kesyukuran kepada Allah S.W.T. Kedua-dua fenomena ini mencerminkan ibadah seseorang insan dalam kelangsungan hidup bertawakal untuk melaksanakan agenda pembangunan demi menggamit keredhaan Allah S.W.T.. Segala aktiviti kehidupan merupakan ibadah yang mengharapkan keredhaan Allah kelak memurnikan takwim pembangunan demi menggapai kesempurnaan hidup bertamadun.

Hidup bertamadun mempunyai ciri-ciri kegemilangan peradaban dan kemajuan hidup yang dicapai oleh manusia. Tamadun merupakan istilah untuk menceritakan tentang kebudayaan, kemajuan, pembangunan, peradaban, dan kemakmuran yang dicapai dalam kehidupan. Untuk merealisasikan ciri-ciri tersebut pendidikan adalah elemen terpenting kepada pembentukan sesebuah masyarakat cemerlang.

Pendidikan Islam, adalah suatu proses untuk melahirkan insan beradab dan berakhlak mulia. Adab yang ditakrifkan sebagai perlakuan yang betul manusia sesama manusia dan manusia dengan alam akan menjamin kelangsungan keadilan dalam sesebuah negara. Manakala akhlak mulia adalah proses memupukkan dan sistem nilai murni yang berasakan tanggungjawab kepada Allah, sesama insan dan dengan alam sejagat (Nik Mohd Rosdi Nik Ahmad dan Nik Kamallia Nik Abdullah, 2008)

Perlaksanaan pembangunan kehidupan wajar dimurnikan dengan rasa takwa kepada Allah kerana tidak ada yang dibanggakan dalam hidup ini sebagai hamba Allah kerana segalanya merupakan fitrah Allah S.W.T. Keikhlasan dan kerendahan diri wajar menghiasi perjuangan memurnikan tamadun kerana segala pemberian Allah yang dikenali sebagai kejayaan merupakan faktor sementara sahaja. Semuanya itu akan berpisah dengan anda apabila giliran datang menjemput nyawa untuk menemui Allah S.W.T.

Misi dalam hidup ini ialah mengumpul dana pahala yang setia bersama anda menyelamatkan kemurnian hidup di akhirat nanti. Ganjaran dari agenda pembangunan yang berjaya dilaksanakan tanpa budaya takwa kepada Allah hanya bersama kita menghiasi dunia anda semata. Urusan dunia akhirat menempah kemurkaan Allah kelak memberatkan timbangan anda samasa pengadilan di padang mahsyar nanti.

Mengumpul harta dunia atau mengumpul dana pahala kedua-duanya menjadi perjuangan manusia dalam hidup ini. Harta adalah milik Allah sementara manusia hanya sekadar peminjam sahaja. Tetapi dana pahala yang Allah redhakan kepada hamba-Nya yang bertakwa adalah milik anda dunia dan akhirat. Dasar ekonomi Islam di dalam masyarakat Islam ialah menganggap harta pada hakikatnya sebagai harta Allah dan menganggap manusia sebagai pemegang amanah atau peminjamnya seperti mana yang disebut oleh al-Qur’an al-Karim yang bermaksud:

“Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya serta nafkahkanlah sebahagian dari hartamu yang Allah telah penjamkan kepadamu” Al-Hadid:7.

Allahlah Pemilik harta benda kerana Dialah Penciptanya serta Pencipta sumber-sumbernya dan Pemudah kepada sarana untuk mendapatkannya. Bahkan Allahlah Pencipta manusia dan alam sejagat. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan hanya kepunyaan Allahlah apa yang ada di langit dan di bumi” Al-Najm: 31.

Maka itu harta yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia sebenarnya tidak dimiliki secara mutlak oleh manusia. Manusia hanyalah bertindak sebagai pemegang amanah atau wakil bukannya sebagai pemilik asal. Maka itu hiasilah diri anda dengan budaya kesyukuran apabila dikurniakan kejayaan dalam melaksanakan ibadah.

Setiap ibadah yang dilaksanakan sepatutnya mempunyai kepentingan hidup sebagai fitrah. Kejayaan atau kegagalan dalam melaksanakan ibadah wajar dihiasi dengan kesyukuran kerana Allah yang Maha Mengetahui ganjaran apa yang sesuai untuk perlaksanaan ibadah tersebut. Manusia dibekalkan dengan akal fikiran yang wajar diguna untuk mentafsirkan pemberian Tuhan. Setiap perlaksanaan ibadah berpandu kepada keikhlasan serta kejujuran dalam hati orang tersebut. Manusia sememangnya mempamerkan perwatakan semulajadi yang lemah apabila berhadapan dengan kejayaan atau kegagalan. Ini wajar kerana kejayaan akan melahirkan riak dan takbur dan kegagalan pula pada sesetengah orang memikirkan Allah itu tidak adil kepadanya.

