Thursday, April 1, 2010

KASIH SAYANG DALAM PENDIDIKAN MEMBINA MOTIVASI DALAMAN



Mengajar haiwan dengan teknik arahan tetapi mendidik manusia dengan pendekatan kasih sayang dan sentuhan rohani. Kasih sayang yang berbentuk pujian adalah sentuhan jiwa yang berunsurkan motivasi  dalaman manakala sentuhan fisikal melembutkan pergesaran nilai dan perasaan kelak merapatkan hubungan antara pendidik dengan murid. Dalam erti kata lain mengawal (haiwan)kerbau dengan menggunakan talinya tetapi mengawal manusia dengan kata-kata yang lunak dan meransang kasih sayang kelak membina motivasi dalaman. 

                Anak itu ibarat kain putih yang tidak bercorak maka itu gurulah yang ditauliahkan atau dipertang gungjawabkan  membentuk warnanya sama ada warna cerah atau pudar mahupun yang hitam. Warna melam bangkan alkhlak murid yang akan membentuk peribadinya sebagai masyarakat pelapis dalam pembangunan kehidupan membina tamadun. Seorang pendidik bertanggung jawab dunia dan akhirat kepada seorang insan untuk dihadapkan kepada Kadi Rabul Jalil. Allah membekalkan seorang pendidik dengan ilmu pengetahuan maka itu pengadilan-Nya berkisar kepada sejauh mana fitrah Allah tersebut digunapakai oleh guru untuk membentuk insan yang berwawasan.

                Ahli pujangga menyarankan “The right man on the right job and the right man on the right place.” Konotasi tersebut membawa maksud kepakaran seseorang itu wajar dipertanggung jawabkan kepada kerja-kerja yang ia mempunyai kemahirannya. Seorang ustaz tidak wajar dipertanggungjawabkan untuk membina jabatan, dan seorang peguam tidak wajar untuk melaksanakan kerja-kerja seorang doctor. Kepakaran seorang pendidik untuk mengilmukan manusia adalah amanah Allah S.W.T.. Maka itu profesion keguruan menjadi darah dagingnya kerana ganjarannya memboktikan tanggugjawab di hadapan Zat yang Maha Berkuasa.

                Setiap manusia mempunyai peranannya masing-masing dalam kelangsungan hidup membentuk tamadun. Dengan pada itu perlu mengeratkan hubungan antara satu sama lain demi melahirkan ukhuwah kemanusiaan kerana ia akan membentuk perasaan kasih sayang yang menggukuhkan pembangunan insan. Suasana demikian akan melahirkan budaya tolong menolong dalam segala hal pembangunan sama ada dari segi infrastrukturnya mahupun pem- bangunan rohaninya, kerana tidak ada manusia yang dapat menguasai semua ilmu Allah yang ada dalam pembangunan kehidupan.

                Unsur utama  dalam membentuk tamadun ialah perasaan kasih sayang. Peringkat kasih sayang yang paling rendah ialah bersihnya hati dari perasaan hasad dengki, kebencian, iri hati dan punca yang menyebabkan permusuhan dan pertengkaran. Keadaan demikian timbul atas dorongan nafsu yang diikhtibarkan sebagai iblis dalam diri seseorang.

                Al-Qur’an al-Karim menganggap permusuhan dan kebencian sebagai hukuman yang dijatuhkan oleh Allah S.W.T. ke atas mereka yang kufur kepada risalahNya serta menyelewing dari ayat-ayatNya, seperti firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Dan di antara orang-orang yang mengatakan: Sesungguhnya kami orang-orang Nasrani, ada yang telah kami ambil perjanjian dari mereka, tetapi mereka telah melupakan sebahagian dari apa yang telah diberi peringatan dengannya; maka Kami timbulkan antara mereka permusuhan dan kebencian sehingga Hari Qiamat. Dan kelak Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang selalu mereka kerjakan.” (Al-Maidah: 14).

                Arak dan perjudian dianggap sebagai dosa-dosa besar yang memusnahkan menurut kaca mata Islam. Al-Qur’an menjadikan alasan utama pengharamannya yang wajar dinaskan ialah sebagai menimbulkan kebencian dan permusuhan di dalam masyarakat, sekalipun keduanya (arak dan judi) mempunyai bahaya yang jelas dari sudut lain. Firman Allah S.W.T. yang maksudnya: “Sesungguhnya syaitan itu hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu di dalam arak dan berjudi, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan solat; maka berhentilah kamu dari melakukannya.” (al-Maidah:91)

                Suasana permusuhan dan kebencian sebenarnya  adalah suasana yang buruk dan busuk. Ketika itu  syaitan akan menawarkan barang dagangannya seperti prasangka buruk, mencari kesalahan orang lain, menceritakan keaiban orang lain, mengadu domba, berdusta, mencaci dan melaknat sehingga menyebabkan seorang saudara sanggup membunuh satu sama lain. Inilah bahaya yang diingatkan oleh Rasulullah s.a.w. serta dianggap Baginda sebagai sisa-sisa Jahiliyyah.

