Thursday, April 1, 2010

BINA DIRI KUNCI KECEMERLANGAN PEMAIN DALAM PEMBANGUNAN

Setiap individu mempunyai agenda tersendiri dalam peranannya sebagai pemain dalam pembangunan kehidupan. Walaubagaimana pun dalam semua teka-teki kehidupan pencapaian dalam membina diri tidak serupa antara insan kerana setiap individu mempunyai tahap pencapaian yang telah diperuntukkan  oleh Allah S.W.T..

Bertawakal adalah satu usaha yang dicurahkan oleh setiap individu sebagai pemain dalam menyelesaikan agenda kehidupan di bawah kelolannya. Produktiviti dalam membina pem- bangunan berlandaskan kepada kegigihan individu bertawakal kerana segalanya adalah kekuasaan Allah S.W.T. meredhainya.

Dalam arena pembangunan untuk mengilmukan insan, semuanya berpaksi kepada semangat juang yang dipimpin oleh jatidiri individu yang bertauliah seperti  pendidik atau guru di sekolah. Menimba ilmu wajar dimurnikan dengan budaya istikamah. Ketakalan dalam menuntut ilmu yang dimurnikan dengan disiplin beribadah kerana Allah akan menghasilkan kecemerlangan dalam pembangunan.

Setiap ibadah yang anda laksanakan kalau ia dilakukan secara istikamah, Allah S.W.T. merestuinya. Sebagai contoh, jika anda mengaji atau membaca al-Qur’an dengan niat instikamah iaitu setiap hari anda membaca dengan khyusuk lima ayat sahaja; kemudian hari esok lima ayat kemudian hari berikutnya lima ayat dan seterusnya tanpa gagal sehingga khatam, Allah lebih suka berbanding dengan mereka yang dapat meghabiskan setengah juz dalam masa sekali dan kemudian ia berhenti buat beberapa hari, mungkin sebulan, kemudian mengaji lagi dengan cara yang serupa; Allah tidak suka budaya demikian.

Bagitu juga membina diri harus mengikuti perinsip pembangunan yang menyarankan penghasilan ibadah pada hari ini adalah lebih baik berbanding pada hari kelmarin dan hari esok rancangkan lebih baik berbanding dengan hari ini. Dan seterusnya hari lusa hendaklah lebih elok berbanding dengan hari kelmarin. Hari-hari berikut persembahan kita harus meningkat daripada sebelumnya. Dengan cara demikian anda sedarkan diri bahawa pergerakan masa sentiasa beriringan dengan peningkatan usia anda.

Membuang masa atau membiarkan masa berlalu dan mengizinkan diri sebagai penonton tanpa ibadah, anda telah melakukan jenayah diri yang membawa satu kedosaan iaitu anda mengkufuri masa, tenaga, semangat yang disediakan oleh Allah S.W.T. untuk kemanfaatan anda dalam hidup dan membiarkan diri anda dilaknat oleh masa. 

Ingat saranan Nabi Muhammad s.a.w. untuk pergunakan yang lima sebelum yang lima datang. Antaranya ialah muda sebelum tua; kaya sebelum miskin; lapang sebelum sibuk; sehat sebelum sakit dan hidup sebelum mati. Kelima-lima nasihat tersebut Nabi menekankan betapa pentingnya penggunaan masa dalam hidup.

Allah S.W.T. telah memberikan anda segala kesempatan hidup untuk melaksanakan kebajikan agar segala amalan di dunia dapat menyediakan dana pahala yang akan setia mene- mani anda di alam berikutnya apabila jasad sudah berpisah dengan roh. Jangan roh dalam diri anda mengalami keseksaan kerana layanan anda kepada dunia semata. Hidup anda di dunia seharusnya menyediakan kebajikan kepada kedua-dua unsur, jasmani dan rohani. Maka itu biarlah perpisahan itu satu kesedian kepada kedua-dua unsur tersebut, kerana mereka akan bertemu kembali juga apabila Allah S.W.T. datangkan hari kiamat-Nya, iaitu hari pengadilan di hadapan Kadi Rabul Jalil.  