Manusia tidak dapat kepuasan dalam menangani hidup maka itu membudayakan kesyukuran amat berat diamalkan. Amat parah lagi jika si polan tidak memahami bahawa segala yang ada dalam alam kehidupan adalah kepunyaan Allah S.W.T.. Falsafah ekonomi menyarankan bahawa tidak ada keengganan kepada kemahuan atau 'there is no end in wants'. Manusia mempunyai ciri-ciri kehaiwanan apabila ia berhadapan dengan kemewahan dunia maka itu gagal mengawal hawa nafsunya dan hilang perkiraan sebagai manusia yang berakal.

Hidup harus menjadi pemain dalam memurnikan pembangunan. Pembangunan bukan hanya merujuk kepada pembangunan ekonomi malah ia meliputi berbagai aspek lain. Ini kerana pembangunan ekonomi tidak menggambarkan pembangunan secara keseluruhannya. Pembangunan bolehlah dirujuk sebagai satu bentuk kemajuan yang dilakukan untuk memenuhi keperluan kehidupan manusia bermula dari kehendak individu sehinggalah kepada keperluan masyarakat dan negara.

Dalam Islam dunia tidak bernilai kecuali ianya digunakan secara yang hak(dianjurkan oleh Islam). Jadikanlah dunia ini sebagai ladang untuk hari yang akan datang (kiamat). Namun tidak akan ada hasil yang boleh dituai pada hari tersebut sekiranya ladang tidak digunakan dengan cara yang betul.(1) Pembangunan dalam Islam meliputi dua aspek yang sangat penting iaitu fizikal dan spiritual (rohani). Dua asas penting dalam menjana pembangunan ini ialah al-Qur’an dan as-Sunnah.

Kedua-duanya menjadikan setiap usaha manusia itu tidak mendatangkan sebarang kerugian malah keteguhan berpegang kepadanya menjadikan setiap perbuatan itu mendapat jaminan serta balasan yang sewajarnya iaitu akan mendapat keberkatan dari Allah S.W.T. Manusia yang beragama seharusnya faham bahawa setiap usaha itu bukan hanya untuk tujuan kebendaan semata-mata malah lebih jauh dari itu ianya mestilah untuk tujuan hidup yang seterusnya.

Konsep ini penting untuk dijadikan sandaran kerana tanpa kefahaman yang jelas tentang keperluan hari esok (kiamat) manusia pastinya akan hanya melaksanakan tugasnya berlandaskan hawa nafsu yang tidak kenal dengan budaya kesyukuran dan tanpa direalisasikan dengan pemikiran yang waras. Sekiranya manusia mempunyai sandaran pemikiran yang jelas tentang hari pembalasan (kiamat) maka manusia pasti akan melaksanakan tugas dengan segala pedoman yang ada. Proses ini juga halnya dengan peranan manusia dalam menggunakan atau memajukan sumber anugerah Allah S.W.T. (2)

Membudayakan kalimah kesyukuran setiap kali mendapat kejayaan yang dilaksanakan akan mendekatkan kita kepada kefahaman bahawa segala sumber alam di mana manusia menjadi pemain dan pemakmur adalah anugerah Zat Yang Maha Pencipta. Dan ini penting sebab manusia sebagai pemain tidak akan terkandas dalam landasan ibadah kerana Allah. Maka itu menjadilah pemain yang jujur, ikhlas dan sentiasa bertakwa kepada yang Maha Pemberi.

Kenalilah dirimu sebelum anda mengenali Allah kerana bermuara dari kefahaman kewujudan manusia di alam dunia ini akan mendekatkan kita kepada Allah S.W.T. Manusia adalah sebagai pemain semata dan segala pemberian Allah adalah hak gunapakai semata.

Budaya kesyukuran bukan hanya diamalkan dalam perlaksanaan ibadah, malah lebih dari itu. Mempunyai kesihatan atau menghadapi kemudaratan kesihatan merupakan hadiah dari Allah kerana kesihatan dan kemudaratan kesihatan adalah datang dari Allah. Apabila kesihatan itu bersama dengan anda terimalah dengan kemurnian bersyukur dan pergunakanlah untuk meningkatkan ibadah kerana Allah. Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. menyarankan kepada umatnya untuk menggunakan yang lima sebelum yang lima datang yang antara lain pergunakanlah masa sihat mu sebelum masa sakit mu datang.

Apabila giliran kemudaratan kesihatan melanda anda budayakanlah kesyukuran juga kerana orang yang mengalami kesihatan yang tergugat sebenar, Allah S.W.T. sayangkan dia. Para ulama memahaminya sebagai ganjaran terhadap kedosaan yang telah anda lakukan dan akan meringankan timbangan semasa pengadilan di Padang mashyar nanti.