                Islam mengharamkan semua bentuk kerosakan akhlak dan kejahatan sosial yang boleh mengakibatkan lenyapnya perasaan kasih sayang dan kemesraan antara manusia. Antara keperluan persaudaraan di dalam Islam ialah saling tolong-menolong, bantu-membantu dan sayang-menyayangi. Tidak ada nilainya persaudaraan jika anda tidak membantu saudara anda ketika diperlukan, membantunya ketika kesulitan dan mengasihaninya ketika lemah.

                Profesion keguruan adalah antara ladang-ladang yang perlu ditanam dengan berbagi benih-benih pembangunan sosial, seperti membentuk akhlak mulia, kasih sayang antara sesama khususnya pendidik dengan anak muridnya, menanam sifat tolong-menolong, membantu keperluan murid terutama sekali gulungan yang lemah dan yang yang paling penting sekali ialah membina keyakinan diri bahawa setiap individu murid mempenyai potensi diri, bersemangat  dan berpegang teguh kepada prinsip ‘saya boleh’. Tidak ada yang diketepikan atau dipinggirkan dalam semua peluang pembelajaran. Hadiah yang wajar diperolehi oleh seorang guru dari muridnya ialah kejayaan dan kecemerlangan dalam pencapaian pembelajaran mereka.

                Antara faktor-faktor yang menjadi pemangkin atau catalyst dalam diri pelajar untuk giat membuat perubahan pada dirinya ialah pujian dan sanjungan dari gurunya. Manusia terbentuk dalam suasana ingin dipuji dan pujian itu adalah sebahagian daripada motivasi dalaman. Seorang pendidik yang menunjukan kasih sayangnya kepada pelajar ialah menunjukkan kerajiannya dalam menyediakan berbagai alat bantu mengajar atau teknik-teknik pembelajaran yang mungkin menjemput kefahaman pelajar mengenai satu-satu pelajarannya.     

                Harus ingat bahawa murid bertanya atau meminta kerja dari gurunya wajar bersyukur dan diterima sebagai motivasi diri untuk mendidik dan bukan dianggap sebagai satu cabaran atau penghinaan murid terhadap gurunya. Ruang bicara minda telah memaparkan minggu lalu satu situasi bilik darjah yang berlaku kepada murid tahun enam di mana guru rasa terhina apabila murid tersebut memberi nota yang meminta  gurunya supaya diberi kerja! Oleh sebab rasa terhina maka guru itu menunjukan kekuasaannya kepada murid itu siapa yang besar dalam bilik darjah!

                Jika demikianlah keadaan kawalan bilik darjah yang diamalkan oleh seorang pendidik, maka kasih sayang dalam pendidikan sukar diwujudkan. Malah murid-murid pun tidak tergalak menggunakan kemahirannya berfikir. Kaedah guru yang digunakan sedemikian adalah seperti mengajar seekor burung tiung bercakap dengan tidak memahami apa yang disebutnya.

                Mengilmukan manusia wajar dihiasi dengan perasaan kasih sayang kerana elemen inilah benih-benih mentamadunkan insan. Zaman jahiliah sudah berlalu, kini zaman sains dan teknologi yang memerlukan kemahiran berfikir untuk mengenali tindakan yang salah dan yang benar. Seorang guru wajar menilai tindakannya dengan mengambil iktibar dari jawapan dengan menyoalkan diri: ‘adakah tindakan yang saya lakukan ini sesuai jika ia dilaksanakan kepada diri saya atau kepada anak saya sendiri?’

                Tindakan kemanusiaan dengan tindakan kehaiwanan wajar dikenali oleh seorang guru. Mengambil ikhtibar dari haiwan bahawa seganas-ganas harimau pun tidak memakan anaknya sendiri inikan lagi manusia yang mempunyai kemahiran berfikir serta perasaan kasih sayang terhadap anaknya. Seorang guru wajar menggangap anak muridnya seperti anaknya sendiri. Apa

yang anda fikir baik kepada anak anda sendiri maka baiklah bagi anak murid yang anda didik.