Bina diri adalah satu agenda yang memanusiakan insan. Apakah yang wajar dibina dalam diri anda yang menjadi nadi kecemerlangan? Membina diri harus diberi keutamaan kepada

pembanguan akhidah kerana ciri-cirinya berkiblat kepada kesucian dalam amalan dan kasih sayang kepada yang Maha Pencipta.  Inilah sepatutnya menjadi teras perjuangan dalam membina diri. Produktiviti yang diperolehi dari agenda yang berlandaskan akhidah, menjamin kesejah-teraan dan kebahagian hidup di dunia dan di akhirat kelak berbanding dengan produktiviti yang dilandaskan kepada pembangunan dunia semata kerana ia berupa kebahagian yang berunsur sementara sahaja yang hanya berlaku di dunia semata. Ia akan berpisah dengan anda setelah ditutup liang lahad untuk berakhirnya agenda kemewahan dunia.

                Bina diri mempunyai kemanfaatan kepada hubungan sesama manusia kerana bibit-bibit kesetiakawanan sosial yang dibalut dengan perasaan kasih sayang menjadi teras keunggulan pembangunan bersepadu. Hidup ini menyeronokkan dan mendatangkan kegairahan atas sebab kehadiran orang lain yang memerlukan keberadaan anda. Kejayaan yang anda perolehi menyebabkan pentingnya kehadiran orang lain . Coba fikirkan bagaimana anda menilai kejayaan itu jika tidak ada orang  lain yang hidup bersama anda.

                Begitu juga kekayaan dan kemewahan, alat pengukurnya ialah kehadiran masyarakat manusia yang menentukan tahap pencapaian kehidupan anda. Anda kaya kerana ada orang lain yang miskin; anda pintar dan cerdik dapat menyelesaikan agenda pembangunan kerana ramai orang lain yang kurang mampu menjadi pemain dalam arena tersebut. Maka itulah pentingnya setiap individu harus melalui penyesuaian yang dipanggil bina diri.

                Bina diri menghapus budaya stereotype atau tidak ada pembaharuan kepada amalan pembangunan. Bina diri membuat persediaan menangani isu-isu pembaharuan dalam kehidupan. Hidup berpartisipasi sebagai pemaian yang aktif dan tidak membiarkan diri sebagai penonton. Manusia yang aktif sentiasa mencari masalah dan tidak berdiam diri menanti masalah itu datang menjelma.

                Menyelesaikan masalah, jangan sekali-kali rujuk kepada orang lain dengan masalah itu tetapi anda harus datang dengan solusi penyelesaian masalah tersebut. Dalam bahasa Inggeris mengatakan “Don’t come with a problem but came with a solution.” Orang datang dengan solusi penyelesaian adalah mereka yang menggunakan kemahiran berfikir tetapi orang yang datang dengan masalah tanpa cadangan solusinya adalah mereka yang kufur kepada fitrah kemahiran berfikir yang Allah S.W.T. telah sediakan kepada setiap insan.

                Solusi penyelesaian adalah berupa cadang semata yang menunjukkan bahawa anda telah menyelami masalah berkenaan. Ini membawa maksud misi hendak meminta orang lain melihat solusi masalah itu  akan membawa  ke satu dimensi perbincang untuk mendapatkan solusi sebenar dan bukan one way traffic dan anda menjadi passive listener.

                Bina diri adalah satu ibadah kerana Allah. Allah berfirman dalam al-Qur’an “Iqra” iaitu baca. Membaca adalah satu latihan kepada minda anda untuk membina kefahaman kepada kehidupan mengenai diri anda, alam kehidupan, cakerewalah alam, alam jasmani dan alam rohani dan membaca ilmu yang terucap oleh Allah dan yang tercipta oleh Allah.

                Menuntut ilmu atau datang ke sekolah belajar adalah satu sinario bina diri. Mesej dalam konotasi bina diri ialah menasihatkan manusia supaya ‘Jangan hidup menjadi bodoh.’ Hidup menjadi pintar harus mengikuti pengajaran dan pembelajaran di Institusi Pendidikan yang mentamadunkan manusia. Menimba ilmu mulai dari buaian hinggal ke liang lahad. Dalam erti kata lain mendidik atau belajar adalah sepanjang hayat.

                Tidak ada persaraan dalam menuntut ilmu. Bersara dalam perkhidmatan telah diwujud kan oleh kerajaan untuk memberi peluang bagi setiap kakitangan  menikmati rehat sebelum ajal menjemput nyawa. Tetapi rehat yang dimaksud di situ ialah berhenti berkhidmat dengan kerajaan dan tidak menyumbangkan tenaganya lagi untuk memegang amanah ‘yang menurut perentah.’