Dalam menangani kehidupan murnikan hidupmu dengan budaya sentiasa bersyukur dan bertakwa kepada Allah kerana segala apa yang ada dalam jasmani manusia adalah kepunyaan Allah. Mata untuk melihat dan membolehkan kita melaksana ibadah. Tangan untuk membuat segala kerja amal demi melahirkan pembangunan kehidupan. Kaki untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain untuk melaksanakan ibadah. Otak untuk berfikir mentafsir kemanfaatan pembangunan. Hati untuk membina ukhuwah kemanusiaan dan melahirkan perasaan kasih sayang serta melihat alam kehidupan secara ghaib. Mata hati dapat melihat alam kehidupan lebih luas berbanding dengan mata kepala yang hanya terhad kepada fenomena alam kehidupan yang jelas dan dapat dilihat sahaja.

Selain dari mempunyai keunikan dari segi akidah dan syiar, pemikiran dan emosi, serta akhlak dan keluhurannya, masyarakat Islam juga mempunyai keunikan dari segi adab dan budaya yang tersendiri yang terbentuk mengikut acuannya serta terpancar dari nilai-nilai tersebut iaitu akidah yang membawa kepada kesempurnaan hidup bermasyarakat. Allah telah bentukkan manusia sedemikian rupa sehingga kepada disiplin kehidupan sekali pun dimurnikan Allah.

Murnikan kehidupan dengan kesyukuran dan takwa yang merangkumi hubungan manusia dengan Zat yang Maha Agung, hubungan manusia dengan sesama dan juga hubungan manusia dengan alam kehidupan seperti haiwan berbagai jenis dan alam tumbuh-tumbuhan. Segala makhluk tersebut adalah kepunyaan Allah S.W.T. dan tidak ada sebab mengapa manusia tidak merasa kesyukuran atas kehadirannya dalam memurnikan kehidupan.

Segala kehadiran makhluk Allah tersebut adalah aset kepada pembangunan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Bermuara dari hubungan dengan Allah s.w.t. akan membina budaya solidaritas sosial yang melahirkan ukhuwah kemanusiaan sebagai kekuatan diri melaksanakan kekhalifahan di muka bumi ini demi melaksanakan amanah Allah S.W.T.

Setiap insan wajar memahami kehadirannya dalam alam kehidupan. Allah memilih manusia sebagai makhluk yang bertanggungjawab untuk memurnikan kehidupan alam sejagat disebabkan kehadiran fitrah kemahiran berfikir untuk mengolah aktiviti keberadaan makhluk di muka bumi ini. Dengan fakulti ini maka adalah wajar bagi setiap insan merasa syukur ke atas kasih sayang Allah berikan kepada makhluk manusia dengan membekalkan fitrah tersebut dan menggunakannya sesempurna yang boleh.

Dengan kesyukuran itu melengkapkan manusia dengan segala peribadatan yang memurnikan hubungan antara sesama insan. Masyarakat Islam mempunyai adab serta budayanya dalam semua aktiviti kehidupan. Adab-adab sama ada dalam soal makan minum, perhiasan dan pakaian, tidur dan bangun, perjalanan dan permukiman, perkenalan dan pergaulan, pekerjaan dan kerehatan, persahabatan dan kasih sayang, perkahwinan dan perceraian, hubungan antara lelaki dan wanita, hubungan antara anak dan ibubapanya, hubungan antara jiran tetangga, hubungan antara yang muda dan yang tua, hubungan antara orang kaya dan orang miskin, hubungan antara penjual dan pembeli dan sebagainya.

Kebudayaan, kesopanan dan adat-adat ini telah diwujudkan oleh Islam di dalam masyarakat Islam bertujuan untuk menjadikannya berkhidmat kepada akidah, syiar, pemahaman, emosi, akhlak dan tatasusila Islam. Fenomena ini wajar dipelihara dan dijadikan landasan hidup setiap mukmin. Walaubagaimanapun berlaku juga kepada kebanyakan masyarakat umat Islam di zaman sains dan teknologi ini, setelah meninggalkan identiti tersebut dan mula berjinak-jinak dengan tamadun Barat yang menyonsangkan tamadun Islam.

Industri perfileman, lakonan-lakonan di pentas seni sama ada peringkat kanak-kanak, remaja, mahupun veteran, persembahan seni suara dan berbagai lagi aktiviti industri perfileman sudah di ambang menghancurkan akidah Islam. Lelaki dan perempuan tidak ada perbezaannya lagi malah pihak perempuan sudah mendominasikan peranan lelaki. Kesyukuran dan ketakwaan kepada Allah sudah menjadi pinggiran kerana keseronokan diri melayani keghairahan menayangkan kehebatan diri sebagai pelakon.

(1)Kasim Hasan dan Abdul Ghafar Ismail 1992. Alam Sekitar Permasalahan dan Pengawalan. Kuala Lumpur Dewan Bahasa dan Pustaka.

(2)Mohammad Tahir Mapa: “Pembangunan Berterusan: Satu ulasan umum dari buku Isu-Isu Sains Sosial Dari Perspektif Islam.” Oleh Asmadi Idris dan lain-lain. UMS 2003.

No comments:

Post a Comment