                Mendapatkan solusi penyelesaian kepada permasalahan bilik darjah wajar dibawa kepada kumpulan mata pelajar di sekolah atau jawatan kuasa matapelajaran yang di kenali sebagai panatia mata pelajaran. Permasalahan yang anda alami dalam bilik darjah sama ada mengenai kawalan disiplin atau tingkah laku pelajar tertentu, wajar dibawa ke meja perbincangan. Anda akan mendapat berbagai reaksi dari berbagai pehak yang mendidik berbagai mata pelajaran. Sebagai guru wajar pandai memilih solusi mana yang sesuai dengan murid yang bermasalah.

                Setelah mendapatkan solusi penyelesaian, ibu/bapa atau penjaga pelajar berkenaan harus diberi surat pemberitahuan mengenai masalah anak terbabit atau yang paling sesuai ialah memanggilnya ke sekolah dan berjumpa dengan guru Besar atau Pengetua sekolah. Dengan cara demikian maka ibubapa dapat memainkan peranan dalam mengilmukan anaknya.

                Memanggil ibubapa ke sekolah untuk berjumpa dengan pemimpin sekolah mempunyai banyak kemanfaatan kepada kedua-dua pehak. Perkara utama ialah hubungan ukhuwah kemanu- siaan tetap terjalin. Kedua, ialah tanggungjawab guru mengilmukan anak dapat dikongsi bersama dengan ibubapa. Ketiga ialah ibubapa dapat mengenali  pentadbiran sekolah lebih mendalam lagi kerana dirumah gurunya anak murid ialah ibubapa dan di sekolah ialah para pendidik yang bertauliah.

                Mendidik anak murid bukan saja mengilmukannya supaya dapat mengetahui ilmu-ilmu pengetahuan dunia dan akhirat tetapi yang amat penting ialah membentuk asas akhlak yang merujuk kepada seluruh aspek kehidupan manusia seperti disiplin diri, aktiviti harian, sikap, watak, gaya hidup, corak pemikiran, perilaku dan cara pembawaan diri dalam pergaulan sesama manusia. Akhlak yang mulia terbentuk daripada cantuman disiplin yang tinggi, amalan yang soleh, sikap yang konstraktif, watak yang baik, gaya yang kemas dan bersih, pemikiran yang luas dan terbuka, perilaku yang bersopan santun dan pergaulan yang beradab.

                Dengan adanya watak tersebut pada diri individu maka mudah baginya mengenali kasih sayang antara sesama manusia. Sifat demikian menjadi falkrum kepada semua urusan aktiviti harian yang dilaksanakan sebagai agenda pembangunan. Pemurni kepada aktiviti harian tersebut ialah iman dan takwa kepada Zat yang Maha Berkuasa kerana keredaan Allah S.W.T. menjadi keutamaan pada semua pembangunan.

                Pada hakikatnya, manusia terletak di antara haiwan yang bersifat rendah dan malaikat yang bersifat tinggi, sebab manusia memiliki sifat semula jadi daripada kedua-duanya. Semakin ketara manusia mengabaikan sifat kemalaikatannya, maka status manusia semakin menyamai status haiwan dan syaitan. Maka itu adalah menjadi kemestian bagi seorang individu membentuk asas akhlaknya di samping menghiasi diri dengan ilmu pengetahuan yang merangkumi ilmu muamalah dan ilmu akidah.

                Dari kaca mata Islam, setiap perbuatan manusia diukur mengikut ketetapan perbuatan itu dengan peraturan yang ditetapkan oleh Syaatiah Islam (syarak). Dalam proses pengukuran itu , perbuatan manusia dikategorikan sebagai wajib, sunat, harus, maksuh atau haram. Ganjaran pahala akan diberi kepada perbuatan yang secocok dengan syarak, manakala balasan dosa akan diberi kepada perbuatan yang bercanggah dengan syarak.

                Sistem pengelasan ini menunjukkan betapa pentingnya pahala dan dosa sebagai kesan dalaman terhadap setiap perbuatan manusia. Kesan dalaman itu akan mewarnai dan menentukan kualiti akhlak manusia. Misalnya, pahala akan mengilatkan kalbu, manakala dosa pula akan menghitamkan kalbu tersebut1. Mengenali buruk abaiknya sesuatu tindakan menjadi keutamaan setiap insan dalam agenda pembangunan.

 1  Nik Azis Nik Pa. ‘Asas Akhlak.’ H 216 : Potensi Intelek

(http://bicaramindafaridblogspot.com)

No comments:

Post a Comment