Sempena itu juga kerajaan mengenangkan budi dan jasa individu yang telah dicurahkan kepada rakyat melalui kerajaan sejak usianya lebih kurang lapan belas tahun hinggalah mencapai umur lima puluh lima tahun atau lebih, yang mana bersesuaian mengikut kemampuan individu berkenaan.

                Walau bagaimana pun ilmu dituntut tidak pernah jumud atau menemui persaraan kerana “semakin anda tahu semakin anda tidak tahu!” yang membawa maksud makin banyak ilmu anda perolehi di dunia, makin banyak lagi ilmu yang belum diketahui atau diterokai. Apalah erti setitis air yang membasahi jari anda jika diculupkan di dalam laut berbanding dengan banyaknya air laut yang tidak bertepi itu. Maka itu Baginda Rasul Nabi Muhammad s.a.w. menyarankan kepada umat manusia untuk menuntut ilmu mulai dari buaian hingga ke liang lahad.

Menuntut ilmu  untuk membina diri harus waspada terutama sekali setelah bersara dari perkhidmatan kerana pepatah Melayu telah melakarkan ungkapan yang berbunyi “Tua-tua keladi makin tua makin menjadi”.  Membina diri adalah dalam dua unsur, iaitu jasmani dan rohani. Oleh sebab perjalanan manusia adalah menunju akhirat iaitu kebahagian di syurga maka itu adalah bersesuaian bina diri dengan landasannya kepada pembangunan rohani. Tidak menjadi kesalahan jika pelaburan dunia turut sama mengisi borang persaraan kerana segala kemewahan dunia tidak turut sama dengan anda masuk ke liang lahad!

Satu doa yang sepatutnya menjadi amalan setiap manusia mukmin terutama sekali masyarakat pesara yang berbunyi: “Ya Allah hidupkanlah kami dalam keadaan iman dan matikanlah kami dalam keadaan iman !” Masyarakat manusia sentiasa leka dengan agenda yang menyeronokan maka itu imannya kadang-kadang tidak menentu. Baik kalau iman bersama dengan anda sebelum menghembuskan nafas yang terakhir. Kalau tidak maka segala amalan anda selama hidup di dunia akan sia-sia belaka.

Satu semangat bina diri ialah menerima ujian dari Allah S.W.T. Pada kebiasaannya ramai masyarakat pesara mendapat krusus kesihatan diri yang diatur oleh pakar-pakar perubatan di hospital di mana sahaja anda bermastautin. Kursus tersebut mempunyai duration yang berbeza antara individu yang mengikutinya. Ada yang sebulan sekali, yang lain dua bulan sekali  dan tidak kurang juga yang mengikuti kursus empat bulan sekali. Sebenarnya kursus tersebut kita yang meminta bukan doctor yang memanggil. Tetapi kita tidak sedar permintaan kita itu sejak remaja lagi. Kini setelah bersara barulah diluluskan.!

Masalah kesihatan tidak ada orang yang ingin menempahnya tetapi oleh sebab kegagalan kita dalam membina diri untuk menangani kesihatan maka Allah S.W.T. menarik balik nikmat sihat itu dan digantikan dengan nikmat kesengsaraan. Walau bagaimana pun mengikut pendapat Dr. Sholeh Fauzan, penulis  buku bertajuk “Adab Seorang Muslim Dengan Masyarakat” diterbit oleh Jasmin Enterprise cetakan 2007, mengatakan bahawa orang yang sakit menunjukkan bahawa Allah S.W.T. sayangkannya. Maka itu apabila anda sakit, dekati dirimu dengan agama Allah lebih akrab berbanding kursus dengan doctor hospital!

Bina diri tidak berhenti semasa bersara dalam perkhidmatan dengan kerajaan atau semasa muda tetapi ia harus menjadi budaya dalam hidup hingga agenda dunia sampai ke penghujung nya. Hanya perbezaannya terletak kepada kiblat bina diri mengikut usia individu. Bina diri masa muda dahulu ialah pemberatan kepada menjadi pemain dalam pembangunan yang berwibawa dan berketerampilan; tetapi setelah bersara dari perkhidmatan, fokos bina diri ialah mengukuhkan iman kepada Allah S.W.T. semoga penutup agenda dunia menjadi lembaran yang mencatatkan kesucian beriman.

(http://bicaramindafaridblogspot.com)

No comments:

Post a Comment